Sunday, 22 July 2018

Mencintaimu Selamanya - Bab 8

AMAR memberhentikan kereta di pekarangan
banglo mewah milik keluarganya. Aira di sebelah sudah
terlopong mulutnya melihat banglo itu. Pertama kali tengok
banglo sebesar dan semewah ini. Apatah lagi kakinya akan
melangkah masuk.
“Jom masuk,” pelawa Amar sebaik saja mereka
keluar dari Range Rover milik Amar.
“Encik, takutlah saya nak masuk,” luah Aira yang
gerun memikirkan untuk berhadapan dengan tuan rumah
merangkap orang tua bakal suaminya. Apakah reaksi
dan penerimaan orang tua Amar apabila melihat wajah,
penampilan dan mendapat khabar yang dia bakal menjadi
sebahagian daripada keluarga ini? Aduh, tak dapat nak
dibayangkan!
“Hai, kau tu bukannya anak raja sampai kena
hamparkan karpet. Atau kau nak aku dukung kau masuk
dalam? Aku okey aje, tak ada hal.”
Suara Amar yang menyindir dia menerjah masuk ke
telinganya sekali gus mematikan lamunannya. Terkulat-kulat
Aira memandang wajah Amar yang sudah tersenyum sinis.
“Isy, apalah encik ni!” Aira mendecit segan.
“Dah tu, apa lagi tercegak kat situ. Masuk!”
Amar terus melangkah masuk ke dalam banglo itu dan
meninggalkan Aira di halaman. Terpaksalah dia melangkah
dengan penuh debaran masuk ke dalam banglo itu.
“Hah, masuk pun!”
“Opocot mak kau!”
Amar gelak tiba-tiba sebaik saja Aira melatah.
“Kus semangat!” Aira mengurut dada akibat terkejut
disergah lelaki itu.
Amar geleng kepala mengenangkan gelagat Aira
yang sudah pucat mukanya.
“Relax. Everything’s going to be fine, I’m right by
your side.” Amar berbisik perlahan di telinga Aira dengan niat
nak menenangkan perasaan gemuruh gadis itu.
“Encik ni, suka sangat buat jantung saya bagai nak
gugur. Kalau betul-betul gugur, mati saya. Siapa yang nak
bertanggungjawab?” marah Aira perlahan. Namun dalam
diam, hatinya berdebar-debar mendengar bisikan lembut
Amar tadi.
“Janganlah mati. Aku belum kahwin pun dengan kau
lagi. Takkanlah kau nak aku jadi duda sebelum kahwin.”
Amar tayang muka selamba membuatkan Aira rasa
nak terajang saja lelaki ini. Mulut memang tak ada insurans.
Dasar mulut longkang!
“Amar... is that you?” Satu suara mula menerjah
perbualan mereka. Dan serentak itu juga satu figura muncul
di ruang tamu itu.
Hati Aira sudah mula libang-libu. Tak tahu nak beri
reaksi yang macam mana.
“Yes, mama.” Amar bersuara sebaik saja wanita
anggun itu ada di hadapannya.
“Siapa ni?” Terus wajah Aira menjadi santapan
wanita itu.
Degupan hati Aira makin kencang. Tubuhnya
sudah mula rasa seram mengenangkan cara wanita itu
memandangnya. Cukup tajam.
“Kenalkan, ini Aira. My bride-to-be!” Amar terus
memaut bahu Aira dengan mesra membuatkan Aira makin
tidak tentu hala. Begitu mudah lelaki itu menyentuh
tubuhnya tanpa meminta izin.
‘Hesy, memang tak ada adab betul lelaki ni! Rasa nak
luku aje!’ ngomel Aira dalam hati.
“Aira...”
Nama Aira terus meniti di bibir merah wanita anggun
itu. Tubuhnya mula diteliti dari atas ke bawah beberapa kali.
Discannya seolah-olah dia tidak berbaju. Cara pandangannya
cukup sinis, macamlah Aira ni manusia yang bertanduk.
