SEPANJANG perjalanan ke Ainon Florist,
Aira hanya membisu. Entah kenapa dia masih lagi terasa
kehangatan tubuhnya berada di dalam pelukan Amar. Untuk
kali kedua, tubuhnya dipeluk Amar. Mengenangkan hal
itu, hatinya kembali berdebar-debar. Dia jadi malu untuk
berhadapan dengan lelaki itu.
“Mulai saat ini, aku tak nak dengar sebarang
rungutan dan bantahan berkaitan dengan perkahwinan kita.
Dan ingat, jangan sesekali kau ada niat nak tarik balik apa
yang kau cakap tadi.” Amar memberi peringatan.
“Maksud encik?” Dahi Aira berkerut.
“Hesy, apasal kau ni bengap sangat? Geram aku!”
Amar mengetap bibir.
“Dah encik tahu saya ni bengap, apasal encik tetap
pilih saya? Pilihlah orang lain!” Aira menahan geram dengan
tuduhan itu.
Amar mendengus kasar.
“Kau ni, memang sengaja nak sakitkan hati aku. Suka
sangat lawan cakap aku.” Tangan Amar sempat menjentik
dahi Aira membuatkan gadis itu mengaduh.
“Encik ni pun satu, suka sangat ketuk dan jentik
dahi saya ni kenapa? Dahi saya ni saya bayar zakat tau! Encik
tak boleh sesuka hati aje nak luku, nak ketuk atau nak jentik.
Nanti saya saman baru tahu!” Aira melepas nafas kasar.
Geram.
Tiba-tiba meletus tawa dari mulut Amar.
“Alah, lepas kau jadi isteri aku nanti aku bayarlah
zakat untuk dahi kau tu. Bukan untuk setahun sekali, tapi
untuk setiap hari.” Amar tayang sengihan nakal.
Aira sudah menjeling tajam.
“Encik, encik sedar tak yang mama encik tak setuju
saya jadi isteri encik. Encik pun tahu yang restu orang tua
cukup besar maknanya dalam sesebuah perkahwinan. Dahlah
saya sendiri tak dapat restu daripada orang tua saya, encik
pun tak dapat restu daripada orang tua encik. Rasa-rasa kita
boleh bahagia ke?” Aira masih lagi gusar memikirkan hal
perkahwinannya.
“Kau tak payah nak berfikiran negatif sangat.
Lambat-laun mama pasti akan merestui perkahwinan kita
nanti. Mama tu, kita kena pandai ikut rentak dia. Jadi kau
kenalah pandai tackle hati dia. Janganlah nak harapkan aku
sorang aje,” komen Amar.
“Senanglah encik cakap sebab encik anak dia. Tapi
saya ni...” Aira mula rasa sebak.
“Tak payahlah kau nak fikirkan sangat. Aku kan ada.
Aku akan sentiasa ada di sisi kau,” pujuk Amar sekali gus tangan
Aira dicapai dan digenggam seketika sebelum Aira bertindak
menarik tangannya. Akhirnya, Amar memberhentikan kereta
di sebuah restoran.
“Kenapa kita singgah kat sini? Kan saya minta encik
hantar saya kat tempat kerja saya,” soal Aira terpinga-pinga.
“Kau ni Aira... ada aje benda yang kau nak komen.
Aku lapar. Tengah hari tadi tak sempat nak makan. Jadi, kau
temankan aku makan kat sini. Lepas tu, baru aku hantar kau!”
Aira mula memprotes.
“Tak payah nak tarik muncung macam tu. Aku cium
karang. Kalau tadi sempat kita buat drama sebabak, apa kata
kita buat drama dua babak. Aku tak kisah, lagi suka adalah.”
Amar mula pamer senyum nakal.
“Huh, memang dasar manusia yang suka
menyakitkan hati orang lain!” dengus Aira perlahan.
