Wednesday, 11 April 2018

KEMBALIKAN MERAH CINTAKU - BAB 7



KAKI kecilnya berlari laju menuruni anak-anak tangga dan di tangannya dia memeluk erat patung Pooh berwarna kuning. Sejurus tiba di ruang tamu, dia ternampak kelibat Dato’ Hasni. Terus dia meluru untuk mencari perlindungan dari daddynya. Namun langkah kakinya kaku apabila ternampak satu kelibat lain di sebelah daddynya.
Belum sempat dia memanggil, dia ternampak kedua-duanya bercumbu-cumbuan sehingga tidak mempedulikan sekeliling. Tanpa berfikir panjang, dia berpaling dan menuju ke bilik bibik yang terletak berhampiran dapur. Sekali-sekala dia memerhatikan belakangnya. Ketika itu umurnya baru 8 tahun. Sejak ketiadaan ibu, patung Pooh itulah penemannya.
Bik... Ava nak tidur dengan bik.” Pohonnya separuh merayu apabila wajah bibik terpancul di pintu.
“Kenapa pulak?” soal bibik. Masuk kali itu, entah sudah berapa kali anak majikannya datang menyerbu ke biliknya. Dia bukan tidak benarkan, cuma bimbang anak gadis itu tidak selesa dengan biliknya yang kecil.
 “Bilik Ava ada banyak lipas... Ava takut.” Tipunya sambil memandang ke arah tangga. Alasan yang sama dia berikan pada bibik sebelum ini.
Bibik garu kepala. Rasanya sudah beberapa kali dia periksa bilik anak gadis itu. Setiap hari dia kemas dan pastikan tiada lipas dalam bilik anak gadis majikannya itu. Melihatkan wajah pucat Ava, dia perhatikan arah yang diperhatikan Ava, tiada apa-apa. Hanya kelibat Khairy saja yang sedang memerhatikan mereka dari jauh.
“Mari masuk, tapi jangan kompelin tak selesa.” Bibik mengingatkan kerana kali terakhir Ava tidur dalam biliknya, gadis kecil itu merungut biliknya sempit dan panas kerana tiada penghawa dingin.
Cepat-cepat Ava masuk ke dalam tanpa melihat ke belakang lagi.
“Tiga bulan lagi Khairy akan balik.” Kata-kata daddynya tempoh hari mencantas ingatan lamanya. Sudah lama mereka dua beradik tidak bertemu. Sudah 10 tahun. Beza umur dia dan Khairy ialah 7 tahun. Abangnya pergi ketika berusia 25 tahun, dan waktu itu usia Ava 18 tahun. Kini usianya 28 tahun.
Khairy nak balik dan dia mesti fikirkan sesuatu. Bisiknya kepada diri sendiri.
Selama ini hidupnya aman tanpa abangnya. Kalau dalam masa terdekat ini Khairy pulang, tidak dapat dia bayangkan bagaimana nanti.
Tiba-tiba Ava teringatkan Haydar, abang Harraz.
“Haydar... ” ucapnya dalam senyum.
SUDAH BERHARI-HARI dia berfikir akan hal itu. Menimbang antara wajar atau tidak keputusan yang bakal diambil nanti. Namun dia sudah membulat tekad. Dia ingin mencuba cara itu. Mana tahu berjaya. Tanpa mahu berfikir lanjut akan tindakannya, Ava terus berlari keluar bilik dan menuju ke bilik bacaan Dato' Hasni yang masih terang. Dia tahu, masa begitu, pasti daddynya akan menghabiskan masa di bilik bacaan. Walaupun suka berfoya-foya, namun daddynya itu masih ada sikap positif iaitu suka membaca.
Ava ketuk pintu sejurus berdiri di depan bilik bacaan. Sejurus mendapat arahan masuk, dia terus masuk.
Dato’ Hasni meletakkan akhbar di tangan lalu fokus pada anak daranya yang sudah duduk di sisinya. “Ada apa?” soalnya kepada Ava. Dia pasti ada perkara atau sesuatu yang anaknya mahukan. Jarang sekali anak gadisnya masuk mengganggu masa peribadinya jika tiada apa-apa.
“Ava nak bertunang.” Meluncur laju kata-kata Ava tanpa sempat dia berfikir wajar atau tidak hasratnya itu disampaikan kepada daddynya.
Dato’ Hasni terlopong. Tiada angin dan tiada rebut, tiba-tiba Ava kata nak bertunang. Bergurau ke apa?
“Ava bergurau?” tanya Dato’ Hasni dalam ketawa.
Ava geleng. “Ava serius. Ava dah ada calon,” jawab Ava
“Dengan siapa? Harraz?” soal Dato’ Hasni lagi. Selama ini hanya itu kekasih anaknya yang dia tahu.
Ava geleng sekali lagi. “Bukan Harraz, tapi Haydar. Abang kepada Harraz,” jawabnya kemudian.
Jawapan yang membuatkan Dato’ Hasni tambah terkejut. Bukankah...
“Ava couple dengan Harraz?” ujar Ava yang faham dengan reaksi daddynya.
Dato’ Hasni angguk.
“Ava dah putus dengan Harraz.”
“Macam mana putus dengan adik, nak bertunang dengan abang pulak?” soal Dato’ Hasni kehairanan.
