Thursday, 20 September 2018

Mencari Jalan Pulang - Bab 2

MALAM itu kami hanya menghabiskan masa
duduk di meja tepi balkoni kondominium Izzat selepas
makan malam hasil air tangannya. Ini kali pertama aku
menjejakkan kaki ke rumah Izzat semenjak beberapa bulan
kami menjalinkan hubungan.
Tangan kananku di atas meja dicapai oleh Izzat. Dia
merenung pergelangan tanganku dan tersenyum.
“Dah lama I perhatikan tatu you ni. Bila you buat?”
Aku tersenyum.
“Right after I habis SPM. I kenal sorang tattoo artist
ni masa I melepak kat Soulbox. Dialah yang buatkan tatu ni.”
“You nak tengok something?”
Aku mengangguk. Kemudian Izzat menanggalkan
T-shirt putih di badannya, menyerlahkan tubuhnya yang
tidak terlalu tegap, namun cantik berbentuk. Di bahagian
dada kanannya jelas terlukis simbol yang sama dengan tatu di
pergelangan tanganku, tetapi saiznya lebih besar.
Tergamam, lalu aku menyentuh lukisan di dadanya
dengan jari telunjuk.
“You pun ada?” Aku bertanya sambil memainkan jari
mengikuti garisan-garisan tatu tersebut.
“I buat tahun lepas. Tak sangka sama sebiji dengan
you punya tatu.”
“Cantik,” balasku sepatah. Kagum dengan warna
tatu Izzat yang lebih vibrant.
Sedang asyik aku bermain-main jari di dada Izzat,
dadanya mula kelihatan berombak. Nafasnya juga semakin
lama kedengaran semakin berat. Menyedari keadaan itu,
pantas aku menarik kembali tangan dari dadanya.
Izzat perlahan-lahan berdiri dan menarik tangan aku
supaya mengikutinya menuju ke bilik tidur. Dan malam itu,
buat pertama kalinya, kami hanyut dalam lautan cinta yang
penuh dengan kenikmatan.
“Zie, jom pergi Malaysia Hall malam ni. Ada menteri
datang.”
Suara Mia yang muncul tiba-tiba membuatkan aku
tersedar daripada lamunan. Aku mengalihkan pandangan dari
tatu di pergelangan tangan ke wajahnya di celahan pintu bilik
yang terbuka.
“Kenapa nak kena pergi? Apa kaitan aku dengan
menteri tu?”
“Makan freelah perempuan. Jomlah!”
“Malas.”
“Kau ni Zie... dah 2 minggu kau terperap dalam bilik.
Makan pun tak nak. Mandi apatah lagi. Duk telan asap aje
kerja kau.”
Aku diam tidak mahu membalas. Botol-botol kosong
bertaburan di dalam bilik. Bekas abu rokok bersepah dengan
puntung rokok, seiring dengan baunya yang kuat semerbak
memenuhi bilik ini.
Hendak makan pun tak lalu. Pergi kelas apatah
lagi. Jiwa aku kosong; terlalu kosong. Mungkin bagi orang
lain, putus cinta itu perkara biasa. Tapi berbeza dengan aku.
Izzat itu cinta pertama aku, dan dia jugalah yang membawa
cahaya dalam hidupku ketika aku telah putus asa mencari
kebahagiaan daripada mama dan papa.
Aku sendiri tidak ada ramai kawan selain daripada
Mia. Aku tidak pernah bergaul rapat dengan ahli keluarga
yang lain, memandangkan mama dengan papa telah
pun dipulaukan akibat berkahwin tanpa restu keluarga.
Aku langsung tidak ada tempat bergantung. Izzatlah
satu-satunya manusia tempat aku menumpang kasih. Dia
telah menghidupkan satu pengharapan dalam jiwa aku dan
memberi motivasi baru dalam diriku.
Tapi kini, semua itu telah hilang. Hancur berkecai
segala impian, musnah segala kegembiraan. Aku sudah tidak
peduli dengan pelajaran, makan minum, dan juga kehidupan.
Tiada sebab untuk aku terus kembali bernafas.
Simbol Anarchy di pergelangan tangan kanan
aku renung kembali, lalu satu idea menerjah masuk ke
dalam fikiran. Aku bingkas bangun daripada perbaringan,
mengambil tuala, dan menuju ke bilik air.
“Kau nak pergi mana?” Mia memandangku pelik.
“Pergi city. Buat tatu,” balasku pendek lalu menutup
pintu bilik air.