Aira menghulur tangan namun salamnya disambut
dengan hujung jari. Belum sempat dia mencium tangan
bakal ibu mentuanya, cepat-cepat wanita tua itu menarik
tangannya. Nampak sangat yang mama Amar seolah-olah
tidak sudi tangannya disentuh dan dicium oleh Aira.
Macamlah tangan dia ni ada najis sampaikan jijik mahu
menyentuhnya.
“Ini perempuan yang Amar nak jadikan isteri?” Datin
Noraidah memandang sinis wajah Aira.
“Ya, kenapa? Ada masalah ke?” Amar mengatur
langkah ke sofa. Diikuti oleh Datin Noraidah.
“Aira, come!” panggil Amar bila dilihat gadis itu
masih berdiri tercegak.
Perlahan-lahan Aira mengatur langkah dan
mengambil tempat duduk di sofa. Punggungnya hampir
tenggelam dek kelembutan sofa itu.
“Kenapa Amar pilih perempuan kampung macam
ni? Tak ada standard langsung dan tak setanding dengan
kita!” Datin Noraidah masih menjeling ke arah Aira. Nampak
sangat dia tak puas hati dengan kemunculan Aira di situ.
“Apa masalahnya? Dia okey apa!” Amar tak ambil
kisah wajah cemberut mamanya.
“Dah tak ada perempuan lain ke? Kat mana Amar
jumpa?” Wajah anak sulungnya dipandang dengan rasa
terkilan.
“Mama, Aira satu-satunya pilihan Amar. Soal di mana
Amar jumpa dia, tak perlulah mama tahu. Yang penting, Amar
dah bawa bakal isteri Amar untuk kenalkan dengan mama. Ini
bermakna, majlis kahwin Amar nanti berjalan seperti yang
dirancangkan.” Amar nampak tenang membalas renungan
mamanya.
“Jangan-jangan...” Datin Noraidah merenung wajah
anaknya. Mencari kebenaran di sebalik kemunculan Aira
secara tiba-tiba.
“Mama nak cakap pasal apa ni?” Wajah Amar bertukar
jadi tegang.
“Amar upah perempuan kampung ni ke? Berapa
Amar bayar dia?” Provoke Datin Noraidah sambil melirik ke
arah Aira yang hanya mendiamkan diri.
“Mama, tak payahlah mama nak komen apa yang
Amar buat. Dalam kata lain, dia akan jadi menantu mama.
Sama ada mama suka atau tidak, mama tetap kena terima.
Amar tak nak dengar sebarang bantahan dari mama. Full
stop!” Amar bertegas. Dia tidak mahu mendengar sebarang
bantahan daripada mamanya.
“Amar!” Dada Datin Noraidah mula berombak.
“Mama, yang nak kahwin sekarang ni Amar. So,
Amar harap mama dapat terima semua ni dengan hati yang
terbuka.”
Datin Noraidah mengeluh kasar. Bibirnya diketap
rapat. Geram kerana anak lelakinya tidak mahu ikut cakapnya.
“Tapi Amar... kita tak tahu asal usul perempuan ni.
Takkanlah Amar main cekup aje mana-mana perempuan
yang Amar jumpa? Mama nak cakap apa kalau saudara-mara
dan kawan-kawan mama tanya siapa keluarga perempuan
ni? Entah-entah dia hanya nak bolot harta kita aje!” Datin
Noraidah tetap melahirkan rasa tidak puas hati atas pilihan
Amar.
Amar tergelak kecil.
“Mama... mama. Harta benda yang bertimbun, kalau
dah mati tak boleh nak bawa masuk kubur. Tak payahlah mama
nak bangga sangat. Semua tu hanya pinjaman sementara
saja. Bila-bila masa Allah boleh tarik balik.” Nasihat Amar lalu
kepala digelengkan sambil bibirnya tergelak kecil.
“Hesy, susah betul cakap dengan Amar. Degil! Asyik
nak menangkan diri aje!” cemuh Datin Noraidah makin sakit
hati.
“Mama pun sama. Mana tak tumpahnya kuah kalau
tak ke nasi!” tempelak Amar membuatkan wajah Datin
Noraidah makin cemberut.
