BALUTAN di tapak tangan kukemaskan kembali
setelah luka selesai dicuci. Aku terus merebahkan badan di
atas tilam sambil membelek-belek tangan yang sudah pun
dibalut kemas. Niat di hati untuk merehatkan diri buat
seketika. Bermacam adegan terpaksa aku lalui hari ini. Mujur
hari yang panjang dan sangat memenatkan ini hampir sampai
ke penghujungnya.
Entah berapa lama aku terlena, terasa bahu
digoncang dan sayup-sayup kedengaran namaku diseru. Mata
terasa berat seperti digam pula. Marahnya aku rasa pada si
pengganggu tidurku ini. Siapa lagi kalau bukan Haneez.
“Kau nak apa ni? Nanti-nanti tak boleh ke interview
aku? Bagilah aku rehat. Penat sangatlah,” gumamku
dalam keadaan separuh sedar dengan mata yang masih lagi
terpejam. Sumpah aku memang mengantuk sangat sekarang
ni. Mungkin kesan daripada ubat tahan sakit yang aku makan
sebentar tadi.
“Tak boleh, tak boleh! Aku tak kira! Kau kena bangun
juga. Aku ni terus jadi tak tentu arah tahu tak, bila Rafiq
cakap kau jatuh dan cedera masa joging tadi?” Suara Hanez
kedengaran sangat risau.
“Okey, okey. Aku bangun. Aku luka sikit jelah dekat
siku dengan tapak tangan ni. Apalah yang si Azriel tu dah
tokok tambah ni. Aku okey je. Doktor dah bagi ubat. Esok aku
tak kerja, MC.” Aku cuma menjelaskan keadaan diriku sahaja.
Malas mahu menceritakan perihal Johan kepadanya.
Haneez memandang aku dengan mata yang sengaja
dikecilkan dan mulut dimuncungkan ke depan tanda
meragui kata-kataku. Dua belas tahun persahabatan kami
membuatkan aku memahami setiap bahasa tubuhnya. Begitu
juga dengan dia. Jadi aku memang tidak berpeluang langsung
untuk menipu.
“Yalah, aku cerita. Nak kelentong sikit pun tak boleh.
Susah betul kawan dengan mak nujum ni. Hee...” Panjang
sengihanku.
Aku menarik nafas panjang sebelum memulakan
bicara.
“Aku jumpa Johan tadi.”
“Hah???”
“Kau ni janganlah menjerit. Sakit telinga aku,
tahu tak? Kesian kat aku, dahlah tangan berbalut. Telinga
pula dah nak pekak kalau hari-hari kau menjerit macam
ni.” Aku mengusap perlahan tangan yang berbalut sambil
menunjukkan mimik muka sedih.
“Poyolah kau ni. Dah, tak payah nak buat cerita
sedih. Sekarang cerita kat aku macam mana kau boleh jumpa
dengan Johan?” Haneez bersuara sedikit teruja.
Minah ni memang kepochi betul! Tapi si kepochi
inilah sahabat aku dunia akhirat. Mati aku kalau dia tahu
aku mengata dia dalam hati. Yang penting dia tak tahu, kan?
Peace!
Lalu aku pun memulakan cerita. Satu per satu
hal yang berlaku petang tadi sampai kepada pengetahuan
Haneez. Bermula dengan aksi kejar-mengejar bersama Johan
sehinggalah Azriel menghantarku pulang ke rumah.
Haneez memberikan pendapatnya kepadaku. Kata
Haneez, nampak seperti Johan masih tidak berpuas hati
dengan aku. Mungkin Johan mahu menuntut sesuatu yang
gagal dia dapatkan pada masa dahulu. Ya, aku juga ada terfikir
kemungkinan itu. Kemungkinan yang paling aku takuti. Aku
tidak sanggup menghadapi situasi yang sama sekali lagi.
“Rissya, aku risaukan keselamatan kau. Aku tak
rasa dia akan berhenti kejar kau. Sekarang aku ada dengan
kau. Nanti aku dah kahwin, kau duduk sendiri. Takde teman,
bahayalah.” Riak kerisauan jelas terpancar di raut wajah
Haneez, satu-satunya sahabat yang paling aku sayang di
dunia ini.
Aku setuju.
Ada betulnya apa yang disampaikan oleh Haneez.
Kami masing-masing menyepi sebelum dia menyambung
kembali.
“Apa kata kau pun kahwin?”
Amboi, nampak senang sangat cadangan yang
diutarakan oleh Haneez.
“Hoi, mak cik. Kau ingat cari calon suami ni macam
nak pilih baju kat kedai ke?” Geram aku dengan cadangan tak
masuk dek akal tu. Nak pilih baju untuk beli pun susah, inikan
lagi nak pilih calon suami? Bukan boleh main petik-petik jari
je, muncul calon suami tu. Hesy, dia ni kan nak kenalah!
