Monday, 22 October 2018

Romantik 4 Hari 3 Malam - Bab 6

MALAS. Pagi ini Lana berasa terlalu malas
untuk bangun dari katil. Penggera telefon bimbitnya sudah
berbunyi 2 jam yang lalu. Namun, Lana masih berbaring di
atas tilam empuknya itu.
Tengah hari nanti dia ada janji temu. Berbeza dengan
janji temunya sebelum ini, lelaki yang bakal ditemuinya itu
diperkenalkan oleh Cik Nor. Arahan tersebut diterimanya dua
hari lepas.
“Lana.”
“Ya, Cik Nor.”
“Awak hubungi nombor ni,” ujar Cik Nor sambil
menghulurkan sekeping kad nama.
Tangan Lana mencapai kad nama tersebut.
‘Mohd Ibrahim Ghani. Eksekutif Pentadbiran.
Hospital Baysbridge?’
Dahi Lana berkerut.
“Nak temu bual Encik Ibrahim ni tentang apa Cik
Nor?” soal Lana.
Cik Nor merenung wajah Lana, tajam.
“Temu bual apa pulak?” ujar Cik Nor, hairan.
Lana pula bingung.
“Yalah. Habis tu, kenapa nak hubungi Encik Ibrahim
ni?” soal Lana.
Cik Nor mendengus.
“Untuk artikel awak. Untuk Blind Date.”
“Hah?”
“Awak ajak Ibrahim ni keluar dating.”
Lana semakin curiga.
“Siapa Mohd Ibrahim ni, Cik Nor?”
Editornya senyum sinis.
“Kawan saya yang bagi kad nama si Ibrahim ni pada
saya. Dia pernah keluar dengan lelaki ni dan katanya, Ibrahim
ni sangat menarik orangnya. Kata kawan saya lagi, majalah
Cinta akan dapat artikel yang cukup menarik kalau awak
dating dengan dia ni,” jelas Cik Nor.
Hati Lana berasa tidak sedap.
“Teruk sangat ke Mohd Ibrahim ni, Cik Nor? Lain
macam aje bunyinya,” ujar Lana gusar.
Cik Nor menjongket bahu.
“Entah. Jangan tanya saya. Awak pastikan sendiri,”
ujar Cik Nor tegas.
Lana mengeluh. Seperti biasa, dia tidak mampu
membantah. Editornya memang tegas dan serius. Kalau
hitam keputusan Cik Nor, maka hitamlah yang Lana harus
lakukan.
Lana menggeliat malas. Matanya melirik pada jam di
dinding. Baru pukul 11 pagi. Masih ada 2 jam sebelum janji
temunya dengan Mohd Ibrahim yang penuh misteri itu.
‘Mesti lelaki tu teruk betul,’ getus hati Lana. ‘Busuk
ke? Pengotor? Mulut jahat? Atau lelaki kasar?’ Fikir Lana,
mengagak-agak beberapa kemungkinan.
Lana mengeluh berat. Paling dia tidak suka situasi
kabur begini.
Tidak seperti janji temunya sebelum ini, Lana
sentiasa memasang harapan terhadap lelaki yang bakal
ditemui. Kemungkinan tetap ada untuk dia bertemu dengan
lelaki yang baik dan sempurna. Namun, kali ini harapan
tersebut sudah padam sejak awal lagi. Dia tahu pasti ada yang
tidak kena dengan lelaki bernama Ibrahim itu.
Notifikasi pesanan daripada telefon bimbitnya
berbunyi. Pesanan daripada Ibrahim!
Jadi kan tengah hari ni?
Jadi.
Pukul 1pm?
Ya.
Di Restoran Apple Heart.
Ya.
Awak akan datang kan?
Ya, saya akan datang.
Okey, saya tunggu awak tepat pukul
1pm.
Lana mengeluh. Semalam dia sudah menghantar
pesanan secara terperinci kepada Ibrahim. Sudah diulang
sebanyak 3 kali yang mereka akan bertemu di Restoran Apple
Heart. Pagi ini, tanya lagi. Cepat lupakah? Atau ada sindrom
lupa ingatan sementara?
Ketidakterujaan membuatkan Lana bersiap seadanya
sahaja. Kemeja longgar berwarna coklat tua dengan seluar
slek hitam. Rambutnya ditutup dengan skarf sifon berwarna
coklat muda.
