Wednesday 11 April 2018

TAKRUT - BAB 6




1590, Nakhon Sawan...
DARI pelantar rumahnya, Ukrit melontar
pandang ke tengah sungai. Rumahnya yang menghadap titik
pertemuan antara Sungai Nan dan Sungai Ping bagaikan
saksi pada titik permulaan terbentuknya Sungai Chao Phraya
yang lebar dan keruh. Sungai yang menjadi paksi pada sebuah
negara yang kedaulatannya sedang dipertahankan daripada
pencerobohan dan penjajahan pihak luar. Namun, hari ini
hatinya diterpa tanda tanya. Wajah ayahnya lebih keruh
daripada keruh air di Sungai Chao Phraya.
“Tentu ayah akan bertolak esok.” Keyakinan itu
timbul memandangkan begitulah sikap ayahnya sebelum
ke medan perang. Ayahnya akan mengasingkan diri dan
berpuasa.
Sebagai anak sulung kepada seorang pahlawan
kepercayaan raja, dia juga harus bersedia sepanjang masa.
Harus berani menerima apa sahaja kemungkinan termasuklah
soal kematian. Cuma kali ini entah kenapa, apa yang terlakar
pada wajah ayahnya tampak kusut benar. Dia jadi bimbang.
Mendengarkan suara Ukrit di situ, Kean menoleh.
Redup pandangan matanya menyeluruhi wajah Ukrit. Terbuku
di jiwa segala apa yang dirasa. Menendang-menendang
dinding perasaan sehingga perit. Memaksa dia menanggung
sakit yang tidak boleh ditunjukkan.
“Rebah saja matahari petang ini, pasukan ayah akan
bergerak ke Bago.” Kean mengesahkan.
“Bukan ke Muang Hang?” Ukrit sedikit terkejut.
Kean tersenyum sinis. Strategi yang diatur tidak
diketahui semua.
“Peperangan kali ini amat sulit dan rumit. Angkatan
tentera dari Arakan dan Taungoo juga akan membantu. Ini
bukan peperangan biasa. Bukan satu lawan satu. Ini lawan
antara dua negara. Oleh itu tuanku mengarahkan angkatan
tentera kita ke Bago dulu baru ke Muang Hang.”
“Wajah ayah lebih keruh daripada air di kuala.” Ukrit
meluahkan kebimbangan dalam hati. Mungkin ada sesuatu
yang dia tidak tahu.
“Pernahkah peperangan menjanjikan kegembiraan?”
Ukrit menggeleng. Menang atau kalah pasti ada
darah yang tumpah ke bumi. Pasti ada kehidupan yang
berakhir di hujung pedang. Dia tahu.
“Kedua-dua pihak merasakan mereka di pihak
yang benar. Kedua-dua pihak berjuang bermati-matian
atas dasar perjuangan yang dipegang. Kedua-dua pihak
akan memberikan yang terbaik. Suka atau tidak, kekalahan
bukanlah pilihan andai taruhannya adalah nyawa.”
“Ayah bercakap seolah-olah peperangan kali ini amat
sengit.” Ukrit masih mahukan kepastian. Sebab sejak pulang
dari Chanthaburi, sikap ayahnya berbeza. Ayahnya kerap
termenung dan bermuram rupa.
“Tidak kira seberapa kuat pasukan, seorang pahlawan
akan tetap memandang tinggi keupayaan lawan. Kerana
sebesar-besar gajah masih boleh ditakutkan oleh seekor
tikus.”
“Oleh itu tak ada apa yang perlu dibimbangkan.”
Ukrit menjeling wajah ayahnya yang masih penuh tanda
tanya.
“Kebimbangan yang tidak pada tempatnya hanya
satu kerja yang sia-sia. Membuang tenaga,” balas Kean
dengan tenang.
Ukrit angguk setuju. Mungkin segalanya hanya
permainan hati. Bimbang tidak bertempat. Dia terlupa,
di hadapannya itu bukan sebarang pahlawan. Pahlawan
kepercayaan raja. Kebanggaan dirinya.
“Kita adalah apa yang kita fikirkan. Maka ayah
memilih untuk memikirkan kemenangan.” Dengan yakin,
Kean menolak kebimbangan Ukrit. Dengan segala persiapan
yang telah dilakukan, dia yakin angkatan perang mereka akan
pulang dengan kejayaan yang besar. Tambahan pula Takrut
Agung sudah berada di tangan Raja Nara. Malah menurut
sami diraja, takrut itu sudah siap dipuja dan digunakan. Dia
percaya tiada angkatan perang yang mampu menewaskan
mereka.
“Tetapi wajah ayah seolah-olah menceritakan yang
lain.” Entah kenapa Ukrit masih berdegil. Wajah ayahnya
tidak setenang selalu.
“Kerana yang membataskan kejayaan bukanlah
sempadan. Fikiran kita sendiri yang selalu mematikan
angan-angan.” Kean membalas. Dia masih memikirkan
sesuatu. Sesuatu yang sentiasa menghantui fikirannya setelah
pulang dari Nong Buai. Malah kadang-kadang dia bagaikan
terdengar-dengar bisikan suara yang memanggilnya. Semakin
hari dia semakin diselubungi rasa kesal.
Dia tidak sepatutnya teragak-agak membuat
keputusan. Malah sepatutnya Takrut Agung itu dibawa lari
sewaktu masih berada di tangannya. Kini kerana kebodohan
itu, dia terpaksa menempuh jalan yang lebih rumit.
“Maksud ayah?”
“Tunggu ayah pulang. Kita akan bercerita panjang.”
Kean menjawab sebelum melangkah pergi. Dia belum
bersedia untuk menelanjangkan kebodohan diri sendiri.
Permintaan itu membuatkan tanda tanya Ukrit
semakin membesar. Bagaimanapun, dia tetap mengharapkan
ayahnya akan pulang dengan selamat. Dia akan menunggu.