Daddy janganlah tanya banyak-banyak...” rengek Ava. Bagaimana dia nak beritahu Dato’ Hasni yang keputusan itu hanya datang dari pihaknya sedangkan Haydar langsung tidak tahu menahu. Tapi ada sesuatu tentang lelaki itu yang menarik perhatiannya, yang membuatkan dia menyuarakan hasrat itu kepada daddynya.
Daddy kenalah tanya, kahwin bukan perkara kecik tau...” tokok Dato’ Hasni.
Ava mencebik. Selama ini tidak pula daddynya sibuk nak tahu lanjut akan kegiatannya. Kenapa bila dia suarakan hal itu, daddy menyoalnya macam detektif pula. Turutkan sajalah permintaannya.
“Ava dating dengan Haydar sekarang.” Ava beri alasan. Kalaulah pertemuan beberapa kali dengan Haydar itu boleh dikira sebagai dating.
Dato’ Hasni gelengkan kepala. Macam-macam betul anak daranya ini. Boleh pula macam tu. Putus dengan adik, berpasangan dengan abang pula.
Ava terdiam menanggapi gelengan daddynya. Hendak dia terangkan memang dia tidak pernah berkawan dengan Haydar namun pertemuan beberapa kali dengan Haydar membuatkan dia rasa lelaki itu mungkin sesuai untuk dijadikan suami.
Ada sesuatu tentang Haydar yang sukar untuk dia ceritakan. Ketenangan saat dia berada dekat dengan lelaki itu. Walau banyak peluang terbuka depan mata, namun Haydar tidak kelihatan seperti lelaki yang suka ambil kesempatan. Tambahan lagi teringatkan Haydar abang kepada Harraz dan
dendamnya kepada bekas teman lelakinya membuatkan dia rasa dia ingin sekali menyakitkan hati Harraz dengan cara itu.
“Ava dah beberapa kali jumpa Haydar. Ava rasa dia lelaki sesuai,” jawab Ava akhirnya. Hendak dia rahsiakan statusnya dengan Haydar, bimbang pula menyukarkan keadaan. Lebih baik dia beritahu perkara yang betul.
Dato’ Hasni nampak tidak yakin dengan jawapan Ava. Jumpa beberapa kali saja, tidak mungkin sudah serius sehingga hendak mendirikan rumah tangga bersama.
Daddy mesti suka kan kalau ada orang yang jaga Ava. Daddy tak perlu risau kalau Ava keluar malam-malam. Bila dah ada suami, tentu Ava dah tak selalu keluar macam sekarang.” Umpan Ava. Dia tahu dengan cara itu, daddynya akan setuju.
Dato’ Hasni diam sejenak dan berfikir. Walaupun pergaulannya bebas dengan macam-macam perempuan, namun dia tidak mahu Ava mengikut jejak langkahnya. Seburuk mana pun kelakuannya, dia tidak mahu Ava terpengaruh, lebih-lebih lagi apabila teringatkan perempuan-perempuan muda yang mendampinginya demi duit. Dia bimbang sangat jika Ava seperti mereka.
“Baiklah, Ava bincanglah dengan dia. Daddy ikut saja.” Akhirnya Dato’ Hasni bersetuju namun...
Ava pula yang serabut berfikir. Bagaimana dia hendak berbincang dengan Haydar jika mereka tidak pernah bercinta. Ava betulkan duduknya sambil menyusun ayat dalam kepala.
Daddy... sebenarnya macam ni. Ava rasa lagi sesuai kalau daddy yang bincang dengan keluarga Haydar. Lagipun Ava takut dia tak setuju.” Yalah, mana tidaknya, baru jumpa beberapa kali sudah diajak bertunang, memang gila ideanya.
Kali ini Dato’ Hasni terkejut dengan kata-kata anak daranya. Ini tunang paksa ke apa? soalnya dalam hati.
 So, Ava nak paksa dia tunang dengan Avalah ni.” Serius pula Dato’ Hasni bertanya. Bukankah tadi anak daranya kata sedang couple dengan Haydar? Kalau couple bukankah bermakna kedua-duanya sama rela?
Ava tergelak besar. Paksa tunang? Tak kut. Haydar lelaki dewasa dan matang, tak mungkin mudah dipaksa-paksa kalau diri sendiri tidak mahu.
Daddy bincang dulu dengan keluarga dia. Kalau dia setuju, kita teruskan rancangan ni.”
“Kalau dia tak setuju?”
Ava diam sejenak. “Kalau tak setuju, Ava cari calon lain,” sambut Ava. Besar harapannya kalau Haydar setuju. Ideanya memang gila tapi entah kenapa hatinya mendesak supaya memilih lelaki itu sebagai calon suami. Kalau boleh secepat mungkin, sebelum abangnya sampai Malaysia. Itu salah satu sebab utamanya.
Dato’ Hasni kemudiannya mengangguk. Kedengaran permintaan anak daranya sangat aneh tapi dia turutkan jua.
Anggukan daripada daddy membuatkan Ava tersenyum lega.

No comments:

Post a Comment