Sedang aku bersiap-siap, Mia datang mendekati.
“Zie, jomlah pergi hall. Aku teringinlah nak makan
kambing bakar.”
“Aku bukan tak nak teman kau. Kau ingat lagi kan
apa yang jadi masa pertama kali aku pergi hall dulu. Semua
mata pandang serong pada aku.”
Aku tidak menyalahkan mereka kerana
memandangku sebegitu. Memang penampilan aku agak luar
biasa bagi seorang gadis Melayu. Dengan rambut panjang
merah menyala, tatu di pergelangan tangan, dan seluar jean
koyak rabak mendedahkan paha; maka tidak hairanlah jika
pandangan seperti itu yang aku terima.
“Pedulikanlah diaorang. Kita datang makan
aje. Selepas tu, kita balik.” Mia memandang aku penuh
mengharap. “Please Zie... aku nak pergi sorang-sorang nanti
awkward pulak. Aku ni dahlah tak ada kawan lain selain kau.”
Aku terdiam. Mengingatkan segala jasa Mia yang
menjaga dan mengambil berat tentang keadaanku selama ini,
tidak sampai hati pula untuk aku menolak.
“Yalah. Jom teman aku buat tatu dulu.”
“Yeay, sayang kau!”

“ALL DONE. Check it out and tell me what do you think.”
Pengukir tatu tersebut berkata sambil meletakkan tattoo gun
di tangan ke atas work station di sebelahnya.
Aku lantas bangkit daripada perbaringan dan
menuju ke cermin yang terlekat di dinding studio tersebut.
Badan kubalikkan dan melihat refleksi diriku di cermin itu.
Di belakang tubuhku, jelas terlukis imej seutas tali tambang
yang tebal diikat dari tengkukku dan menghala ke bawah.
Hujung tali tersebut menjerut leher seorang perempuan
yang tidak berpakaian dengan kakinya mencecah sehingga ke
atas punggungku.
Dalam diam, bibirku mengukir senyum lebar.
Mia turut mendekatiku dan memerhatikan tatu tersebut
dengan riak kagum. Aku memandang pengukir tatoo itu dan
mengangguk puas hati.
Usai urusan di Tattoo Parlour, aku dan Mia bergegas
menaiki bas menuju ke Malaysia Hall memandangkan hari
sudah pun mulai gelap. Menurut Mia, majlis akan bermula
jam 8 malam.
Setibanya di situ, aku lihat semua yang hadir seperti
sedang berkumpul. Kami masuk melalui pintu belakang
secara senyap-senyap, tidak mahu kehadiran kami disedari
orang ramai. Tiba di kawasan ruang tamu tempat mereka
berkumpul, kami melabuhkan punggung berdekatan dengan
kumpulan wanita-wanita yang sedang berborak sesama
sendiri.
Pantas mata-mata mereka menoleh ke arah kami.
Masing-masing memerhatikan aku dengan tajam, sama
seperti apa yang aku sudah jangkakan. Aku mula berasa tidak
senang duduk dan mendekati Mia dengan rapat.
“Mia, aku rasa pakaian aku hari ni okey aje. Tapi
kenapa diaorang pandang aku macam tu lagi?”
“Biasalah tu, jarang nampak kau agaknya. Kau
bukannya selalu bercampur dengan orang pun.”
Betul juga apa yang Mia katakan. Dalam hati mula
timbul rasa tidak sabar. Bilalah agaknya boleh makan ni. Aku
mahu cepat-cepat pulang.
Tiba-tiba, telingaku menangkap perbualan beberapa
orang dalam kalangan mereka.
“Dia orang Melayu ke, Aina?”
“Aku rasa dia Melayu sebab aku pernah dengar dia
bercakap dalam bahasa Melayu.”
“Gaya dia tak macam Melayu pun, dengan rambut
merah macam tu.”
“Konon-konon nak tiru mat salih kut.”
Mereka sama-sama tergelak sambil mencuri-curi
pandang ke arahku.
“Kau nampak tak kat tangan dia ada tatu?”
“Nampak. Mesti dia jenis tak solat, kan?”
“Dia tak takut dosa ke?”
“Kita doalah, harap-harap kita tak jadi macam dia.”
Membara hati aku mendengar perbualan tersebut.
Rasa malu dan terhina pun ada. Aku pandang Mia. Dia segera
memegang lenganku, cuba untuk menenangkan perasaanku.
