Friday, 5 October 2018

Benci:Benar-Benar Cinta - Bab 10

DENGAN hati yang sangat berat, Zara pergi
juga ke tempat uji bakat itu. Melarikan diri bukan sikapnya.
Matanya meliar sekeliling mencari batang tubuh Hakimi
dan Liyana. Namun, langsung tak nampak batang hidung
diaorang. Zara menangkap batang tubuh Fizri, teman lelaki
Amira yang sedang menyusun kerusi di depan pentas. Pantas
dia menghampiri lelaki itu.
“Fizri, kau ada nampak Hakimi atau Liyana tak?”
“Oooh, kau dah sampai, Zara. Entah. Tak nampak
pun dari tadi. Tak datang lagi rasanya.”
Zara rasa sedikit hampa.
“Tak apalah kalau macam tu. Aku kena tunggu dekat
mana ni?”
“Kau pergi belakang pentas terus. Sebab audition
untuk watak ni yang diadakan paling awal sekali. Bila
nama kau dipanggil, kau terus naik atas pentas. Dan...”
Fizri mengambil dua helai kertas di atas meja berhampiran
dengannya dan menyerahkan kepada Zara.
“Kau kena hafal dialog ni.”
Zara sambut kertas itu dengan muka tak ada perasaan.
Dia mengatur langkahnya ke belakang pentas. Sambil-sambil
berjalan dia terus menghantar mesej kepada Hakimi. Namun
mesej dia langsung tidak dibalas. Nampak sangat lelaki itu
nak mengelak daripada dirinya. Ah, geramnya!
Zara duduk di atas kerusi panjang yang disediakan.
Kemudian dia membaca isi kandungan kertas yang diberikan
oleh Fizri tadi. Hanya ada dua babak saja yang perlu
dilakonkan. Tapi disebabkan tidak suka punya pasal, terus
Zara merasakan yang dia bagaikan terpaksa menghafal
sebuah buku teks Sejarah tanpa tertinggal walau satu
perkataan pun. Sambil-sambil dia menghafal dialog, sesekali
matanya melilau mencuri pandang ke arah calon-calon lain
yang berada di situ; ada yang mundar-mandir, duduk bersila,
yang membaca doa pun ada. Bermacam-macam ragam yang
dapat dilihat.
“Okey, minta perhatian semua. Dalam masa setengah
jam, uji bakat akan bermula. Sekarang ni, semua calon
dikehendaki untuk mencabut nombor yang ada di dalam
kotak ni ya? Nombor ni akan menentukan giliran korang
masing-masing.”
Hakimi yang baru sampai meletakkan kotak itu di
atas sebuah meja kecil. Saat matanya melirik kepada Zara, dia
tersenyum sambil melambaikan tangan.
Zara hanya menghadiahkan jelingan maut kepada
Hakimi.
Setelah mencabut undi, Zara mendapat angka
giliran ke sembilan. Masih ada banyak masa lagi untuknya
menghafal dialog dan meneliti sinopsis teater Anastasia yang
diadaptasi daripada novel A Kiss for The King itu.
Teater Anastasia mengisahkan tentang
seorang puteri dari England yang telah
diaturkan untuk berkahwin dengan Raja
Maurona, King Maximillian atas desakan
pergolakan politik. Queen Victoria mahu
menjadikan Maurona sebuah negara
yang berdaulat untuk mengelak negara
itu daripada jatuh ke tangan Perancis
yang ketika itu sedang giat menjalankan
revolusi. Disebabkan Maurona banyak
dipengaruhi oleh Perancis, Queen Victoria
nekad untuk mewujudkan satu ikatan politik
dengan Maurona. Caranya ialah dengan
mengahwinkan Puteri Anastasia dengan
Raja Maurona sendiri iaitu King Maximillian
Anastasia adalah Puteri Grand Duchess
yang mempunyai pertalian dengan Queen
Victoria. Anastasia seorang puteri dari
rupa luarannya tetapi dari segi dalaman,
Anastasia lebih terbuka dan tidak seperti
bangsawan lain yang hidup bersandarkan
protokol. Kecantikan Anastasia memang
tidak dapat digambarkan dengan kata-kata
sehingga kawannya dari kecil, Christopher
jatuh cinta padanya. Christopher bercadang
untuk melarikan diri bersama Anastasia
tetapi Anastasia tidak bersetuju kerana
dia tidak mencintai Christopher. Anastasia
bertekad untuk mengikut kata hati dengan
mengahwini King Maximillian.
