Wednesday 11 April 2018

TUKANG MASAK CIK MAFIA - BAB 3



“CIK Orked... saya dah bawak pergi klinik. Saya dah ganti seluar jeans Cik Orked yang koyak tu. Siap pakej dengan T-shirt baru lagi. Rasanya saya tak ada hutang apa-apa lagi.” Syed Haidar menghentikan kereta di tempat dia terlanggar Cik Mafia tadi.
Hampir tiga jam masanya terbuang akibat melayan Cik Mafia ni. Konon saja ganas tapi nama ala-ala wanita Melayu terakhir. Dia risaukan Suhaila yang masih belum ada khabar berita lagi. Mujur Orked tak berapa cerewet dan hanya mahu pergi ke kedai bundle. Diajak pergi shopping mall ditolak pula. Tapi cari baju sampai keluar masuk tiga kedai. Cerewet jugalah gadis ini.
“Belum lagi! Masih ada hutang lagi!” tegas Orked.
“Apa lagi Cik Orked yang cantik jelita...” Syed Haidar bagaikan sengaja menyimbah minyak tanah ke bara api. Geram dengan Orked dia tak perasan mulutnya mengucapkan sesuatu yang gadis benci. Dia sudah maklumkan kepada Orked yang dia ada urusan penting.
Orked memandang Syed Haidar tajam. Kalaulah matanya boleh keluarkan kilat macam kartun dalam TV, memang dah rentung lelaki yang duduk di tempat pemandu itu. Degil sangat. Dari tadi sudah warning jangan panggil dia dengan nama Orked.
Syed Haidar kendurkan badan. Diangkat kedua belah tangan memohon ampun maaf. Dia bukan tak dengar warning Cik Mafia, tapi dia geram sangat. Sudah berkali-kali dia tegaskan yang dia ada hal penting tadi. Orked tidak faham atau sengaja buat-buat tidak faham?
“Sebut lagi nama Orked, bersepai gigi tu nanti!” Orked ugut Syed Haidar sekali lagi. Spesies manusia kepala batu. Dah cakap banyak kali jangan panggil Orked. Degil sungguh tua bangka ni!
Sorry Orked... tak sengaja.” Syed Haidar menekup mulut dengan kedua belah tangan. Otak kata jangan sebut nama tu tapi bibir suka mengalun nama indah itu. Dia sembunyi sengih di belakang tangan.
Orked memandang lelaki itu tajam. Lebih tajam daripada tadi. Diangkat penumbuk dan diacu ke arah Syed Haidar. Sekali lagi Syed Haidar mengangkat kedua-dua belah tangan. Memohon agar gadis itu tenang. Lebih lama mereka bertekak, lagi lambat dia boleh pulang.
“Apa lagi urusan yang belum sudah tu?” tanya Syed Haidar.
“Tadi sebelum kena langgar sepatutnya aku pergi interviu kat mamak depan sana. Oleh kerana kau langgar aku, kau wajib carikan aku kerja. Atau... kau bagi je aku kerja kat tempat kau.” Orked jawab selamba. Semua info mengenai lelaki itu ada dalam poketnya. Mujur dia pasang telinga apabila kawannya, Shida selalu membebel fasal Syed Haidar. Jadi dia tahu serba sedikit siapa lelaki yang melanggarnya tadi.
Syed Haidar nak menjerit. Baru beberapa jam dengan Cik Mafia ini dia dah rasa macam nak gila. Macam mana dia nak izinkan gadis ini kerja di Heaven Kitchen? Silap hari bulan dia masuk wad psikiatri sebab stres dengan gadis ini. Atau habislah dia cedera sana sini sebab asyik kena belasah dengan Cik Mafia. Baru dia hendak buka mulut Orked sudah bersuara terlebih dahulu.
“Berani kau kata tidak... aku pecahkan kereta lawa kau ni!”
Syed Haidar tidak jadi nak menjerit. Sebaliknya dia hendak ketawa. Badan halus tapi ada hati nak pecahkan kereta dia. Pecah kereta tak ada masalah, bukan dia tak ada duit nak beli baru. Beli dua tiga buah kereta sekali gus pun dia mampu.
“Tempat saya tak ada kerja kosong. Bos saya tak ambil pekerja baru.” Syed Haidar terpaksa menipu. Dia tak sanggup bekerja dengan perempuan ganas macam Orked ni.
“Heaven Kitchen tu kau punya, kan. Ada atau tak ada kerja kau mesti adakan untuk aku. Kalau tak aku panggil wartawan cakap kau cuba cabul aku.” Orked pusingkan kepala ke arah Syed Haidar. Bibir dikemam dan mata dibutangkan. Jari telunjuk lurus ke hidung mancung cef selebriti itu. Berani lelaki itu tipu dia!
“Hei, tu menipu namanya.” Syed Haidar tak puas hati. Suka-suka saja gadis itu mengugutnya.
“Amboi... kau tipu aku boleh. Kenapa bila aku menipu tak boleh?” Orked meninggikan suara. Jangan main-main dengan Orked Adelia. Orang tipu, dia pun boleh tipu.
