Friday, 5 October 2018

Encik Nakal vs Cik Keliru - Bab 10

DEMAM yang semakin melarat itu membuatkan
Neil hanya mampu berkurung di dalam rumah. Batuk dan
selesema yang agak serius membuatkan dia berasa kurang
selesa. Suhu badannya tidak menunjukkan tanda-tanda ingin
turun walaupun dia mengambil ubat mengikut masa yang
ditetapkan.
Sarapan pagi itu Neil hanya mampu makan bubur
sahaja. Hanya tiga suapan yang mampu ditelan kerana
tekaknya kurang berselera.
“Ayah mana?” soal Neil apabila melihat kerusi Dr.
Zulkifli kosong.
“Pergi seminar kat Johor,” jawab Puan Zahra.
Neil mencecap sedikit minuman.
“Bila ayah balik?”
“Lusa baliklah. Dia pesan jangan pergi kerja selagi
belum sihat.”
Neil faham maksud bapanya. Mana mungkin dia
boleh merawat pesakitnya dalam keadaan dia sendiri kurang
sihat.
“Pucat betul muka Neil ni. Badan pun panas sangat,”
tegur Puan Zahra seraya menekup tangan di dahi Neil.
Anaknya itu jarang demam. Apabila sudah demam begini,
keadaannya benar-benar membimbangkan hingga memakan
masa berhari-hari untuk sembuh.
“Tak ada apalah, mama. Okey aje ni,” balas Neil.
Selepas sarapan, Puan Zahra duduk di ruang tamu
lalu membelek beberapa rekaan yang disiapkan sejak minggu
lalu. Dia masih tidak berpuas hati dengan tiga rekaannya itu
dan ia perlu diperbaiki, namun ideanya pula hilang entah ke
mana.
“Cantiknya. Ini ke design untuk projek baru mama?”
Puan Zahra hanya mengangguk sambil merenung
lakaran rekaannya. Riak tidak puas hati jelas terpamer.
“Design mama dah siap, tapi kenapa mama nampak
tak happy?”
“Mama rasa tak puas hati dengan design ni. Nampak
plain, tak ada kelainan. Mungkin mama patut beritahu Auntie
Lily kamu yang mama nak tarik diri.”
Berkerut dahi Neil mendengar jawapan itu.
“Kenapa mama nak tarik diri?”
“Mama hanya akan malukan diri sendiri kalau mama
serah koleksi macam ni.”
“Mama janganlah putus asa. Mama kan masih ada
masa.”
Puan Zahra mengeluh panjang.
“Mama tak rasa mama sempat siapkannya. Lagipun
mama ada banyak kerja yang perlu mama buat.”
“Tapi mama dah bersusah payah. Rugilah kalau
mama tarik diri sekarang. Mesti Auntie Lily pun tak setuju.
Neil boleh tolong mama kalau mama nak.”
Puan Zahra mengeluh. Apa yang Neil tahu tentang
fesyen? Setiap kali membantu, Neil ibarat tikus membaiki
labu.
“Tak payah kamu sibuk hal mama. Pergi berehat kat
atas.”
“Neil dah terlebih rehat sejak semalam. Biarlah Neil
tolong mama.”
“Jangan bantah cakap mama. Pergi berehat
sekarang.”
Terpaksa juga Neil akur. Dia terus naik ke biliknya
untuk berehat.

