Wednesday, 11 April 2018

TAKRUT - BAB 7








SETIBANYA di rumah, Ukrit terus menerpa naik
ke kamar ayahnya. Semua yang ada di situ diusir keluar.
Ayahnya memang benar-benar sudah nazak tetapi dia masih
belum mahu berputus asa. Takrut Agung sudah berada di
tangannya.
“Ayah, saya sudah bawa balik Takrut Agung! Ayah
akan sembuh.” Dikeluarkan Takrut Agung lalu diletakkan ke
telapak tangan Kean.
Kean menyambut kepulangan Ukrit dengan senyum
pahit. Takrut itu direnung dengan rasa bahagia. Dia puas.
“Ayah tahu kamu boleh melakukannya. Kamu berani
dan cekal.”
“Sekarang ayah akan sembuh semula.” Ukrit
tersenyum nipis. Sejujurnya dia terkejut apabila melihat
keadaan ayahnya yang sudah jauh berubah sejak ditinggalkan
beberapa hari yang lalu. Kini wajah ayahnya sudah pucat
kehijauan. Tubuh ayahnya juga mengecut bagai disedut dari
dalam. Darah luka ayahnya berubah hitam pekat.
Tetapi Kean sekadar melihat takrut yang diserahkan
Ukrit. Takrut itu kemudiannya ditolak ke arah Ukrit pula.
“Sebenarnya takrut ini takkan dapat menyembuhkan
ayah.” Suaranya mengendur. “Kesembuhan bukan terletak
padanya, tapi pada kuasa yang lebih besar. Ia tak boleh
memperbaiki kerosakan yang telah berlaku. Ia juga tak akan
boleh menghidupkan apa yang telah mati.”
Ukrit mengangkat muka. Kata-kata ayahnya
benar-benar menyentap harapan yang ada tadi.
“Kalau begitu, kenapa ayah suruh saya mencarinya?”
“Satu kebodohan melepaskan peluang yang begitu
besar. Kuasanya akan menjadikan kamu pemerintah yang
tiada tandingan zaman-berzaman.”
“Tapi...”
“Kamu harus tahu, kuasanya tiada tandingan. Kuasa
mutlak di tangan kamu seperti bulan di kiri dan matahari
di kanan. Kuasanya sepantas engkau menarik anak panah.
Apakah yang lebih hebat daripada hidup berkuasa dan
berdarjat? Bukankah semua lelaki mahukan wanita, takhta
dan harta?”
Ukrit mengeluh halus. Fikirannya buntu. Meskipun
bulan di tangan kiri dan matahari di tangan kanan; tanpa
ayahnya pastilah tidak bermakna.
“Ukrit... sebenarnya semua ini bukan untuk ayah.
Semua untuk kamu dan keturunan kita. Jadilah manusia
yang memerintah dan bukan yang diperintah. Jalan sudah
ada. Jangan jadi pengecut seperti ayah. Kamu takkan
mencapai apa-apa dalam hidup.” Kean terus menggesa. “Tapi
ada syaratnya.”
Mata Ukrit berkerdip lembut. Ayun nafas diasuh
perlahan; terbit bimbang kalau terlepas perkara yang sangat
penting.
“Jangan sesekali kamu leka. Dia perlu dihormati dan
diletakkan di tempat terhormat. Jangan sesekali kamu hina
dia. Kalau tidak, dia akan mendatangkan bala dalam keluarga
kita.”
“Ayah...” panggil Ukrit apabila ayahnya mula sesak
nafas dan akhirnya tidak sedarkan diri.
Dikeluarkan Takrut Agung itu lalu diletakkan di
atas dada ayahnya. Dia meminta. Dia bermohon. Tetapi
sayang, ayahnya tetap menghembuskan nafas terakhir di
pangkuannya.
“Ayah...” Ukrit menangis.