Lana teringat lagi pesan Cik Nor.
“Jadi ke awak jumpa Mohd Ibrahim tu esok?”
“Jadi, Cik Nor,” angguk Lana.
“Pukul berapa?”
“1 tengah hari.”
“Di mana?”
“Restoran Apple Heart, Jalan Pantai Baharu.”
“Oh, dekat dengan tempat kerja Ibrahim.”
Lana mengangguk.
“Ya, Cik Nor.”
Cik Nor tersenyum lebar, penuh makna. Hati Lana
berasa tidak selesa.
“Esok pagi awak tak payah ke pejabat.”
Kening Lana menjongket.
“Hah?”
“Awak tak payah datang sebelah pagi. Awak terus
jumpa Ibrahim tu dari rumah. Lepas tu, baru awak masuk
pejabat,” jelas Cik Nor.
“Tapi, kenapa?” soal Lana curiga.
Cik Nor tersenyum.
“Tak ada apa-apa. Saja nak bagi awak rehat. Tidur
lama sikit. Tapi lepas tu datang pejabat tau. Terus jumpa saya.”
Arahan yang keluar dari bibir Cik Nor itu menambah
kecurigaan hati Lana.
“Jumpa Cik Nor?”
Cik Nor mengangguk.
“Ya, saya nak dengar cerita tentang Ibrahim tu,” ujar
Cik Nor.
Lana mengeluh berat. Kepalanya mengangguk tanpa
rela. Pasti ada sesuatu yang disembunyikan oleh Cik Nor. Apa
agaknya ya? Kalau dia tahu, bolehlah dia bersedia.
“Apa yang teruk sangat tentang Ibrahim ni, Cik
Nor?” Lana memberanikan diri menyoal.
Cik Nor ketawa.
“Saya dah kata hari tu, awak kena tengok sendiri. Dia
ada personaliti yang cukup menarik.”
Dan perkataan ‘personaliti cukup menarik’ itu
menggetarkan jiwa Lana. Semakin juga menyebabkan hati
dan perasaannya bertambah geram. Dalam geram tetap
ada saspensnya. Yalah, siapa yang tak saspens dalam situasi
begini. Entah-entah Cik Nor sengaja nak kenakan dia!
Hati Lana terus berdebar-debar sewaktu dia berada
di dalam perut LRT. Mood saspens semakin menjadi-jadi
apabila notifikasi pesanan telefon bimbitnya berbunyi. Huh,
Ibrahim lagi!
Awak datang kan?
Wajah Lana berkerut. Kenapa harus ditanya lagi?
Dia masih ada 20 minit untuk sampai. Kalau ikutkan hati,
memang malas nak dijawabnya. Namun dibalas jua pesanan
tersebut.
Datang.
Awak dah sampai mana?
Dalam LRT.
Saya dah tunggu awak di Apple Heart.
Okey.
Pesanan yang diterima tersebut menyebabkan Lana
jadi tertekan. Langkah diayun agak tergesa-gesa sebaik
sahaja turun dari LRT. Restoran Apple Heart yang terletak di
seberang jalan segera dituju.
Lana terpaksa berhenti seketika. Kebetulan lampu
isyarat pejalan kaki sedang merah menyala. Justeru dia
perlu menunggu beberapa minit sebelum boleh melintas
ke seberang sana. Kehangatan mentari membahang di atas
kepala. Kenderaan yang berlalu di jalan raya meniupkan
debu-debu halus ke muka. Dia berasa amat tidak selesa.
Ketika itu juga notifikasi pesanan dari telefon
bimbitnya berbunyi lagi. Dengan rasa terganggu, dia
mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluar sleknya.
Hatinya mengeluh. Huh, tak sabar-sabar!
Awak kat mana? Jadi tak datang?
Dengan rasa dangkal, jari Lana menaip.
Dah nak sampai ni.
Betul ke ni?
Kali ini Lana rasa marah. Gila ke apa? Takkan dia
main-main pula!
Ya. Saya dah ada kat seberang jalan ni.
Seberang jalan mana?
Restoran.
Okey.