“Mengumpat akulah tu. Sekali lagi kau kutuk aku,
aku akan kotakan apa yang aku kata. I really mean it. Aku tak
peduli kalau orang tengok. Kalau kau tak nak aku cium kau
depan orang ramai, kau ikut temankan aku makan. Kau mesti
laparkan. Ha, dengar tu. Perut kau pun dah berbunyi-bunyi
minta diisi.” Amar mengusik sambil menahan senyum.
“Eh, mana ada bunyi. Encik saja aje nak malukan
saya, kan!” Aira menarik muka masam.
“Alah, kau ikut ajelah. Bukan kau yang bayar pun,
aku yang bayar!” Amar terus menarik tangan Aira.
Nak tak nak Aira terpaksa akur dan mengikut
langkah Amar.
“Kenapalah aku mesti jumpa dengan manusia tak
punya tamadun dan tahu nak sakitkan hati aku aje. Hai,
apalah nasib badan.” Aira mengeluh perlahan.
“Duduklah,”
Aira menarik kerusi perlahan dan terus melabuhkan
punggungnya.
Amar terus memanggil pelayan.
“Kau nak makan apa?”
Aira sekadar merenung menu yang ada di
hadapannya. Tak tahu nak pilih apa.
“Apa-apa ajelah.”
“Apa-apa ajelah mana ada jual kat sini? Aku tak
pernah dengar pulak menu macam tu. Mungkin menu tu
famous kat kampung kau tak.” Amar meneliti menu di
tangan.
Aira mengetap bibir. Sempat matanya melihat wajah
pelayan itu. Lelaki itu cuba mengawal senyum membuatkan
dia rasa nak menyorok saja bawah meja. Malu kena perli.
“Encik order aje apa yang encik nak makan. Saya
ikut aje apa yang encik makan, boleh? Saya tak tahu nak order
apa.” Akhirnya Aira bersuara.
“Nanti apa yang aku order, tak kena dengan selera
kau pulak!”
Amar meletak menu di atas meja. Matanya terus
terpaku menatap wajah mencuka Aira. Melihat gadis itu tiada
respons, Amar membuat pesanan.
“Aku harap kau tak kisah apa yang aku order tadi.”
“Saya bukannya memilih soal makan. Saya terima
apa saja rezeki yang Allah bagi. Tolak batu dengan kayu aje.”
Aira merenung wajah Amar dengan gaya selamba.
“Oh, aku ingatkan benda tu pun kau makan jugak.”
“Kalau benda tu boleh makan, memang saya makan.
Dan kalau encik ni pun saya boleh telan, memang nak sangat
saya telan. Hilang sikit sakit hati saya bila encik dah tak ada
depan mata saya!” Aira dah mula rasa bengang.
“Ya ke? Kau yakin yang kau mampu telan aku?”
Amar senyum sinis sambil menaikkan keningnya.
“Hmm...” Aira berpeluk tubuh.
“Bila kau dah telan aku, memang aku tak akan ada
depan mata kau, tapi secara tak langsung aku akan ada lebih
dekat dengan kau. Lagi dekat sampai kau tak boleh berpisah
dengan aku!” Sekali lagi Amar menaikkan keningnya.
“Yalah tu!” Aira mencebik.
“Kau tak percaya ke?” Wajah Aira ditenung dengan
penuh minat.
Aira angkat bahu.
“Tanpa kau tak sedar sebenarnya aku akan lebih
dekat dengan hati kau sebab aku ada dalam tubuh kau. Betul
tak?” Sekali lagi Amar pamer senyum senget membuatkan
Aira menelan liur.
‘Alamak, dia kenakan aku balik!’ Muka Aira rasa
panas.
“Dahlah. Aku tak nak gaduh dengan kau buat masa
sekarang. Aku simpan untuk esok. Seronok sangat dapat
gaduh dengan kau, dapat kenakan kau.” Amar ketawa ceria.
“Buatlah apa yang encik nak buat asalkan encik
bahagia.” Aira mengeluh perlahan.
“Memang pun. Aku tak pernah rasa bahagia
sepertimana kau ada depan aku. Serius, hidup aku lebih ceria
bila bersama kau. Terima kasih sebab kau sudi terima aku.”
Amar mengukir senyum.