SEHARIAN NEIL menunggu Alia dengan penuh sabar.
Namun bayangan Alia tetap tidak muncul. Rupanya hati Alia
bukanlah selembut yang disangka. Gadis itu tidak termakan
dengan lakonannya walaupun dia bersungguh-sungguh
merajuk kelmarin. Bukan hanya tidak datang melawat, malah
tiada satu missed call pun yang diterima daripada gadis itu,
bagaikan tidak sudi hendak memujuknya.
‘Alia...’ seru Neil berulang kali. Seakan separuh
bebanan dalam hatinya hilang apabila memanggil nama gadis
itu. Neil berjanji akan melayani Alia dengan baik jika Alia sudi
menjenguknya. Dia tidak akan menunjukkan sikap panas
barannya lagi.
‘Datanglah sini, melawat abang. Abang betul-betul
rindukan Alia,’ luah hati Neil tidak tertahan lagi.
Neil masih termenung walaupun hujan mula turun
membasahi bumi. Matanya ditutup rapat seraya membiarkan
tubuhnya dibasahi air hujan. Dia mahu menenangkan
fikirannya yang sedang berkecamuk.
Puan Zahra terus mencapai dua kaki payung. Satu
dibuka dan satu lagi dibawa lalu meluru ke arah Neil yang
sudah basah.
“Ya Allah, Neil! Kenapa masih kat luar ni? Kan hujan
lebat,” tegur Puan Zahra.
Namun Neil hanya kaku walaupun Puan Zahra
beria-ia menyerahkan payung.
“Dah alang-alang demam pun, mam...” ujar Neil.
“Neil cakap apa ni? Apa yang Neil dapat kalau demam
bertambah teruk?”
Neil enggan membalas. Dia tidak peduli jika
demamnya semakin teruk. Hatinya berasa sakit kerana Alia
langsung tidak datang menjenguknya.
“Marilah masuk dalam,” gesa Puan Zahra.
“Mama pergilah masuk. Neil nak duduk sini.”
“Janganlah degil. Cubalah berperangai matang sikit!”
Puan Zahra bertegas apabila Neil tetap dengan pendiriannya.
“Biarlah Neil kat sini. Mama pergilah masuk dalam.”
Puan Zahra mengeluh panjang.
“Neil tunggu siapa sebenarnya ni?”
“Mana ada sesiapa pun,” pantas Neil menyangkal.
Puan Zahra dapat mengagak bahawa bukan Melissa
yang ditunggu oleh Neil. Jika benar Melissa, tentu Neil sendiri
tahu Melissa masih di Singapura dan akan pulang 3 hari lagi.
Dia yakin ada gadis lain yang sedang bertakhta dalam hati
anaknya itu.
“Sesiapa pun dia, dia takkan datang, Neil.”
Hati Neil tergores mendengar kata-kata yang jelas
jujur itu. Mamanya itu seakan sengaja hendak mematahkan
semangatnya.
“Neil lebih kenal dia. Neil percaya dia akan datang,”
balas Neil.
“Mama yakin dia takkan datang.”
“Dia akan datang!” tegas Neil tidak puas hati.
“Kalau betul apa yang kamu cakap, kat mana dia
sekarang? Kenapa dia biarkan kamu menunggu macam orang
hilang akal?”
Neil tidak membalas. Dipejamkan matanya rapat
bagi menenangkan hati yang kecewa.
‘Datanglah, Alia. Datanglah melawat abang. Sekejap
pun jadilah...’ Neil mula menyeru dalam hati dengan harapan
Alia akan mendengarnya.
“Badan kamu dah basah lencun ni. Kamu tetap tak
nak masuk ke?” suara Puan Zahra kembali kedengaran.
“Mama masuklah dulu. Biarkan aje Neil kat sini,”
pinta Neil.
Tidak lama kemudian, kedengaran pula suara
Rayyan.
“Apa yang mama dan Neil buat kat sini? Kan tengah
hujan lebat ni.”
Puan Zahra menoleh.
“Neil ni degil sangat, tak nak masuk rumah.”
“Neil, kenapa dengan kau ni? Jom, masuk dalam.”
Neil hanya menggeleng. Dia masih tetap dengan
kedegilannya.
Rayyan memandang Puan Zahra.
“Mama masuklah dulu. Mama pun dah basah kena
tempias. Biar saya yang pujuk dia.”
Puan Zahra tidak membantah. Dia yakin Neil akan
mendengar nasihat Rayyan.
“Neil, kenapa dengan kau ni? Kau dah gila ke?”
tengking Rayyan sebaik Puan Zahra masuk ke dalam rumah.
Lelaki itu hanya membeku. Langsung tidak terusik
dengan teguran kasar Rayyan. Dia terusan tenggelam dalam
