Wednesday, 13 February 2019

Cinta Untuk Mr. Hero - Bab 1






PING!
Satu dentingan berbunyi perlahan, petanda ada e-mel
baru masuk. Tertangguh sekejap aksi makan. Cepat-cepat dia
mencapai tisu untuk mengelap tangan. Semuanya gara-gara
french fries dari restoran badut berbaju merah kuning.
Ya, dia tahu memang tak elok makan makanan
segera. Kolesterol tinggi. Lemak tinggi. Harga pun tinggi.
Dalam dunia sekarang ini, apa yang tak tinggi?
Oh ya! Hanya badan dia sahaja yang tak tinggi-tinggi.
Sejak umurnya 17 sehingga 27 tahun, tetap rendang macam
itu juga.
‘Macam pokok bonsai!’
Itulah ayat favorite Fida dan Hanim. Dasar kawan
kurang asam! Kalau bab mengutuk, memang tak ada hati
perut langsung! Mentang-mentang kedua-duanya bertubuh
tinggi lampai bak supermodel!
Ping! Ping!
Kali ini dua e-mel masuk serentak.
“Ya... Sabar boleh tak?” Panas pula hatinya.
Digerakkan tetikus untuk alihkan kursor di skrin. E-mel yang
baru tiba lekas dibaca.

Salam, Kak Tina. Suami saya selalu merungut.
Mulutnya tak henti-henti membebel setiap
kali balik ke rumah kerana rumah kami asyik
bersepah. Salah sayakah kalau tak sempat
mengemas? Saya bukannya tak bekerja.
Mana sempat nak siapkan anak-anak dan
memasak? Anak-anak kami pula masih kecil.
Apa yang perlu saya buat, Kak Tina?

Manisah, Pahang.

“Untunglah Kak Manisah dah ada suami. Ada
anak-anak. Saya ni? Anak tekak ajelah yang ada.” Mulutnya
mengomel sendiri.
Jari-jemari lantas menari bak penari balet di atas
papan kekunci. Menaip satu demi satu aksara dengan gerakan
yang pastinya mengundang markah penuh daripada juri.

Wassalam, Manisah. Tahukah anda, masih
ramai suami di luar sana yang langsung
tak jumpa jalan pulang ke rumah? Anda
bertuah kerana suami anda hanya membebel
saja. Ada orang yang langsung tiada suami
mahupun anak-anak. Belajarlah bersyukur ya.|


“Pwahaha!” Bergegar bilik itu dengan tawanya. Kalau
orang dengar, mungkin ingat puntianak tengah mengilai.
Silap hari bulan, bos dia panggil ustaz untuk pasang ‘pagar’.

Hai, Kak Tina. Saya ada boyfriend yang sangat
sayangkan saya. Tak pernah marah-marah
atau tinggikan suara. Apa yang saya minta,
mesti saya dapat. Tapi baru-baru ini ada
seorang lelaki cuba memikat saya. Dia lebih
kacak daripada teman lelaki saya sekarang.
Saya rasa berbelah bahagi. Tolong saya, Kak
Tina. Perlukah saya tinggalkan boyfriend saya?

-Nonie, Gombak

Fuh! Berapi-api perasaan apabila membaca e-mel
kedua ini. Banyak cantik muka! Kalau ada di depan mata,
pasti sudah dia cekik-cekik sampai biru. Tanpa lengah, papan
kekunci ditekan.

Wahai Adik Nonieku sayang, pernah dengar
peribahasa yang dikejar tak dapat, yang
dikendong berciciran? Kalau adik rasa adik hot
sangat, pergilah kejar lelaki kacak yang adik
katakan itu. Kami doakan adik hidup takkan
bahagia sampai bila-bila.


