Wednesday, 11 April 2018

TAKRUT - BAB 2




HARI ini, pagi-pagi lagi Hamid datang mencari
Wafiq di bilik tidur. Dia risau kalau-kalau Wafiq masih
bersedih. Dia yakin Wafiq tidak wajar dibiarkan berseorangan
buat sementara waktu. Setibanya di bilik, dia lihat Wafiq
sedang tidur nyenyak.
“Wafiq...” Hamid menepuk bahu Wafiq beberapa kali.
Keadaan itu di luar jangka. Dia fikirkan Wafiq sudah berada
di atas sejadah.
Wafiq bergumam antara sedar dan tidak. Ketika itu
kelopak matanya bagaikan sudah dipateri. Hendak dibuka
terasa beratnya bertan-tan.
“Dah solat? Dah masuk waktu subuh ni.” Hamid
mengingatkan sekali lagi. Dia yakin bukan begitu kebiasaan
Wafiq. Wafiq sudah berbulan-bulan belajar di pondok agama,
tentu sudah biasa bangun sebelum subuh.
Mendengarkan pertanyaan itu, Wafiq langsung
beristighfar. Berdebar kuat dadanya kerana terkejut. Bimbang
terlepas waktu subuh.
“Pukul berapa dah, pak cik?” Dia bingkas bangun.
“Dekat pukul 6.20. Pak cik ingat Wafiq dah bangun.”
Hamid pandang muka Wafiq yang pucat dan lesu.
Wafiq hela nafas.
“Minum air sikit.” Hamid suakan segelas air kosong
kepada Wafiq. Wafiq sambut dengan tenang.
“Tidur lambat sangat ke?” Hamid menegur. Wajah
Wafiq begitu kusut. Mata pula bengkak.
Wafiq sekadar menggeleng. Hal yang telah terjadi
malam tadi masih membelenggu fikiran. Akan tetapi, dia
tidak mahu menyusahkan Hamid pada awal pagi-pagi begitu.
Lagipun itu mungkin sekadar mimpi buruk yang tidak wajar
diceritakan kepada sesiapa.
Setelah membasuh muka dan berwuduk, Wafiq
mendirikan solat subuh dengan tertib. Selepas itu dia berdoa
panjang untuk ayahnya.
Tingkah laku Wafiq diperhatikan oleh Hamid dengan
teliti. Ternyata, kesedihan masih tebal menyelubungi diri
Wafiq. Dia percaya Wafiq memerlukan lebih masa untuk
bangun semula. Bagaimanapun itu juga sebahagian daripada
amanah yang dipikul di bahunya. Segala amanat Tuan Badruz
masih dia ingat.
“Hari ni Wafiq berehat sajalah di rumah. Biar pak
cik yang uruskan apa yang perlu. Kalau ada apa-apa hal yang
mustahak, pak cik telefon.” Hamid memandang wajah Wafiq
yang baru selesai berdoa. Dia harap Wafiq setuju.
Wafiq angguk sahaja. Dia pun terasa lesu kerana
tidak cukup tidur.
Setelah Hamid meninggalkan katil, dia membuka
televisyen di hujung kaki. Entah bila dia terlelap, dia tidak
sedar. Dia cuma terjaga apabila telinganya menangkap bunyi
barang jatuh di lantai. Apabila dia menoleh ke sekeliling
bilik, semuanya elok sahaja kecuali sejadah yang terlempar
di sudut bilik.
PUKUL 9 pagi. Dengan berpakaian ringkas, Wafiq turun
ke tingkat bawah untuk mengalas perut meskipun tidak
berasa lapar. Dia bimbang, nanti penyakit lain pula yang
muncul sedangkan menjaga tubuh badan itu amanah. Tuhan
menganugerahkan setiap manusia dengan tubuh badan yang
bersih dan elok, dialah yang selalu cuai menjaganya. Malah
dahulu dia tidak pernah memikirkan apakah yang masuk ke
dalam tubuh itu haram ataupun halal. Mujurlah dia sempat
bertaubat.
“Malam tadi... semuanya okey, mak cik?” Dia
bertanya sepintas lalu kepada Zuwaidah. Tukang masak
merangkap ketua kepada kesemua pembantu rumah dan
pekerja-pekerja di rumah itu. Semua urusan di rumah agam
itu di bawah tanggungjawab Zuwaidah yang berusia hampir
50 tahun. Hanya di tangan Zuwaidah juga diserahkan soal
makan minum dan pakaian. Tuan Badruz tidak mempercayai
orang lain.