Setelah semua hadirin tenang berhimpun, pengerusi
majlis mula membuka majlis dengan mengalu-alukan
kedatangan menteri dan memberikan sedikit ucapan.
Kemudian, kami dipersilakan menjamu selera setelah
makanan siap dihidangkan. Aku dan Mia segera melangkah
menuju ke bahagian kambing bakar.
Mia yang memang gilakan daging kambing
sudah mengambil beberapa potongan daging memenuhi
pinggannya.
“Mia, agak-agaklah sikit kau ambil daging tu. Orang
lain nak makan jugak,” lembut aku menegur.
Mia berhenti mengambil daging, dan sedikit
teragak-agak meletakkan kembali beberapa potong
daripadanya ke dalam tray bufet.
Di belakang kami, kelihatan beberapa orang
lelaki sedang beratur menunggu giliran mengambil
daging. Tiba-tiba, Mia menyinggul lenganku kuat. Aku
memandangnya dan mengerutkan dahi.
“Kau tengok kat belakang kau. Itulah lelaki yang
hantar kau balik malam tu,” bisik Mia di telingaku.
Perlahan-lahan aku toleh ke belakang. Seorang lelaki
kurus tinggi lampai, berbaju T-shirt hitam dan berseluar jean
lusuh sedang membelakangkanku sambil berborak bersama
rakannya. Aku hadapkan tubuhku kembali ke hadapan.
Aku ingin mengucapkan terima kasih kepadanya,
namun dalam keadaan orang ramai beratur menunggu
di belakang, aku kira ini bukan masa yang sesuai. Selepas
makan nanti akan aku cari peluang untuk bersua sebentar
dengannya.
Selesai sesi makan malam, pengerusi majlis
kembali mengambil alih majlis dengan mempersilakan
tuan menteri memberikan ucapan. Aku sudah mula
memanjang-manjangkan leher, mencari-cari kelibat lelaki
tadi. Aku mahu berjumpa dengannya terlebih dahulu sebelum
bergerak pulang. Tak mahu aku berlama-lama duduk di sini.
Aku toleh ke arah Mia di sebelah. Dia sedang rancak
berborak dengan seorang lagi perempuan yang aku kira lebih
kurang sebaya dengan kami. Nampaknya Mia pun sudah mula
berjumpa kawan baharu.
Usai sesi ucapan dan soal jawab bersama menteri,
pengerusi menyambung majlis dengan acara seterusnya.
“Kini tibalah waktu untuk persembahan daripada
pelajar. Persembahan ini akan disampaikan oleh tidak lain
dan tidak bukan, saya mempersilakan, Uzair Abdullah!” ucap
pengerusi majlis itu. Semua hadirin galak bertepuk tangan
apabila mendengarkan nama itu disebut.
Aku lihat lelaki tadi keluar dari belakang pentas kecil
tersebut dengan memegang sebuah gitar sambil tersenyum
ke arah penonton. Dia lantas duduk di kerusi yang disediakan
di tengah pentas bersama mikrofon yang didirikan di
hadapan kerusi tersebut. Air mukanya tampak begitu lembut
dan mesra. Hanya dengan sekali nafas, dia menyampaikan
kata-kata aluan kepada tetamu-tetamu kehormat yang hadir.
“Saya Uzair Abdullah ataupun lebih dikenali sebagai
Uzai, ingin menyampaikan sebuah lagu tentang seseorang
yang sangat istimewa dalam hidup kita. Saya harap anda
semua terhibur dengan persembahan ini,” ucap lelaki itu
sebelum mula memetik tali gitar.
Uzai rupanya nama dia. Suara dia memang sangat
familiar pada pendengaranku. Memang sama dengan suara
yang aku dengar pada malam itu.
Melodi yang Uzai mainkan mula kedengaran.
Lembut dan perlahan.
Oh, wait! Kenapa aku macam pernah dengar melodi
ini? Bukankah ini lagu yang sama Izzat pernah mainkan pada
malam ulang tahun hubungan kami yang pertama?
“Berlalunya hari demi hari, sayunya hatiku ini, tak
kusangka kau di sini, selama ini kau di hati...”
Suara Uzai kedengaran dalam dan lunak. Sangat
merdu. Dan liriknya memang telah diubah daripada lagu
yang asal. Hati aku mula dirundung hiba.
“Yang Agung, salamun 'alaik... Yang Agung, salamun
'alaik... Salam semesta buat baginda, yang teristimewa ya
Rasulullah...”