Amar buat-buat tak peduli dengan apa yang
dipamerkan oleh Datin Noraidah.
“Aira, kenalkan ini Datin Noraidah, mama aku. Oleh
kerana kau bakal jadi isteri aku iaitu menantu dalam rumah
ni, jadi kau boleh latih lidah kau panggil dia mama. Bolehkan,
mama?” Amar merenung wajah Datin Noraidah seketika.
“Huh!” Hanya itu balasan yang keluar dari mulut
Datin Noraidah, siap bagi jelingan maut lagi pada Aira.
Aira hanya mampu menundukkan wajahnya. Tak
sanggup rasanya nak berhadapan dengan semua ini. Rasa nak
terus angkat punggung dan beredar. Tak sampai 15 minit pun
dia di rumah ini, hatinya rasa cuak. Apatah lagi nak tinggal
berminggu-minggu atau berbulan-bulan. Boleh mati kering
dia dibuatnya nanti.
“Mana papa? Tak nampak pun.” Amar ubah topik.
“Papa keluar. Kejap lagi baliklah tu.” Datin Noraidah
bersuara acuh tak acuh.
“Isy, papa ni! Kan Amar dah beritahu yang Amar nak
bawa balik bakal isteri Amar untuk kenalkan dengan mama
dan papa. Susah betullah! Amar bukan apa, Amar tak nak
mama dan papa risau aje. Yalah, majlis kahwin tu tinggal dua
hari lagi. Mama dan papa tak kenal pun siapa yang bakal jadi
menantu, itu sebabnya Amar bawa balik Aira ni.” Amar mula
merungut tak puas hati.
Tak lama kemudian, Mak Jah muncul dengan dulang
di tangan.
“Mama, takkanlah mama tak nak tanya khabar
langsung pada Aira?” Wajah Datin Noraidah yang mencuka
dipandang seketika.
“Nak tanya apa? Mama rasa tak ada benda yang
menarik pun pasal dia. Tengok muka pun dah tahu!”
Aira mengetap bibir. Hatinya mula rasa pedih.
Matanya mula rasa panas.
“Okay, no problem. Mama pasti punya banyak masa
untuk dihabiskan bersama Aira nanti.” Amar melirik ke arah
bakal isterinya.
“Kenapa tengok aje air tu? Tak sudi minum?” Datin
Noraidah mula menegur apabila dilihatnya Aira hanya
mendiamkan diri.
“Ya. Terima kasih, Datin.”
“Kau ni degil, kan? Kan aku suruh kau panggil mama
kan tadi!” marah Amar tiba-tiba membuatkan Aira mengetap
bibir. Serentak itu juga dia melirik ke arah Datin Noraidah
untuk mencari reaksi.
“Biarlah. Mama tak kisah kalau dia nak panggil
Datin,” ujar Datin Noraidah sambil tayang muka selamba
walaupun hakikatnya dia suka panggilan itu meniti di bibir
gadis itu.
Rasanya Aira tak layak menjadi menantunya, apa lagi
untuk memanggil dia mama. Dia tak akan sesekali menerima
gadis itu dalam hidupnya. Malah dia akan lakukan sesuatu
agar hubungan mereka berdua tidak akan bertahan lama.
“Mama, Amar nak masuk bilik kejap. Mama
berbuallah ya.” Amar mengangkat punggung.
Hakikatnya, Amar saja mahu Datin Noraidah dan
Aira saling mengenali antara satu sama lain. Dia tahu, mama
seorang yang mementingkan kesempurnaan dalam memilih
menantu. Itu sebabnya mama mahukan Jasmine menjadi
isterinya kerana bagi mama, gadis itu cukup sempurna di
matanya.
“Siapa nama kamu sebenarnya?” Datin Noraidah
merenung tajam wajah Aira yang menunduk.
“Nama saya Humairah binti Lajis.” Takut-takut Aira
memandang wanita di hadapannya.
“Lajis? Tak ada kelas punya nama. Kamu ni
keturunan apa ya?” Datin Noraidah masih lagi merenung
wajah Aira membuatkan hati Aira semakin kecut dan takut.
