Wednesday, 11 April 2018

TAKRUT - BAB 1

Shah Alam...
VIDEO kejadian 2 orang lelaki ditembak mati
di lampu isyarat Jalan P. Ramlee kini tersebar luas di media
sosial. Video yang berdurasi tidak sampai 1 minit itu sudah
cukup untuk menunjukkan situasi yang telah berlaku dengan
jelas. Sebanyak 16 liang tembakan terlihat jelas pada kiri
dan kanan tingkap kereta sekali gus menyebabkan kematian
kedua-dua mangsa yang sedang berada di dalam kereta
dengan serta-merta.
Wafiq termenung jauh.
Setiap kali memutarkan rakaman tersebut melalui
telefon bimbit, air matanya bertakung. Dadanya sakit. Rasa
marahnya mendidih. Hanya jeritan-jeritan dalam kepalanya
sahaja yang mengingatkan dia supaya menerima qadak dan
qadar Allah dengan tabah. Cuma kekesalan tetap bertumbuh
dalam hati. Dia percaya mana-mana anak sekalipun tetap
mahu melihat ayahnya mati dalam keadaan terhormat. Jauh
sekali seperti itu.
Itu satu penghinaan!
“Semua dah siap sedia.”
Hamid duduk di sebelah Wafiq di bangku menunggu
tidak jauh dari bilik mayat. Masih ramai wartawan dan polis
di situ tetapi sebagai pembantu Tuan Badruz bertahun-tahun,
dia cuba menguruskan segala hal yang perlu dalam saat-saat
sebegitu bagi pihak Wafiq. Dia faham apa ertinya kehilangan
seorang ayah tanpa sesiapa di sisi.
“Semua ahli lembaga pengarah syarikat, semua staf
dalam dan luar negara kita kirim salam takziah,” Hamid
menambah. “Di rumah sudah penuh dengan orang yang
menunggu jenazah. Tuan imam dan pihak masjid juga sudah
dimaklumkan.”
Wafiq sekadar angguk. Perkara itu tidak langsung
merunsingkan fikirannya. Dia yakin pada kemampuan Hamid
untuk menguruskan hal-hal sebegitu. Cuma fikirannya
masih lagi bingung dan tepu. Perasaannya masih dikepung
rasa marah yang menggunung.
Arahan siapa? Orang siapa? Itu sahaja yang berlegar
dalam kepalanya saat ini. Setahu dia ayahnya tidak punya
musuh. Ayahnya seorang peniaga yang jujur, telus dan
sangat menjaga kebajikan anak buah. Ayahnya juga seorang
dermawan dan disayangi ramai. Pendek kata ayahnya sangat
disenangi lawan dan kawan. Ayahnya juga bukan ahli kongsi
gelap mahupun sindiket pengedaran dadah. Bukan. Bukan.
Bukan!
Hamid mengeluh berat sebelum menggeleng sedikit.
Betapa dia berharap dapat menjawab soalan itu dengan mudah
tetapi tidak mungkin. Hal itu jauh lebih rumit daripada apa
yang dilihat dengan mata kasar.
“Takkan tak ada langsung apa-apa maklumat?”
Rasa jengkel merasak ruang hati. Kalau diikutkan,
tembok kesabaran yang ada sudah lama terbakar hangus.
Dia cuma ingat kemarahan itu pintu syaitan. Itu sahaja
yang masih mampu membuatkan dia duduk di situ sambil
berpura-pura tenang. Sebetulnya dia bergelut dengan rasa
marah yang bukan sedikit.
“Dengarnya dah ada. Tapi ada yang kata mungkin
mereka tersalah orang. Soal siasat masih dilakukan. Kita beri
masa sedikit.”
Hamid harap Wafiq mampu terus bertenang. Dia
faham perasaan Wafiq yang terkejut dengan kejadian itu.
Tambahan lagi Wafiq sudah 3 bulan tidak menemui Tuan
Badruz sejak dihantar bertalaqqi di sebuah pondok di Pattani.
