Wednesday 11 April 2018

TAKRUT - PROLOG


Melaka...
“AKU dah sampai.” Suchart memaklumkan
kehadirannya melalui telefon. Sesungguhnya dia musykil
kerana sepatutnya orang yang memanggilnya ke situ sudah
tiba terlebih dahulu. Sayangnya, bayang pun tidak ada.
“Okey. Sekejap lagi kami sampai.”
Jawapan itu melegakan sedikit perasaan. Suchart
matikan telefon. Dia turun dari motosikal dan bergerak ke
arah batu-batuan di pinggir laut. Dia angkat muka ke hadapan,
merenung malam yang semakin tua. Mata terus tertancap
pada kerlipan lampu-lampu kapal yang sedang berlayar di
tengah Selat Melaka. Tiupan angin sesekali menggigit kulit
dan menolak rambut panjangnya ke belakang.
Terdetik juga rasa hairan dalam hati apabila malam
itu keadaan di situ terlalu sunyi kerana kebiasaannya ada ramai
pemancing di situ. Namun rasa hairan itu cepat dipangkas

dengan rasa gembira. Dia tersenyum memikirkan bayaran
yang akan diterima sebentar lagi. Tidak lama kemudian, dia
terlihat cahaya daripada lampu kereta menerjah jalan ke situ.
Dia yakin orang yang ditunggu sudah tiba.
Apabila kereta berhenti kira-kira 2 meter dari
motosikalnya, turun 2 orang lelaki yang dikenali.
“Mana barangnya?” Tanpa berbasa-basi, salah seorang
daripada lelaki itu terus bertanya apabila tiba berhampiran
Suchart.
Suchart menyeluk bungkusan yang disimpan di
dalam jaket yang dipakainya. Sebuah bungkusan berbentuk
empat segi dan berbalut plastik lut sinar yang tebal.
Bungkusan itu dipegang sekejap sebelum diserahkan.
Lelaki itu menerimanya lalu membelek beberapa
kali. Tanpa sepatah kata, dia menyeluk poket seluar lalu
menyerahkan kepada Suchart segulung wang kertas yang
tebal.
Suchart tersengih menerima bayaran tersebut.
“Pergi,” kata lelaki itu lagi.
Tanpa berlengah, arahan itu dipatuhi. Suchart terus
menghidupkan motosikal sementara dua orang lelaki tadi
balik ke kereta semula. Apabila motosikal Suchart bergerak
meninggalkan tempat itu, mereka berdua mengikut dari
belakang.
Sampai di satu tempat yang gelap, kereta yang
dipandu 2 orang lelaki tadi terus menghentam motosikal
Suchart dari belakang. Motosikal Suchart terjatuh. Suchart
tertiarap di tengah jalan.
Kereta diundur sedikit sebelum membelok ke
tengah. Kereta melaju meninggalkan tempat itu setelah
menggilis tubuh Suchart sekali lalu.
Suchart menggelupur seketika sebelum tidak

bernafas lagi.
Sampai sahaja di hadapan sebuah hotel di Bandar
Hilir, kereta itu berhenti. Mereka membuka bungkusan yang
diberi Suchart. Apabila dibuka, isinya sebuah buku lama yang
mengandungi gambar rajah dan tulisan-tulisan yang tidak
difahami.
“Cis! Dia tipu kita!” tempik lelaki tadi. Maki
hamunnya berjela-jela. Buku yang dipegang dibaling ke
dalam tong sampah. Mereka beredar dari situ.
Shah Alam, Selangor...

“ADA PANGGILAN dari Bangkok untuk tuan.” Hamid
menyerahkan telefon ke tangan Tuan Badruz.
Tuan Badruz menyambutnya lalu mendengar dengan
teliti. Nama yang disebut oleh pemanggil membuatkan
dahinya berkerut. Dia lantas menyuruh Hamid dan semua
yang ada di dalam ofis itu keluar sebentar. Setelah dia seorang
sahaja yang berada di situ, barulah dia bersuara.
“Apa yang saya boleh bantu, Mr. Kohsoom?”
Sejujurnya dia terkejut dengan panggilan yang tidak
disangka-sangka itu. Mr. Kohsoom bukan calang-calang
ahli perniagaan di Bangkok. Dia membayangkan satu projek
usaha sama dalam kepala tetapi apa yang didengar sungguh
memeranjatkan.
“Saya tak faham apa yang tuan cakap.”
“Saya tahu semuanya,” balas Mr. Kohsoom.
Tuan Badruz terdiam.
“Saya sanggup bayar dengan harga yang tinggi.”

 “Saya tak tahu apa yang tuan cakapkan,” ulang Tuan
Badruz.
“Saya tahu tentang Wafiq. Saya tahu di mana dia
sekarang,” balas Mr. Kohsoom.
Jantung Tuan Badruz bagai berhenti berdetak
apabila nama Wafiq disebut. Dadanya senak.
“Jangan sebut nama dia. Tuan tak tahu apa-apa.”
Terasa darah mula mendidih dan menyeruak ke serata arah.
Dia mengertap gigi.
“Sebab itu saya minta dengan cara baik.”
“Tak ada apa yang hendak dirundingkan.” Tuan
Badruz putuskan panggilan. Sambil menyandar di kerusi, dia
menyapu peluh di muka. Dia terbayangkan wajah Wafiq yang
sedang berada di Pattani.
Wilayah Pattani, Thailand...

USTAZ KHALID baru sahaja menyarungkan selipar ketika
dipanggil mudir pondok. Bersama mudir, berdiri 2 orang lelaki
yang dikenali. Dalam kekeliruan, lantas dia menghadiahkan
senyuman.
Setelah mudir meninggalkan mereka bertiga di
beranda masjid, barulah mereka berbual.
“Wafiq tak hadir pagi ini. Dia kurang sihat sikit. Jadi
kami suruh dia berehat saja di asrama,” kata Ustaz Khalid,
menjelaskan ketiadaan Wafiq di situ.
“Kami datang ni bukan mahu jumpa Wafiq. Tapi
kami datang bawa pesanan daripada Tuan Badruz untuk
ustaz,” kata salah seorang daripada lelaki tadi.
 “Pesanan daripada Tuan Badruz? Kenapa dia tak
datang sendiri?” Ustaz Khalid terpinga-pinga.
“Tuan Badruz ada urusan di Perth.”
Ustaz Khalid angguk faham.
“Ini surat yang Tuan Badruz suruh kami sampaikan
kepada ustaz.” Sepucuk surat kini berpindah tangan.
Tanpa berlengah, Ustaz Khalid buka surat itu dan
membaca setiap perkataan yang ditulis dengan teliti. Setelah
faham, dia membalas.
“Katakan kepada Tuan Badruz, Insya-Allah Wafiq
selamat di sini. Saya akan menjaga dia sedaya upaya.”
Kedua-dua lelaki tadi terus meminta diri.
Setelah mereka pergi, Ustaz Khalid membuka surat
tadi semula. Dahinya berkerut-kerut memikirkan segala apa
yang diberitahu Tuan Badruz melalui surat tersebut. Hatinya
mula rasa seperti ada yang tidak kena. Dia berdoa semoga
segalanya berakhir dengan baik-baik sahaja tetapi 3 minggu
kemudian, dia menerima berita yang sangat mengejutkan.


No comments:

Post a Comment