Wednesday, 11 April 2018

TAKRUT - BAB 5





2017, Melaka...
SEORANG lelaki menggelupur di atas lantai.
Tangannya sekejap memegang leher dan sekejap memegang
dada. Tubuhnya sekejap membongkok dan sekejap melurus.
Sesekali dia terkejang-kejang dengan mata terpejam.
Wajahnya perit membayangkan kesakitan yang tidak mampu
diungkap.
Seorang wanita yang duduk di meja sebelah spontan
menjerit dan menjauhkan diri. Suasana yang tadi hening,
bertukar kecoh. Makin ramai yang bangun untuk melihat apa
yang telah berlaku.
Dengan spontan, Khun Thea berlari ke bahagian
hadapan restoran. Apabila dia tiba di tempat tersebut, dia
melihat seorang lelaki sedang berguling-guling di lantai
sambil memegang leher dengan kedua belah tangan. Wajah
lelaki itu kebiru-biruan bagaikan tidak boleh bernafas.
Khun Thea tidak berlengah. Dia menarik badan
lelaki itu bangun semula. Dalam kepalanya dia hanya mahu
membantu supaya tulang yang mungkin tersekat di dalam
mulut lelaki tadi dapat dikeluarkan secepat yang mungkin,
tetapi belum sempat Khun Thea berbuat apa-apa, lelaki itu
muntah. Hampir terkena bajunya.
Uwek!”
Lelaki itu muntah dan muntah lagi tanpa dapat
ditahan-tahan. Wajahnya yang membiru kini kembali
cerah malah kemerah-merahan. Dia bagaikan baru sahaja
menyedari apa yang sedang berlaku.
Yang ada di situ mula menjauh. Bau muntah yang
masam dan hamis membuatkan ramai yang hampir muntah
pula termasuklah Khun Thea sendiri. Lebih mengejutkan
apabila di dalam muntah yang bercampur lendir dan darah
itu, bergerak-gerak seekor anak ikan puyu.
Mata Khun Thea terbeliak. Tetapi apabila dipandang
buat kali kedua, ikan puyu itu hilang begitu sahaja.
Masing-masing tergamam. Ada yang mula bercakap
sesama sendiri tetapi Khun Thea mengambil sikap untuk
tidak mempedulikan hal itu.
“Encik dah okey?” Khun Thea bertanya seraya
membantu lelaki tadi duduk semula di kerusi. Hendak
ditinggalkan begitu sahaja terasa tidak sampai hati.
Lelaki itu mengangguk lesu sambil menyapu mulut
dengan kertas tisu.
“Maafkan saya...” katanya lemah. Wajahnya merah
padam.
“Tak apa. Nanti ada orang bersihkan.”
Khun Thea faham. Kejadian itu agak memalukan.
Tetapi dia yakin lelaki itu bukan sengaja hendak muntah di
restoran ini. Dan apa yang baru berlaku tadi, sukar untuk
dijelaskan.
“Yang penting encik dah okey,” tambahnya.
“Terima kasih kerana tolong saya.” Lelaki itu
tersenyum pahit. Matanya masih bergenang dengan air mata.
“Saya tak buat apa-apa pun.” Khun Thea membalas.
Dia sudah mahu beredar menyambung tugasnya semula.
Lagipun hal itu sudah selesai dan dia berasa lega kerana tidak
ada hal yang buruk berlaku.
“Cik dah selamatkan nyawa saya. Terima kasih.”
Lelaki itu menambah sambil memandang lama wajah Khun
Thea.
Khun Thea spontan menggeleng tidak faham.
“Boleh cik duduk sebentar?” Lelaki itu bertanya lagi.
Untuk beberapa saat Khun Thea bingung.
“Tolonglah, cik. Duduk sekejap. Ada hal saya nak
cakap.” Lelaki itu semakin beria-ria meminta.
Hati Khun Thea mula berbolak-balik. Tambahan
pula 2 orang pekerja sudah datang untuk membersihkan
bekas muntah dan mengemas meja. Dia sendiri masih ada
kerja yang belum disiapkan di bahagian kaunter.