Lampu isyarat pejalan kaki bertukar hijau. Segera
Lana melintas jalan. Kelihatan Restoran Apple Heart berada
50 meter di hadapan. Semakin laju pula langkahnya. Di
hadapan restoran itu kelihatan seorang lelaki sedang resah
berdiri. Lelaki itu berkumis nipis dengan menyimpan sedikit
janggut di dagu. Wajah lelaki itu berkerut-kerut.
“Awak Lana?” tidak menyempat-nyempat lelaki itu
menyoal.
Lana segera mengangguk.
“Ya.”
“Datang juga akhirnya...” ujar lelaki itu.
Saat itu Lana pasti lelaki tersebut ialah Ibrahim.
Justeru Lana menjadi malas untuk bertanya. Yalah, kalau
bukan Ibrahim, siapa pula yang berpeluh-peluh menunggunya
di hadapan restoran tersebut, kan?
“Jom, kita masuk. Penat sangat saya tunggu awak
kat dalam tadi. Itu yang saya keluar,” ujar Ibrahim dengan
wajah kesal.
Dahi Lana berkerut. Siapa pula yang suruh tunggu
di luar? Lepas tu nak kompelin pula!
Mereka duduk di suatu sudut bahagian dalam
restoran. Di atas meja bulat itu sudah terhidang minuman
dan makanan. Segelas minuman sejuk dan sepinggan nasi
goreng.
Wajah Lana berkerut hairan.
“Dah lama ke awak tunggu?” soal Lana.
“Dari pukul 12 tadi,” jawab Ibrahim, menunjukkan
wajah kesal.
Semakin hairan jadinya Lana.
“Kenapa awal sangat datang?”
Kedengaran bunyi nafas Ibrahim mengeluh berat.
“Saya takut terlewat,” balas Ibrahim dengan wajah
cemas pula.
“Bukan ke awak kerja hari ni?”
“Ya,” angguk Ibrahim. “Tapi saya betul-betul takut
terlewat. Jadi saya keluar awal.”
Lana semakin tidak faham.
“Awak dah makan ke?” soal Lana, menjeling ke arah
pinggan nasi goreng di atas meja.
“Dah. Tadi rasa lapar sangat. Saya kalau susah hati
memang cepat rasa lapar,” balas Ibrahim.
“Susah hati?”
“Ya.”
“Kenapa?”
“Takut awak tak datang.”
Terjongket kening Lana.
“Kan saya dah kata nak datang.”
“Ya. Tapi manalah tahu kalau-kalau awak tak jadi
datang.”
Oh, lelaki ini memang sangat aneh. Personaliti yang
cukup menarik! Lana menarik nafas dalam-dalam. Dia cuba
bersangka baik.
‘Jangan fikir yang bukan-bukan. Tarik nafas. Bagi
lelaki ni peluang,’ pujuk hati Lana.
Apabila pelayan restoran menghampiri meja, Lana
memesan sepinggan nasi ayam dan segelas jus kedondong
ais. Sementara menunggu pesanan sampai, mata Ibrahim
tidak putus-putus merenung wajah Lana, menjadikan Lana
berasa kurang selesa.
“Kenapa awak pandang saya macam tu?”
Ibrahim tersentak.
“Tak boleh ke?”
Lana menggeleng perlahan.
“Bukan tak boleh, macam ada sesuatu aje yang awak
nak cakap.”
Ibrahim segera mengangguk.
“Boleh tak kita guna panggilan nama. Bunyi
panggilan ‘saya-awak’ tu macam tak mesra,” cadang Ibrahim.
“Jadi nak panggil apa?” soal Lana.
“Baim dan Lana. Okey?”
“Okey. Boleh aje,” setuju Lana. “Hmm... awak...”
Ibrahim menggeleng dengan wajah marah.
“Baim. Kan dah janji nak panggil Baim? Kenalah
panggil Baim. Tak boleh tidak,” tegur Ibrahim serius.
‘Haih, itu pun nak marah ke? Isy!’
“Ya, Baim.”
“Hah, apa yang Lana nak cakap?”
Lana sudah hilang mood.
“Tak ada apa-apa.”
“Tadi Lana nak cakap sesuatu, kan?”
“Dah lupa.”
“Takkanlah boleh lupa? Baru aje tadi.”
Lana mengeluh. Hatinya terasa meluat.