Aira diam. Terpaku seketika dibuatnya saat melihat
wajah Amar yang sedang mengukir senyum itu. Nampak
begitu menarik dan ikhlas sekali senyuman lelaki itu kali ini.
“Kenapa kau pandang aku macam tu? Dah jatuh
cinta dengan aku ke?” usik Amar dan kembali tayang senyum
membuatkan Aira jadi gelabah tiba-tiba.
“Mana ada...” Aira mula kalut menyembunyikan
wajah.
“Tak nak mengaku konon. Tapi dalam hati kau dah
mula jatuh cinta dengan aku, kan?” Provoke Amar sambil
merenung wajah Aira yang mula bertukar merah.
“Perasanlah encik ni!” Aira cuba menafikan tuduhan
Amar dengan perasaan gementar.
Amar tetap ukir senyum kerana dia yakin bahawa
Aira pasti akan jatuh cinta dengannya.
“Well... well... well... pasangan sejoli dua merpati.”
Amar segera memandang wajah empunya yang
tiba-tiba muncul dan menegurnya.
“Hi, bro. Aku ingatkan kau tak jadi datang!”
Amar bangun dan terus menghulur tangan untuk
bersalaman dengan lelaki yang baru muncul di depan mereka.
“Kenapa pulak tak datang? Aku dah tak sabar nak
jumpa dengan suri hati kau merangkap bakal isteri kawan
baik aku ni.”
Khairul tergelak kecil. Dia memandang seketika
wajah Aira yang hanya diam membisu. Agaknya Aira segan
nak berhadapan dengannya.
“Hai, I’m Khairul. Panggil Rul aje. You ni...” Khairul
menghulur tangan untuk bersalaman tapi hanya disambut
dengan senyuman oleh Aira membuatkan Khairul menarik
semula tangannya.
“Sorry. I terlebih excited nak berkenalan dengan
bakal isteri kawan I.” Khairul cuba menutup malu.
“Aira, ini bestfriend aku.” Amar membuka mulut.
“Amboi, main bahasa aku aje? Dahsyat betul.
Ingatkan dah praktis panggilan yang lebih romantik!”
usik Khairul agak terkejut dengan panggilan bahasa yang
digunakan oleh Amar.
“Ikut suka akulah. Lagipun, Aira tak komen apa
pun.”
“Ya ke Aira?” Khairul memandang wajah Aira.
“Saya ada komen, tapi encik tahulah perangai kawan
encik ni, bukannya nak dengar kata orang. Nak ‘sekolah’kan
dia pun dah tua bangka, lidah dah keras. Jadi terima ajelah
seadanya asalkan dia bahagia.” Aira memberi komen selamba.
Khairul ketawa terbahak-bahak sampaikan dia
menjadi perhatian pengunjung di restoran itu.
Amar sudah mula tarik muka masam. Wajah Aira
dipandang dengan rasa geram.
“Tak payahlah kau nak ketawakan aku macam orang
gila. Aku dah kebulur nak makan, nanti dengan kau-kau
sekali aku telan!” Amar mendengus kasar. Sebenarnya dia
geram dengan kata-kata Aira tadi.
Aira dan Khairul saling berbalas pandang. Di bibir
mereka mula terukir senyuman. Sedaya upaya Aira cuba
menahan dari melepaskan tawa apabila teringatkan kata-kata
yang dilontarkan olehnya kepada Amar tadi.
‘Huh, tiru idea aku. Tak malu!’
“Amboi, baru jumpa dah pandai main mata. Kau nak
aku cungkil mata kau ke?” Amar memandang tajam wajah
Aira sebagai amaran.
“Kau pun sama Rul. She does not belong to
you!” Sakit pula rasa hati apabila Aira macam selesa saja
mengenakan dia bersama Khairul.
“Wow, ada orang cemburulah! Menarik ni. Kau
sedar tak Amar, selama kau bersama Tasya, tak pernah pun
kau sound dia. Ini dah di luar jangkaan.” Khairul berjaya
mengocak perasaan kawannya sekali lagi.