Air muka Zuwaidah spontan berubah riak. Dia
terpempan beberapa saat.
“Mak cik?” Wafiq menegur apabila Zuwaidah tidak
memberi respons.
Tangan Zuwaidah terketar-ketar. Mihun goreng yang
disenduk terjatuh ke atas meja.
“Setahu mak cik malam tadi tak ada gempa bumi
atau kapal terbang yang jatuh, tuan. Tapi harga minyak naik
lagi,” jawab Zuwaidah selamba.
 “Saya bukan tanya soal dunia,” balas Wafiq perlahan
sambil menjeling.
Zuwaidah angguk namun masih menundukkan
muka bagaikan sedang jauh hanyut dalam fikiran.
“Mak cik berterus terang saja. Saya tak marah.”
Wafiq mula syak sesuatu.
Pujukan Wafiq membuatkan Zuwaidah menelan air
liur. 2 orang lagi pembantu rumah sudah kembali ke dapur.
Dialah yang bertugas untuk melayani Wafiq bersarapan sekali
gus perlu menjawab apa yang ditanyakan.
“Kalau... mak cik cakap, tuan jangan marah ya?” Dia
pandang lama muka Wafiq. Setelah Tuan Badruz tidak ada,
Wafiqlah majikannya sekarang. Meskipun ada kesangsian
dalam hati kerana sudah amat mengenali sikap Wafiq yang
lepas laku itu, dia menyimpan harapan agar Wafiq bersikap
lebih matang setelah Tuan Badruz tidak ada.
“Cakaplah.” Sikap Zuwaidah buat Wafiq hairan.
“Malam tadi mak cik tak boleh tidur. Panas.”
“Air-cond rosak?”
Zuwaidah menggeleng. Dada berdebar-debar. Banyak
perkara tersimpan dalam hati. Serba salah hendak diluahkan.
“Air-cond elok.”
“Habis tu?”
“Entahlah.” Zuwaidah tertunduk merenung meja.
“Tapi dalam pukul 3 pagi macam tu... mak cik terdengar
bunyi orang menangis. Jadi mak cik keluar tengok.”
Mata Wafiq berhenti berkelip. Rasa hati tidak keruan
apabila mengetahui hal itu. Maknanya malam tadi, Zuwaidah
juga mendengar apa yang dia dengar. Makanya itu bukanlah
mimpi buruk seperti yang difikirkan.
“Siapa yang menangis?” Dia mengharapkan agar
Zuwaidah memberi jawapan yang jelas.
“Mak cik pun tak tahu. Sebab bila mak cik keluar, tak
ada apa-apa pula. Lagipun tak lojik, kan? Siapa pula yang nak
menangis pagi-pagi buta macam tu?”
Pertanyaan Zuwaidah itu seperti membiaskan
semula masalah itu kepada dirinya. Wafiq tidak sanggup
menentang mata Zuwaidah. Kedua cuping telinganya terasa
panas. Entah kenapa ada rasa malu yang menjentik dada.
“Malam tadi... malam pertama Tuan Badruz...”
Zuwaidah menambah walau agak perlahan. Matanya masih
menekur meja di hadapan.
Wafiq bertambah kelu. Wajah terasa berat untuk
diangkat. Dia faham apa yang Zuwaidah hendak sampaikan.
Malam tadi, malam pertama ayahnya di alam kubur. Pada
malam tadi juga mereka terdengar bunyi tangisan orang di
rumah itu. Belum ditambah penampakan kelibat-kelibat dan
suara yang dia dengar sejak balik dari kubur semalam.
Semua itu kalau difikirkan, seolah-olah ada perkaitan
kerana hidup bukanlah berjalan atas landasan kebetulan.
Namun untuk mengakui kedua-duanya ada perkaitan, juga
bukan mudah. Sangat menyesakkan dada.
“Adakah mak cik fikir perkara tu ada kaitan?”
Wafiq mahukan pandangan Zuwaidah. Sebagai orang
yang lebih tua, tentu Zuwaidah lebih luas pengalaman hidup.
Lebih banyak tahunya daripada dia.
Zuwaidah tidak terus menjawab tetapi sebaliknya
meminta izin untuk duduk di sebelah Wafiq. Wafiq benarkan.
“Ada eloknya kalau tuan bertanya kepada orang yang
pandai. Seeloknya juga hal ini tak dihebohkan kepada orang
luar. Bimbang menimbulkan cerita-cerita yang kurang elok
kepada arwah. Kita tak tahu apa sebabnya. Mungkin tak ada
kena-mengena dengan arwah. Itu boleh menimbulkan fitnah.