PEMAKAMAN KEAN sudah 2 purnama berlalu, namun
kesedihan Ukrit masih belum kunjung padam. Dia
amat terkesan dengan pemergian itu. Lantas dia mula
mengurungkan diri. Dia asyik memikirkan segala harapan
dan impian ayahnya yang belum terlaksana.
Kini dia sedar, apa yang dilakukan ayahnya itu
sebenarnya untuknya dan keturunan mereka. Lalu dia
bertekad untuk menjadikan impian ayahnya satu kenyataan,
tapi sebelum dia sempat berbuat apa-apa, dia sudah didatangi
satu berita.
Kejadian di Nong Buai sudah sampai ke pengetahuan
pihak istana. Mereka sedang mencari dalangnya. Dan dia
yakin pihak istana sebenarnya sedang mencari Takrut Agung.
Dia tidak boleh menunggu lagi. Takrut Agung itu mesti
digunakan. Lantas dia bergegas pergi ke sebuah wat terpencil
di tepi Sungai Chao Phraya.
“Takrut ini sudah dikunci,” kata sami tua di situ
apabila dia datang untuk meminta takrut itu dipuja. Sami tua
itu selalu menjadi tempat rujukan Ukrit selama ini. Dan dia
mahukan pertolongan seseorang yang lebih mahir tidak kira
berapa ganjarannya. Sayangnya, itu pula yang didengar.
“Dikunci?” Ukrit rasa terpukul. Tidak diceritakan
dari mana dan bagaimana takrut itu diperoleh.
Sami tua itu angguk.
“Bagaikan sudah terantai dengan kuat, takrut ini
sudah dikunci kemampuannya. Kuasa besarnya terkurung
tak mampu dibebaskan.” Sami tua itu menambah.
Ukrit terduduk lesu. Benarkah?
“Adakah ia sudah tak berguna lagi?” Ukrit bingung.
“Takrut ini luar biasa buatannya. Ia masih punya
kuasa persis takrut-takrut yang biasa. Tapi kalau kuasanya
dapat dibebaskan, semua takrut di atas muka bumi ini akan
lumpuh begitu sahaja.”
Ukrit menelan air liur.
“Bolehkah ia dibuka kuasanya?”
“Kuasa yang besar tidak akan mampu dikunci oleh
kemampuan yang kecil. Kuasanya dikunci oleh seseorang
yang bukan calang-calang kehebatannya. Hanya kuasa yang
lebih hebat dapat memecahkan kunci ini. Sementara itu, dia
akan terus terkunci selagi belum bertemu kuncinya.”
“Siapakah yang boleh membukanya?”
“Orang yang telah menguncinya.”
“Orang lain?”
“Setiap mantera itu seperti sebatang anak kunci.
Setiap patah perkataan yang disuai cantum punya semangat
tersendiri. Hanya yang mengunci takrut ini tahu apa mantera
yang telah dibaca. Carilah dia semula.”
Keterujaan Ukrit terus terpuruk. Semangatnya
terbang melayang. Dia teringat akan sami tua di Nong Buai
yang sudah pun mati di dalam gua. Tidak mungkin sami tua
itu akan hidup semula. Tidak juga diduga akan kelicikan
sami tua itu untuk menghalang niatnya. Dia percaya semua
itu sudah diatur. Sekarang Takrut Agung itu sudah tidak
berguna. Tidak seperti yang diimpikan.
“Takkan tak ada satu pun cara lain?” Dia memikirkan
seribu satu kemungkinan. Dia sudah sampai ke tahap itu dan
akan berdepan dengan tindakan pada bila-bila masa. Pasti ada
jalan keluar.
Sami tua itu menggeleng.
“Carilah seseorang yang mampu membukanya.”
Ukrit benar-benar kecewa kerana rancangannya
gagal. Namun sebelum pulang, dia dikejutkan dengan satu
berita lagi.
“Takrut itu sangat hebat kuasanya. Namun hebat
juga kemahuannya.”
“Maksud tok sami?”
“Bersedialah untuk menghadapi sebarang
kemungkinan buruk.”
Ukrit bertambah risau.

UNTUK MENGURANGKAN kesedihan itu, Ukrit melarikan
diri ke rumah kekasihnya, Neung di Daerah Kao Liao.
Ketibaannya disambut Neung dengan wajah yang berseri-seri.
Ukrit memerhati dengan rasa aneh. Senyuman
Neung bercahaya seperti bulan purnama. Sewaktu duduk
berehat-rehat di anjung, Ukrit segera melontarkan curiga.
 “Aku lihat wajahmu berseri-seri. Bagaikan ada
sesuatu yang tersembunyi dalam hati.”
Senyuman Neung berkembang mekar bagai dihias
kembang pagi. Seraya membelai tubuh Ukrit yang kekar, dia
menjawab dengan lembut.
“Sekiranya kukhabarkan berita ini, adakah engkau
akan gembira?” Neung meletakkan tapak tangan Ukrit ke
perutnya seraya merenung ke dalam mata Ukrit. Dilihatnya
air muka Ukrit berubah riak.
Mata Ukrit tidak berkelip. Dia kehilangan kata-kata
buat beberapa saat. Dalam masa yang sama, keterujaannya
memuncak.
Neung sekadar ketawa kecil sehingga menampakkan
gigi-giginya yang tersusun cantik. Daripada air muka Ukrit,
dia tahu Ukrit gembira.
“Apakah benar?” Jantung Ukrit masih berdetak
laju. Direnung wajah Neung tidak lepas. Tidak sangka akan
dikhabarkan berita gembira itu.
“Aku tak akan berbohong untuk hal seperti ini,”
balas Neung.
Sekali lagi Ukrit menjadi kelu. Ternyata kesedihan
akhirnya berpenghujung. Muncul cahaya dan harapan di
sebalik kehampaan dan kesedihan yang berterusan.
“Tentulah aku akan gembira.” Dipeluknya tubuh
Neung dengan rasa bahagia.
Dalam dakapan Ukrit, air mata Neung menitik.
“Mulai saat ini, jagalah dirimu dan anak kita baik-baik.
Ini warisan Kean.” Ukrit meletakkan tapak tangannya di atas
perut Neung sekali lagi. Betapa dia mengharapkan ayahnya
sempat melihat detik-detik bahagia ini.
“Dia akan menjadi seorang pemerintah agung di
muka bumi ini.” Besar sekali angan-angan Ukrit. Apa pun
halangannya, dia akan berusaha. Dia tidak akan berputus
asa untuk menghidupkan semula Takrut Agung. Demi masa
hadapan yang gilang-gemilang buat dirinya, Neung dan anak
mereka. Namun pada malam itu juga, segalanya berubah
menjadi mimpi ngeri.



No comments:

Post a Comment