Tuesday, 23 October 2018

Jodohku Paling Superb - Bab 7

Beberapa jam sebelum...
SEBAIK sahaja kakiku melangkah keluar dari
bilik doktor, Azriel terus berlari mendapatkan aku. Banyak
betul soalan cepumas yang dihadiahkan mengalahkan
seorang detektif. Rasa nak tergelak pun ada. Macamlah
aku ni cedera teruk, padahal luka sedikit je. Tetapi berbalut
jugalah siku dan tapak tanganku. Senarai soalan yang tidak
putus-putus aku terima :
“Arissya, you okey tak?”
“Doktor cakap apa?”
“Teruk tak luka you?”
“Ada kena jahit tak?”
“Doktor bagi MC? Kalau tak bagi, biar I request.”
Azriel memandangku yang hanya tersenyum nipis. Biarpun
ada sedikit rasa lucu tetapi tidak dapat dinafikan terselit juga
rasa bahagia. Sudah lama perasaan sebegini tidak menjengah
ke dalam hatiku.
“Mr. Azriel Raykarl, relaks okey? I jatuh je. Bukannya
kena langgar ke apa. Cool, okay? You bagi I soalan berdas-das.
You buat I takut, tahu tak? Nasib baik soalan pasal luka.
Kalau you bagi pick-up line berdas-das macam tu, mesti dah
tertusuk dalam hati I ni.” Aku kenyitkan sebelah mata kepada
Azriel dan terus mengambil tempat duduk bersebelahan
dengannya.
Azriel tersenyum. Bukan senyum yang sedikit, tapi
senyuman lebar. Mungkin tidak menjangkakan reaksi yang
diterima daripadaku. Apa, ingat aku ni kayu sangat ke? Aku
cuma belum nak tunjuk belang je.
Kami beriringan ke kaunter apabila kedengaran
namaku disebut. Selesai petugas menjelaskan cara-cara
penggunaan ubat, aku melihat Azriel mengeluarkan
dompetnya untuk membayar.
“Takpe, Mr. Azriel. You dah lupa ke ni klinik panel
company tempat I kerja? Datang tadi kan you yang register
untuk I.”
“Haahlah. Sorry, I tak ingat.” Azriel berkata sambil
mengambil plastik ubat di tanganku.
“You ni muda lagi tapi pelupa macam pak cik-pak cik
sangat,” gurauku.
“You kan ada. Kalau I lupa you boleh ingatkan I.”
Azriel tersengih menyambut gurauanku sebentar tadi.
Tiba-tiba Azriel merapatkan diri kepadaku.
“Errr... I dah okey. You tak payah papah I lagi. Kepala
I dah tak sakit macam tadi.” Pantas aku bersuara kerana dapat
membaca langkah yang bakal diambil oleh Azriel seterusnya.
Aku tahu dia cuma ingin membantu, bukan berniat untuk
mengambil kesempatan.
Azriel tersenyum dan menganggukkan kepalanya.
Hari ni aku tersedar sesuatu. Azriel ialah seorang lelaki yang
murah dengan senyuman. Senyuman bukan biasa-biasa,
tetapi killer smile! Adakah dia menyedari yang senyumannya
itu terlalu manis sehingga dapat mencairkan hati sesiapa
pun? Termasuk aku ke? Entahlah. Mungkin ya, mungkin juga
tidak. Bagaimana pula rupa Azriel ketika marah? Tak perlu
kut nak sesakkan fikiran membayangkan reaksi marah Azriel
pula.
Selepas menutup pintu kereta di bahagian
penumpang, Azriel terus mengambil tempat di bahagian
pemandu dan menghidupkan enjin. Serentak itu dia
berpusing menghadapku.
“You ada hutang jawapan dengan I,” tuntut Azriel.
“Ya, I tahu. Doktor ada bagi MC sehari. Kalau takde,
dari dalam lagi tadi I dah beritahu you.” Dahsyat juga ingatan
dia. Aku fikir dia sudah lupa. Dulu masa studi result mesti
gempak ni. Daya ingatan yang bagus!
“Nanti I nak singgah surau depan tu kejap, ya. Takut
tak sempat nak maghrib,” tuturnya sambil menekan pedal
minyak dan kereta pun mula bergerak menuju ke destinasi.
Sepanjang perjalanan hanya kedengaran lagu yang
ke udara di corong radio. Lima minit kemudian, kami tiba di
hadapan sebuah surau.
Azriel turun dari kereta. Aku yang sedang ralit
melayari Internet di telefon pintar agak terkejut apabila Azriel
membuka pintu kereta di bahagian penumpang. Alamak,
macam mana ni?
“Okey, kita dah sampai. Jom, nanti lambat pula,”
tutur Azriel.
Sekarang diriku rasa serba tidak kena. Dalam
kepayahan aku terpaksa menebalkan muka.
“Ehem, you pergilah. I cuti.”
Huaaargh... malunya!
“Lah, ya ke? Sorry, I tak tahu but I saw your blushing
face. Jangan malu. Perkara biasa, kan? Kunci pintu. I pergi
solat kejap.” Pesannya sebelum meninggalkan aku.