Ini pun yang 2 orang lagi tu dah mula takut. Ke mana-mana
pun pergi berdua.” Zuwaidah membentang pendapatnya
dengan panjang lebar.
“Saya setuju dengan pendapat mak cik. Biarlah hal
ini habis setakat kita saja. Jangan dibawa keluar dari rumah
ini. Lagi sikit yang tahu lagi elok.”
Wafiq terangguk-angguk. Itulah yang
menakutkannya sejak tadi. Takut timbul cerita yang
mengaibkan arwah ayahnya. Dia mungkin dilihat sebagai
seorang anak yang jahat dan rosak akhlak di mata orang lain,
tetapi dia tidak sanggup ayahnya dianggap begitu. Dalam
hatinya, ayahnya seorang hero.
“Tuan macam mana pula?” Semena-mena Zuwaidah
merenung wajah Wafiq.
“Saya... saya pun dengar juga malam tadi.”
Wafiq memandang wajah Zuwaidah yang boleh
dipanggil ibu. Sedikit sebanyak ketenangan pada wajah itu
membuatkan dia tidak berasa keseorangan. Dia memang
tidak pernah merasa kasih seorang ibu. Dia tidak tahu ibunya
di mana.
“Patutlah tuan tak terkejut atau marah.” Mata
Zuwaidah tidak berkelip.
Wafiq angguk lesu.
“Saya juga nampak seorang lelaki berlari masuk ke
dalam bilik. Tapi bila saya cari tak ada pula,” tambah Wafiq.
Lega hatinya kerana hal itu telah dikongsi dengan orang lain.
“Kalau macam tu eloklah tuan bertanya kepada Tuan
Hamid. Mungkin dia tahu apa yang patut dibuat. Nampaknya
ini bukan hal kecil, tuan. Ini masalah besar.”
Wafiq termenung jauh.
“Api kalau kecil memang boleh digunakan, tuan.
Tapi kalau sudah besar kita pun ditelan jadi abu,” tambah
Zuwaidah penuh makna.
“Mak cik fikir Pak Cik Hamid akan percaya?” Timbul
rasa segan dalam hati Wafiq. Dia bimbang Hamid akan
menolak hal itu mentah-mentah. Hal sebegitu tidak semua
orang percaya.
“Percaya atau tidak itu soal kedua, tuan. Lagipun
saya percaya Tuan Hamid akan buat apa saja untuk
membantu tuan. Dulu dia pembantu Tuan Badruz, sekarang
dia pembantu tuan. Tuan dan dia sepatutnya tak ada rahsia
lagi. Kalau Tuan Badruz boleh percayakan dia, kenapa tidak
tuan? Lagipun siapa yang lebih layak untuk membantu tuan
dalam masalah ini? Mak cik tak mampu.”
Wafiq hela nafas panjang. Mungkin sudah sampai
masanya dia mempercayai Hamid seperti ayahnya dahulu.
Dia sendiri tidak terfikir untuk mencari orang kepercayaan
yang lain.
SELEPAS BERSARAPAN sedikit, Wafiq keluar ke taman
bunga di tepi rumah. Berbeza dengan taman-taman di rumah
yang lain di situ, taman bunganya dipenuhi pokok-pokok
ratchaphruek atau juga dikenali sebagai pokok golden shower
yang sedang berbunga lebat.
Sewaktu tapak kakinya memijak lantai taman yang
beralaskan batu-batu terracotta, dia disambut hamparan
bunga ratchaphruek yang berwarna kuning terang. Apabila
dia mendongak ke atas, ada seekor burung gagak sedang
merenung tajam ke arahnya.
“Ada apa, Wafiq?” Suara Hamid kedengaran jelas di
telinga Wafiq.
“Pak cik balik pukul berapa?”
 “Pak cik tak dapat balik hari ni. Pak cik dalam
perjalanan ke airport. Ada beberapa kontena kita tersangkut
di pelabuhan Singapura.”
“Orang kita kan ada?”
“Masalah ni bukan kali pertama terjadi. Jadi pak cik
nak turun sendiri kali ni. Lagipun kita perlu jaga keyakinan
pelabur dalam tempoh-tempoh yang tak begitu stabil macam
ini, kan?”
Wafiq terdiam. Hati tersentap.
“Kenapa Wafiq?”
“Tak ada apa-apa.” Wafiq tidak jadi meneruskan hajat
untuk memberitahu Hamid mengenai hal di rumah. Biarlah
buat sementara waktu dia uruskannya.