Amar tak jadi nak buka mulut apabila pelayan datang
membawa hidangan dan sekali gus mengambil order untuk
Khairul.
“Sorry, aku makan dulu. Perut aku ni dah tak tahan,
lapar sangat!” Amar terus mencapai sudu dan garpu.
“No problem. Aku faham,” ujar Khairul.
“Aira, you kena jaga makan bakal suami you ni, dia
ada gastrik.”
Mata Aira terus terpaku memandang wajah Amar.
“Aira, kenapa pandang aje makanan tu? Makanlah.
Kejap lagi order I sampai.” Khairul menegur apabila dilihatnya
Aira teragak-agak nak makan.
“Saya makan dulu ya?” Aira mencapai sudu dan
garpu.
Tidak lama kemudian, oder Khairul sampai dan
mereka bertiga menikmati hidangan dengan begitu selera
sekali.
Bagi Aira, ini kali pertama dia menikmati makanan
mewah dan mahal. Dan dia bersyukur kerana Amar memilih
menu yang tepat dengan seleranya; nasi. Maklumlah perut
dia perut Melayu, amat berbeza sekali dengan cita rasa Amar.
“Hmm... macam mana korang berdua boleh kenal?”
Khairul memandang wajah Amar dan Aira silih berganti.
“Panjang ceritanya.” Amar mengelap mulutnya
dengan napkin.
“Pendekkan.” Khairul mencelah.
“Kalau pendekkan, kami jumpa dan aku ajak dia
kahwin dan dia setuju. Jadi esok dengan rasminya aku dan
Aira jadi suami isteri.”
“Okey, aku boleh terima, tapi aku nak tahu
keseluruhan ceritanya walaupun bukan sekarang.” Khairul
tidak mahu mendesak kerana dia tahu lambat-laun dia pasti
akan tahu juga cerita tentang kawan baiknya.
“Aira, you betul-betul serius ke nak kahwin dengan
Amar?” Khairul merenung wajah Aira yang agak terkesima.
Aira menelan liur.
“Bro, kau sebenarnya paksa dia untuk terima kau
kan?” Kali ini wajah Amar pula menjadi sasaran Khairul.
“Apasal kau tiba-tiba berminat ni? Kau pun teringin
nak kahwin jugak ke?” Amar pura-pura gelak, sengaja nak
mengelak daripada disoal oleh Khairul.
“Of courselah. Bila kawan baik aku ni dah nak
kahwin, aku pun teringin jugak nak tamatkan zaman bujang
aku, sebab lepas kau dah kahwin aku dah tak ada geng. Kau
mesti nak berkepit aje dengan wife kau ni malam-malam. Dah
tak ada masa nak temankan aku keluar malam, lepak-lepak
kat coffee house lagi.” Khairul tayang sengih.
“Elok kahwin dari terus buat maksiat, kan,” komen
Amar.
“Hai, apasal tetiba jadi baik ni?” Khairul mengangkat
keningnya sambil menyimpul senyum.
“Bina masjid adalah perkara yang baik. Runtuhkan
masjid tu, perkara yang dilarang.” Amar turut merenung
wajah Khairul.
“Betul tu. Aku setuju, tapi aku tak tahulah nak pilih
yang mana. Banyak sangat stok yang aku ada sekarang.”
Khairul tayang sengih lagi.
“Banyak sangat stok? Maksud Encik Khairul?”
Tiba-tiba Aira rasa berminat nak tahu.
“Kalau kau nak tahu, dia ni ramai teman wanita.
Jadi, dia tak tahu nak pilih yang mana satu.” Amar mencelah
membuatkan Khairul tersenyum simpul.
“Oh...” Aira mengangguk perlahan.
“Kalau girlfriend I tu macam you, mungkin dah
lama I ajak dia kahwin. Macam Amar ajak you,” ujar Khairul.
Aira memandang wajah Amar dan Amar pula segera
mengalihkan pandang.
“Aira, berapa umur you?”
“20 tahun. Kenapa?”
“Hmm... kenapa you tak nak sambung belajar?
