Friday, 5 October 2018
Encik Nakal vs Cik Keliru - Bab 1
PAGI Ahad. Bunyi deringan telefon bimbit
yang kuat membuatkan tidur Alia terganggu. Dia menguap
panjang lalu membuka mata. Lemah sahaja dia bangun dari
katil lalu menuju ke meja kerja. Keluhan panjang kedengaran
daripada bibirnya apabila melihat Rayyan yang menelefon.
Patutlah telefon bimbitnya tidak henti-henti berbunyi.
Dia akan mencekik batang leher Rayyan jika tiada
hal penting yang ingin disampaikan. Sudah berkali-kali dia
berpesan supaya jangan menelefon pada pagi Ahad kerana
dia mahu mendapatkan rehat secukupnya. Tapi Rayyan tetap
juga tidak faham.
“Senget! Kau tengah buat apa tu? Sihat ke?”
Berderau darah Alia mendengar perkataan ‘senget’
daripada mulut Rayyan. Hilang terus rasa mengantuk.
Makhluk asing itu berani betul memanggilnya senget.
“Alamak... dah nama pun senget, mestilah tak sihat,
kan?” tambah Rayyan.
Alia mendengus marah.
“Ada apa hal call? Kat sini tak jual ubat gatal.”
Rayyan membalas dengan ketawa. Semakin lama
semakin rancak.
“Ingatkan setakat gatal, rupanya gila.”
Rayyan masih ketawa. Pagi-pagi lagi Alia sudah
menghiburkan hatinya.
“Aku tahu kau sunyi. Sebab tu aku call kau.”
“Bila pula aku sunyi? Aku tengah penat sekarang
ni. Aku nak tidur.” Dia baru sahaja dapat melelapkan mata
selepas menyiapkan laporan kewangan yang diarahkan oleh
Puan Laila. Esok, Pengurus Kewangan Bolsen Holdings, Zaidi
Harith mahu melihat laporan penuh. Baru 3 jam yang lalu dia
dapat menyiapkan tugasan itu dan menghantar e-mel kepada
Puan Laila. Mujurlah wanita itu berpuas hati dengan hasil
kerjanya dan dapatlah dia melelapkan mata dengan tenang.
“Penat apa pula? Semalam kau kan cuti. Aku tahulah
setiap hujung minggu macam ni kau cuma duduk rumah.”
“Orang yang cantik macam aku ni kenalah banyak
rehat. Kata nak flawless.”
“Cantik? Perasan!”
“Macam mana kau nak tahu, sebab kau tu rabun.
Pergi beli cermin mata supaya kau boleh nampak muka aku
yang cantik ni dengan jelas dan terang. Sekarang aku nak
sambung tidur. Jangan kacau.” Sebaik berkata demikian, Alia
terus mematikan talian.
Seketika kemudian, telefon bimbitnya berbunyi lagi.
“Kau nak apa lagi? Boleh tak kau biarkan aku tidur
dengan tenang?”
“Janganlah tidur. Jom, kita keluar?”
“Tidur lebih baik daripada keluar dengan kau,” balas
Alia.
“Jangan cakap macam tu. Aku tahu kau rindu nak
keluar dengan aku.”
Alia mendengus keras.
“Buat apa aku rindu nak keluar dengan kau? Aku lagi
tak nak keluar dengan makhluk asing macam kau, tahu tak?
Bebal!”
“Sampainya hati kau tolak pelawaan abang sendiri.
Abang kau ni betul-betul ikhlas ni,” ujar Rayyan dengan nada
kecewa.
“Eleh, abang konon! Celah mana kau tu abang aku?
Kita lahir pun sama-sama, bukannya tahun lain-lain,” balas
Alia tidak puas hati.
“At least aku lahir 2 minit lebih awal daripada kau.
Jadi akulah yang lebih tua. Kau ada?” balas Rayyan enggan
mengalah.
“Mestilah ada. Kalau aku tak ada, kau tengah cakap
dengan siapa?”
