Monday, 22 October 2018
Romantik 4 Hari 3 Malam - Bab 1
SEORANG demi seorang calon keluar dari bilik
itu. Mata Lana memandang sekeliling. Tinggal dia seorang
sahaja yang masih menunggu di ruang itu. Perlahan-lahan
keluhan dilepaskan. Penat sungguh menunggu. Rupa-rupanya
dia berada di giliran yang terakhir.
Sudah terlalu lama rasanya Lana duduk di kerusi itu.
Menunggu dan masih sabar menunggu. Hendak marahkan
orang, tidak boleh pula. Hendak salahkan diri sendiri juga,
tidak kena rasanya. Bukan salah Lana seratus peratus! Entah
apa nasib, jam penggeranya yang tidak berbunyi pagi tadi.
Sebab itulah Lana lewat sampai di bangunan itu.
Menjadi calon yang terakhir bukanlah sesuatu yang
menggembirakan. Lana terpaksa mengawal emosi, kesabaran
serta ketahanan mental. Bukan mudah untuk kekal tenang
apabila melihat calon yang keluar dengan wajah hampa. Tidak
kurang pula yang kelihatan menangis dan bermerah mata.
‘Teruk sangat ke penemu duga kat dalam tu? Kena
marah ke?’ hati Lana berbisik cemas.
“Cik Lana Analia!”
Lana tersentak.
“Ya. Saya,” sahut Lana, berdiri.
“Giliran cik,” ujar perempuan bertubuh kecil molek
dan manis.
“Okey. Terima kasih,” balas Lana dengan senyuman.
Dia bingkas bangun dari kerusi yang sudah panas
didudukinya itu sejak 3 jam yang lalu. Langkahnya merapati
bilik temu duga. Mulutnya terkumat-kamit membaca doa.
Surah Al-Fatihah dan doa penerang hati dibacanya berulang
kali.
Pintu bilik temu duga itu diketuk.
“Masuk!”
Perlahan Lana menolak daun pintu kaca bilik
tersebut. Jantungnya berdegup kencang. Kepalanya dijenguk
sedikit. Matanya melirik ke dalam bilik. Kelihatan dua
penemu duga berada di dalam bilik tersebut. Seorang lelaki
yang agak berumur dan seorang perempuan muda yang
berwajah masam.
“Assalamualaikum,” ucap Lana, mesra dan gugup.
“Waalaikumussalam. Sila duduk,” balas lelaki
berumur tersebut. Perempuan muda di sebelah lelaki
berumur itu mengangguk-anggukkan kepala.
“Lana Analia?” soal perempuan muda berwajah
masam. Ya, wajah perempuan itu bukan sahaja masam
mencuka, malah kelihatan garang.
Hati Lana agak berdebar-debar.
“Ya, saya Lana Analia Suhaimi,” balas Lana dengan
senyuman.
Dilabuhkan punggungnya di sebuah kerusi yang
tersedia di situ, bertentangan dengan meja penemu duga.
“Awak kenal saya?”
Soalan daripada perempuan muda berwajah masam
itu mengejutkan Lana.
Bulat mata Lana memandang wajah perempuan
muda itu. Inilah kali pertama dia bertemu dengan perempuan
itu. Macam mana dia nak kenal!
Lana mengetap bibir. Perlahan kepalanya digeleng.
“Maaf, saya tak kenal,” balas Lana takut-takut.
Jawapan itu menyebabkan perempuan berwajah
masam itu merengus kasar. Jelingan tajam dilemparkan ke
arah Lana.
‘Aduh! Matilah aku!’ bisik hati Lana, bimbang.
“Awak tak baca fasal syarikat ke? Datang temu duga
macam tin kosong?” tempelak perempuan berwajah masam
itu, sinis.
Oh, mendadak sungguh segala-galanya. Lana
tergamam dimarahi begitu. Sememangnya dia tidak
menyangka akan dimarahi pada detik-detik terawal temu
duganya. Padanlah ramai calon yang menangis tadi!
‘Okey, tak mengapa. Tenang Lana, tenang.’
“Maaf, saya memang ada baca tentang Lavendar
Publication. Majalah-majalah keluaran syarikat ni juga
banyak yang saya baca. Tapi, jujurnya saya tak hafal carta
organisasi syarikat,” balas Lana, bersungguh-sungguh.
Perempuan berwajah masam itu mendengus.
“Majalah apa yang awak baca?”
“Cinta,” balas Lana, pantas dan serius.
