Monday, 22 October 2018

Romantik 4 Hari 3 Malam - Bab 4

TELEFON bimbitnya dimasukkan ke dalam
beg tangan. Ligat mata Lana meninjau-ninjau mencari
lelaki berbaju biru yang duduk di meja paling belakang.
Pandangannya terhalang dek barisan-barisan meja yang
tersusun di sepanjang ruang restoran.
Hati Lana sedikit berdebar-debar. Mana ya? Hmm...
Lehernya dipanjangkan untuk melihat lebih jauh. Di
meja paling belakang, matanya menangkap kelibat seorang
lelaki yang duduk keseorangan. Mungkin sekali lelaki berbaju
biru muda itulah teman janji temunya.
‘Dia ke?’ bisik hati Lana ragu-ragu.
Lelaki yang kini berada 10 meter di hadapannya itu
kelihatan resah. Perlahan-lahan dia mendekati lelaki berbaju
kemeja biru muda tersebut.
“Ridzuan?” sapa Lana lembut.
Lelaki berbaju biru muda itu mendongak dengan
wajah yang berkerut.
“Dania?”
Lana mengangguk. Sengaja dia menggunakan nama
‘Dania’. Blind Date yang pertama tempoh hari mengajar dia
sesuatu. Dia tidak mahu menaruh harapan. Justeru, dia tidak
mahu dikenali. Janji temu yang dibuat adalah untuk bahan
artikelnya.
“Dah lama awak tunggu?” soal Lana sambil menarik
kerusi untuk duduk.
Ridzuan tersenyum.
“Baru. Dalam 10 minit. Kebetulan saya sampai
awal,” balas Ridzuan, tersenyum riang. “Kita oder dulu ya?”
ujar Ridzuan lagi, seraya melambai ke arah pelayan restoran.
Lana duduk bertentangan dengan Ridzuan. Matanya
melirik pandang ke arah teman janji temunya itu.
Ridzuan. Ya, lelaki itu bernama Ridzuan. Lana
tidak tahu mengapa dia boleh tertarik untuk menghubungi
Ridzuan. Seperti Mikail, Ridzuan juga dikenali menerusi
portal carian jodoh, cintabersemi.com. Mungkin kerana
foto yang dimuat naik oleh Ridzuan. Ciri-ciri kesederhanaan
Ridzuan menarik perhatian Lana.
Ridzuan tidak terlalu kacak dan kelihatan simple.
Lelaki sedikit berisi itu bertugas sebagai Penolong Pegawai
Sistem Maklumat di salah sebuah jabatan kerajaan.
“Ya?” soal pelayan restoran yang menghampiri meja
mereka.
Bibir Ridzuan tersenyum manis.
“Bagi saya nasi goreng sotong dengan teh tarik,”
pinta Ridzuan. Pandangan Ridzuan beralih ke arah Lana.
“Lana nak makan apa?” soal Ridzuan, lembut dan sopan.
Lana tersenyum.
“Ayam panggang dan sirap limau,” balas Lana.
Pelayan restoran mengangguk-angguk kepala, tanda
faham.
Restoran itu semakin dipenuhi pengunjung. Hampir
semua meja sudah berpenghuni. Keadaan semakin sesak dan
panas. Ridzuan kelihatan berpeluh dan tidak selesa.
“Panas?” soal Lana, pura-pura bertanya.
Ridzuan tersenyum senget sambil mengangguk
kepala.
Makanan yang dipesan kemudiannya tiba di meja
mereka. Peluh di dahi dan rambut teman janji temunya itu
mula mengalir ke wajah.
“Nak tisu?” ujar Lana, menghulurkan sekeping tisu.
“Terima kasih,” ucap Ridzuan, mencapai tisu
tersebut.
Tisu yang nipis itu tidak dapat menampung
kelencunan peluh lelaki itu. Sedangkan kemeja biru muda
yang dipakai oleh Ridzuan itu pun sudah sebahagian besarnya
basah.
Apabila Ridzuan menunduk untuk menjamah nasi
goreng sotong di dalam pinggan, beberapa butir peluh jatuh
ke dalam pinggan tersebut.
Eeuuwww!!! Membuntang mata Lana. Hampir sahaja
dia termuntah. Apa yang dilihat benar-benar meloyakan
tekaknya!
Beberapa titik lagi peluh masuk ke dalam pinggan
Ridzuan. Namun lelaki itu seperti tidak peduli atau mungkin
juga tidak perasan. Suapan demi suapan terus dibuat.
Lana masih terpaku. Tekaknya terasa semakin
kembang.
“Kenapa tak makan? Tak sedap?” soal Ridzuan.
Lana tersentak. Mimik serba salah melatari wajah.
“Perut saya sakit. Masuk angin agaknya,” balas Lana,
memberikan alasan.
Ridzuan tersenyum sumbing.
“Cubalah makan perlahan-lahan. Kalau tak makan,
lagi sakit perut awak nanti,” ujar Ridzuan, sambil menyuap
lagi sesudu nasi goreng ke dalam mulut.
Lana segera mengangguk. Sebenarnya dia sudah
tidak tahan lagi. Jika dipaksa suap ayam panggangnya, dia
pasti akan termuntah ketika itu juga.