“Tersalah orang?” Wafiq hela nafas sehabis daya.
Kematian manusia lain bukan bahan mainan. Nyawa bukan
ada galang gantinya. Lantas hati mengalun istighfar bertali
arus. Dia mengharapkan kekuatan untuk terus bertahan.
Wajah Wafiq yang merah padam, membuatkan
Hamid tersedar. Dia cukup faham perasaan Wafiq yang sudah
dikenali sejak kecil lagi. Meskipun Wafiq seorang anak yang
nakal, degil dan sukar dikawal tetapi Wafiq sangat menyayangi
ayahnya, Tuan Badruz.
Dia yakin kejadian itu memberi kesan yang kuat
ke dalam hati Wafiq. Namun dia juga dapat melihat sedikit
perubahan setelah 3 bulan Wafiq ke Pattani. Kalau tidak, dia
yakin Wafiq sudah pun mengamuk dan buat apa sahaja saat
ini.
“Serahkan pada polis.” Hamid mengeluh halus.
“Satu hari nanti kita pasti tahu apa yang telah berlaku. Apabila
Allah nak buka rahsia-Nya, Allah akan buka. Wafiq berdoalah
minta Tuhan tunjuk semuanya. Sementara itu, kita sebagai
orang Islam mesti menerima ketetapan Allah dengan lapang
hati. Ajar hati untuk selalu reda. Sebab setiap ketentuan Allah
itu ada hikmahnya.”
Wafiq bungkam. Hati semakin galak berperang.
Fikiran semakin kacau-bilau. Tambahan lagi apabila
menyaksikan seorang lelaki tua yang persis seperti wajah
ayahnya sedang berdiri di luar bilik mayat.
Sekilas pandang, dia gugup. Lelaki itu tidak ubah
seperti ayahnya, cuma lebih cengkung dan pucat. Lebih kurus
dan lebih tua dengan muka yang berkedut-kedut. Tambah
mengerikan, ada tompok-tompok kudis yang bernanah
pada muka dan sekujur tubuhnya. Lelaki tua itu juga hanya
memakai kain kuning kehitaman yang bertompok-tompok
dengan darah. Kain itu hanya dililit pada pinggang dan di
selendangkan di bahu. Semena-mena semua yang dilihat itu
merengsa sekujur tubuhnya. Bulu romanya berdiri tiba-tiba.
“Pak cik... itu siapa?” Dia bertanya kepada Hamid
tetapi apabila dia menoleh sekali lagi, lelaki tua itu juga
sedang merenung tajam ke arahnya. Dia tambah tidak sedap
hati kerana renungan lelaki berwajah buruk itu menakutkan.
Lantas, dia tunduk dan memandang ke arah lain.
“Siapa?” balas Hamid. Dilihatnya Wafiq sedang
memandang ke arah luar bilik mayat. Apa yang dilihat cuma
beberapa orang petugas yang masih lagi sibuk dengan tugas
masing-masing. Dia tercari-cari siapakah yang dimaksudkan
Wafiq.
“Itu...” Kata-kata Wafiq mati di situ kerana lelaki tua
itu telah hilang begitu sahaja. Dia terpinga-pinga, namun
rasa seram sejuk pada badannya tetap ada.
PENGEBUMIAN JENAZAH Tuan Badruz selamat dilakukan
pada petang itu juga. Sebelum itu, Wafiq sendiri yang menjadi
imam solat jenazah di masjid. Dia juga yang memikul
keranda Tuan Badruz ke kubur sehinggalah menurunkan
jenazah Tuan Badruz ke dalam liang lahad. Tidak cukup itu,
dia juga yang bertungkus lumus menimbun tanah meskipun
ada ramai orang lain di situ. Semua itu diperhatikan Hamid
dengan seribu satu perasaan.
Dia faham. Wafiq memikul rasa bersalah kepada
ayahnya. Dia simpati.