“Tak susah pun, Cik Arissya oi. Calon dah ada di
depan mata. Kau je yang buat tak nampak,” balas Haneez
cuba mengajak aku untuk bermain teka-teki.
“Siapa jejaka yang bertuah tu? Aku tak nampak
sesiapa pun kecuali seorang je.” Aku ketawa jahat di dalam
hati. Jaga kau Haneez! Kejap lagi mesti kau menjerit bergegar
satu rumah. Hehehe...
“Hah, kau dah nampak, kan? Tunggu apa lagi?
Cubalah berkawan dengan dia. Mana tahu ada jodoh...”
Haneez masih memberikan cadangan tanpa mengetahui niat
sebenarku untuk mengenakannya.
“Aku memang dah berkawan pun dengan dia. Kau
cakap pasal Rafiq, kan? Tengoklah kalau ada jodoh dapatlah
kita bermadu, ya? Boleh naik pelamin sekali. Hahahaha!”
Aku sudah tidak dapat menahan tawa. Berguling-guling aku
ketawa sambil memegang perut.
Merah padam jugalah muka Haneez, sebelum
sama-sama tergelak denganku.
“Dah, dah. Sakit perut aku. Oksigen! Oksigen! Tak
bernafas dah ni.” Dengan perlahan aku cuba mengatur
kembali nafas dan menstabilkan diri. Ketawa tidak ingat
dunia, sendiri yang penat.
“Kaulah yang mulakan. Amboi, kau jangan nak buat
lawak tak kena tempat, eh. Minta simpanglah madu-madu ni
ya. Kalau nak rasa, cubalah. Pahit hempedu nanti aku bagi
kau. Mati-mati aku ingat kau faham hint aku tadi. Rupanya
nak kenakan aku pula. Kita bercakap pasal dia, kita yang
terkena balik.” Satu cubitan manja singgah di paha kananku.
“Adui, sakitlah. Macam semut api. Alah, aku melawak
jelah. Aku stres satu hari ni. Tengok muka kau, terus rasa
macam nak masuk Maharaja Lawak. Hehe...” Aku tersengih
sambil menggosok bekas cubitan yang dihadiahkan oleh
Haneez sebentar tadi. Tak sakit pun sebenarnya, saja nak
mengada-ada.
“Arissya, aku serius, okey?” Wajah Haneez berubah
serius.
“Yalah, yalah. Siapa calon suami yang tuan hamba
nak cadangkan kepada hamba ni?”
“Azriel.” Haneez memandang tepat ke arahku.
Mungkin untuk melihat reaksiku.
Jeda.
Aku cuba berlagak tenang.
“Apa kena-mengena dengan dia pula?” balasku
ringkas.
“Kau tak nampak ke atau buat-buat tak nampak?
soal Haneez.
“Maksud kau?” Aku masih cuba bermain tarik tali.
Padahal aku faham apa yang cuba diperkatakan oleh Haneez.
“Cuba kau buka sikit hati kau untuk kenal dengan
Azriel. Dia tu aku tengok macam syok je dengan kau. Tadi
punya banyak pesanan dia minta Rafiq sampaikan pada kau;
jangan lupa cuci luka, suruh makan malam, lepas tu makan
ubat, then rehat secukupnya. Lastly, dia tanya bila nak jadi
girlfriend dia?” Haneez bercakap sambil mengira jari. Sajalah
tu nak tunjukkan kepada aku betapa banyaknya pesanan
daripada Azriel.
“Kejap, kejap.” Tanganku terawang-awang di depan
Haneez.
“Pesanan yang terakhir tu...”
“Yang mana?” Haneez tahan tawa. Kura-kura dalam
perahu, pura-pura tak tahu.
“Yang part bila nak jadi girlfriend dia tu. Betul ke
dia yang tanya?” Keningku terangkat meminta kepastian.
Melihatkan Haneez yang mula turun dari katil bersama
senyuman yang sumbing, aku tahu dia sengaja menyakat aku.
“Okeylah aku nak pergi mandi. Badan dah rasa
melekit ni. 15 minit lagi turun, eh? Kita makan sama-sama.
By the way, yang pesanan terakhir tu aku tipu je. Hahaha.”
Selesai berbicara, Haneez mencicit berlari masuk ke dalam
biliknya.
Aku duduk termenung di birai katil sementara
menunggu Haneez selesai mandi. Memang Azriel seorang
yang sangat-sangat caring. Terkenang kejadian di klinik
petang tadi...
No comments:
Post a Comment