LAMA BENAR kejadian yang berlaku di klinik petang tadi
terimbau di dalam kotak fikiranku. Tidak sedar jarum jam
dengan pantas bergerak melangkaui waktu. Benar masa itu
emas. Masa tidak akan menunggu sebaliknya kita yang harus
mengejar masa. Aku hanya dikejutkan daripada lamunan
apabila Haneez menjerit memanggil namaku. Tak lain dan tak
bukan, pastinya untuk mengajak aku makan malam bersama.
“Ya, kejap! Aku datanglah ni!” Sepantas kilat aku
berlari turun ke bawah.
Masuk saja ke ruangan dapur, aroma masakan
paprik menusuk ke dalam hidungku. Lauk-pauk sudah siap
dihidangkan. Hanya tunggu masa untuk dingap saja. Aku
mengambil tempat setelah mencuci tangan di singki.
“Wah, nampak sedap. Kau memang terbaiklah
Haneez. Tahu je makanan kegemaran aku.” Dengan pantas
aku mencapai sudu dan segera meletakkan lauk ke dalam
pinggan yang sudah terisi dengan nasi.
“Weh, pelahapnya. Dah baca doa ke belum ni?”
sergah Haneez.
“Aku dah baca dalam hati. Hehe. Tengok apa?
Jemputlah makan. Lambat habis nanti. Kau beli dekat
mana ni? Sedap giler.” Aku meneruskan suapan tanpa
mempedulikan pandangan jelik daripada Haneez.
“Aku tak tahu beli dekat mana sebab bukan aku
yang beli. Ada orang bagi,” jawab Haneez sebelum dia juga
memulakan suapan ke dalam mulutnya.
“Hah? Jiran kita ke yang bagi?” soalku lagi.
“Salah! Bakal penghuni hati kau yang bagi.” Haneez
menayang muka selamba ke arahku.
“Kau jangan main-main, boleh tak? Aku tanya
betul-betul ni. Tak kelakar okey, lawak kau tu.”
“Betullah. Aku serius ni. Azriel yang bagi. Dia hantar
tadi. Dia pass kat aku je sebab dia tak nak kacau kau rehat.”
Haneez menjelaskan kepadaku tentang kedatangan Azriel
sewaktu aku masih berada di dalam bilik.
“Hah? Uhuk uhuk uhuk...” Terus tersedak dan
terbatuk aku mendengar jawapan daripada Haneez.
“Makan tu elok sikitlah. Nah ambil air ni, minum.”
Haneez menghulurkan segelas air kepadaku.
Aku meneguk laju air yang diberikan oleh Haneez.
Aduh, pedih terasa tekak dan hidungku. Tadi nak sangat
dengar jawapan, sekarang dah terkejut beruk pula. Baru
padan dengan muka aku.
Satu lagi kejutan yang aku terima. Rupanya makanan
yang sedang kami nikmati sekarang dibeli oleh Azriel. Dia
begitu prihatin akan diriku sehinggakan sanggup datang
lagi semata-mata untuk menghantar makanan. Oh my! Aku
terharu.
“Kenapa kau tak beritahu aku?” soalku tidak puas
hati.
“Aik, kan aku dah beritahu ni?” balas Haneez geram.
“Maksud aku beritahu awal-awal kan senang.” Aku
masih tidak mahu mengalah. Seronok dapat berlawan cakap
dengan Haneez. Suka sangat buat dia sakit hati.
“Kau tu gelojoh sangat. Tak dan aku nak beritahu
kau dah makan dulu.” Sempat Haneez memerli aku. Terkena
balik pada batang hidung sendiri.
“Janganlah marah. Aku tengok lauk sedap, tak
dapatlah nak kawal nafsu. Tu yang jadi gelojoh,” jelasku
untuk menutup rasa malu.
“Nafsu apa yang kau tak dapat control tu?” Haneez
tersengih sambil jari naik di kepala membuat lambang
tanduk.
“Hei, nafsu makanlah! Otak kuning. Tahulah dah
nak kahwin. Nampak ni?” Aku angkat penumbuk tangan kiri.
“Aku gurau jelah. Dah, sambung makan. Nanti sejuk
lauk yang cinta hati kau bagi ni.”
“Haneez...” Sengaja aku kecilkan mata memandang
ke arah Haneez
“Okey, okey. Aku tak kacau kau dah. Tapi betul, kan?”
“Betullah kut...” Jawapanku membuatkan Haneez
terdiam.
Seketika kemudian, kami berdua ketawa bersama.
Mungkin betul kata Haneez, aku harus membuka
ruang di dalam hati untuk mengenali Azriel dengan lebih
rapat lagi. Tidak salah mencuba. Kalau ada jodoh, adalah.
Kalau takde jodoh, aku dapat tambah kawan lagi seorang.
Tidak rugi apa pun.
Azriel Raykarl, insya-Allah semoga segalanya
dipermudahkan. Amin. Jika sudah tertulis jodoh kita, tiada
yang dapat menidakkannya.

No comments:

Post a Comment