SEMINGGU SELEPAS itu pasukan yang diketuai oleh Kean
tiba di sempadan Bago. Belum sempat melepaskan lelah,
pasukan mereka diserang pasukan lawan. Pertempuran terus
tercetus tanpa lama bertangguh.
Kean dan pasukannya terpaksa bertahan. Setelah
berjalan jauh dan melepasi beberapa kubu pertahanan lawan,
tenaga yang tersisa semakin berkurang. Sedangkan pada
waktu itu pasukan lawan antara barisan yang terhandal.
“Orang kita sudah keletihan. Peperangan ini berat
sebelah,” kata Pranon, salah seorang pembantu Kean.
“Letih bukan pilihan. Andai nyawa kehabisan, kita
kalah bersama maruah di tangan. Kita lawan.”
Kean tetap nekad. Namun semangat sahaja tidak
cukup untuk mengatasi kelebihan pihak lawan. Sehingga satu
detik ahli pasukan hanya tinggal hampir separuh bilangan.
Dalam keadaan letih dan lesu, pihak lawan menambah
kekuatan. Mereka terkepung dari segenap penjuru hutan.
Dalam kekalutan itu, tiba-tiba langit berubah gelap-gelita
seolah-olah waktu bertukar siang ke malam dalam sekelip
mata.
Masing-masing lantas mendongak.
Hujan tiba-tiba turun dengan lebatnya di segenap
inci medan perang. Disulami tujahan petir yang menyambar
setiap batang tubuh tentera pihak lawan. Satu demi satu
tumbang dalam sekelip mata. Tubuh mereka berasap dan
rentung serta-merta.
Kean bersama pasukannya pula terkaku dalam
kebasahan dan menggigil ketakutan. Mata hampir buta dan
telinga jadi tuli. Hanya setelah hujan reda, mereka dapat
menggerakkan tubuh badan.
Lantas dalam kebingungan yang belum reda, mereka
berjalan-jalan tanpa arah. Sesekali terjatuh apabila terlanggar
mayat-mayat yang bergelimpangan di tanah.
“Sungguh dahsyat.” Pranon bersuara. Dia tidak
meninggalkan Kean walau seinci jauhnya.
Ketika itu Kean masih kelu. Akalnya masih buntu
untuk memahamkan perkara. Ada terselit rasa seperti baru
sahaja terlepas daripada maut yang bermaharajalela.
“Tuan!” tegur seorang ahli pasukan Kean yang
berlari semula ke arah Kean.
Kean dan Pranon sama-sama mengangkat muka
ke hadapan. Dari tempat mereka berdiri, mereka terdengar
bunyi dengung yang kuat meluru ke arah mereka.
“Apa tu, tuan?’ Pranon memegang pedangnya
sekuat hati. Begitu juga yang lain, namun Kean tetap tenang
menghadapinya. Bunyi itu pernah didengar sebelum ini.
Tidak lama kemudian, kedengaran derap tapak kuda
dan jeritan gajah. Muncullah angkatan perang dari pasukan
yang diketuai sendiri oleh Raja Nara di situ. Melihatkan
wajah Raja Nara yang begitu tenang, maka tahulah Kean;
bahawa bantuan tadi datangnya daripada Takrut Agung yang
diperintahkan oleh Raja Nara untuk membantu mereka.
Pada saat itu bertambah sedarlah dia akan kehebatan
takrut itu tetapi sayangnya semasa di Muang Hang, Kean
tidak bernasib baik.