“Hmmm... menarik jugak jalan ceritanya,” komen
Zara setelah selesai membaca sinopsis itu. Dia menyambung
kembali menghafal dialog. Sorakan penonton di luar
tidak dipedulikan. Dia tidak berminat untuk menonton
persembahan calon-calon yang lebih awal daripadanya.
Selepas membaca beberapa kali sinopsis itu, baru dia
perasan sesuatu. King Maximillian. Hanya uji bakat untuk
watak itu tidak diadakan.
‘Kenapa diaorang tak buat uji bakat untuk watak
King Maximillian tu, raja tu kan watak penting?’ detik hati
Zara.
“Next, Nurzara Anasuha!”
Zara terkejut apabila namanya dipanggil. Sudah
sampai giliran diakah? Zara mula kelam-kabut.
‘Okey, Zara. Kau relaks je. Relaks...’
Dengan kaki yang terketar-ketar, Zara berjalan naik
ke atas pentas. Sebaik sahaja melihatnya, para penonton yang
terdiri daripada pelajar-pelajar kelab seni juga memberikan
tepukan yang gemuruh buatnya.
Zara hanya tersenyum hambar. Dia berdiri di
hadapan pentas dan melihat satu per satu wajah para juri
yang memang sudah dikenalinya. Mereka terdiri daripada
pensyarah yang menjadi penasihat kelab itu dan ahli-ahli
jawatankuasa kelab seni.
“Baiklah, Zara...” Prof. Anissa selaku ketua juri
memulakan kata.
“Apa potensi yang ada dalam diri awak yang boleh
meyakinkan kami bahawa awak boleh membawakan watak
Puteri Anastasia ini dengan baik?”
‘Aduhai, diaorang tak suruh aku terus baca dialog
ke?’ Zara mengomel dalam hati.
“Errr... Prof., jangan marah kalau saya cakap macam
ni. Sebetulnya saya rasa saya langsung tak ada potensi, Prof.
Saya memang tak layak dan tak berminat pun nak sertai
pementasan teater ni.” Zara terus mengerling kepada Hakimi
dan Liyana yang sedang duduk di kerusi penonton. Mereka
berpura-pura memandang ke tempat lain.
“Jadi, kiranya awak memang tak berminatlah nak
menyertai pementasan teater ni? Habis tu, kenapa awak
datang?” soal Jannah, salah seorang ahli jawatankuasa kelab
seni itu.
“Disebabkan oleh saranan kawan. Tapi saya tak kisah
pun kalau nak mencuba. Alang-alang dah ada dekat sini, kan?”
“Interesting. Baiklah, saya bagi awak peluang.
Sekarang, saya nak awak baca dialog pertama. Babak di
mana Puteri Anastasia meluahkan ketidakpuasan hatinya
bila melihat cara kehidupan rakyat Maurona.” Prof. Anissa
memberikan arahan.
Entah untuk kali ke berapa, Zara menarik nafas
panjang lagi. ‘You can do it, Zara!’
“Beta tidak mengerti. Kenapa harus wujud perbezaan
di antara semua rakyat di negara ini? Masyarakat atasan
dan masyarakat bawahan dibeza-bezakan mengikut darjat.
Situasi ini tidak seharusnya terjadi. Semua rakyat haruslah
bersatu padu, tidak kira miskin atau kaya untuk mengekalkan
kesejahteraan Maurona. Kalau rakyat sendiri berada dalam
keadaan kucar-kacir, siapakah yang akan melindungi negara
ini dari ancaman musuh?”
Zara mula melontarkan dialog dengan yakin, sama
seperti ketika dia sedang berbahas di dalam kelas. Dengan
gerak tangannya dan bahasa tubuh mengikut tutur kata
dialog.
Satu tepukan yang sangat gemuruh kedengaran
setelah Zara menyudahkan kata-katanya.
‘Aduh, kenapa tepuk kuat sangat ni?’ Dahi dia mula
berpeluh. ‘Okey, tak apa Zara. Sekarang, hanya tinggal satu
dialog saja lagi dan selepas itu, sayonara bye-bye semua!’
“Bagus Zara. Sekarang ni, saya nak awak baca dialog
yang kedua pulak. Kalau tadi awak kena menggambarkan
ketegasan Anastasia dalam meluahkan pendapatnya, kali ni
saya nak awak menunjukkan perasaan cinta dan rindu dalam
setiap perkataan yang awak tuturkan. Gambarkan bagaimana
perasaan Puteri Anastasia tatkala menunggu kepulangan
suaminya yang pergi berperang untuk mempertahankan
Maurona,” ujar Saifuddin pula.