Apabila semuanya telah selesai, Wafiq berdiri.
Sambil mencari selipar yang sudah hilang entah ke mana,
dia terpandang ke arah pagar. Ketika itu orang ramai sedang
berpusu-pusu meninggalkan kawasan perkuburan. Alih-alih
dia ternampak lelaki tua persis ayahnya tadi berdiri di tepi
pintu masuk. Sama seperti tadi, lelaki itu hanya berdiri
bersilang tangan ke hadapan sambil merenung tajam ke
arahnya.
Serta-merta dia gugup.
“Mari kita balik,” Hamid menegur. Dilihatnya Wafiq
tercegat bagai patung sambil memandang ke arah pagar.
Wafiq tergamam. Perhatiannya beralih sekilas.
Apabila dia memandang sekali lagi, lelaki tadi ghaib dengan
begitu cepat.
“Mari kita balik dulu. Malam nanti kita ada tahlil
pula,” tegur Hamid sekali lagi. Ketika itu raut kesedihan dan
keletihan menyeluruhi wajah Wafiq. Dia sendiri pun berat
hati hendak meninggalkan tempat itu. Sejujurnya dia sendiri
kehilangan seorang sahabat dan majikan yang sudah seperti
keluarga sendiri.
Masing-masing menyedari, apabila mereka berdua
meninggalkan kubur itu bermakna bermulalah alam kubur
buat Tuan Badruz. Akan datanglah dua malaikat Munkar
dan Nakir untuk menyoal jasad dan roh. Akan bermulalah
himpitan kubur dan hamparan neraka atau syurga akan
terhidang. Apa yang menyedihkan, mereka berdua tidak lagi
mampu membantu Tuan Badruz seperti selalunya di atas
dunia. Tuan Badruz akan menghadapinya berseorangan.
Bagi mereka berdua pula, ketika kaki melangkah
meninggalkan tempat itu maka bermulalah juga kehidupan
baharu. Wafiq akan hidup sebagai anak yatim piatu. Tiada
lagi Tuan Badruz yang akan selalu melindungi, melayani dan
membuat keputusan-keputusan besar untuk Wafiq. Bahkan
dia sendiri belum nampak hala tuju nasibnya selepas ini.
“Kalau Wafiq penat, balik nanti tidur sekejap. Tapi
jangan tidur terus, mandi dulu bersih-bersih,” pujuk Hamid
sewaktu mereka sampai di kereta. Ketika itu hanya tinggal 4
buah kereta di situ. Kereta mereka, dua buah kereta pengawal
dan sebuah kereta polis. Yang lain semua sudah pulang.
Wafiq angguk lesu. Tenaganya memang tinggal sisa
tetapi mengenangkan itu tugasnya sebagai anak, dia kuatkan
juga kaki melangkah. Sewaktu masuk ke dalam kereta, dia
duduk di belakang bersama Hamid. Kemudian dia tersedar
sesuatu. Di tempat duduk pengawal peribadi, bukanlah
pengawal peribadi ayahnya seperti biasa, tetapi orang lain. Di
situ duduk lelaki tua berkudis persis ayahnya tadi.
Dia ingin bertanya kepada Hamid tetapi mulutnya
kelu. Hanya hidungnya sahaja yang kembang kempis
menahan bau busuk dan bau kapur barus yang menyengat
hidung sepanjang jalan pulang.
SEBAIK SAHAJA tiba di pekarangan rumah, Wafiq menerpa
keluar dari kereta. Sejurus kakinya memijak tanah,
dia terbatuk-batuk lalu muntah. Dia loya. Isi perutnya
berebut-rebut keluar sampai sekujur tubuhnya jadi lembik.
 “Eh?” Hamid bergegas mendapatkan Wafiq. Belakang
Wafiq ditepuk-tepuk untuk melegakan dada.
“Kenapa, Wafiq?”