perasaan sendiri.
“Neil, masuk. Jangan sampai aku guna cara kasar!”
Rayyan memberi amaran keras. Dia berasa kurang sabar
dengan sikap Neil yang nampak kebudak-budakan. Entah
ke mana hilangnya sikap Neil yang tenang dan berfikiran
matang.
“Pergilah! Tak payahlah sibuk hal aku,” balas Neil
kurang senang.
Rayyan mendengus keras.
“Hei, aku bukan nak sibuk hal kau. Kau pun dah
besar panjang, malah lebih tua daripada aku. Aku cuma
kasihankan mama yang risaukan kau.”
“Mama tak perlu risaukan aku. Aku cuma nak
tenangkan fikiran,” keluh Neil.
“Tak boleh ke kau tenangkan fikiran kat tempat
lain?”
Neil diam. Hatinya masih lagi berasa sedih.
“Kenapa? Kau sedih Alia tak datang?” Rayyan meneka
dengan nada sindiran.
Rambut yang basah itu Neil raup ke belakang.
“Tak payahlah sindir-sindir aku. Aku mengaku aku
yang salah sebab marahkan dia. Tapi dia tak boleh buat aku
macam ni. Dia sendiri tahu aku cintakan dia.”
“Tak payahlah kau bagi alasan cinta depan aku. Apa
yang kau buat ni menunjukkan kau hanya pentingkan diri.
Kau tak kisah pun perasaan orang lain yang risaukan kau.
Kalau macam ni sikap kau, takkan sekali-kali aku serahkan
Alia pada kau!”
Neil benar-benar terkesima. Jantungnya berdegup
semakin kencang. Tambahan pula saat menatap wajah Rayyan
yang serius itu.
“Aku ni lebih kenal Alia daripada kau. Dia perlukan
lelaki yang bukan hanya sayangkan dia, malah boleh lindungi
dia. Kalau lelaki tu lembik sampai masalah kecil pun tak
boleh nak urus, buat apa dia terima lelaki tu? Lebih baik dia
pilih lelaki lain!”
Kaku tubuh Neil. Lidahnya juga kelu. Walaupun
sukar untuk diterima, namun kata-kata Rayyan memang ada
benarnya.
Rayyan menggeleng perlahan.
“Aku pun tak nak dia kahwin dengan lelaki lembik.
Hidup aku takkan tenang kalau aku serahkan dia pada lelaki
macam tu. Lebih baik aku kahwinkan dia dengan lelaki yang
kuat dan berani. Dia tentu akan lebih bahagia.”
Kali ini Neil menghela nafas panjang, cuba
menenangkan diri. Hatinya benar-benar dipagut rasa kecewa
kerana Rayyan tidak mahu lagi berpihak kepadanya.
“Jadi, kau jangan cuba nak cabar aku. Kau juga yang
akan menyesal nanti!”
Tajam mata Neil merenung mata Rayyan.
“Kenapa dengan kau, tiba-tiba nak ugut aku macam
ni? Hanya aku dan Alia yang boleh buat keputusan dalam hal
ni!”
Rayyan ketawa sinis melihat reaksi Neil.
“Kau ingat Alia akan dengar cakap kau ke? Dia
sendiri pun belum mampu terima kau. Kalau aku suruh dia
pilih antara kita berdua, kau yakin ke yang dia akan berpihak
pada kau? Kau yakin ke dia sanggup singkirkan aku demi
lelaki lembik macam kau ni?”
Sindiran itu membuatkan jantung Neil berdegup
laju. Jika disuruh membuat pilihan, sudah tentu Alia akan
berpihak kepada Rayyan, bukannya dia.
“Kau tak boleh buat aku macam ni. Kau sendiri tahu
aku betul-betul sayangkan dia.”
“Aku peduli apa dengan perasaan kau. Alia tu adik
aku. Aku berhak tentukan dengan siapa yang dia patut
kahwin. Selagi belum sah jadi suami, jangan nak berlagak.”
Neil mengeluh panjang. Dia tidak tahu bagaimana
hendak memujuk Rayyan. Jika Rayyan sendiri tidak mahu
berpihak kepadanya, tentulah lebih sukar untuk dia
mendekati Alia. Abang dan adik sama sahaja. Keras kepala!
“Baiklah. Aku pun tak nak gaduh dengan kau lagi,”
balas Neil seraya bangun daripada kerusi. Dia benar-benar
kalah apabila berhadapan dengan Rayyan. Tambahan lagi
apabila Rayyan dalam keadaan berang. Dia bimbang Rayyan
tekad dengan keputusannya. Mana mungkin dia sanggup
kehilangan Alia yang disayangi.


*** AKAN BERADA DIPASARAN UNTUK KELUARAN SEPT 2018**   

No comments:

Post a Comment