“Sekejap saja,” pujuk lelaki itu lagi.
Akhirnya Khun Thea duduk di hadapan lelaki
itu dengan rasa serba salah. Tanpa disangka, lelaki itu
mengeluarkan semua duit yang ada dari dalam beg dompetnya
lalu menyerahkan kepada Khun Thea. Ada lebih kurang 500
ringgit.
Wajah Khun Thea berasa panas. Tubuhnya terundur
ke belakang. Dia ingin beredar dari situ tetapi belum sempat
bangun, lelaki itu membuka cerita.
“Sudah hampir 6 bulan saya sakit. Saya hampir
putus asa berubat,” katanya.
Dahi Khun Thea berkerut. Cerita lelaki itu menarik
perhatiannya.
“Hari ini saya benar-benar buntu. Saya betul-betul
rasa tak sihat. Jadi saya singgah di sini untuk makan sikit
sebelum balik. Tak sangka sakit itu menyerang.” Lelaki itu
meneruskan cerita.
“Encik sakit apa?” Kepala Khun Thea pening.
Belum pernah dilihat sakit seperti itu dalam hidupnya. Dia
menjangkakan yang lelaki itu kena serangan sawan.
“Santau.” Lelaki itu berbisik.
Kening Khun Thea terjongket. Santau? Pernah
didengar tetapi dia tidak diambil kisah. Yang dia tahu santau
itu salah satu ilmu hitam yang digunakan untuk menyeksa
manusia lain sampai mati.
“Kata perawat, kalau mahu sembuh, santau itu mesti
dikeluarkan. Tapi sudah puas saya berubat, santaunya masih
ada. Sampailah tadi. Selepas muntah, saya rasa jauh lebih
sihat. Cik sudah menyelamatkan nyawa saya. Saya tak tahu
macam mana nak balas budi baik cik.”
Khun Thea kelu. Sejujurnya dia tidak mampu
mencantumkan masalah lelaki itu dengan dirinya langsung.
Dia bertambah bingung.
“Khun Thea!” tegur seorang wanita berbaju uniform
biru. Matanya tajam mencerlung ke arah Khun Thea yang
sedang duduk.
Khun Thea terus terbangkit dari kerusi apabila
ditegur penyelianya. Dia sedar kesalahannya kerana duduk
berbual sewaktu sedang bekerja. Cepat-cepat dia beredar.
Duit lelaki tadi dibiarkan sahaja tidak berusik.
“Cik!”
Lelaki itu memanggil tetapi Khun Thea tidak
mengendahkannya. Dia tidak faham apa-apa.

“ORANG TU kenapa, Thea?” tanya Zahid sebaik sahaja Khun
Thea kembali ke ruang belakang.
“Tercekik tulang kut.” Khun Thea lucutkan apron
yang dipakai. Waktu bertugasnya sudah hampir habis. Dalam
kepalanya tidak ada hal lain selain mahu pulang merebahkan
badan ke atas tilam. Hari itu sangat meletihkan jiwa dan raga.
“Tapi aku dengar, ada yang kata orang tu muntah
ikan. Betul?”
Khun Thea mengeluh. Dia merenung wajah Zahid
yang masih memandangnya tidak berkelip. Dia rimas.
Akhirnya dia angkat bahu. Pura-pura tidak tahu.
“Tipu...” kata Zahid. “Cakaplah. Betul tak apa yang
orang cakapkan tu?”
“Entah.” Khun Thea bergerak menjauhi Zahid. Dia
enggan memberi sebarang ulasan. Dia tidak mahu terlibat.
“Kau tahu apa benda tu?”
Khun Thea angkat bahu lagi. Dia harap Zahid faham
yang dia tidak berminat langsung untuk mengetahui hal itu
dengan lebih lanjut. Pening.
“Itulah santau. Santau nak buat orang yang kena
tu mati. Ikan tu hidup dalam perut. Sisik dan siripnya yang
keras dan tajam tu akan melukakan dinding perut. Orang
yang kena tu akan muntah darah dan sakit-sakit sampai mati.
