KOPI O panas itu diteguk perlahan. Zeti
merenung wajah Lana. Rakan serumahnya itu sedang
membelek-belek majalah. Mungkin Lana sedang mencari
idea untuk artikel-artikel yang seterusnya.
Sejak mengenali Lana di menara gading,
persahabatan mereka tidak pernah putus. Zeti amat
menyenangi sikap Lana yang baik hati dan sederhana. Namun
akhir-akhir ini ada sesuatu yang mengganggu fikiran Zeti.
Dia bimbangkan Lana.
“Babe...”
“Hmm?”
“Kau tak bosan ke keluar dengan lelaki-lelaki teruk?”
Lana mengeluh berat.
“Bosan tu memanglah bosan. Tapi nak buat macam
mana, aku tak ada pilihan,” ujar Lana.
Zeti menggaru kepala.
“Kau tak takut ke?”
“Nak takut apa?” balas Lana dengan bahu terjongket.
“Kutlah kalau kau terjumpa lelaki yang ada niat
jahat kat kau.”
Sekali lagi Lana melepaskan keluhan berat.
“Takut tu memang ada. Kadang-kadang memang
aku rasa takut. Tapi, aku terpaksa. Kau pun tahu aku kena
buat semua ni, kan? Nak tak nak, kena buat juga.”
“Ya, aku tahu tu,” balas Zeti, mengangguk sedikit.
Namun ada sesuatu yang masih mengganggu fikiran Zeti.
“Tapi entahlah. Setiap kali kau keluar dating, hati aku
berdetup-detap. Aku risau! Entahlah, aku rasa tak sedap hati,”
sambung Zeti jujur.
Lana kelihatan terharu.
“Terima kasih, Zeti. Aku hargai sangat-sangat. Tapi
macam yang aku cakap, aku terpaksa buat semua ni. Terpaksa!
Demi cita-cita dan impian aku.”
“Aku faham. Cuma kau hati-hati ya,” ujar Zeti.
Lana mengangguk.
“Lana, kau kena janji dengan aku yang kau tak akan
keluar malam.”
“Itu aje?” soal Lana tersenyum manja.
“Ya. Keluar siang aje tau!”
“Ya. Aku cuma akan keluar siang aje.”
“Janji juga kau akan lebih hati-hati,” pinta Zeti lagi.
“Ya,” angguk Lana. “Aku janji, lebih hati-hati.
Selalu,” sambung Lana lagi dengan senyuman manis.
Zeti mengangguk dengan ekspresi puas hati.
“Lana, agak-agaknya bila kau nak terserempak
dengan Encik Sempurna?”
Lana menjeling tajam.
“Sambil menyelam minum airlah.”
“Maksud kau?”
“Kalau ada rezeki, ada jodoh, adalah nanti. Kau ingat
aku tak berharap ke?” balas Lana dengan ketawa lucu.
“Macam manalah nak jumpa, kau asyik jumpa lelaki
bukan-bukan aje!” tempelak Zeti.
Lana ketawa lagi.
“Kalaulah Encik Sempurna itu mudah dicari...
hmm... kalau aku terjumpa nanti, terus aku ikat Encik
Sempurna tu,” seloroh Lana.
Zeti tersengih.
“Amboi, terus nak ikat!”
Lana mengangguk.
“Yang pastinya juga, artikel aku minggu seterusnya
tu, tajuknya ‘Encik Sempurna Buah Hatiku’,” ujar Lana,
membayangkan tajuk artikel tersebut dengan ekspresi
bangga.
“Amboi!” Zeti tergelak.
“Betullah,” ujar Lana, ketawa. “Manalah tahu,
rezeki aku jumpa lelaki sempurna,” sambung Lana dengan
senyuman.
“Okey. Hmm... sekarang ni kau dah siap ke artikel
kau?” soal Zeti.
Lana ketawa kecil.
“Apa yang kau kelakar sangat ni?” soal Zeti dengan
dahi berkerut.
“Nada tanya kau tu, aku dengar dah macam Cik
Nor pulak. Asyik tanya pasal artikel aku,” balas Lana dengan
sengihan.