“BAGUS, LANA!”
Pujian daripada Cik Nor membuatkan hidung Lana
kembang kempis. Bukan senang untuk mendapat pujian
daripada editor yang terkenal dengan hati kering itu. Cik
Nor lebih banyak naik angin daripada bersikap baik dengan
kakitangan bawahan. Justeru, memang sepatutnya Lana
berasa teramat bangga.
“Terima kasih Cik Nor,” balas Lana, tersipu-sipu.
“Ya, saya dapat banyak maklum balas daripada
pembaca. Ramai yang puji artikel awak. Berinformasi, lain
daripada yang lain dan menarik. Paling penting, ditulis
berdasarkan pengalaman sebenar!” ujar Cik Nor penuh
keterujaan.
“Alhamdulillah, Cik Nor,” balas Lana, gembira dan
bangga.
“Jadi, apa selepas ni?” soal Cik Nor dengan mata
bersinar-sinar.
Lana menggigit bibir.
“Saya akan cuba tulis dengan lebih baik dan
menarik,” ujar Lana.
“Bagus! Dua keluaran, kedua-dua artikel awak
dapat komen positif. Ya, sangat positif!” puji Cik Nor dengan
senyum lebar. “Saya percaya awak akan jumpa lebih ramai
lelaki aneh. Tapi, baguslah! Lagi aneh lagi bagus!” ujar Cik
Nor lagi dengan ketawa mengilai.
“Ya, Cik Nor,” balas Lana, bersetuju. Sengihan lucu
terpamer pada wajahnya. “Ada apa-apa lagi, Cik Nor?” soal
Lana lagi.
“Tak ada,” geleng Cik Nor. “Cuma, pastikan awak
tulis artikel yang lebih menarik untuk keluaran-keluaran
seterusnya.”
“Baik, Cik Nor,” balas Lana, tersenyum. Dalam
bangga dan gembira, berserabut sebenarnya fikiran Lana.
Harapan Cik Nor terlalu tinggi.
Lana kembali ke mejanya. Pandangan tertumpu
pada skrin komputer di hadapannya. Bibirnya terus senyum
meleret. Hatinya terasa puas dan bangga.
Terpapar pada skrin monitor tersebut angka yang
cukup besar buatnya. Lana masih terlalu baharu. Namun,
segala-galanya berlaku dengan terlalu pantas. Angka yang
sedang direnungnya amat mengujakan. Baru sebulan dia
menulis untuk majalah popular itu. Namun, pengikutnya di
media sosial sudah melebihi 150 ribu.
Myra Sulaiman Artikel yang sangat
menarik! Teruskan Lana! Saya peminat
awak!
Amiza Zainal Teruknya lelaki tu! Terima
kasih atas info.
Afni Suhaimi Sangat suka dengan artikel
awak. Sayang awak, Lana!
Chempaka Idayu Janganlah dating dengan
lelaki macam ni!
Veera Reeza Encik Peluh ni nampak macam
lelaki baik juga. Cuma kena belikan dia
minyak wangi. Hihihi...
Komen yang semakin bertambah, membuatkan
Lana semakin puas. Kepuasan yang tidak pernah dikecap
sebelum ini.
Majalah Cinta Edisi ke-2 di atas mejanya dicapai.
Pantas dibuka muka surat 15. Paparan foto hiasan dan grafik
yang cantik menghiasi artikel 4 muka tersebut. Foto seorang
lelaki yang kelihatan berpeluh-peluh. Pada muka surat 17
pula terdapat infografik mengenai masalah ‘hiperhydrosis’
iaitu masalah berpeluh yang keterlaluan.

ENCIK PELUH
ENCIK Peluh. Dia memang nampak baik dan
manis. Namun, pada akhir pertemuan, saya
terpaksa membulatkan hati. Tidak ada lagi janji
temu dengannya selepas ini. Bukan kerana dia
tidak cukup baik untuk memenangi hati saya.
Bukan juga kerana saya seorang yang kejam.
Bukan dan bukan.
Namun, kerana saya tidak sanggup
berpura-pura. Mungkin ada yang fikir saya
sengaja mengada-adakan cerita. Atau
mungkin, sengaja membesar-besarkan cerita.
Sebenarnya tidak. Sama sekali tidak.
Apa yang saya tulis ikhlas dari hati. Tidak
ada niat untuk memburuk-burukkan Encik
Peluh. Hakikatnya, malam itu saya tidak
mampu habiskan makanan yang saya pesan.
Oh, ayam panggang dengan kuah cendawan
pekat pesanan saya, sangat sedap sebenarnya.
Tidak ada sekelumit kesilapan pada sukatan
bahan-bahan atau kaedah mengrilnya.
Namun... peluh itu... peluh yang terlalu
acap kali keluar dan terpercik itu membantutkan
selera. Itu hakikatnya.
Bibir Lana masih tersenyum meleret. Namun, di
sebalik senyuman itu, tekaknya terasa kembang. Masih
terbayang-bayang peluh-peluh yang terpercik dan tidak
putus-putus. Terpercik ke sana, terpercik ke sini.
Bertambah masinlah nasi goreng sotong dalam
pinggan Ridzuan. Tekak Lana kembang lagi. Setaman
kembang loyanya!

No comments:

Post a Comment