DUA BULAN selepas itu, angkatan tentera Raja Nara kembali
ke Ayutthaya dengan kemenangan yang besar. Kepulangan
mereka disambut rakyat jelata dengan sukacita. Malangnya,
Kean antara puluhan tentera yang cedera parah. Dia dibawa
pulang ke Nakhon Sawan untuk dirawat di sisi keluarga.
Namun keadaannya semakin uzur hari demi hari. Akibat
kesan luka dan ilmu hitam yang digunakan pihak lawan.
“Ukrit,” panggil Kean pada suatu hari. Banyak
perkara bersarang dalam fikirannya saat itu.
Ukrit yang baru tiba dari istana langsung mendekat.
Pilu hatinya apabila melihat keadaan ayahnya bertambah
teruk hari demi hari. Luka di perut ayahnya bukan bertambah
elok, tetapi bertambah lebar hingga menampakkan isi.
Baunya pula seperti pekung. Sudah dipanggil semua perawat
yang handal tetapi ilmu hitam pihak lawan juga bukan
calang-calang bisanya.
Melihatkan Ukrit datang, Kean mengambil segulung
kain dari bawah bantal, lalu diserahkan ke tangan Ukrit.
Ukrit menerimanya dengan rasa bingung. Gulungan
kain itu dipegang sahaja tanpa membukanya.
“Pergi ke Nong Buai.”
Arahan ayahnya membuatkan dahi Ukrit berkerut.
Tidak berkelip matanya merenung wajah ayahnya yang
semakin pucat.
“Nong Buai? Apa yang ada di sana selain
gunung-ganang?” Dia belum pernah ke situ tetapi daripada
apa yang pernah didengar, itu kawasan yang dianggap tempat
pertapaan. Letaknya juga jauh dari Nakhon Sawan.
“Ayah perlukan sesuatu.”
“Apa?” Ukrit berkerut dahi tanda tidak faham.
“Ikhtiar terakhir.” Kean merenung wajah Ukrit
dengan sayu.
Hati Ukrit tersentuh. Melihat keadaan ayahnya yang
selalu gagah dan bertenaga terlantar sebegitu, sememangnya
membuatkan hatinya remuk.
“Dengan apa cara sekalipun, dapatkan benda itu.
Hanya kamu harapan ayah sekarang.”
“Tapi apa yang saya harus cari?” Ukrit masih tidak
nampak apa yang dibincangkan.
“Takrut Agung.” Bibir Kean bergetar. Akhirnya
terbuka juga rahsia yang telah dipendam sekian lama.
Seperti dipanah halilintar, Ukrit terduduk diam.
Lama matanya tidak berkelip. Permintaan ayahnya
benar-benar membuatkannya kelu. Semangatnya tiba-tiba
melayang. Dadanya bergetar.
“Wujudkah Takrut Agung?” Lalu dia bertanya
lambat-lambat. Pipi terasa dingin. Mustahil!
Lantas Kean membuka rahsia. Lalu diceritakan apa
yang ada di Nong Buai dan kisah Takrut Agung kepada Ukrit.
Dia yakin takrut itu sudah dipulangkan ke Nong Buai seperti
yang dipersetujui dengan sami tua. Dia pasti takrut itu sudah
berada di sana pada waktu ini.
 “Tapi itu milik raja...” Ukrit diterpa rasa bersalah.
Derhaka kepada raja amat berat hukumannya. Tidak usahkan
manusia, haiwan dan segala isi bumi juga tahu hakikat itu.
Kean tidak menjawab. Dia tidak peduli takrut itu
milik siapa. Dia mahukannya. Dia tidak akan mengulangi
kesilapan yang sama. Dia tidak akan jadi pengecut sampai
bila-bila.
“Potongan kain itu mengandungi peta ke Nong Buai.
Dan sehelai lagi, mempunyai wafaq dan mantera yang sempat
ayah salin daripada kain yang asal. Semua itu cukup untuk
kamu mendapatkan apa yang ayah minta. Selebihnya kamu
boleh fikir sendiri.”
Ukrit semakin serba salah.
“Sanggupkah kamu melihat ayah menderita sampai
mati begini? Ilmu hitam mereka terlalu ampuh. Tak ada ubat
yang dapat mematahkannya selain kesaktian Takrut Agung.
Hanya takrut itu yang boleh menolong ayah. Hanya takrut
itu yang mampu mematahkan bisa ilmu hitam yang sedang
memakan tubuh ayah hidup-hidup.” Darah Kean mendidih
kerana Ukrit masih teragak-agak.
Ukrit termenung jauh. Otaknya ligat berperang
antara kasih kepada seorang ayah atau ketaatan yang tersemai
dalam diri sejak kecil. Setiap titis darahnya menjunjung setia.
Setiap hela nafasnya menjunjung kasih.
“Kalau kamu enggan, kamu tinggalkan tempat
ini dan jangan kembali lagi. Kamu bukan keturunan Kean.
Kamu amat mengecewakan!”
Kean memejamkan mata. Dia berharap benar Ukrit
tidak menolak permintaannya. Itulah satu-satunya harapan
yang tinggal.
Mata Ukrit membesar. Dia tidak sangka ayahnya
akan terasa hati. Akhirnya dia angguk dan bersetuju. Demi
ayahnya, dia akan pergi.