Zeti ketawa juga.
“Aku kan peminat nombor 1 kau,” ujar Zeti bangga.
“Betul nak baca?”
“Betullah.”
“Nanti kau geli.”
“Kenapa? Teruk sangat ke?”
“Haah.”
“Tak apa. Aku okey aje.”
“Okeylah. Jangan salahkan aku tau. Nah, cuba kau
baca ni. Encik Selekeh tajuknya,” ujar Lana mengunjukkan
skrin komputer ribanya ke arah Zeti.
Tajuk: Encik Selekeh
Oleh: Lana Analia
Gelinya! Saya tidak tahu bagaimana
saya boleh tersilap menduga. Saya
ingatkan bertemu dengan Encik Peluh
merupakan pengalaman yang paling
meloyakan tekak. Oh, rupa-rupanya
tidak. Sekurang-kurangnya janji temu
dengan Encik Peluh tidak menyebabkan
saya termuntah. Meskipun tekak saya
memang loya dan kembang, saya masih
boleh bertahan sewaktu bertentang mata
dengan Encik Peluh.
Rupa-rupanya saya silap. Silap yang
sungguh-sungguh. Maka, tahniahlah
kepada Encik Selekeh. Kegelian
dan kejijikan tiada taranya. Anda
membuatkan saya muntah hijau pada
janji temu kali ini!
Saat ini saya masih tak mampu
memadam detik-detik jijik tersebut.
Sewaktu saya mengetuk-ngetuk papan
kekunci komputer riba ini, fikiran saya
masih terbayang-bayang ekspresi wajah
Encik Selekeh. Saya cuba sedaya upaya
untuk memadam kenangan yang begitu
menjijikkan tersebut. Namun, makin
ligat pula gambaran-gambaran tersebut
bermain dalam fikiran.
Oh... pada saat Encik Selekeh
memasukkan jari telunjuk tangan kanan
ke dalam lubang hidung; pada saat Encik
Selekeh mengesat jari tersebut pada
kemeja-T yang dipakai; paling dahsyat,
pada saat Encik Selekeh memegang kon
aiskrim menggunakan jari-jemari yang
sama!
Tergamak pula Encik Selekeh pelawa
saya makan aiskrim tersebut!
Wahai lelaki... boleh tak jangan
korek hidung depan awek? Dan... boleh
tak kalau lepas korek hidung, cuci tangan
dulu?
Sebab Encik Selekeh tak cuci tangan,
sesuailah gelaran ‘selekeh’ tu dengan dia!
Memang selekeh gila! Uweeekkkkkkkk!’
“BAGUS, LANA! Draf yang sangat baik! Awak memang cepat
belajar!” puji Cik Nor tidak henti-henti.
Kembang kempis hidung Lana mendengar pujian
tersebut.
“Alhamdulillah, Cik Nor suka,” balas Lana dengan
senyuman tidak putus.
“Ya, saya sangat suka. Kat mana awak kenal Encik
Imaginasi ni?” soal Cik Nor dengan ekspresi teruja.
Lana tersenyum senget.
“Instagram,” jawab Lana.
“Oh, ya ke? Awak ajak dia dating kat IG?”
“Haah Cik Nor. Saya mesej dia kat IG,” angguk Lana,
tersipu-sipu.
“Hebat!” Cik Nor menunjukkan wajah kagum. “Awak
memang dah agak ke perangai aneh dia?”
Lana menggeleng.
“Tak. Cuma saya tahu semua lelaki memang aneh.
Jadi, tak kisahlah mana-mana lelaki sekalipun. Tapi, saya
sendiri tak sangka, sampai teruk macam ni.”
Cik Nor ketawa.
“Ya, memang teruk dia ni. Hmm...”
“Haah Cik Nor,” angguk Lana.
“Awak tahu tak Lana kenapa saya tak kahwin? Saya
bukannya cerewet atau terlalu memilih, tapi saya cari lelaki
yang sempurna. Soalnya, mana ada lelaki yang sempurna
dalam dunia ni? Semua lelaki ada sahaja yang tak kena,” ujar
Cik Nor dengan tawa angkuh.
