Thursday, 20 September 2018

Mencari Jalan Pulang - Bab 3

TALI gitar aku petik berulang-ulang, memainkan
melodi lagu yang dimainkan oleh Uzai malam tadi. Cuba
mengingati lirik yang dinyanyikan oleh lelaki itu.
Masih lagi gagal, terus gitar di riba aku tolak ke tepi.
Sakit hati. Kerusi di balik meja kopi tepi balkoni kutarik. Aku
melabuhkan punggung sambil menyalakan rokok.
Sambil menyedut dan menghembus asap rokok,
kepalaku masih lagi cuba memahami nota di atas cebisan
kertas yang diberikan oleh Uzai.
29:41? Nombor apa tu? Nombor ekor ke? Lain
macam saja bentuknya.
“Zie.” Mia memanggil dari belakang.
Aku pantas menoleh dan mengangkat kening.
“Aku nak keluar kejap dengan Mariam. Kau nak
pesan apa-apa tak?” tanya Mia.
“Siapa?”
“Mariam.”
“Siapa tu?”
“Perempuan yang berborak dengan aku masa kat
hall semalam.”
Aku mula berasa pelik. Rupa perempuan itu bukan
dari jenis kami. Tudungnya labuh melitupi bahu dan dada.
Air mukanya tampak lembut. Berbeza dengan Mia yang lebih
kurang saja penampilannya dengan aku. Cuma bezanya
penampilan aku lebih kasar dan ganas, sedangkan Mia lebih
bersifat feminin.
“Baru berborak sekali terus nak lepak sama-sama?”
Mata aku memandang kembali ke hadapan. “Nak ajak kau
join usrah ke MLM?”
Mia tahu aku menyindir. Bukannya dia tidak tahu,
aku memang sudah lama menyampah dengan budak-budak
alim macam Mariam itu. Bagi aku, spesies seperti itulah yang
paling banyak menghukum orang macam aku.
Mia hanya mendiamkan diri. Dia menuju ke rak
kasut, lalu menyarung but.
“Lupa nak beritahu kau, Izzat call aku nak dekat
seratus kali. WhatsApp aku pun dah penuh dengan mesej dia.
Nak cakap dengan kau katanya,” Mia bersuara.
Aku mendengus.
“Nak apa lagi jantan tak guna tu? Dah buat tahi
dengan aku, sekarang nak menyusahkan kau pulak?”
“Hari-hari dia suruh aku update pasal kau. For this
whole two weeks.”
“Jangan berani bagi apa-apa update pasal aku kat
dia.”
“Kau tahu kan aku tak sampai hati tengok orang
desperate macam tu. Unblocklah dia kejap, Zie. Dengar apa
yang dia nak cakap. Settle baik-baik. Kau tak dengar lagi
explanation dia, terus kau buat decision. Tak adil untuk dia
tau.”
Panas hati aku mendengar bebelan Mia.
“Kau nak sekolahkan aku pasal decision aku? Kau
tak nampak apa yang aku nampak, Mia! Aku bukan setakat
stalk Instagram dia aje, Facebook account dia pun aku buka.
Aku tengok conversation diaorang. Dari mula flirting, sampai
ajak datang rumah.” Berombak dada aku membalas kata-kata
Mia. Suara aku sedikit tinggi.
“Patutlah aku call, WhatsApp semua jarang balas.
Rupanya dia pergi menggatal dengan perempuan lain. Baru 5
bulan aku sampai sini. 5 months...” Aku sudah tidak mampu
untuk meneruskan ayat. Rasa kecewa yang teramat memenuhi
dada. Rokok yang hampir habis aku sedut dalam-dalam.
Puntungnya aku benamkan ke dalam bekas abu rokok.
“Kalau kau nak layan dia, kau layanlah. Tapi jangan
sesekali kau sebut pasal aku pada dia. Kalau kau dah rasa