Mata Lana mengerling ke arah lelaki berumur yang
duduk di sisi perempuan berwajah masam itu. Senyuman
simpati dihulur segera. Sengaja dia membuat mimik wajah
sedih, memohon simpati. Dalam hati dia berdoa supaya
lelaki itu menyelamatkannya daripada terus dihempuk oleh
perempuan berwajah masam itu.
Seperti tahu-tahu pula, lelaki berumur itu
melemparkan senyuman balas ke arah Lana. Sekuntum
senyuman yang manis dan tenang.
“Kenapa majalah Cinta?”
Nampaknya perempuan berwajah masam itu masih
belum berpuas hati. Lana mengeluh perlahan.
“Saya suka majalah tu. Artikel-artikelnya,
persembahan, warna dan konsep. Semuanya saya suka, puan,”
jelas Lana, jujur.
“Puan? Siapa yang puan!” bentak perempuan
berwajah masam itu lagi. Nada tidak puas hati menjengkelkan
telinga. “Itulah budak-budak sekarang, datang temu duga,
kosong! Langsung tak bersedia!” luahan marah itu terus
berkumandang dengan pedih.
‘Aik? Kena lagi?’ Lana menggigit bibir.
“Ira...” ujar lelaki berumur itu, tepat pada masanya.
“Biar pak long tanya pulak,” sambung lelaki berumur itu lagi.
‘Oh... pak saudara dia,’ bisik hati Lana, cukup lega.
Perempuan berwajah masam itu tidak menjawab,
hanya memberikan jelingan tajam tanda setuju.
Bibir Lana mengukir senyum. Pandangan
dipalingkan ke arah lelaki berumur tersebut. Dengan tenang,
dia menunggu soalan yang seterusnya.
“Boleh terangkan tentang diri awak?”
Lana mengangguk.
“Nama saya Lana Analia. Saya lulusan sarjana muda
dalam bidang kewartawanan dari Universiti Sains Malaysia.
Saya memang betul-betul berminat nak bekerja sebagai
wartawan dan penulis di Lavendar Publication ni. Memang
cita-cita saya sejak kecil lagi nak jadi wartawan.”
“Awak asal dari mana?”
“Segamat, Johor.”
“Awak ada pengalaman bekerja?”
“Tak ada,” geleng Lana, menggigit bibir. “Cuma,
masa di kampus, saya menulis untuk Berita Kampus; surat
khabar universiti. Lepas habis belajar, saya ada mohon juga
nak jadi wartawan di syarikat penerbitan surat khabar. Tapi,
mungkin bukan rezeki saya atau mungkin sebab saya tak ada
pengalaman. Mereka tak panggil untuk temu duga,” jelas
Lana, bernada kecewa.
Lelaki berumur itu mengangguk-anggukkan kepala.
“Dah lama ke awak habis belajar?”
“Lama juga. Dalam setahun.”
“Oh... jadi dalam setahun tu, awak buat apa?”
Bibir Lana tersenyum manis.
“Saya kerja di kedai buku. Yalah, daripada tak buat
apa-apa. Lagipun saya bukannya anak orang senang.”
“Orang tua awak kerja apa?”
Lana tersenyum lagi.
“Bapa saya meninggal masa saya tingkatan 3. Saya
anak sulung daripada 3 beradik. 2 adik saya masih belajar.
Seorang di UiTM dan seorang lagi sekolah menengah.”
“Mak awak?”
“Mak saya buat business kecil-kecilan.”
“Business apa?”
Bibir Lana terus tersenyum.
“Jahit baju dan tudung.”
“Oh...” ujar lelaki berumur itu dengan senyuman
lebar. “Apa yang awak bawa tu?” Mata lelaki berumur itu
memandang ke arah fail di tangan Lana.
“Fail ni?” soal Lana dengan dahi berkerut.
“Ya,” angguk lelaki berumur itu dengan senyuman.
“Profil saya. Keratan-keratan Berita Kampus hasil
penulisan saya,” balas Lana.
“Mari saya tengok,” pinta lelaki berumur itu.
Lana bangun dan menghulurkan fail tersebut.
Matanya sempat mengerling ke arah perempuan berwajah
masam tadi. Wajah perempuan itu masih lagi masam dengan
biji mata yang merenung tajam ke arahnya. Pandangannya
segera dilarikan. Matanya memandang ke arah lelaki berumur
yang nampak baik hati itu.
Fail yang dihulur dibelek-belek oleh lelaki itu.