Spontan Rayyan menelan air liur. Perkataan tak
ada itu membuatkan jiwanya bagaikan disentap. Janganlah
diambil Alia daripadanya. Walaupun perangai Alia adakalanya
seperti harimau tercekik tulang, dia tidak mampu hidup
tanpa adik kembarnya itu.
“Dah lama aku tak jumpa kau. Jomlah keluar kejap,”
pujuk Rayyan.
“Pukul berapa nak keluar?” Alia akhirnya mengalah.
Lagipun dia sendiri sudah lama tidak bertemu dengan Rayyan
kerana kesibukan kerja.
“Pukul 10.30 ni. Aku datang jemput kau kat rumah.
Aku pun dah masuk kereta.”
Terbeliak mata Alia mendengar jawapan lelaki itu.
Spontan matanya tertumpu pada jam di dinding. Sekarang
sudah pukul 9.45 pagi!
“Kau sedar tak sekarang dah pukul berapa? Mana
sempat siap,” rungut Alia.
“Kau membebel macam tu lagi lambat kau siap. Dah,
pergi siap sekarang. Kalau lambat nanti aku tinggal,” balas
Rayyan sebelum mengakhiri perbualan.
Terpempan Alia apabila Rayyan terus sahaja
mematikan talian. Dia berasa keliru dengan reaksi Rayyan.
Tadi Rayyan juga yang sibuk mengajak dia keluar, tapi lelaki
itu boleh pula mengugut hendak meninggalkannya. Rayyan
ni memang dah sewel agaknya!
“TADI KATA dah bertolak. Tapi masih belum sampai-sampai.
Saja nak tipulah tu,” Alia merungut sendiri ketika menunggu
kedatangan Rayyan.
Waktu itu jam dinding menunjukkan pukul 10.25
pagi. Betapa kelam-kabutnya dia bersiap sebentar tadi.
Solekan yang dikenakan ala kadar sahaja. Dia menyangka
lelaki itu sudah sampai di hadapan rumahnya. Rupanya masih
lagi dalam perjalanan.
Dia berlalu ke dapur lalu mengambil minuman di
dalam peti sejuk. Tekaknya kini mula terasa sejuk. Belum
sampai separuh gelas, terdengar loceng pintu berbunyi.
Dia tahu Rayyan sudah sampai. Dia meneguk lagi dengan
perlahan. Sengaja dia membiarkan Rayyan berdiri di luar
sebagai hukuman atas kelewatannya.
“Kenapa Alia masih tak buka pintu ni? Tidur lagi
ke?” rungut Rayyan.
Suasana kelihatan sunyi sepi. Tiada langsung bunyi
yang kedengaran.
“Assalamualaikum.”
Alia sekadar menjawab dalam hati dengan senyuman
nakal di bibir.
“Alia senget, bukalah pintu ni. Abangmu yang kacak
ni dah ada depan rumah. Oh, Alia senget!” laung Rayyan di
hadapan pintu.
Terkejut Alia apabila Rayyan memanggilnya
demikian. Sudahlah melaung dengan kuat, entah apa pula
reaksi jiran-jirannya nanti.
“Jangan buat-buat tak dengar. Aku tahu kau ada kat
rumah. Natalia Emilyn!” Kali ini Rayyan menjerit dengan
kuat.
Alia bergegas menuju ke pintu. Risau jiran-jiran
akan menegur kerana membuat bising. Sudahlah pagi Ahad.
Memang tidak senonoh betullah Rayyan ni!
Sebaik sahaja Alia membuka pintu, dia terus
menerkam ke arah Rayyan. Bukan hendak memberikan
pelukan mesra, tapi dia terus mencekik batang leher lelaki
itu. Biar pengsan supaya dia berasa puas hati.
“Aku tahulah kau sayangkan aku, tapi janganlah over
sangat. Susah aku nak bernafas disebabkan kasih sayang kau
ni,” adu Rayyan seraya meleraikan cengkaman Alia.
