Wednesday 11 April 2018

TAKRUT - BAB 9





“TUAN Wafiq sakit ya?” Hana, pembantu rumah
dari tanah seberang bertanya sebaik sahaja Zuwaidah muncul
semula di dapur. Sejak tadi dia dan Lucy tertanya-tanya
apabila melihat keributan yang berlaku di situ.
Manakala Lucy di sebelah Hana diam menunggu
jawapan. Mereka berdua hanya serkap jarang apabila
ternampak Doktor Bashir di rumah itu tadi.
“Tuan tak sihat. Hari ini kita masak untuk Tuan
Haidar saja. Untuk Tuan Wafiq, kita masakkan bubur ikan
tenggiri kesukaan tuan.”
Zuwaidah tahu hal seperti itu tidak dapat dielakkan
lagi. Setiap apa yang berlaku di dalam rumah ini pasti
memberikan kesan kepada ahli-ahli yang lain juga. Seumpama
sarang labah-labah; goncang di sini, bergoyang di sana.
“Tuan Wafiq sakit apa?” Hana masih tidak puas hati.
Lucy juga menunjukkan riak wajah yang sama.
“Dia sakit apa, bukan soal kita.” Zuwaidah mula
panas hati. Dia tahu Hana dan Lucy suka bergosip.
“Sebab suara itu ke? Malam tadi pun kami ada
dengar, tapi tak lama.” Hana tidak mengalah. Hal itu sudah
menimbulkan ketakutan buatnya dan Lucy. Malah mereka
bercadang untuk berhenti kerja sahaja sekiranya hal itu
berterusan. Biarlah mereka bekerja di tempat lain kerana
rumah ini terasa menyeramkan selepas Tuan Badruz
meninggal.
“Soal itu jangan diungkit lagi. Pergi sana buat kerja.
Nanti Tuan Hamid balik, dia marah.”
Zuwaidah terpaksa menghentikan perbualan itu.
Meskipun dia juga syak semua ini ada kena-mengena. Dalam
keadaan seperti ini, dia benar-benar mengharapkan Hamid
cepat pulang sebelum keadaan Wafiq menjadi lebih teruk.
Dia juga bimbang kalau keadaan di sini tidak
terkawal dan entah apa lagi yang bakal terjadi. Akhirnya dia
meninggalkan dapur lalu keluar ke ruang tamu. Di situ, dia
menelefon Hamid.
“Tuan.”
“Kenapa, Zuwaidah?” Suara Hamid kedengaran
cemas.
“Tuan Wafiq demam panas.”
“Awak panggil Doktor Bashir.”
“Sudah, tuan. Doktor Bashir baru balik.”
“Saya akan telefon Doktor Bashir sekejap lagi.”
“Tuan balik cepat ya?” Zuwaidah terus membuat
permintaan. Tidak senang hatinya selagi Hamid tidak pulang
ke rumah ini.
“Ada apa-apa yang saya perlu tahu, Zuwaidah?”
“Tuan balik dulu ke sini.” Zuwaidah putuskan
panggilan. Dia harap Hamid cepat pulang.

SEJAM SELEPAS itu, bubur nasi ikan tenggiri yang dimasak
siap untuk dihidangkan. Zuwaidah meletakkan semangkuk
bubur di dalam dulang bersama sambal kicap dan telur
masin seperti yang disukai Wafiq. Dia harap Wafiq akan
menjamahnya sedikit.
“Tolong hantarkan bubur ini ke bilik tuan,” Zuwaidah
hulurkan dulang ke tangan Hana.
“Kenapa bukan puan yang hantar?” Mata Hana
terkebil-kebil. Dulang itu disambut dengan rasa berat hati.
Selalunya hal-hal sebegitu Zuwaidah tidak akan lepaskan ke
tangan orang lain.
“Saya nak ke rumah Pak Arip sekejap. Dengarnya
orang tua itu pun tidak sihat. Saya nak tengok dia sakit apa.”
“Patutlah tak nampak Pak Arip pagi ni.”
“Kamu hantar cepat ya. Mungkin tuan dah bangun.”
“Suruh Lucylah, puan.”
Langkah kaki Zuwaidah yang baru melaju terus
terhenti. Dia berpatah balik ke belakang.
“Kamu ni dah kenapa? Suruh hantar makanan
kepada tuan pun tak boleh?”
Hana terkulat-kulat.
“Jangan banyak dalih. Adalah sebab saya suruh
kamu, dan bukannya Lucy,” bidas Zuwaidah bersalut kesal.
Hana terangguk-angguk. Oleh itu dia tidak dapat
mengelakkan diri lagi. Setelah Zuwaidah meninggalkan
dapur, Hana dengan rasa cuak memijak tangga ke tingkat
dua.