Dia tergelak besar ketika membaca jawapan sendiri.
Mesti bosnya naik hantu jika terbaca e-mel balasnya ini. Tak
pasal-pasal suara tempikan ala halilintar akan menggegarkan
pejabat.
“Ehem!” Satu suara berdeham kuat.
Serentak Zalya melompat. Sikit saja lagi dia hendak
terjatuh dari kerusi. Kelam-kabut dia berdiri apabila melihat
Tina ada di depan mata.
“Ini kerja you rupanya, Zalya???” Suara petir sekuat
1000 gigavolt itu terus menyambar telinga. “Siap buat jamuan
atas meja I pula tu!” Mata Tina menikam-nikam makanan di
tangan Zalya.
“French fries aje, bos.”
“Ada saja jawapan you, kan? Dan apa yang you pakai
ni?” Tina pandang Zalya dari atas bawah.
“Apa tak kena dengan baju saya, bos?”
Blaus longgar rona krim berlengan pendek dan
seluar jenis skinny tersarung di tubuhnya. Skarf berwarna
merah pula tergantung elok di lehernya. Cantik, apa!
“Cubalah you pakai baju yang sopan sikit. Baru
sesuai dengan imej kita yang bekerja dengan majalah e-Hawa
ni.”
Zalya tersengih. Cakap memanglah senang. Meh
sini bagi duit. Biar dia borong koleksi terbaharu Tunku Tun
Aminah x Jovian Mandagie.
“Ini signature style saya, bos. Mana boleh pakai baju
yang sama dengan orang lain?”
“Ada saja jawapan you, kan? I suruh you jawab semua
soalan pengirim e-mel dalam kolum ‘Tanya Tina’. Bukan
suruh you mengarut!”
“Saya gurau aje. Lagipun semua e-mel tu masih
dalam bentuk draf. Takkanlah saya nak hantar jawapan begitu
kepada mereka semua, kan? Kan? Kan?”
Zalya cuba membela diri. Dia karang jawapan
mengarut itu sekadar suka-suka. Mahu melepaskan tekanan.
Bosan okey kalau terpaksa jawab ikut skema!
Hampir dua tahun dia bekerja dengan majalah
e-Hawa. Sebagai pembantu editor di bahagian lifestyle,
tugasnya adalah membantu bosnya, Tina dalam apa jua hal.
Dari sekecil-kecil perkara seperti belikan kopi sehinggalah
menyemak dan menulis artikel untuk disiarkan dalam
majalah itu.
Paling utama sekali, dia perlu menjawab soalan
pembaca di kolum Tanya Tina, kolum paling popular dalam
majalah itu. Setiap hari beratus-ratus e-mel yang diterima.
Macam-macam soalan yang ditanya. Ada tentang kerja,
keluarga, rumah tangga dan paling banyak sekali tentang
cinta. Jika semuanya dibiar tidak berjawab, satu ofis akan
diamuk bosnya itu. Nanti siapa yang susah? Dia juga.
“Kalau you tersalah tekan dan terhantar jawapan
yang bukan-bukan tu, apa you nak buat?” Tina bercekak
pinggang.
“Kalau dah terhantar, nak buat apa lagi? Minta maaf
ajelah bos.”
“Amboi... ikut sedap mulut you bercakap, kan? Cuba
you letakkan diri you di tempat mereka. Kalau orang buat
salah pada you, you rasa you boleh maafkan semudah itu aje?”
Bibir Zalya terkatup rapat. Kalau sebatang pen dari
meja bosnya lesap pun boleh buat dia meroyan, apatah lagi
kalau buat salah dengannya? Bos... bos...
“Dah, bangun! Lebih baik you pergi belikan kopi
untuk I. Lagi bagus!” arah Tina. Jari telunjuk sudah dituding
menghala ke arah pintu.
“Americano ke bos?” soal Zalya hendak pastikan
pesanan bosnya. Tak mahu tersalah beli. Nanti dia juga kena
ulang-alik dari pejabat ke kafe.
“Of courselah! Takkan itu pun you tak tahu lagi?”
Zalya terseringai.
“Baik, bos! Sekarang juga saya pergi beli.” Berdesup
dia meninggalkan pejabat.