“Sebenarnya Datin, Lajis bukanlah nama ayah
kandung saya. Itu cuma nama ayah angkat saya. Dia yang
pelihara saya sejak kecil. Tujuan utama saya datang ke KL
untuk mencari orang tua kandung saya, tapi tak sangka pulak
saya berkenalan dengan Encik Amar. Saya betul-betul tak
sangka dia melamar dan meminta saya untuk menjadi isteri
dia.” Aira cuba menjelaskan perkara sebenar.
“Habis tu, macam mana kamu nak kahwin nanti?
Keluarga angkat kamu datang?”
“Maaf, Datin. Mereka tak dapat datang sebab ada hal
yang tak dapat dielakkan.”
“Bagus jugak. Nanti keluarga kamu memalukan
keluarga saya.” Datin Noraidah tetap dengan gaya angkuh,
sama sikapnya dengan Amar. Memang patut pun kata Amar
tadi, di mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi.
“Saya masih tak faham, macam mana kamu boleh
terjebak dengan Amar?” Bagaikan polis pencen, Aira terus
disoal.
“Saya rasa, dalam hal ni eloklah Datin bertanyakan
kepada Encik Amar sendiri kenapa saya dipilih. Tapi saya nak
ingatkan Datin, saya terima Encik Amar bukan kerana saya
mahukan harta dia. Saya sama sekali tak pernah kenal siapa
Encik Amar, apatah lagi keluarga dia. Dan saya faham, tentu
sukar untuk Datin terima saya yang tak punya apa-apa ni
untuk menjadi sebahagian dari keluarga Datin. Datin jangan
risau saya akan cuba lakukan yang terbaik agar Encik Amar
dan juga Datin sekeluarga tidak akan malu dengan kewujudan
saya.” Aira membalas dengan rasa rendah diri.
“Hmm... tengoklah macam mana. Tapi saya harap
kamu jangan berharap sangat sebab saya tak yakin yang kamu
boleh hidup bahagia bersama Amar. Kamu tahu tak yang
Amar tu sukar nak dikawal? Dia hanya mahukan yang terbaik
untuk diri dia. Terlalu panas baran dan ego yang cukup tinggi.
Saya rasa kamu tak akan bertahan lama. Lagipun, dari cara
penampilan kamu, saya cukup yakin yang kamu memang tak
layak untuk bergandingan dengannya.”
Aira hanya diam. Tak berani nak komen apa-apa.
Bimbang menimbulkan kemarahan wanita tua itu.
“Untuk pengetahuan dan makluman kamu, saya
sebenarnya dah ada pilihan untuk Amar dari dulu lagi. Tapi
Amar tolak sebab dia dah ada pilihan, Tasya. Lepas Tasya
curang, dia pilih kamu pulak. Sukar saya nak percaya kenapa
kamu yang jadi pilihan dia.” Datin Noraidah masih gagal
mencari punca utama anaknya memilih gadis ini sebagai
isterinya.
“Saya faham dan saya tak menaruh harapan yang
tinggi. Cuma saya harap saya mampu bahagiakan dia selagi
saya bersama dia.” Aira tetap pamerkan wajah tenang
walaupun hakikatnya dia betul-betul berdebar menangani
kerenah wanita tua ini.
Datin Noraidah mendengus perlahan. Nampaknya
dia tak boleh pandang remeh dengan gadis kampung ini.
Dari pengamatannya, gadis itu petah berbicara. Mungkin
ini salah satu faktor yang membuatkan Amar tertarik. Dia
tahu bahawa anak lelakinya itu pantang dicabar kerana Amar
sukakan cabaran dan tidak suka akan kekalahan.
“Okey, mama. Amar rasa Amar dah bagi mama masa
untuk berkenalan dengan bakal menantu mama. Amar harap
semuanya berjalan dengan baik.” Tiba-tiba Amar muncul
mencelah perbualan mereka.
Kali ini penampilannya agak ringkas. Hanya T-shirt
lengan pendek dan seluar jean.