Tersentap aku mendengar lirik baru Uzai itu. Hatiku
mula tersentuh.
“Agungnya wajahmu, ya Rasulullah... Agungnya
pandanganmu, salam semesta buat baginda, yang
teristimewa....”
Semakin aku mendengar nyanyian Uzai, semakin
hatiku sebak. Aku tidak pasti adakah itu disebabkan oleh
suara Uzai yang mendayu, liriknya yang memukau, ataupun
kenangan lalu yang menggamit. Yang pasti, takungan air di
mataku hampir pecah. Aku hanya mampu menundukkan
wajah untuk mengelak daripada disedari orang lain.
“Selama-lamanya, ya Rasulullah....” Uzai
menghabiskan nyanyiannya dan disambut dengan tepukan
yang gemuruh daripada penonton.
Cepat-cepat air mata yang hampir jatuh aku seka.
Tak lama selepas itu, pengerusi majlis menamatkan majlis
dengan doa dan para hadirin mula bersurai.
Selepas majlis, aku nampak Uzai sedang berborak
bersama rakan-rakannya yang berdiri mengelilinginya. Aku
mendapatkan Mia yang masih rancak berbual di sebelah.
“Mia, aku nak jumpa mamat tu kejap. Nak ucap
terima kasih.”
Mia mengangguk lalu menyambung perbualannya
yang terganggu. Aku memberanikan diri mendekati
kumpulan lelaki yang sedang berdiri di sebelah pentas itu.
Tiba di belakang Uzai, perbualan mereka yang tadi
rancak terhenti. Semua menoleh ke arahku termasuk Uzai.
“Err... boleh saya bercakap dengan awak sekejap?”
Dengan teragak-agak, aku bersuara.
“Uzai ada peminatlah woi,” rakan-rakannya mula
mengusik.
“Cik adik, kalau nak signature Uzai, kena sedar diri
jugak. Uzai tak layan perempuan yang dress up macam ni.”
Seorang lagi rakannya menambah.
“Pergi baliklah pakai tudung dulu, baru boleh nak
mengurat encik retis kita ni,” tambah lagi seorang.
“Lain kali, nak datang majlis macam ni, pakailah
molek sikit. Ini bukan parti kelab malam,” tambah lagi
seorang.
Aku rasa wajah aku sudah merah padam pada ketika
ini. Sentapnya hati aku, hanya Tuhan saja yang tahu. Jatuh
air muka aku apabila ditegur begitu.
“Kalau macam tu, tak apalah. Sorry ganggu,” pantas
aku meminta diri dan menuju ke arah Mia. Aku sudah tidak
tahan duduk di tempat ini. Maruahku tercalar teruk sejak aku
tiba tadi. Apa kena dengan semua orang di sini?
“Mia, aku balik dulu.” Aku berkata kepada Mia. Tanpa
menunggu jawapan daripadanya, aku terus bergegas keluar
dari situ.
Memandangkan rumah aku dan Malaysia Hall tidak
terlalu jauh, aku mengambil keputusan untuk berjalan kaki.
Sakit dalam hati masih belum hilang membuatkan langkah
kaki aku pantas melepasi pintu pagar bangunan itu.
“Awak! Tunggu kejap!” Aku terdengar suara
seseorang melaung dari belakang.
Aku toleh dan aku lihat Uzai sudah berada di dalam
kereta dan memandu menuju ke arahku. Dia memberhentikan
kereta di sebelahku. Kepalanya dikeluarkan dari tingkap
bahagian pemandu, bersebelahan dengan tempat aku berdiri.
“Biar saya hantar awak balik,” dia menawarkan.
Aku menggeleng.
“Tak apa. Saya boleh balik sendiri.”
“Dah lewat malam ni. Bahaya kalau jalan kaki
sorang-sorang. Banyak kes jenayah jadi kat kawasan ni sejak
akhir-akhir ni,” Uzai masih berdegil.
Aku terdiam. Ada betulnya apa yang Uzai cakap.
Memikirkan keselamatan diri yang mungkin akan terancam,
aku akhirnya akur. Aku mengambil tempat di tempat duduk
penumpang bahagian hadapan. Setelah pintu ditutup, Uzai
memulakan pemanduan.
Sambil memandu, dia menoleh ke arahku sekilas.
“Saya mohon maaf atas apa yang kawan-kawan
saya cakapkan tadi. Saya harap awak tak ambil hati dengan
kata-kata mereka,” dia memulakan perbualan. Wajahnya jelas
tampak serba salah.