annoyed, kau block aje nombor dia. Habis cerita.” Aku
mengakhiri perbualan lalu melangkah menuju ke bilik,
meninggalkan Mia berdiri terkulat-kulat di hadapan pintu
rumah.
Dengan hati yang membara, aku merebahkan diri di
atas katil. Air mata yang hampir tumpah aku seka, tak mahu
lagi menangis kerana lelaki itu.
Aku dengar pintu rumah ditutup menandakan Mia
sudah keluar. Rumah kembali sunyi sepi. Sesepi hati aku saat
ini. Kekosongan yang menikam sanubari.
Aku kembali keluar dari bilik menuju ke dapur.
Peti sejuk kubuka dan kuambil sebotol bir dari longgokan
botol-botol bir yang telah disusun oleh Mia. Botol tersebut
aku halakan ke dinding yang terlekat bottle opener lalu
penutupnya kuumpil.
Setelah itu, aku melabuhkan duduk di kerusi meja
makan. Telefon bimbit di atas meja aku capai lantas kubuka
aplikasi Google. Aku menaip ‘29:41’ dan butang search aku
tekan. Hasil pencarian yang tersenarai cukup membuatkan
aku tersentak.
“Surah Al-Ankabut?” Terluncur keluar perkataan
tersebut daripada mulutku.
Aku klik laman web yang pertama sekali yang
bertajuk ‘Terjemahan Al-Quran surah Al-Ankabut’.”
Paparan skrin mula memaparkan jawapan
pencarianku. Perlahan-lahan aku membacanya.
Surah ke-29 ayat 41, yang bermaksud:
“Perumpamaan orang-orang yang
mengambil pelindung selain Allah adalah
seperti labah-labah yang membuat rumah.
Dan sesungguhnya rumah yang paling
lemah ialah rumah labah-labah, sekiranya
mereka mengetahui.”
Al-Ankabut adalah perkataan Arab yang
bermaksud labah-labah, di mana dalam
ayat ini, Allah mengumpamakan orang
yang percaya kepada kekuatan rumahnya
sebagai tempat berlindung adalah seperti
seekor labah-labah. Sedangkan rumah
labah-labah itu apabila dihembus angin
mudah saja hancur.
Begitu juga dengan orang yang bergantung
atau meminta sesuatu kepada makhluk,
maka pergantungan itu hanyalah satu
pergantungan yang lemah dan mudah
rapuh, seperti sarang labah-labah.
Sedangkan tempat bergantung dan
meminta itu hanyalah ada pada Allah SWT.
Aku melempar telefon ke atas meja. Tersentap.
Sambil melihat skrin telefon yang masih memaparkan imej
yang sama, aku mula tertanya-tanya.
Apa tujuan Uzai bagi aku ayat ini? Dia nak bagi hint
tentang something ke? Aku mula berasa tidak sedap hati.
Aku memang tidak berapa familiar dengan perkara-perkara
agama seperti ini. Mengaji pun tidak reti, apatah lagi ingin
membuka al-Quran.
Telefon bimbit kembali kucapai. Nombor telefon
bimbit Uzai yang sudah kusimpan aku cari. Lalu aku menaip
pesanan buatnya.
Meet me at Max Brenner tonight. 8pm. I
wanna ask you about the ‘note’.
Setelah menekan butang send, aku menghabiskan
bir yang tinggal sedikit dengan sekali teguk sambil menunggu
jawapan balas daripada Uzai.
Seminit selepas itu, telefon berdenting. Ada pesanan
WhatsApp masuk. Aku baca lalu tersenyum.
Noted.
Pantas tuala yang tergantung di tepi balkoni kucapai
lalu menuju ke bilik air. Bersiap-siap untuk janji temu.