“Walaupun awak tak banyak pengalaman, tapi
awak tunjukkan minat dalam penulisan. Awak ada ruangan
rencana khas untuk penerbitan akhbar universiti ni,” ujar
lelaki berumur tersebut.
“Ya, untuk setahun keluaran,” balas Lana, bangga.
Lelaki berumur itu mengangguk-anggukkan kepala.
“Ira, nak tengok?” soal lelaki berumur itu kepada
perempuan berwajah masam tersebut.
Perempuan berwajah masam itu merengus kasar.
“Hmm...”
Fail tersebut bertukar tangan. Giliran perempuan
berwajah masam itu meneliti isi-isi di dalam fail milik Lana
itu. Hati Lana semakin berdebar-debar.
‘Ya, Allah... Lembutkanlah hati mereka,’ doa Lana
dalam hati.
“Apa nama awak? Luna?”
Cetusan soalan dari bibir perempuan berwajah
masam itu mengejutkan Lana.
“Lana, bukan Luna,” balas Lana pantas.
Perempuan berwajah masam itu mengerutkan
wajah.
“Okeylah, Lana. Bila awak boleh mula?”
Lana menelan air liur.
“Hmm... esok boleh?” ujar Lana teragak-agak.
“Awak serius?” soal perempuan berwajah masam itu
dengan nada tidak percaya.
“Ya... saya serius.” Sekali lagi Lana teragak-agak
menganggukkan kepala.
“Kata tadi kerja kedai buku!” tempelak perempuan
berwajah masam itu.
“Ya. Tapi saya boleh notis 24 jam. Saya ni pekerja
biasa aje. Bukannya pegawai atau pengurus kedai buku,”
balas Lana.
“Okey. Hmm...” Perempuan berwajah masam itu
mengangguk. “Soalan terakhir, apa pendapat awak tentang
lelaki?”
Lana tersentak. Satu-satunya soalan yang langsung
tidak terlintas dalam fikirannya. Lelaki? Apa yang harus
dijawab? Lana tidak tahu banyak tentang lelaki. Bapanya
sudah lama meninggal dunia. Lana tidak ada adik-beradik
lelaki; tidak ada teman lelaki; tidak ada sahabat baik lelaki.
Yang Lana ada, hanya kawan-kawan lelaki yang biasa-biasa
sahaja. Dan Lana tidak tahu banyak tentang peribadi mereka.
Lana menggigit bibir.
“Lelaki? Hmm... lelaki adalah makhluk misteri.”
Kening perempuan berwajah masam itu berkerut.
“Maksud awak?”
‘Matilah aku!’ Otak Lana ligat berfikir. ‘Apa ya? Apa
ya?’
“Lelaki sukar difahami. Misteri! Mereka juga ego dan
kasar,” balas Lana menjawab pantas. Eh, betul ke apa yang dia
jawab? Hati Lana cemas.
“Bagaimana pula jika lebih spesifik? Maksud saya,
lelaki Melayu?”
Lana mengeluh dalam hati. ‘Isy, lelaki Melayulah
pulak!’
Wajah Lana berkerut. ‘Matilah... matilah...’
“Hmm... lelaki Melayu tak romantik dan pemalas,”
balas Lana, mengetap bibir. Asal boleh sahaja jawapan
yang diberi. Mata Lana mengerling ke arah lelaki berumur
di hadapannya. Lelaki berumur itu berpeluk tubuh dan
merenungnya tajam.
Alamak! Janganlah lelaki itu berkecil hati pula
dengannya. Hati Lana bimbang.
“Awak rasa, ada tak lelaki sempurna dalam dunia ni?”
Soalan-soalan aneh terus diajukan oleh perempuan berwajah
masam itu.
Kata tadi soalan terakhir! Banyak pula soalannya!
Lana mengeluh lagi. Soalan ini tidak mungkin tertera dalam
mana-mana panduan temu duga. Tidak mungkin ada jawapan
yang tepat meskipun berjuta-juta kali dia membaca buku
tentang ‘Tips Menjawab Soalan Temu Duga’!
Tolong!!!
Lana teringat sesuatu. Butir-butir ceramah Ustaz
Amir yang dihadirinya semasa di universiti dulu terlintas
dalam fikiran. Suara Ustaz Amir seolah-olah berbisik di
telinga Lana.
‘Rasulullah SAW bersabda kepada Abu
Dzar r.a, “Engkau seorang yang masih ada
padamu sifat Jahiliah.” Sedangkan Abu
Dzar adalah seorang sahabat utama yang
termasuk dalam orang-orang pertama
yang beriman dan berjihad. Namun, beliau
masih ada kekurangannya.’