Aku hanya diam. Marah dan kecewa masih lagi
menyelubungi hati.
“Apa yang awak nak cakap dengan saya tadi?”
Teringat kembali tujuan aku berjumpa dengannya
tadi, aku mula menyusun kata.
“Saya sebenarnya nak ucapkan terima kasih pada
awak. Housemate saya cakap, awak yang hantar saya balik
tempoh hari.” Satu per satu perkataan aku keluarkan.
“Sama-sama.” Dia tersenyum.
“Saya nak minta maaf jugak sebab muntah kat baju
awak. Banyak yang saya dah susahkan awak malam tu. Dahlah
kena hantar saya balik, lepas tu kena muntah saya pulak.”
Bertambah lebar dia tersenyum.
“Tak ada apa-apa pun. Kan awak tak sedar masa tu.
Awak tak salah apa-apa.”
Diam. Masing-masing tidak bersuara.
“Selalu ke awak mabuk macam tu?” Uzai melontar
soalan.
Aku agak terkejut dengan soalannya itu.
“Kalau selalu, kenapa? Nampak hina?”
Dia masih khusyuk dengan pemanduan.
“Sikit pun saya tak fikir macam tu. Saya tanya aje.
Tak nak jawab pun tak apa.”
Aku kembali terdiam dan membuang pandang ke
luar tingkap.
“Tak selalu sangat. Bila saya ada masalah, saya
akan minum lebih banyak dari kebiasaan...” gumam aku
perlahan. “Ataupun kalau saya susah hati, nak lupakan
segala kesedihan, my alcohol consumption becomes a bit
uncontrollable, macam malam tu.” Entah kenapa, mulut aku
lancar meluahkan rasa kepada lelaki ini. Secara jujurnya, aku
berasa selamat berada bersamanya pada ketika ini.
“So, setiap kali awak berada pada lowest point dalam
hidup awak, awak akan bergantung dengan alkohol untuk
mengubati hati awak?” Uzai bertanya lagi.
Aku mengangguk.
“Nak mengadu pada manusia, semuanya pakat
kecewakan saya. So, saya cari alkohol ajelah untuk distract
fikiran saya daripada segala kesedihan dalam hidup saya ni.”
Terdiam sebentar Uzai mendengar jawapanku.
“Dah berapa lama awak bercinta dengan dia?”
Tersentak aku lalu menoleh memandangnya.
“Macam mana awak tahu?”
Dia menahan senyum.
“Awak meracau malam tu. Sebut-sebut nama dia
sambil menangis.”
Aku tertunduk malu. Mulut aku ni, sudah mabuk
pun tak reti diam.
“Dah 3 tahun...” balasku perlahan.
Kereta Uzai berhenti betul-betul di hadapan
apartmenku. Aku terus menanggalkan tali pinggang keledar.
“Boleh saya tanya something?” Uzai bertanya.
Aku memandang wajahnya dan mengangguk.
“Awak pernah sentuh sarang labah-labah?”
Dalam kehairanan aku menjawab juga.
“Pernah.”
“Lepas awak sentuh, apa jadi dengan sarang tu?”
“Musnah.” Hairan aku masih tidak hilang. “Kenapa
awak tanya?”
Uzai mengeluarkan pen dan kertas daripada beg
silangnya. Dia menulis sesuatu sebelum menghulurkan
cebisan kecil kertas tersebut kepadaku.
“Kalau awak ada masa lapang, awak fahamkan apa
yang saya tulis ni. Lepas awak dah faham atau ada apa-apa
yang awak nak tanya, nombor telefon saya ada sekali kat sini.”
Aku menyambut kertas tersebut bersama kerutan di
dahi. Mamat ni memang suka buat perkara random ke?
“Err... okey,” aku membalas teragak-agak. Kertas
tersebut kumasukkan ke dalam tas tangan.
“Ohh... before I forgot, I'm Uzai. Uzair Abdullah.”
“Saya tahu. Saya Suzie. Hana Suziela.”
Setelah mengucapkan terima kasih, aku keluar dari
kereta dan melangkah masuk ke dalam rumah. Kereta Uzai
masih tidak berganjak dari situ. Sebaik sahaja aku masuk
ke dalam rumah, aku terus menghidupkan suis lampu lalu
menuju ke balkoni. Kemudian, barulah aku lihat kereta
Uzai perlahan-lahan beredar meninggalkan pekarangan
apartmenku.

No comments:

Post a Comment