Lana mengangguk lagi.
Ya, memang betul kata-kata Cik Nor tu. Lelaki
sempurna? Oh, lelaki sempurna hanyalah sekadar mitos.
Tidak mungkin dapat ditemui di mana-mana jua. Sebaliknya,
lelaki aneh ada di mana-mana. Sentiasa ada di depan mata.
Ingatan Lana teringat akan janji temunya dengan
Encik Imaginasi.
“Malik, kenapa dari tadi you asyik pandang kiri
kanan?” soal Lana hairan.
Teman janji temunya itu kelihatan berpeluh-peluh
dan cemas.
“I rasa perempuan kat sana tu pandang I.”
Pantas Lana berpaling mencari perempuan yang
dimaksudkan.
“Perempuan mana?” soal Lana. Matanya tidak dapat
menangkap mana-mana perempuan yang sedang memerhati
mereka. “Mana?” ulang Lana lagi, serius.
“Itu... yang baju kuning kat tepi tiang tu.”
Mata Lana melilau lagi.
“Yang mana?”
“Tuuuu...” Muncung Malik panjang ke arah kiri.
“Perempuan yang tengah sorong bayi tu?”
Malik mengangguk resah.
“Ya. Eh, you jangan renung dia. Nanti dia tahu kita
tengah cakap fasal dia,” ujar Malik dengan nada cemas.
Kening Lana berkerut. Perempuan berjubah kuning
itu diamati dari jauh.
“You biar betul, Malik. Perempuan tu tak pandang
kita pun,” ujar Lana, hairan.
Wajah Malik berubah. Lebih terganggu dan cemas.
“Dia memang tak pandang you. Tapi dia pandang
I! Hati I tak sedap. Mungkin dia kenal I. Mungkin I sedang
diperhatikan.”
Berkerut wajah Lana. Apa ni?
“Kenapa dia nak perhatikan you?”
Malik mengeluh berat.
“Manalah I tahu! Memang akhir-akhir ni, ada
saja perempuan perhatikan I. Mungkin bekas awek-awek I
yang hantar penyiasat peribadi. Oh, I betul-betul tak tahu!
Argghhh... stres betul!”
Maka pada sepanjang pertemuan tersebut, keanehan
sentiasa wujud. Bukan sahaja perempuan berbaju kuning itu
yang dituduh, malah ramai lagi. Antaranya, perempuan tua
yang sedang membeli-belah, gadis remaja comel yang sedang
makan aiskrim, perempuan tomboi dan macam-macam
orang lagi.
“I rasa lain kali I kena pakai topeng,” ujar Malik
berbisik.
Membuntang mata Lana. Gila ke apa si Malik ni?
“Kenapa?”
“Tengok tu, perempuan yang pakai baju-T hijau tu,
main mata dengan I,” bisik Malik perlahan.
Lana menoleh ke kiri. Seorang gadis belasan tahun
sedang berswafoto di situ.
“Budak tu?”
Malik mengangguk.
“Tak budak sangat. I rasa umur dia dalam 15 tahun.”
Oh, Lana benar-benar tak percaya!
“Budak lagi tu. Lagipun I tak nampak dia pandang
you. Kan dia tengah berswafoto sorang-sorang!”
“Ada. You kena lebih peka. Budak tu dari tadi
kenyit-kenyit mata kat I,” balas Malik yakin. “Satu lagi, you
takkan tak tahu, budak-budak sekarang ni lebih teruk! Umur
baru belasan tahun dah pandai lari dari rumah,” sambung
Malik lagi dengan nada cemas.
Saat itu, Lana sudah tidak tahan. Teman janji
temunya memang kuat berhalusinasi. Ada masalah mental
agaknya!
“Tak mungkin budak tu nak mengurat you. I kan ada
kat sebelah you ni,” ujar Lana, tak puas hati.
“Hmm... I pun hairan. Perempuan zaman sekarang
memang tak kisah. Itu sebab awek I tinggalkan I. Semuanya
bukan salah I! Tapi sebab ramai sangat yang syok kat I. Huh,
dia orang semua cemburu buta!”