Kantoi ke?” soal Khairul sambil matanya tunak memandang
ke wajah gadis itu.
“Bukan kantoi, tapi tak ada peluang nak sambung
belajar.” Aira melahirkan rasa terkilan.
Kalau ikutkan, memang dia nak sambung belajar.
Nak jadi orang yang berjaya sebelum memikirkan soal
kahwin. Tapi apa boleh buat, sekarang ni dia dah terjebak
dengan lelaki yang bernama Amar.
“Oh I see... I rasa you ni muda lagi untuk bergelar
isteri. Dan satu lagi, you kena banyak bersabar melayan
kerenah kepala angin si Amar ni. Bukannya selalu betul. I dah
lama kenal dia.” Khairul memberi peringatan.
“Aduh!” Tiba-tiba Khairul mengaduh.
“Kenapa kau tendang kaki aku? Sakitlah!” Khairul
mengetap bibir sambil matanya tajam merenung wajah Amar.
“Mulut kau tu jaga sikit. Aku tumbuk karang!” Amar
memberi peringatan.
“Dah betul, terimalah hakikat.” Khairul tergelak
kecil.
Amar mendengus.
“You 20 tahun, I dengan Amar 28 tahun. Jarak usia 8
tahun. Okeylah tu.” Khairul sudah senyum-senyum.
“Macam mana persiapan perkahwinan korang
berdua besok? Settled?” Khairul bertindak macam wartawan.
“Semoga majlis aku esok berjalan dengan lancar dan
aku jugak berharap mama aku tak buat hal.” Amar menarik
nafas perlahan.
“Tak ada hallah. Lama-lama aunty mesti boleh
terima. Sama macam kau nak bertunang dengan Tasya dulu.
Dia pun tak suka dengan si Tasya tu.” Khairul cuba memberi
sokongan.
“Yalah, dalam kepala mama aku tu cuma ada nama
Jasmine sorang aje. Dia dah tak nampak perempuan lain.
Kadang-kadang aku pun bengang jugak dengan perangai
mama aku tu. Nak aku ikutkan semua kehendak dia aje.”
Amar mengeluh perlahan. Secara tak langsung
Khairul mengangguk kepala. Seolah-olah mengiakan
kata-kata kawannya itu.
“Habis tu, kau dah bawa Aira jumpa mama kau?
Jangan kata hari kahwin baru kau bawa Aira ni jumpa mama
kau, pengsan dia nanti.” Khairul memandang wajah Amar.
“Dah. Aku dah bawa Aira jumpa mama aku tadi. Kita
orang baru balik dari jumpa dia dan terus singgah sini jumpa
kau!”
“Apa reaksi dia?” Khairul menunggu jawapan Amar.
“Macam yang aku cakap tadi.” Amar menarik nafas
seketika.
Khairul terus diam.
SELEPAS KELUAR dari restoran, Amar terus menghantar
Aira ke tempat kerja.
“Terima kasih encik sebab sudi belanja saya makan.”
Aira mengukir senyum.
“Benda kecik aje. Nanti esok aku minta Khairul
jemput kau dan Kak Ika.”
Aira mengangguk perlahan.
“Aku nak bagi peringatan terakhir.”
Mata Aira tepat memandang wajah Amar.
“Jangan kau terfikir nak cancel wedding kita esok ya.
Nahas kau aku kerjakan!” Walau apa pun, Amar tetap risau
kalau Aira berubah fikiran di saat-saat akhir.
“Ya, saya tahu. Encik tak payah risau. Saya ni bukan
tergolong dalam golongan orang munafik. Bila saya dah janji,
insya-Allah, akan saya cuba tunaikan.” Aira menarik nafas
seketika.
“Baguslah.” Amar menarik nafas lega.
“Saya masuk kedai dulu.” Pintu kereta dibuka.
“Tunggu kejap!”
Aira tak jadi keluar.
Amar menoleh ke tempat duduk belakang dan
mencapai sebungkus plastik. Terus diserahkan pada Aira.
“Apa ni?”.