“Ya, cukup untuk sementara waktu dan betul kata
Amar, mama masih punya banyak waktu untuk kenal siapa
Aira. Betulkan Aira?” Datin Noraidah pamer senyuman sinis.
Aira hanya tunduk memandang karpet yang
dipijaknya.
“Hmm, nampaknya papa tak balik lagi. Jadi apa-apa
maklumat yang mama dapat, mama kongsilah dengan papa
ya!” Dengan selamba Amar memberi peringatan kepada
mamanya membuatkan Datin Noraidah mengetap bibir.
Manakala Aira hanya menyimpul senyum. Memang
dahsyat lelaki yang bernama Amar Safuan ini. Selamba saja
mengenakan mamanya.
“Hmm.” Itu yang keluar dari mulut Datin Noraidah.
“Apa-apa hal, kita bincangkan kemudian.” Amar
sudah menarik tangan Aira.
“Amar nak ke mana?” Datin Noraidah sedikit kalut.
“Nak keluar. Hantar buah hati Amar ni, tapi sebelum
tu Amar nak pergi dating dulu.”
Aira dah mula telan liur.
“Hah?” Mata Datin Noraidah bulat memandang
wajah Amar sebelum memandang wajah Aira.
“Why ma? Is anything wrong?”
“Macam mana dengan persiapan perkahwinan
kamu berdua nanti?” Saja Datin Noraidah cuba kawal rasa
terkejutnya dengan rancangan anaknya tadi.
“Semuanya dah diuruskan. Mama jugak yang
tempah wedding planner, kan. Biarlah mereka yang uruskan
semuanya. Dah kerja mereka. Yang pentingnya ada tok kadi
untuk jadi jurunikah. Aira ni boleh pakai wali hakim sebab
dia tak tahu kat mana orang tuanya. Kalau nak cari mereka
makan masa sedangkan semua persiapan dah dibuat.”
Aira hanya diam membisu. Biarlah Amar yang
uruskan semuanya.
“Kamu ni Amar... ada kalanya ambil mudah semua
benda, tapi ada ketikanya terlalu cerewet. Hesy, tak faham
mama!” Datin Noraidah pening bila memikirkan sikap
Amar. Anaknya itu suka bertindak sendiri tanpa berbincang
dengannya terlebih dahulu.
“Take it easy, ma. Tak payahlah mama nak bebankan
fikiran mama. Nanti darah mama naik. Mama nak ke masuk
hospital?”
Datin Noraidah mendengus kasar mendengar
sindiran Amar itu.
“Datin, saya pergi dulu!” Aira menghampiri mama
Amar untuk bersalaman. Tindakan Datin Noraidah sama
seperti mula-mula tadi. Acuh tak acuh saja menyambut
salamnya.
Amar yang melihat gelagat mamanya buat-buat tak
peduli. Namun dalam hati dia tetap merungut akan sikap
mamanya itu.

AMAR MELIRIK ke sebelah bila suasana dalam kereta begitu
sunyi. Radio pun dia tak pasang.
“Kenapa diam aje? Dah bisu ke? Sebelum ni bukan
main becok lagi mulut kau bercakap itu ini.” Amar melirik
sekilas wajah Aira di sebelah.
Aira membalas dengan jelingan.
“Jampi apa yang mama aku pakai sampaikan
kau macam tak ada mulut nak cakap?” Amar menaikkan
keningnya.
Aira tetap diam.
“Aira, kau dah pekak dan bisu ke?” Tiba-tiba Amar
meradang.
“Encik...” panggil Aira perlahan.
“Hah, ada pun suara kau.” Amar melirik seketika
wajah Aira yang muram.
“Encik,” panggil Aira lagi.
“Encik, encik. Apa dia, cakaplah!” gesa Amar mula
geram.
“Encik, kalau saya nak tarik diri jadi isteri encik
boleh ke?” Aira membuat usul.
“Apa dia?” Amar benar-benar tersentak.
“Saya tak nak kahwin dengan encik, boleh tak?
Saya nak tarik diri.” Kali ini suara Aira lebih kuat dan jelas
kedengaran di telinga Amar.
Streeeettt...