Hati Lana menyumpah. ‘Oh, tinggi sungguh
imaginasi si Malik ni! Hoi! Bukan sebab bekas-bekas awek
kau cemburu buta! Bukan juga sebab perempuan-perempuan
semuanya tak kisah! Bukan! Bukan! Tapi, sebab kau tu yang
ada masalah. Isy... masalah mental!’
“You, cuba you jalan depan I,” pinta Malik,
memperlahankan langkah.
Lana menggeleng penat.
“Kenapa pula?” soal Lana.
“Boleh I sembunyi belakang you. Baru I rasa selamat
sikit,” ujar Malik berbisik.
Lana mengeluh. Sumpahan yang lebih dahsyat
terbuku berterusan sepanjang pertemuan tersebut.
“CIK, YANG ini juga cantik.”
Mata Lana tertumpu pada skarf corak berbunga
yang sedang ditunjuk oleh jurujual Butik Jelitaku Hijab yang
bernama Elina itu.
“Yang kuning ni?” soal Lana, inginkan kepastian.
Elina mengangguk.
“Haah. Cantik corak bunganya. Kombinasi warna
kuning dan putih,” ujar Elina. “Sesuai dengan kulit cik yang
cerah,” sambung Elina lagi.
“Hmm...” gumam Lana dengan hati yang sudah
tertarik. “Ini skarf potongan half moon ke?”
“Haah. Half moon. Tapi, bidangnya besar dan
panjang,” balas Elina dengan senyuman mesra.
“Hmm... macam banyak aje yang saya dah ambil.
Cukuplah tu. Dah 5 helai. Nanti terlebih bajet pula,” ujar
Lana bimbang.
“Jelitaku Hijab tengah ada promosi, cik. Untuk skarf
kuning putih ni, ada diskaun 30 peratus. Yang ini memang
produk terbaharu. Coraknya pun moden,” jelas Elina,
memujuk.
Lana tersenyum.
“Dah cukup rasanya. Lain kali pula,” balas Lana.
“Okey. Cik dah nak bayar? Atau nak tengok-tengok
lagi?”
“Saya dah nak bayar ni. Dah cukup,” kata Lana lagi
memberi isyarat untuk ke kaunter pembayaran.
Elina mengangguk dan bergegas menuruti Lana.
5 pasang tudung pilihan Lana diletakkan di atas
kaunter. Satu per satu kemudiannya dikira menggunakan
mesin elektronik.
“Jumlah semua RM195,” ujar Elina. “Cik, apa kata
tambah satu aje barang lagi. Cukupkan RM200. Rangkaian
butik kami sedang anjurkan Peraduan Jualan Mega
Pertengahan Tahun dengan pelbagai hadiah menarik,”
sambung Elina lagi.
Hati Lana tertarik.
“Apa hadiahnya?” soal Lana dengan mata yang
bersinar-sinar.
“Hadiah pertama, wang tunai RM30,000. Hadiah
kedua dan ketiga, percutian ke destinasi popular dalam
negara.”
“Wah! Percutian? Percutian ke mana?” soal Lana,
semakin tertarik.
“Hadiah kedua, Pulau Impian. Pakej percutian 4
hari 3 malam. Hadiah ketiga, Greg Hills. Sama juga, pakej
4 hari 3 malam,” jelas Elina mesra. “Cubalah, manalah tahu
rezeki cik. Bukan senang nak bercuti 4 hari 3 malam ke Pulau
Impian atau Greg Hills tu,” pujuk Elina lagi.
‘Pulau Impian? Wah!’
Lana mengangguk.
“Okey, kejap. Saya ambil satu lagi tudung,” ujar Lana
riang. Dalam kepala tidak lepas-lepas membayangkan skarf
bercorak bunga kuning putih tadi. Namun kali ini imej skarf
bercorak bunga kuning putih itu berselang-selikan dengan
bayangan pohon kelapa yang ditiup bayu laut.
‘Pulau Impian! Syoknya kalau dapat pergi situ!’
Senyuman penuh mengharap terukir di bibir Lana.
No comments:
Post a Comment