“Siapa cakap aku sayangkan kau? Siapa suruh kau
datang lambat? Dahlah buat bising depan rumah aku,”
rungut Alia.
“Mana ada datang lambat. Tadi kan dah janji nak
datang pukul 10.30. Tengok jam kau, ngam-ngam aje ni
pukul 10.30,” jelas Rayyan.
Memang benar kata Rayyan. Alia melihat jam
tangannya yang menunjukkan pukul 10.29 pagi dan sesaat
kemudian bertukar ke angka 10.30.
Rayyan sudah sedia hendak menarik pipi Alia dengan
kuat. Namun tindakannya terhalang apabila menyedari jiran
Alia iaitu Uncle Simon dan Auntie Susan memerhati gelagat
mereka.
“You berdua ni tak boleh aman bila jumpa. Auntie
pun tak tahu macam mana boleh lahir kembar.” Auntie Susan
menggeleng melihat gelagat mereka.
“Itulah sebab mereka dilahirkan kembar. Supaya
boleh jadi kawan gaduh,” balas Uncle Simon yang geli hati
dengan sikap mereka. Ada sahaja yang hendak digaduhkan.
Sebaik Alia dan Rayyan meminta maaf kerana
membuat bising, pasangan itu membalas dengan senyuman
lalu kembali masuk ke dalam rumah mereka.
“Sibuk ajak orang keluar. Nak pergi mana?” soal Alia.
Rayyan menarik tangan Alia masuk ke dalam lif.
“Kita pergi jalan-jalan.”
“Pergi mana?”
“Pergi Putrajaya, tengok Pesta Belon Panas. Nak
pergi tak?” pelawa Rayyan seraya menjongket-jongket
keningnya.
Teruja Alia mendengarnya. Dia hampir terlupa tentang
pertunjukan belon panas yang diadakan sedangkan sudah
lama dia menanti saat itu. Lantas dia mengangguk-angguk.
Dia sudah tidak sabar hendak ke Putrajaya.
HARI ITU Alia berasa seronok dan teruja menyaksikan
pertunjukan belon panas daripada pelbagai negara yang
menyertai pertunjukan istimewa itu. Ada pelbagai bentuk
dan warna hingga membuatkan dia kagum melihat rekaan
unik belon itu. Bukan selalu dapat melihat pertunjukan belon
panas.
Rayyan membelikan minuman untuk Alia dan
mereka berjalan bersama-sama menikmati keindahan
kawasan itu.
“Ramai orang pandang kita sebab kau,” keluh
Rayyan.
Berkerut dahi Alia.
“Sebab aku? Apa yang aku dah buat?”
“Mereka terkejut tengok pasangan bercinta muka
sama.”
Pasangan bercinta? Spontan Alia melihat lengan
Rayyan yang dipautnya. Dia sudah terbiasa memaut lengan
Rayyan sejak kecil lagi. Dia rasa selamat.
“Mesti seronok usung aku ke sana sini. Maklumlah...
aku kan kacak,” usik Rayyan.
Sakit hati Alia mendengar usikan itu.
“Sini seratus ringgit!”
“Kenapa tiba-tiba minta duit aku?” soal Rayyan
kehairanan. “Dah sengkek ke?”
“Kau cakap akan bayar seratus ringgit kalau buat
aku menyampah.”
Rayyan terkejut.
“Apa? Bila masa aku cakap macam tu?”
“Jangan buat-buat lupa. Bagi sini seratus ringgit!”
Rayyan terus menghulurkan not RM100 tanpa
banyak soal. Sejenak kemudian dia terfikir bilakah dia berjanji
akan membayar denda jika menyakiti hati Alia. Mungkin dia
terlupa kerana sudah tua.
Alia hanya tersengih kerana Rayyan langsung tidak
menyedari bahawa dia sudah ditipu ketika itu. Untung dia
hari ini dapat RM100 secara percuma. Kalau tahu tadi, dia
akan meminta lebih daripada Rayyan.
No comments:
Post a Comment