Wafiq gosok hidung beberapa kali. Selepas muntah,
kepalanya rasa berpusing. Dia benar-benar rasa lesu dan
hanya ingin merebahkan badan.
“Siapa dia tu?” Wafiq hilang sabar.
“Dia? Yang mana?” Hamid terpinga-pinga. Dia
memandang kiri dan kanan. Apa yang dia nampak hanyalah
pengawal peribadi, pemandu dan beberapa orang polis.
Wafiq pandang ke arah kereta yang dinaiki mereka
tadi. Kereta itu kosong. Dia pandang ke merata arah. Lelaki
tua berkudis dan berbau busuk tadi langsung tidak kelihatan.
Buat kali ketiga, lelaki itu hilang tanpa dapat dikesan.
“Lelaki yang pakai kain kuning. Badan dia penuh
kudis. Muka dia macam muka ayah. Mana dia pergi?”
jawabnya dengan sekali nafas.
“Muka macam ayah?” Kening Hamid terangkat
tinggi. Dia ikut memerhati kawasan rumah itu. “Dekat mana
Wafiq nampak?”
Air muka Wafiq berubah. Dia tidak faham jawapan
Hamid.
“Tadi kan dia naik kereta kita? Dia duduk depan seat
pak cik,” katanya sambil menahan rasa marah yang mula
menggelojak semula. Ini bukan waktunya bersikap dungu.
Hamid menelan air liur. Wajah Wafiq ditenung tidak
lepas. Kemudian dia memaut belakang Wafiq. Diajak masuk
ke dalam rumah.
“Wafiq pergi mandi dulu. Lepas tu berehat. Nanti pak
cik suruh Zuwaidah hantar air ke bilik.”
“Tapi...”
 “Masuk dulu, mandi.” Hamid tetap paut bahu Wafiq
sampai ke muka pintu.
Wafiq akur. Bagaimanapun dia tetap memikirkan
lelaki yang dilihatnya tadi. Siapakah agaknya?
Sementara itu di luar, Hamid memerhati sekeliling.
Dia tidak melihat sesiapa seperti yang disebut oleh Wafiq
tetapi dia terbau-bau kapur barus yang kuat. Tengkuknya
memberat. Sekujur tubuhnya meremang. Dia yakin, ada yang
mengikut mereka pulang.
HAMID BERGEGAS ke bilik tidur. Dia membersihkan diri
lalu menukar pakaian lain. Meskipun belum masuk waktu
solat, dia berwuduk dan mendirikan solat sunat. Apa yang
baru berlaku tadi membuatkan dia tidak sedap hati.
Akan tetapi dia berdoa memohon agar Allah
melindungi mereka semua daripada gangguan iblis dan
syaitan yang mungkin mengikut mereka pulang. Dia juga
memohon kekuatan dan ketabahan untuk menguruskan
semua masalah di situ setelah ketiadaan Tuan Badruz. Sedang
khusyuk menadah tangan, satu kelibat melintas di sebelah
kiri.
Anak matanya dengan spontan bergerak ke kiri. Dari
ekor mata, dia tidak melihat apa-apa. Mungkin khayalan,
fikirnya. Akan tetapi apabila dia tenggelam semula dalam doa
yang panjatkan ke langit, kelibat itu mengganggu sekali lagi.
Seolah-olah ada seseorang melintas dari arah belakang ke
bilik air.
Dia meraup tapak tangan ke muka; mengharapkan
semua doa-doa yang dilantunkan itu dimakbulkan Allah.
Selepas itu dia melipat semula sejadah lalu diletakkan ke atas
katil. Dengan perasaan yang tertanya-tanya, dia memeriksa
bilik air. Akan tetapi bilik air itu kosong. Baru hendak
menutup pintu bilik air, telinganya diasak bunyi orang
berdeham di hadapan pintu bilik. Bunyinya kuat dan jelas
seperti bunyi deheman seorang lelaki.
Dia segera membuka pintu bilik tetapi tiada sesiapa
di situ.

No comments:

Post a Comment