Kau tengok lelaki tadi tu... kurus, pucat. Aku percaya dia dah
lama sakit, tapi mujurlah dia masih ada daya berjalan ke sini.”
Khun Thea berdengus.
“Ada-ada sajalah kau ni, Zahid.” Dia meninggalkan
restoran lalu menuju ke tempat parkir.
 “Betullah,” balas Zahid sambil mengikut dari
belakang.
Tetapi Khun Thea hanya buat pekak. Bukan dia
tidak percaya, tetapi dia tidak mahu memanjangkan cerita.
Meskipun itu memang santau, ia tetap bukan soalnya untuk
diambil serius. Dia cuma mahu pulang dengan fikiran yang
lapang. Sudah terlalu penat bekerja sejak pukul 9 pagi tadi.
“Eh, Thea! Aku cakap betullah. Aku tak bohong.”
“Dahlah, aku nak balik.”
“Aku cakap ni bukan apa, aku risaukan kau.”
“Risaukan apa?” Kata-kata Zahid buat Khun Thea
geli hati.
“Santau jenis tu boleh berjangkit. Kau jangan
main-main. Balik ni, pergi beli air kelapa. Jangan letak air
batu. Minum sampai habis, sampai rasa kau kenyang. Kalau
kau rasa nak muntah, kau muntahkan cepat-cepat. Tu tanda
santau tu dah pergi pada kau pula.”
Dengan spontan ketawa Khun Thea terburai.
“Orang cakap betul, dia ketawa pula!” marah Zahid.
Kali ini Khun Thea tidak memandang ke belakang
lagi. Dia menghidupkan enjin motosikal lalu berlalu pergi.
Tetapi di pertengahan jalan, dia singgah juga di gerai yang
menjual air kelapa. Seram sejuk pula apabila dia teringatkan
cerita Zahid
.
“KENAPA LAMBAT?” tegur Anchali sebaik sahaja Khun Thea
mematikan enjin motosikal di halaman rumah.
Khun Thea tidak membalas. Memandang wajah
ibu tirinya itu pun dia malas. Apatah lagi menjawab. Kerana
kalau silap menjawab, masalah lain pula timbul. Kalau tidak
dipukul, telinga tetap disuap dengan leteran yang melelahkan
jiwa. Dalam keadaan tubuh badan yang penat begitu, dia
hanya inginkan sedikit ruang dan ketenangan.
“Merayaulah tu.” Anchali tarik muka bengis.
Mata Khun Thea terkebil-kebil. Mulut masih berat
mahu membalas kerana dia tidak mahu bergaduh. Akhirnya
dia angkat tangan kanannya yang memegang tiga bungkus
air kelapa yang dibawa pulang. Dia harap ibu tirinya mengerti
yang dia terlewat sedikit kerana singgah di gerai.
Anchali berdengus apabila tidak diendahkan Khun
Thea.
Khun Thea pula terus masuk ke dalam rumah dan
menuju ke bilik tidur ayahnya.
“Ayah...” Dia menegur dengan lembut seraya duduk
di birai katil. Lega hatinya apabila ayahnya kelihatan semakin
cergas petang ini. Sudah seminggu ayahnya demam.
“Baru balik?” tanya ayah Khun Thea, Leap.
Khun Thea angguk seraya tersenyum nipis.
“Thea beli air kelapa. Ayah nak?”
“Boleh juga.” Leap angguk. Sementara Khun Thea
menuang air ke dalam gelas yang ada di tepi katil, Leap
bertanya lagi. “Macam mana kerja hari ini?”
“Biasa saja.”
Khun Thea tidak memandang wajah ayahnya.
Bimbang sekiranya ayahnya terperasan apa-apa. Kalau hendak
diceritakan, ada seribu satu ragam pelanggannya setiap hari.