Kereta yang dipandu oleh Amar tiba-tiba berhenti
mengejut membuatkan Aira terdorong ke depan. Nasib baik
tangannya sempat menahan pada dashboard.
“Apa ni encik?” marah Aira dengan tindakan Amar
yang tiba-tiba berhenti secara mengejut di tepi jalan. Nasib
baik tepi jalan. Kalau tengah-tengah jalan, memang naya saja
kena maki dengan pemandu lain.
“Boleh tak kau ulang balik apa yang kau cakap tadi.
Biar jelas kedengaran kat telinga aku!” bentak Amar dengan
suara tegas dan wajah berang membuatkan Aira mula kecut
perut.
“Encik ni pekak atau pura-pura pekak? Encik nak
saya ulang berapa kali?”
Aira meluahkan rasa mengenangkan tindakan Amar
tadi. Jantungnya masih belum stabil berdenyut. Debaran
masih belum hilang.
“Isy, aku lempang jugak muka kau ni karang!” Amar
mendengus kasar sambil tangannya menghentak kasar di
stereng Range Rovernya. Mukanya sudah merah menahan
marah.
Aira menarik nafas panjang setelah dadanya sudah
beransur tenang.
“Aku nak kau keluar sekarang!” Amar mengarah
tiba-tiba dengan suara garang membuatkan bahu Aira
terangkat dek terkejut.
“Encik!” Aira menoleh memandang wajah lelaki itu
yang sudah menyinga.
“Kau tak dengar apa yang aku cakap? Aku cakap keluar
sekarang, keluar!!!” Amar membentak kuat membuatkan
tubuh Aira tersentak. Benar-benar terkejut.
“Kalau saya keluar dari kereta encik ni, macam mana
saya nak balik? Saya bukannya tahu jalan kat sini.” Aira mula
ketakutan.
“Ah, aku tak peduli. Yang penting sekarang, aku nak
kau keluar dari kereta aku. Sekarang jugak! Kau nak keluar
sendiri atau kau nak aku heret kau keluar?” Wajah Amar
masih lagi berang.
“Okay, fine! Saya keluar sekarang. Puas hati!”
Akhirnya Aira akur pada arahan Amar walaupun
hakikatnya dia benar-benar sedih dengan tindakan dan sikap
lelaki itu. Rasa menyesal menebal saat ini kerana telah terlibat
dengan lelaki itu.
Sebaik saja Aira membuka pintu dan keluar, Range
Rover yang dipandu Amar terus meluncur laju meninggalkan
dia yang terkontang-kanting di tepi jalan dengan cuaca yang
panas terik.

AIRA MEMEJAM mata, mahu melupakan seketika apa yang
telah berlaku. Di samping itu, dia cuba mengawal air matanya
dari terus mengalir keluar dari kelopak matanya. Dia perlu
kuat dan tabah untuk menghadapi apa saja rintangan. Anggap
saja apa yang berlaku tadi hanya satu percubaan dan dugaan
yang cukup mudah untuk ditangani.
Aira tiada pilihan. Dia perlu berjalan kaki untuk
mencari tempat berteduh dan tempat perhentian teksi.
Nekadnya satu. Dia perlu balik ke Ainon Florist. Mulai saat ini
dia akan melupakan terus lelaki yang bernama Amar Safuan
itu dari kotak ingatannya. Anggap saja lelaki itu tak pernah
wujud.
Belum pun jauh dia berjalan, langkah Aira tiba-tiba
terhenti dan kaku apabila kereta milik Amar laju mengundur
dan betul-betul berhenti di depan matanya.
“Aira.” Amar bersuara sebaik cermin Range Rover
diturunkan.
Aira mendengus perlahan sebelum kakinya diatur
melangkah ke depan. Membiarkan Amar terus memanggil
namanya berkali-kali.
“Aira, masuk. Panas kat luar tu!” Amar mengajak
sambil mengikut langkah gadis itu dengan keretanya.
Aira tetap tidak menghiraukan ajakan Amar,
sebaliknya dia terus menonong berjalan tanpa sedikit pun
menghiraukan lelaki itu. Hatinya masih lagi sakit dan dia
benar-benar rasa sedih.