“Tahlil malam ni akan berjalan seperti biasa. Semua
pak cik sudah uruskan. Wafiq boleh handle, kan? Imam pun
pak cik sudah maklumkan tadi.” Hamid menambah.
“Insya-Allah.” Itu sahaja balasan Wafiq. Dia harap
malam ini suara tangisan itu tidak muncul lagi.
Sewaktu dia berpaling hendak masuk ke dalam
rumah, dia terpandang lelaki tua persis ayahnya sedang
berdiri di bawah salah sebatang pokok ratchaphruek. Apabila
dia ingin mendekat, lelaki itu berjalan ke arah batang pokok
lalu ghaib begitu sahaja.
Langkahnya terus mati. Sekujur tubuh terasa dingin.
“KENAPA, TUAN?” tanya Zuwaidah sewaktu Wafiq berlari
masuk ke dalam rumah sehingga hampir terlanggar
tubuhnya. Tingkah laku Wafiq seperti pencuri yang takut
ditangkap orang.
 “Mak cik!” Wafiq hampir menjerit.
“Ya, tuan. Kenapa macam takut sangat ni?” Zuwaidah
ikut panik. Wafiq tidak tentu arah pada pandangannya.
“Mak cik, ikut saya.” Wafiq meluru ke ruang tamu
lalu duduk meraup wajah dengan kedua belah tangan. Dia
benar-benar rasa tidak percaya dengan apa yang dilihatnya
tadi. Siapakah lelaki tua itu? Bagaimanakah dia boleh hilang
begitu sahaja? Kali ini dia betul-betul tidak tahan.
“Ingat Allah, tuan...” tegur Zuwaidah. Wafiq seperti
dalam kesusahan. “Perlu saya panggil pengawal?”
Wafiq geleng. Sesiapapun tidak akan mampu
membantunya saat itu. Dia baru sedar yang dilihatnya sejak
semalam itu bukanlah manusia biasa. Kalau manusia bukan
begitu caranya. Hanya Allah tempat dia berlindung. Entah
apalah pula masalah yang datang ini.
“Ada benda ikut saya, mak cik.” Suara Wafiq
menggeletar.
“Ikut tuan?” Zuwaidah terlopong. Dia pandang ke
arah pintu tetapi tidak nampak apa-apa yang pelik. “Benda
apa, tuan?”
“Bukan manusia ni mak cik,” jawab Wafiq. Kalau
manusia tidak mungkin boleh ghaib dalam sekelip mata. Dia
juga tidak tahu itu apa tetapi dia harap Zuwaidah faham apa
yang sedang dialaminya.
“Rupanya macam mana? Benda tu ada lagi tak kat
sini?” Zuwaidah sudah berdiri bulu roma. Meskipun pada
waktu siang, hal sebegitu tetap menghadirkan rasa seram.
Sebagai orang Islam, dia percaya kehadiran syaitan dan
iblis. Semua itu sudah ditulis di dalam al-Quran dan hadis.
Walau bagaimanapun, belumlah pernah dia lihat secara
terang-terangan.
“Dah hilang.” Wafiq menggeleng. Dia yakin benda
itu mengikutnya dan sentiasa berada berdekatan. Sebab itu
dia sentiasa terbau-bau kapur barus di mana-mana sejak
semalam.
Zuwaidah tarik nafas.
“Tuan, berzikirlah selalu. Jangan leka atau
termenung seorang. Bimbang benda-benda macam tu
mengambil kesempatan pada waktu begini,” pujuk Zuwaidah
dengan lembut.
“Tapi benda ni pelik, mak cik. Saya nampak sejak di
bilik mayat lagi. Selepas tu di kubur dan dalam kereta. Paling
akhir, tadi di luar. Benda tu macam... ikut saya. Ke mana saya
pergi, dia ada.”
“Perasaan tuan saja agaknya.” Zuwaidah tersenyum
pahit. Kalau digalakkan sangat, dia bimbang Wafiq akan
panik. Cerita Wafiq sememangnya sudah agak pelik.
“Bukan soal perasaan ni, mak cik. Saya nampak.
Bukan sekali, tapi banyak kali.”
“Mak cik pun tak tahu apa yang sedang mengganggu
tuan. Tapi mak cik rasa lebih elok tuan jangan fikirkan
sangat. Tuan banyakkan mengaji dan berzikir. Moga-moga
Allah melindungi tuan daripada gangguan.”
Wafiq akur. Memang nampaknya dia tidak boleh leka.
“Tuan dah beritahu Tuan Hamid?”
“Belum. Dia pula tak balik malam ni. Dia ke
Singapura.”
Zuwaidah terdiam lama.

No comments:

Post a Comment