Yang ajak dia keluar pun ada. Yang tawarkan dia kerja di kelab
malam pun ada, tetapi semuanya dipendam dalam hati. Dia
tidak mahu ayahnya bimbang. Dia anggap semua itu asam
garam kehidupan yang perlu dilalui.
 “Jangan kerja kuat sangat. Thea kena jaga kesihatan
juga.”
“Kerja Thea tak susah, ayah.” Khun Thea
memaniskan wajah. Sungguhpun kalau susah, dia tidak akan
sesekali memberitahu sesiapa apatah lagi ayahnya. Biarlah
dia menanggung semua kepayahan itu sendiri. Selepas
abangnya meninggal, di bahunyalah terpikul tanggungjawab
untuk menjaga ayahnya. Ayahnya sudah tua. Selalu tidak
sihat selepas kemalangan beberapa tahun lalu.
“Jangan sampai jatuh sakit. Nanti susah. Kesihatan
itu harta.”
“Tak adalah, ayah. Kerja senang saja. Ayah yang
mesti cepat sembuh. Cepat-cepat kuat. Nanti tak lama lagi
ayah nak bermain dengan cucu pula.” Khun Thea tersenyum
nipis. Dia mengharapkan ayahnya lebih bersemangat untuk
sihat semula kerana tidak lama lagi ayahnya akan menimang
cucu yang pertama. Dia juga berharap dengan kelahiran itu,
keluarga mereka yang masih dibayangi kesedihan akan pulih
semula.
Leap tersenyum lebar. Dia memegang tangan Khun
Thea.
“Thea sudah patut kahwin. Nuoon sudah mahu
dapat anak.”
Usikan itu dijawab dengan ketawa kecil. Biarlah
Tuhan sahaja yang menjawabnya. Hatinya belum terbuka.
“Ayah minum dulu ya. Thea nak mandi.”
Khun Thea meninggalkan ayahnya. Dia mahu mandi
dan berehat seketika sebelum menyambung tugas lain pula.
Soal jodoh, dia tolak ke tepi. Siapalah lelaki yang mahukan
perempuan malang sepertinya? Dia pun tidak pernah
berharap akan jatuh cinta dan berkahwin seperti gadis lain.
Apa sahaja yang diberikan kehidupan, dia akan terima.

JAM DI dinding sudah hampir ke pukul 12 malam. Suasana
di rumah teres itu begitu hening namun panas berbahang
lantaran sudah lama tidak hujan. Kipas yang ligat berputar
pun tidak mampu menyejukkan keadaan. Malam itu,
panasnya luar biasa.
Khun Thea sudah mula rasa mengantuk. Kelopak
mata terasa perit dan berat. Pandangan mata pun adakalanya
kabur. Hanya kerana mengenangkan baju yang masih banyak
belum disiapkan, ditahankan juga.
Ayah dan adiknya, Mealea sudah lama tidur. Anchali
pula sudah berhenti menjahit dan berbaring di lantai sambil
menonton sebuah filem Khmer di kaca televisyen. Semuanya
membuatkan rasa mengantuknya bertambah.
Khun Thea memandang kain di atas mesin jahit. Ada
lebih kurang sekaki panjang yang perlu dijahit lagi. Cadangnya,
selepas itu dia mahu masuk tidur. Kalau diteruskan, bimbang
berlaku kesilapan. Mungkin sahaja bahagian tangan akan
terjahit dengan bahagian badan. Namun baru beberapa saat
jarum mesin jahitnya menujah kain, dia terdengar siren
ambulans yang sangat kuat di luar rumah.
Spontan, dia terbangun dari kerusi. Begitu juga
dengan Anchali. Mereka berdua bergegas ke halaman untuk
melihat apa yang berlaku.
Rupa-rupanya ambulans berhenti di luar rumah
sebelah. Dalam kekalutan itu, dia melihat isteri jirannya
dibawa masuk ke dalam ambulans untuk dikejarkan ke
hospital. Setelah ambulans beredar, mereka berdua masuk
semula ke dalam rumah walaupun masih tidak mengerti apa
yang telah menimpa jiran di sebelah.

No comments:

Post a Comment