Akhirnya Amar mengambil tindakan melintangkan
keretanya untuk menghalang Aira. Dia keluar dari kereta dan
terus berhadapan dengan Aira.
“I’m sorry, aku minta maaf. Aku tahu aku bertindak
keterlaluan tadi. Sekali lagi aku minta maaf!” mohon Amar
sambil merapatkan tangannya.
“Aira, please...” Amar terus memujuk sambil menarik
tangan Aira apabila Aira cuba nak melangkah.
“Encik, saya sedar saya ni tak punya apa-apa
keistimewaan yang boleh dibanggakan, tapi saya masih punya
hati, punya perasaan. Tolonglah... tolong jangan ganggu hidup
saya lagi. Anggap saja kita tak pernah kenal dan tak pernah
berjumpa. Encik carilah orang lain untuk encik jadikan isteri.
Saya minta maaf. Saya betul-betul minta maaf.” Selesai saja
mengucapkan kata-kata itu, Aira kembali mengatur langkah.
Amar diam seketika. Otaknya ligat memikirkan
sesuatu.
“Eh, encik buat apa ni?” Tiba-tiba Aira melenting
marah apabila Amar memeluk tubuhnya dari belakang
membuatkan nafasnya resah dan benar-benar ketakutan
kerana tindakan mendadak lelaki itu mengingatkan dia pada
perbuatan Lajis.
“Tak, aku tak akan lepaskan kau selagi kau tak
maafkan aku!”
Aira mula menelan liur. “Encik, tolong lepaskan
saya. Tak payahlah nak buat drama sebabak kat tepi jalan.
Malu orang tengok.” Muka Aira dah rasa panas. Badannya
mula menggigil.
“Encik, lepaskan saya!” marah Aira dengan suara
gementar. Suka hati saja main peluk-peluk orang. Tak ada
adab betul! Memang kurang penghayatan agama betullah
mamat ni.
“Aku akan lepaskan pelukan ni kalau kau sudi
maafkan aku dan sudi jadi isteri aku. Kalau tak, aku akan
terus peluk kau kat sini sampai petang. Kau nak? Atau kau
suka aku peluk kau macam ni?”
Aira mengetap bibir. Rasa nak siku sahaja lelaki tak
tahu malu ini. Bikin malu anak cucu Adam saja.
“Okey, saya maafkan. Tolong lepaskan saya! Kalau
tak, saya akan lakukan sesuatu pada encik dan saya pasti
encik akan menyesal seumur hidup.”
Aira terpaksa mengalah walaupun dia turut
mengugut lelaki itu. Malu betul apabila tindakan Amar itu
menjadi perhatian orang yang lalu di situ. Malah ada yang
siap bersiul dan ada yang siap mengutuk lagi.
“Okey, lagi satu...” Amar belum bersedia untuk
melepaskan pelukan.
“Apa lagi encik?” bentak Aira penuh debaran.
“Kau kena setuju nak jadi isteri aku, baru aku
lepaskan!” bisik Amar di telinga Aira membuatkan Aira jadi
seriau.
“Ya... ya. Saya setuju dan sudi untuk jadi isteri encik.”
“Yes!” Amar segera melepaskan pelukannya dan
mula berhadapan dengan Aira.
“Thanks!” ujar Amar lalu kedua-dua belah tangannya
menyentuh pipi Aira. Senyuman manis terukir di bibirnya
tanpa rasa bersalah atas apa yang dilakukannya.
“Lain kali jangan buat macam ni lagi. Kita masih
belum halal dan encik tak boleh sesuka hati nak peluk saya.
Dahlah di tempat awam macam ni.” Aira cuba mengawal rasa
marah.
“Kau yang buat aku bertindak macam ni. Jangan nak
salahkan aku.” Amar membela diri. Tetap tak mahu mengaku
salah.
“Dahlah. Tolong hantar saya balik ke tempat kerja
saya.” Aira mendekati kereta milik Amar.
Amar akur. Bibirnya masih lagi terukir senyuman.

No comments:

Post a Comment