AKU MENANTI kehadiran Uzair dengan sabar. Sengaja
aku datang 15 minit lebih awal supaya mentalku tidak
kelam-kabut. Malam ini aku hanya berpakaian ringkas dengan
loose sweater berwarna hitam dan skinny jean biru. Rambut
merah aku biarkan lepas untuk melindungi leher daripada
angin sejuk musim luruh.
Tidak lama menunggu, aku nampak kelibat Uzai
masuk ke dalam Max Brenner lalu menuju ke arahku sambil
tersenyum. Dia nampak santai dengan T-shirt hitam lengan
panjang dan topi di kepala.
“Assalamualaikum,” Uzai menyapa. Bibirnya tak
lekang dengan senyuman.
Aku hanya tersenyum dan mengangguk kecil. Lalu
dia menarik kerusi dan duduk di hadapanku.
“Lama dah tunggu?” Uzai menyoal berbasa-basi.
“Adalah dalam 15 minit,” jawabku.
Setelah memesan secawan cappuccino untuk Uzai
dan short black untuk aku, dia kembali bersuara.
“So, apa yang awak nak tanya?”
“Kenapa awak bagi note tu kat saya?”
Dia tersenyum nipis.
“Dah tahu apa makna nombor tu?”
“Dah.”
“Apa yang awak rasa tentang ayat tu?”
Aku terdiam sejenak.
“Ayat tu menarik. Cuma saya tak berapa faham apa
yang awak cuba nak sampaikan.”
Uzai senyap seketika menyusun ayat.
“Awak tahu Suzie, dalam hidup yang penuh dengan
kekecewaan ni, manusia selalu tersilap membuat percaturan.
Ramai yang telah hanyut dalam rasa kesedihan yang tidak
berpenghujung, berputus asa dalam mencari kebahagiaan.”
Dia merenungku seketika.
“Selalunya manusia yang cepat kalah pada rasa
kecewa selepas musibah menimpa adalah manusia yang
mengharapkan sesuatu bukan pada tempatnya.”
Berkerut dahiku cuba memahami ayat Uzai.
“Mereka mengharapkan kebahagiaan itu diperoleh
daripada makhluk.”
Bicaranya terhenti kerana minuman yang kami pesan
telah pun sampai. Selepas pelayan beredar, dia menyambung
semula.
“Kerap kali kita lihat kes-kes di mana artis-artis
ataupun orang-orang kaya yang mati akibat membunuh diri
sendiri. Kalau kita lihat pada kehidupan mereka, mereka ada
segalanya. Impian mereka telah pun tercapai. Duit, fame,
isteri yang cantik, anak-anak yang comel, karier yang hebat.
Semuanya. Tapi kenapa mereka bunuh diri?”
Uzai menghirup cappuccinonya perlahan.
“Kerana ukuran kebahagiaan yang sebenar bukan
terletak pada perkara-perkara tersebut. Hati mereka kosong.
Terlalu kosong. Jiwa mereka laparkan sesuatu. Dahaga. Begitu
juga orang yang mengharapkan secebis kasih sayang daripada
manusia lain. Mengharapkan rasa cinta antara mereka kekal
abadi selamanya.”
Uzai terdiam sejenak. Menungkan sesuatu.
“Sudah tentu mereka salah. Kerana manusia itu
makhluk. Sifatnya sementara. Rasa sayang dalam hati belum
tentu kekal, jasad yang dimiliki juga akan kaku suatu hari
nanti.”
Termenung aku mendengarkan kata-kata Uzai.
Seperti terkena batang hidung sendiri.
“Seperti dalam ayat surah Al-Ankabut tu, mengharap
pada makhluk-makhluk seperti ini ibarat labah-labah
mengharap pada sarangnya. Pengharapan yang rapuh dan
tidak kekal.”
Aku yang sejak tadi hanya diam akhirnya membuka
mulut juga.
“Jadi, di mana boleh dicari kebahagiaan yang kekal
abadi tu? Pada siapa perlu diharapkan untuk memberikan
kegembiraan di hati?”
Uzai tersenyum lagi.
“Pada yang mencipta dan memiliki hati ini. Pemilik
jiwa dan jasad ini yang hak. Juga pemilik dan pengatur
rencana seluruh alam. Allah Azza Wa Jalla.”
Tersentap aku mendengar jawapan Uzai.
“Dia yang memberi kesedihan; Dia juga yang
berkuasa menghapuskannya. Kebahagiaan yang hakiki juga
datang daripada-Nya. Jadi, apabila kita ditimpa sesuatu
musibah, jalan yang tepat adalah kembali kepada-Nya.”
Aku diam. Tidak mampu untuk berkata-kata.
Penerangan Uzai lembut menusuk ke dalam hati. Barulah
aku faham sebab kenapa Uzai memberikan ayat tersebut
kepadaku. Mungkin dia melihat cara aku melepaskan
kekecewaan tempoh hari sebagai satu cara yang salah.
Aku hanya mampu menundukkan wajah dan
menghirup short black yang sudah mula sejuk.

No comments:

Post a Comment