‘Cinta? Rindu? Manalah aku pandai benda tu semua.
Bercinta pun tak pernah! Haih, stres!’
Zara menarik nafas panjang dan menutup mata.
Cuba mendalami perasaan watak yang tak pernah dirasainya.
Rindu? Serta-merta wajah Abang Ayi, abah dan mak melayang
dalam fikirannya. Perasaan itu tiba-tiba menerjah masuk ke
dalam hatinya. Mencengkam sanubarinya ke sudut yang
paling dalam sekali. Zara membuka matanya kembali.
“Maximillian, hanya Tuhan yang tahu betapa aku
sangat merindui dirimu. Hatiku resah. Selamatkah kau?
Masih bernyawakah kau? Tetapi percayalah aku tidak akan
mengalah kerana aku akan terus menanti, sehingga ke akhir
hayatku.”
Lontaran dialog Zara yang penuh emosi itu
membuatkan semua orang terus terdiam. Sementara Zara
mengelap tubir matanya yang sudah sedikit berair itu.
Rasa rindu menggamit dirinya, mengenang keluarganya
yang sudah lama ditelan bumi. Meninggalkan dia menjadi
satu-satunya mangsa yang terselamat dalam satu kemalangan
kereta yang telah meragut nyawa keluarganya berbelas-belas
tahun yang lalu.
Mujurlah, Puan Izzati dan Encik Khairil
mengambilnya sebagai anak angkat mereka. Kalau tidak,
pasti hidupnya sudah berakhir di rumah anak yatim dan tidak
tahu di mana dia berada sekarang.
Tiba-tiba kedengaran satu bunyi tepukan bergema di
dalam dewan. Semua mata memandang ke arah itu. Seorang
lelaki berjalan ke arah pentas dari pintu hadapan.
Zara merenung wajah lelaki itu.
‘Eh, ni bukan lelaki yang tolong aku masa aku gaduh
dengan Taufik ke? Apa yang dia buat kat sini?’
“She’s the one. Pick her.”
Kata-kata lelaki itu tiba-tiba mengejutkan Zara.
“Kamu tidak tengok peserta-peserta lain lagi. Tidak
adillah untuk mereka. Lagipun kamu baru sampai,” kata Prof.
Anissa pula.
“Saya dah sampai dari tadi lagi. Cuma saya
memerhati dari jauh. Dan apa yang saya nampak, dia ni sesuai
untuk watak Puteri Anastasia. Jadi buat apa kita nak buang
masa lagi?”
Prof. Anissa kemudiannya berbincang seketika
dengan para juri yang lain, termasuklah dengan lelaki misteri
itu sekali, sebelum mereka memandang semula ke arah Zara
yang masih berdiri terpacak di atas pentas.
“Okey, setelah berbincang, kami semua mengambil
kata putus untuk menyerahkan watak Puteri Anastasia kepada
Nurzara Anasuha. Dan sebabnya tak perlulah diperjelaskan
lagi kerana saya pasti anda semua dah lihat dengan mata anda
sendiri. Tahniah, Zara!”
Zara terpanar.
‘Apa? Aku dapat watak tu?’
“Tapi Prof... saya...”
“Saya tahu yang tadi awak cakap awak tak berminat.
Tetapi keputusan sudah diambil. Lagipun saya lihat ada
potensi dalam diri awak untuk membawakan watak Puteri
Anastasia ni. Jadi tak ada salahnya kalau mencuba, kan?”
Zara terus mati akal. Terlajak perahu boleh diundur,
terlajak perbuatan memang tak boleh nak berpatah balik
semula! Zara bertentang mata dengan lelaki yang tiba-tiba
masuk tadi. Lelaki itu mengukir senyuman yang membuatkan
jiwa Zara tiba-tiba bergoncang.
“Tahniah, Zara! Kan aku dah cakap, kau memang
boleh buat punya,” ujar Hakimi ketika Zara sudah berada di
belakang pentas.
“Siapa lelaki yang tiba-tiba masuk tu?” soal Zara
pada Hakimi.
“Oh...” Hakimi tersenyum. “Dia itulah orangnya
yang kau nak jumpa selama ni.”
“Maksud kau, dia itulah pengerusi kelab ni? Zairiel?”
“Yup. And guess what?”
“Apa?”
“Dia jugaklah pemegang watak King Maximillian
dalam teater Anastasia ni. Merangkap pasangan kau.”
Zara terdiam. Dan entah kenapa, debaran dalam
hatinya semakin bertambah-tambah apabila mendengar
kata-kata Hakimi.
‘Ah, kenapa dengan aku ni?’

*** AKAN BERADA DIPASARAN UNTUK KELUARAN SEPT 2018**  

No comments:

Post a Comment