“Dah lupa, nak buat macam mana,” ujar Lana
menundukkan wajah. Terasa menyampah pula dia hendak
menatap wajah Ibrahim.
“Okeylah kalau lupa. Baim nak tanya Lana ni.”
Aisey, dia pula nak tanya.
“Apa?” Lana mendongak sedikit.
Kelihatan mata Ibrahim bersinar-sinar.
“Lepas ni Lana sudi tak keluar lagi dengan Baim?”
Apa? Dia ni kenapa? Baru beberapa minit jumpa dah
tanya tentang pertemuan kedua! Berkerut-kerut wajah Lana.
“Kita tengoklah macam mana nanti,” jawapan
selamat itu Lana tuturkan.
Ibrahim menggeleng.
“Tak boleh macam tu. Kena ada kepastian. Lebih
senang dan terjamin.”
Gila! Apa yang terjamin?
“Apa yang Baim cakap ni?” soal Lana, keliru.
Ibrahim tersenyum.
“Tak boleh samar-samar. Kena pasti. Kalau suka, kena
cakap suka. Jadi, boleh rancang untuk langkah seterusnya,”
jelas Ibrahim dengan tegas dan yakin.
Lana mendengar dengan perasaan yang sungguh
tidak percaya. Apa ni? Baru aje kenal kut!
“Jadi Baim nak tanya ni, Lana suka tak kat Baim?”
Soalan yang keluar dari mulut Ibrahim itu
benar-benar membuatkan mata Lana membuntang. Apa ni?
Psiko ke Ibrahim ni?
“Lana tak pasti,” balas Lana perlahan.
Ibrahim menggeleng kesal.
“Tak boleh tak pasti. Kena yakin. Suka ataupun
tak. Kena cakap betul-betul. Lana tak boleh nak main-main
macam ni.” Tak fasal-fasal Ibrahim meleteri Lana pula!
“Eh, bila pula saya main-main?” soal Lana bingung.
“Lana, jangan bahasakan diri saya dan awak. Lana
dah janji tadi,” tegur Ibrahim lagi, cukup tegas mengingatkan.
Lana semakin tertekan.
“Ya. Maaf. Baim, Lana tak main-main,” ujar Lana
kusut.
“Kalau begitu, Lana kena jawab dengan serius. Suka
ataupun tidak dengan Baim?” soal Ibrahim lagi dengan wajah
yang cukup serius.
Seriau dan berderau darah Lana. Kenapa dengan
Ibrahim ni? Psiko sungguh!
“Suka,” balas Lana. Yalah, kalau jawab tak suka,
mengamuk pula lelaki itu nanti.
“Bagus!” ujar Ibrahim dengan ekspresi gembira.
“Suka macam mana? Sangat suka atau suka sikit-sikit?”
Oh, soalan seperti budak-budak itu sungguh
menyemakkan fikiran Lana. Kusut sungguh!
“Suka. Lana suka nak berkawan dengan Baim,” balas
Lana berhati-hati. Perkataan ‘kawan’ ditekan dengan agak
kuat.
Ibrahim menggeleng.
“Tak boleh macam tu. Samar-samar. Tak ada jaminan.
Kan Baim dah cakap tadi, kena ada kepastian. Kena pasti!”
Gigi Lana mengetap kuat. Baik keluar dengan Encik
Selekeh daripada Encik Ragu-ragu macam Ibrahim ni!
“Baim perlu jaminan daripada Lana. Baru senang
Baim nak rancang perhubungan kita. Barulah hubungan kita
stabil dan tak ada masalah. Lana kena janji untuk setia pada
Baim. Jangan sesekali musnahkan harapan Baim. Tengok
macam pasangan-pasangan lain di luar sana. Baru aje kahwin
dah nak bercerai.”
Kahwin? Helo, baru aje kenal kut? Sah gila!
“Err...” Lidah Lana menggumam.
“Betul Lana suka pada Baim?” soalan itu diluahkan
lagi.
Fikiran Lana makin berserabut. Sakit sungguh
kepalanya. Terbayang dalam fikirannya wajah Cik Nor yang
tersenyum menyeringai sebaik sahaja dia pulang ke pejabat
nanti.
Huh, patutlah! Lana sudah tahu jawapannya.

No comments:

Post a Comment