“Telefon. Senang aku nak hubungi kau bila-bila
masa. Kau tak payah risau pasal bayaran. Bil telefon tu aku
yang bayar nanti.” Mata Amar tepat memandang wajah Aira.
“Terima kasih encik,” ucap Aira sekali lagi.
“Tapi ingat, jangan sesuka hati pulak kau guna
telefon tu untuk bergayut dengan mana-mana lelaki. Kalau
aku tahu...”
“Encik ingat saya ni spesies monyet ke nak
bergayut-gayut ni?” celah Aira yang mula geram.
“Bukan itu maksud aku. Maksud aku, kau gunakanlah
telefon tu untuk hal-hal penting macam kau nak call ibu
kau kat kampung ke, bukannya untuk layan Facebook atau
benda-benda yang tak berfaedah!” Amar cuba menjelaskan
maksudnya.
“Saya tahu.” Aira membalas acuh tak acuh.
‘Hesy, dia ni... macamlah aku ni dungu sangat!’ Aira
merungut menahan geram.
“Pasal majlis esok, kau tak payah nak fikir banyak.
Semua persiapan aku uruskan. Pagi esok, kau cuma perlu
bawa diri kau saja datang rumah keluarga aku.”
Aira diam. Entah kenapa bila fikirkan soal kahwin,
hatinya jadi sebak dan hiba.
“Kau dengar tak apa yang aku cakap?” Amar mula
membentak.
“Saya dengar. Kalau tak ada apa-apa lagi, saya keluar
dulu.”
“Eh, takkan keluar macam tu aje?” Amar memandang
wajah Aira.
“Habis tu, nak keluar macam mana lagi? Buka pintu,
terus keluarlah. Takkanlah encik nak suruh saya keluar ikut
tingkap kereta ni pulak!” Aira rasa pelik.
“Itulah kau, berapa kali aku nak kena cakap. Bodoh
tu biarlah bertempat!” Amar mengetap bibir.
“Huh, asyik nak menangkan diri aje!” Aira merengus
perlahan.
“Dah tu, apa maksud encik?” Aira tak kuasa mahu
melayan kerenah Amar.
“Takkanlah tak ada apa-apa untuk aku sebagai
balasan?” Amar memberi komen.
Aira menggaru kepala di balik tudung. Blur sekejap.
Takkanlah setiap pemberian daripada lelaki itu, dia kena
balas juga? Dia mana ada duit nak belikan hadiah yang mahal
untuk Amar.
“Maksud aku, takkanlah kau tak nak bagi kiss untuk
aku macam goodbye kiss sebelum kita jumpa esok!” Amar
mula tayang sengih. Sengaja nak menyakat gadis itu. Suka
sangat tengok mimik muka blur pada wajah Aira. Cute sangat!
Buatkan dia rasa bahagia setiap kali menatap wajah itu.
“Oh, encik nak ke?” Mata Aira terpaku ke wajah
Amar.
Dahi Amar mula terangkat.
‘Aik, tak sangka!’ Mata Amar mula bercahaya.
“Kau nak bagi ke?” Amar mula rasa teruja.
“Kalau encik nak saya kiss encik, saya minta maaf.
Saya tak boleh bagi, tapi hanya satu benda aje yang saya boleh
bagi kat encik...” Aira sengaja melengah-lengahkan kata.
“Kau nak bagi apa?” Amar makin teruja.
“Saya hanya boleh bagi pelempang atau penampar
aje. Encik nak ke?” Aira tersenyum sinis membuatkan wajah
Amar terus bertukar merah.
“Huh! Kau ni...” Amar mengetap bibir. Wajahnya
sudah mula merah. Marahlah tu!
Aira tergelak kecil kerana berjaya mengenakan Amar.
“Dahlah, saya pergi dulu. Assalamualaikum.” Aira
ukir senyum dan terus mengatur langkah masuk ke Ainon
Florist yang hanya beberapa langkah dari tempat Amar parkir
tadi.
Amar hanya memandang langkah Aira sambil
menarik nafas. Bibirnya tiba-tiba mengorak senyum.
No comments:
Post a Comment