SEMINGGU SELEPAS itu, Ukrit sudah berada di Nong Buai.
Dengan bantuan 3 orang tentera yang diupah dengan bayaran
yang tinggi, mereka berempat menyerang hendap tempat itu
dan membunuh semua yang ada di situ kecuali sami tua.
Dia diperintahkan untuk menghidupkan Takrut Agung yang
sudah dikunci semula dengan mantera.
“Kamu bukan datang dengan perintah baginda.”
Sami tua enggan. Dia rela mati daripada melanggar
amanat yang dipikul.
“Sama ada tok sami mahu ataupun tidak, takrut itu
tetap akan saya ambil,” balas Ukrit tanpa rasa takut.
“Takrut yang dihidupkan berulang kali akan menjadi
semakin jahat. Ia akan sukar dikawal. Tak mahu mengikut
kata.” Sami tua cuba menolak dengan hujah. “Dia akan
memberontak. Dia akan menuntut lebih banyak nyawa dan
darah.”
“Aku tak peduli!” Ukrit menengking. Entah kenapa,
setelah melihat takrut itu dengan mata sendiri, dia rasa
jiwanya amat terikat. Dia seolah-olah tidak dapat mengawal
fikirannya dan hanya mahukan takrut itu menjadi miliknya
seorang. Dia dikuasai rasa tamak yang sukar ditolak. Rasa
takutnya kepada raja terus hilang, kini dia rasa dialah yang
paling berkuasa.
“Sewaktu ayah kamu tiba di sini, aku sudah melihat
satu takdir panjang yang dibasahi darah. Tapi belum terlewat
untuk kamu mengubah arah. Jalan masih terbuka, anak
muda.”
Sami tua menekur lantai gua. Dia teringat akan
kedatangan Kean ke situ beberapa bulan yang lalu. Kini
dia semakin jelas. Takrut itu mampu mempengaruhi nafsu
manusia yang lemah. Bukan semua orang mampu memiliki
takrut itu. Dunia boleh hancur. Bukti sudah ada di hadapan
mata.
Ukrit menggeleng keras. Tidak ada satu apa pun yang
mampu memujuknya saat ini. Apa yang dia mahu, takrut itu
menjadi miliknya yang sah.
Melihatkan kedegilan Ukrit, sami tua tahu yang
dia tidak ada pilihan lain. Lalu, selama 3 hari 3 malam dia
melakukan ritual dan menyeru mantera untuk menghidupkan
semula semangat takrut itu. Genap 3 hari, gua itu bermandi
darah.
Semua yang ada menggelepur. Darah menyembur
dari mulut dan setiap liang rongga. Lantai dan dinding gua
bertukar warna merah. Takrut itu benar-benar kelaparan.
Nyawa dan darah menjadi habuannya. Hanya Ukrit seorang
yang terselamat.
Namun sebaik sahaja dia tiba di Nakhon Sawan, dia
menerima berita yang ayahnya Kean semakin tenat.

No comments:

Post a Comment