Bibir Lana mengukir senyum dan dibuka dengan
gembira.
“Tiada seorang pun yang sempurna dalam dunia ni.
Bermakna juga, tiada lelaki yang sempurna dalam dunia ini
Mustahil jika lelaki sempurna itu wujud,” jawab Lana, yakin
dan tegas.
Buat pertama kalinya, wajah perempuan itu tidak
semasam tadi. Bibir tebal dan lebar tu mempamerkan
sekuntum senyum.
“Ya, saya suka dengan jawapan awak.” Pujian yang
mengejutkan keluar dari bibir perempuan berwajah masam
itu. “Esok, awak lapor diri ke pejabat saya,” sambung
perempuan berwajah masam itu lagi.
Bulat mata Lana. Adakah telinganya tersalah dengar?
Esok? Biar betul!
“Betul ke? Hmm... puan, cik... hmm... Datin...
Dato’?” tergagap-gagap Lana bertanya dengan ekspresi penuh
teruja.
Perempuan berwajah masam itu mengerutkan
wajah.
“Norsira. Panggil saya Cik Nor. Dan jangan sesekali
tersalah sebut lepas ni. Cik Nor!” ujar Cik Nor dengan tegas
dan kuat.
Segera Lana menganggukkan kepala dengan wajah
gembira.
“Baiklah Cik Nor. Terima kasih banyak! Esok tu
pukul berapa? Pagi ke petang?”
Wajah Cik Nor yang kelihatan menjengkelkan itu
merengus dengan kasar.
“Pagi. Pukul 9 pagi.”
Bibir Lana tersenyum lebar.
“Baik! Pukul 9 pagi saya akan lapor diri ke pejabat
Cik Nor.” Kepalanya dipalingkan pula ke arah lelaki berumur
di sebelah Cik Nor. “Encik, terima kasih!” ucap Lana, gembira.
Lelaki berumur itu membalas senyumannya
“Sama-sama. Ada apa-apa ke yang awak nak tanya
tentang Lavendar Publication?”
“Ada!” ujar Lana teruja.
“Hmm?”
Lana tersenyum lagi.
“Siapa nama encik?” soal Lana.
Lelaki berumur itu hampir ketawa mendengar
soalan tersebut.
“Nama saya Abu Bakar Lukman. Panggil saya Dato’
Burn. Saya pengarah syarikat ini,” ujar lelaki berumur
itu. “Lana, awak akan berada di bawah penyeliaan Cik Nor,
untuk majalah Cinta. Cik Nor, Editor Eksekutif di Lavendar
Publication.”
Mata Lana membuntang.
“Cinta? Majalah Cinta?”
“Ya, kenapa? Ada apa-apa masalah?” Cik Nor menyoal
tegas.
Lana menggeleng.
“Tak ada.” Bibir Lana mengukir senyuman gembira.
“Cuma saya rasa tak sangka dapat jadi wartawan majalah yang
paling popular di Malaysia ni!”
Cik Nor merengus. Manakala Dato’ Burn terus
tersenyum.
“Ya,” angguk Dato’ Burn. “Jadi, awak kena bekerja
dengan gigih. Berikan yang terbaik untuk kami,” ujar Dato’
Burn lagi.
Mata Lana bersinar-sinar memandang kedua-dua
individu di hadapannya.
“Ya, saya akan berikan yang terbaik! Terima kasih
sangat-sangat!”
“Itu sahaja untuk hari ini. Kita jumpa esok pagi,”
ujar Cik Nor.
Lana bingkas berdiri.
“Ya, jumpa esok. Terima kasih dan terima kasih Cik
Nor, Dato’ Burn,” balas Lana tersenyum lebar.
Mereka bersalaman sebelum Lana meninggalkan
bilik temu duga tersebut.
Langkah Lana diayun gembira. Hatinya berasa amat
teruja dan lega. Akhirnya cita-citanya ingin menjadi wartawan
dan penulis tercapai jua. Paling manis, dia akan memulakan
kerjaya idamannya itu di sebuah syarikat penerbitan gergasi
dan lebih spesifiknya di majalah yang paling tinggi cetakannya
dalam negara!
‘Rasa macam nak lompat! Nak lompat tinggi-tinggi!
Majalah Cinta! Wau! Siapa sangka!’ jerit hati Lana teruja.
‘Alhamdulillah. Syukur sangat,’ hati Lana terus berbisik lega.
No comments:
Post a Comment