“Kau ingat muka kau tu boleh sorok dengan guni ke apa. Muka tak handsome kau ni dah muak aku tengok dalam TV. Takkan aku tak kenal. Kalau kau sayang muka handsome kau, bagi aku kerja!” tambah Orked. Sengaja dia ugut untuk musnahkan rupa paras Syed Haidar. Kata Shida, Syed Haidar
juga seorang model sambilan. Sudah pastilah dia sayangkan rupanya.
Orked tersenyum puas apabila Syed Haidar terdiam. Baru lelaki itu kenal siapa Orked Adelia. Jangan sesekali menipu. Orked Adelia pantang kalau orang menipu. Dibiarkan lelaki itu berfikir seketika.
“Kau nak buat apa kalau aku tak bagi kerja?”
“Tumbuk hidung kau sampai bengkok.” Orked tersengih sambil jarinya menyentuh hidung mancung Syed Haidar.
“Aku tahu kau sayangkan hidung kau ni kan. So, bertindak bijak dan selamatkan hidung mancung kau ni. Bagi aku kerja!”
Syed Haidar menepis jari Orked kemudian menyentuh hidungnya sendiri. Hidung keturunan Syed dia kena ugut. Memang dia tak akan bagi Cik Mafia kerja dengan dia. Hari ni hidung... besok lusa entah apa yang hilang nanti.
No, never!” Dia tak akan mengalah. Lebih-lebih lagi dengan kanak-kanak kurang matang seperti Orked.
Jawapan Syed Haidar membuatkan Orked naik angin. Sekali lagi ditarik kolar baju lelaki itu. Dia menarik rapat sehingga badan mereka bersentuhan di ruang yang agak sempit itu.
Syed Haidar terkejut. Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang. Berdegup bukan sebab takut tapi ada perasaan lain yang muncul saat ini. Dia bukannya tak pernah berada dekat dengan mana-mana perempuan tapi perasaannya kali ini lain. Cik Mafia berani dan terlebih berani.
“Aku bukan minta duit beribu, aku cuma minta kerja je. Itu pun tak nak bagi ke? Dasar orang kaya kedekut! Kau punya fasal aku kena cari kerja lain, tahu tak!” Orked hendak menangis di situ tapi dia kuatkan semangat. Bukan senang
nak cari kerja pada zaman serba mencabar ini. Apatah lagi bagi dia yang baru habis SPM.
“Cik Orked, memang selalunya awak minta kerja dengan ugut bakal bos macam ni ke? Tak malu ugut lelaki macam ni? Lagipun kita kat tempat agak sempit ni. Kalau paparazi atau orang nampak macam mana? Tak fasal-fasal kita dituduh buat dosa.” Syed Haidar menarik tangan Orked untuk melepaskan kolar bajunya. Dia lelaki dan Orked perempuan. Ruangan sempit begitu macam-macam boleh terjadi.
Orked tergamam. Dengan pantas dia melepaskan kolar baju lelaki itu dan menjarakkan badannya. Dia sedar silapnya tadi. Tapi dia begitu terdesak mahukan kerja untuk meneruskan kelangsungan hidupnya di Kuala Lumpur ini. Duit simpanannya hampir habis digunakan. Ini semua kerana perangai borosnya. Sekarang baru dia tahu betapa susahnya mencari nafkah.
“Maafkan saya... anggaplah semua ni tak pernah terjadi.” Orked bersuara sayu. Mungkin belum rezekinya untuk mendapat pekerjaan. Bungkusan ubat dan pakaian yang dibeli oleh lelaki itu tadi dicapai. Sebelum dia menangis di situ lebih baik dia lari.
“Terima kasih atas semuanya... dan sekali lagi saya minta maaf.” Orked memaksa bibirnya untuk tersenyum. Tanpa membuang masa, pintu ditolak dan dia terus keluar dari kereta. Sebaik sahaja keluar, air mata yang ditahan jatuh berguguran.
“Mama... Orked rindukan mama.” Air matanya gugur lebih deras. Ditutup pintu kereta dan diayun langkah laju-laju.
Syed Haidar dapat menangkap mata Orked yang berkaca. Dia berasa pelik. Tiba-tiba Cik Mafia yang ganas jadi sentimental. Entah kenapa hatinya sayu mendengar permintaan maaf gadis itu. Dia bukanlah seorang lelaki
kedekut. Malah dia berasa senang hati jika dapat membantu tetapi dia takut. Gadis itu ganas sangat. Enjin dimatikan dan dia keluar mengejar kanak-kanak itu. Dengan lutut yang masih sakit tidak jauh mana pun Cik Mafia ni lari.
“Orked...” Syed Haidar menarik bahu Orked. Memaksa gadis itu berpusing menghadapnya. Dia terkejut melihat pipi Orked yang basah dengan air mata.
Sekali lagi Syed Haidar merasakan sesuatu yang pelik. Di sebalik rambut pendek yang menyerupai lelaki, wajah Orked sangat jelita apabila dibasahi dengan air mata. Syed Haidar mengerdipkan matanya berkali-kali. Barangkali matanya sudah rosak.