 “BETUL, KAK. Bukan saya saja yang nampak. Budak-budak
lain pun nampak.”
Belum panas punggung duduk di dalam kereta,
telinga Zuwaidah sudah disuap oleh cerita-cerita yang
mengejutkan. Dia mati akal hendak membalas. Dia bukan
seorang yang suka membawa mulut. Baginya, rahsia rumah
itu rahsia dirinya juga. Kalau dibincangkan pun hanya dengan
Hamid.
“Kakak tak rasa apa-apa ke sejak Tuan Badruz tak
ada?”
“Tak ada pula,” balas Zuwaidah perlahan.
“Sejak malam pertama lagi kami dengar
macam-macam bunyi,” sambung Razi, pemandu kedua Tuan
Badruz yang tinggal di rumah pekerja yang dibina di belakang
rumah utama. Selain Razi, ada 2 orang lagi pengawal peribadi
Tuan Badruz yang masih bujang.
“Bunyi apa?” Zuwaidah pura-pura fokus memandang
jalan raya walhal dalam hati teruja ingin tahu.
“Bunyi budak ketawa. Tapi kadang-kadang bunyi
bayi menangis.” Cepat sahaja Razi membalas. Seolah-olah hal
itu meronta-ronta dalam dada ingin diceritakan.
Zuwaidah cuma bergumam. Semua itu persis apa
yang didengar di dalam rumah tetapi tidak diluahkan.
“Tapi senja semalam yang paling teruk. Ramai yang
nampak Tuan Badruz,” tambah Razi.
Kali ini Zuwaidah menoleh ke arah Razi. Terasa
wajahnya panas.
“Dekat mana nampak?”
 “Dekat taman belakang tu. Dekat-dekat pokok bunga
kuning,” jawab Razi.
Zuwaidah termenung lama. Dia tahu pokok mana
yang dimaksudkan Razi. Bahkan ketika ini, dia pantas
teringatkan Wafiq. Di situlah juga Wafiq ternampak sesuatu
yang menakutkan sebelum ini. Entah kenapa, makhluk itu
suka benar berada di situ. Setahunya, pokok itu pokok yang
dibawa dari Thailand. Pokok kegemaran Tuan Badruz.
“Merepek sajalah. Orang mati mana boleh balik
semula ke dunia? Yang kamu nampak tu mesti syaitan,”
katanya dengan tegas. Dia bimbang hal itu akan tersebar luas.
Kemudian ditambah dengan pelbagai cerita yang tidak betul.
“Memanglah. Tapi kalau macam ni selalu, tak tahan
juga, kak,” balas Razi sambil memutar stereng menghala ke
rumah Pak Arip.
Zuwaidah terdiam seketika. Dia faham perasaan
Razi. Dia sendiri kadang-kadang cuak juga apabila rasa seram
muncul tiba-tiba semasa berseorangan.
“Sabar sajalah. Lama-lama nanti kalau kita tak layan,
dia hilanglah.” Itu sahaja penyelesaian yang mampu diberi
saat ini.
“Orang kaya memang macam ni, kak. Selalunya ada
benda yang mereka amalkan.”
“Tak semua macam tu. Jangan tuduh-tuduh. Tak
baik.”
“Tuan selalu berulang-alik ke Thailand. Tuan cari
ilmu Siam ke?” Pertanyaan Razi membuatkan hati Zuwaidah
panas. Dia terus turun dari kereta. Ketika itu, isteri Pak Arip
sudah keluar di muka pintu.

 “SEJAK BILA demamnya ni, Pak Arip? Semalam elok saja.”
Zuwaidah menegur. Pak Arip nampak pucat dan lemah. Selain
Pak Arip dan isterinya; ada dua orang cucu sedang bermain di
hadapan televisyen.
“Balik dari sana semalam terus demam.” Isteri Pak
Arip menyampuk. Pak Arip diam sahaja.
“Panas sangat cuaca semalam agaknya,” balas
Zuwaidah.
Isteri Pak Arip menoleh ke arah suaminya. Halkum
Pak Arip turun naik. Wajahnya keruh bagai sarat dengan
masalah.
Zuwaidah mula cuak. Mula terfikirkan yang
bukan-bukan.
“Semalam Pak Arip cantas pokok-pokok tepi pagar
belakang rumah pekerja.” Tiba-tiba Pak Arip bersuara.
Anak mata Zuwaidah dengan spontan membesar. Dia
yakin mesti sesuatu sudah terjadi tetapi dia tidak bertanya.
“Mula-mula tu tak ada apa-apa.” Pak Arip menambah.
“Tapi sedang elok Pak Arip kumpulkan daun-daun tu, Pak
Arip dengar bunyi benda berdengung.”
“Ada lebah buat sarang ke?”
Mata Pak Arip terkebil-kebil.
“Pak Arip pun fikir begitu juga. Pak Arip cari dari
mana bunyi tu datang.”
“Dari mana?” Kali ini Zuwaidah sudah hilang sabar.
“Dari taman belakang rumah besar.”
“Ada sarang lebah ke kat situ?”
“Bukan lebah,” balas pak Arip.
“Habis tu apa?”
Pak Arip tarik nafas sedalam-dalamnya.
Lambat-lambat dia menjawab.
“Ada benda hitam setinggi pokok kuning tu. Benda
tu yang berdengung.”
Mulut Zuwaidah terlopong.
“Dah berbelas tahun Pak Arip kerja di rumah Tuan
Badruz. Inilah kali pertama Pak Arip tengok benda macam
tu.”
Tubuh Zuwaidah merinding tiba-tiba.
“Pak Arip pun terjerit; Allah! Benda tu terus terbang
menembusi dinding rumah besar. Tak tahu ke mana.”
Zuwaidah tertunduk lalu diam.
“Ada benda yang tak kena ni, Zuwaidah. Kamu kena
tengok-tengok sikit rumah tu,” tambah Pak Arip.
“Apa yang Pak Arip fikirkan?” Zuwaidah sekadar
memancing pendapat Pak Arip. Mungkin Pak Arip tahu
sesuatu. Sayangnya, Pak Arip cuma menggeleng.
Zuwaidah buntu.



No comments:

Post a Comment