“Apa lagi awak nak? Tak nak bagi kerja sudahlah. Seronok tengok orang miskin macam saya menangis atau awak nak tengok orang miskin ni melutut minta kerja. Okay, fine.” Orked terus melutut di hadapan Syed Haidar. Persetankan rasa malu yang muncul saat ini. Dia sangat memerlukan pekerjaan sekarang.
“Hei Orked, apa ni...” Syed Haidar menarik Orked bangun. Matanya meliar melihat kiri kanan. Mujur tiada sesiapa yang lalu-lalang. Dia tak suruh pun gadis itu melutut. Simpatinya mula hadir.
“Saya terdesak sangat nak cari kerja... sebab tu saya... saya...” Orked mengesat air mata di pipinya. Dia perasan pandangan Syed Haidar agak berlainan. Ya Allah apa yang dia buat? Kenapa dia jadi Orked yang lemah?
“Apa pandang-pandang? Aku cungkil biji mata kau nanti. Lepas tu aku campak dalam akuarium bagi ikan makan.”
Syed Haidar telan air liur. Mula-mula nak pecahkan muka, lepas tu nak patahkan hidung. Sekarang cungkil biji mata pula. Belum kerja dah tunjuk ganas. Kalau dah kerja nanti entah-entah dia jadi Syed Haidar potong 12. Rasa
simpati yang mula hadir terbang melayang.
“Berani awak ugut bakal bos awak ni.” Syed Haidar buat-buat marah. Saja nak tengok reaksi Orked. Baru sekejap tadi gadis itu menangis dan merayu. Tiba-tiba dia bertukar menjadi ganas semula. Dia ni ada keturunan jin ke... atau split personality? Tapi kedua-duanya Orked Adelia.
“Aku? Aku berani je. Kau tu berani ke tak nak ambil aku kerja. Takut sangat. Lembik!” Dia mengangkat kening sebelah, tinggi. Sambil mata menghantar pandangan tajam.
Syed Haidar kelu lidah. Boleh Orked menuduhnya lembik dan penakut. Perempuan katik ni tak padan dengan saiz dia. Sebelum dia jadi Syed Haidar potong 12, lebih baik dia setuju.
“Yalah, awak boleh kerja dengan saya.”
Good. Tahu pun sayang biji mata tu.” Orked tersenyum lebar tanda kemenangan. Akhirnya dia dapat kerja walaupun dengan cara yang sangat tidak berhemah. Tak kisahlah cara apa pun janji dia dapat kerja.
“Macam tulah lelaki gentleman. Kau nampak handsome pakai suit. Apatah lagi black suit macam ni. So, bila aku boleh start kerja?”
“Lepas raya nanti datang Heaven Kitchen cari saya. Saya carikan kerja untuk awak.”
“Besok tak boleh ke?”
“Lagi seminggu nak raya Orked. Lagipun elok kalau awak start kerja awal bulan.” Syed Haidar tak faham mengapa gadis itu begitu terdesak mahukan kerja. Sampai merayu dan melutut.
“Kalau macam tu lepas raya nanti tengok berita kematian aku kat TV.”
“Ya Allah... apa yang awak mengarut ni Orked?”
 “Tolonglah bagi saya kerja esok. Tak nak bayar gaji pun tak apa, asalkan bagi saya makan free.” Orked dengan selambanya menggoyangkan lengan Syed Haidar.
Syed Haidar mengurut lehernya yang tegang. Macam-macam kerenah si Orked ni. Apakah sebenarnya masalah gadis di hadapannya ini? Kalau dia berniat tak baik pasti dia akan minta duit beribu. Bukannya gadis ini tak kenal siapa dirinya yang sebenar.
“Besok tengah hari datang Heaven Kitchen. Awak tahu kat mana kan?”
“Tahu... tahu... tahu.” Orked tersenyum lebar.
“Eh tapi kenapa tengah hari?” Orked berfikir sejenak.
“Bulan puasa kan Cik Orked sayang. Tengah hari baru nak set up restoran. Mana boleh buka awal-awal.”
“Ha, yalah. Lupa...”
Syed Haidar gelengkan kepala. Orked Adelia yang pelik.
“Besok kita jumpa ya... bakal bos.” Senyuman tak lekang dari bibir Orked. Tak sia-sia dia merayu tadi.
Hmm... okey.” Syed Haidar sudah bercekak pinggang.
“Jangan lupa satu perkara, tolong rahsiakan tentang saya menangis tadi. Kalau tak, saya betul-betul bengkokkan hidung seksi bos. Babai. Assalamualaikum.” Orked melambai. Sempat lagi buat flying kiss.
Syed Haidar terkedu. Orked ni waras atau tidak? Boleh buat flying kiss pula. Ini yang buat hati dia tidak keruan. Dia memerhatikan Cik Mafia jalan berdengkot-dengkot hingga hilang dari pandangan. Memang sah hidup dia akan huru-hara nanti. Harap-harap Cef Sufi mampu tangani kanak-kanak riang macam Orked ini.

No comments:

Post a Comment