ZALYA KELUARKAN telefon yang asyik bergetar. Tertera
nama Hanim di skrin. Serta-merta bibirnya menguntum
senyuman nakal. Dirapatkan telefon di telinga.
“Selamat pagi, Balai Polis Bukit Aman.”
“Balai polis?”
Zalya rasa hendak ketawa guling-guling. Dapat dia
bayangkan reaksi Hanim ketika ini. Mesti tengah terperanjat
biawak!
“Ini sayalah, Nim. Zalya!”
“Kurang asam jawa Sumatera betul! Mati-mati saya
ingat tengah bercakap dengan pegawai polis tadi. Awak dah
sampai pejabat agensi ke belum?”
“Belum lagi, Hanim sayang. Petang nanti baru saya
pergi ke sana.”
“Laa... saya ingatkan awak dah pergi pagi tadi. Jangan
lupa, pejabat agensi tu letaknya di tingkat 21. Bila awak keluar
lif nanti, pejabatnya terletak di sebelah kanan. Awak ingat lagi
kan apa yang awak kena cakap dengan mereka nanti?”
“Hanim, masuk kali ini dah tiga kali awak telefon
saya. Tak penat ke awak asyik ulang benda yang sama?” Zalya
tarik muka bosan.
“Ya ke dah tiga kali saya call awak?”
“Yalah! Awak ni macam tak percayakan saya pula.
Kalau tak yakin dengan saya, kenapa beria-ia minta saya
tolong awak? Sudahlah! Tak mahu pergilah macam ni. Saya
nak merajuk. Biar awak buat semuanya sendiri.”
“Alah... janganlah merajuk, Zalya. Saya percayakan
awak 200%. Saya telefon awak banyak kali sebab saya risau.
Saya kan nak buat surprise untuk famili saya. Tapi saya janji,
ini kali terakhir saya telefon awak. Lepas dah jumpa ejen tu
nanti, awak beritahu saya, ya? Please...”
Meleret-leret suara Hanim di telinga Zalya.
Mengada-ada sungguh budak manja ni! Macam ni nak jadi
bini orang? Haih...
“Ya, nanti saya call. Lebih baik awak fikirkan tentang
persiapan kahwin awak tu. Hal kecil begini, awak serah
bulat-bulat aje pada saya. Okey?”
“Okeylah...”
Tamat saja panggilan, Zalya menyimpan telefon ke
dalam tas tangannya semula. Kaki diayun ke arah The Cabin.
Kafe itu terletak di tingkat bawah pejabatnya.
Sebaik pintu kaca ditolak, haruman kopi semerbak
di udara. Automatik mata Zalya terpejam. Pelik tak kalau dia
cuma suka bau kopi sahaja? Tapi minum dia tak suka?
“Hai, Zalya!” Kevin, barista di kafe itu menyapa ceria
seperti biasa. Tertera perkataan ‘crew’ di apronnya. Satukan
perkataan itu dengan gambar kabin, maka akan menjadi
Cabin Crew. Kreatif sangat tuan punya kedai, kan?
“Hai Kevin,” balas Zalya, mendatar. Saat melihat
Kevin, perasaannya meradang. Hatinya sebal. Geram yang
amat!
“Aik? Kenapa you nampak tak bersemangat aje?
Senyumlah sikit.” Kevin mengibas rambutnya yang lurus
panjang lagi menawan. Sebiji macam iklan syampu.
Rambut Kevin inilah yang buat Zalya cemburu.
Kalau ada gunting di tangannya sekarang, sudah lama dia
potong-potong rambut Kevin itu. Biar pendek seperti lelaki
selayaknya. Baru puas hati dia!
“Awak memang tak reti ikat rambut ya, Kevin?”
“Kenapa? You jealous eh?”
“Jealous? Tolong sikit! Muka saya ni macam tengah
jealous ke?” Zalya tuding jari telunjuk ke muka sendiri.
“Baiklah, cik pembantu editor yang tak jealous. I dah
ikat rambut I. You nak order apa hari ini? Espreso? Latte?
Cappucino? Americano?” tanya Kevin setelah mengikat
rambutnya dengan getah.
“Bagi saya satu Americano dan satu Choco Latte.”
Jika Zalya berkunjung ke kafe itu, memang dua jenis
minuman itulah yang akan dia pinta. Americano untuk bos.
Choco Latte pula untuk dia.
“Siap!”
Sekelip mata minumannya disiapkan.
Tercengang-cengang Zalya melihat Kevin meletakkan dua
biji cawan siap berbungkus di atas kaunter.
“Cepatnya.”
“Dari jauh I boleh nampak you berjalan
lenggang-kangkung ke kafe I. Sebab tu I siapkan awal-awal.
Dan Choco Latte favorite you tu, I letak extra krim. Macam
yang you suka,” jelas Kevin yang fasih berbahasa Melayu itu.
“Auw! Terima kasih sangat-sangat. Pandai eh tauke
macam awak ambil hati customer, kan? Patutlah kafe awak
asyik penuh aje.”
“Kenapa? You teringin jadi tauke macam I juga ke?
Kalau macam tu, you kahwinlah dengan I. Nanti you duduk
rumah goyang kaki aje.”
Zalya geleng kepala. Naik lali dengan gurauan Kevin
yang satu itu. Tak habis-habis ajak dia kahwin sahaja.
“Atau you masih tunggu ‘dia’ lagi?” soal Kevin
apabila Zalya tidak menjawab ‘lamarannya’.
Zalya angguk. Tiada lagi rahsia antara dia dengan
lelaki itu. Hampir semua perkara dia ceritakan kepada pemilik
kafe yang paling dipercayai itu. Termasuklah tentang si ‘dia’.
Skarf di leher dielus perlahan. Ada getar dalam dada
setiap kali mengenangkan peristiwa itu. Takkan sesekali Zalya
lupa saat pertama kali bertemu si ‘dia’.
“Sampai bila you nak tunggu, Zalya?”
“Saya kena tunggu. Sebab saya dah terhutang budi
dengan dia, Kevin.”
“Hutang apa? Duit? Berapa banyak?”
Zalya kunci mulut.
“Kalau you berhutang sekalipun, you tahu tak berapa
tahun dah berlalu?”
Zalya diam lagi. Dia tahu dia tidak dapat tipu diri
sendiri. Jujurnya keyakinannya menipis seiring peredaran
waktu. Lima tahun bukan tempoh yang singkat. Mustahil si
‘dia’ masih ingat akan dirinya.
“Daripada you terus berharap, lebih baik you hargai
orang yang ada di depan mata you ni.” Kevin angkat-angkat
kening.
“Siapa? Awak?”
“Of course!”
Zalya mencebik.
“I cakap benda yang betul, Zalya. Lagipun,
entah-entah dia dah tak ingat pun pada you.”
Terasa hati Zalya mendengar bicara Kevin itu. Sudah
sekian lama dia setia berpegang kepada impian yang tak
pasti. Mengharapkan pertemuan yang sekian lama dinanti.
Perlukah dia melupakan semuanya dan tidak berpaling ke
belakang lagi?
“Tapi tak mustahil juga dia masih ingat.
Kemungkinan itu tetap ada.”
Jelingan tajam Zalya hadiahkan kepada Kevin.
“Cepat betul awak buat U-turn, kan? Takut saya
mogok dan tak datang ke kafe ni lagilah tu!”
“Memang pun. You janganlah terasa dengan apa
yang I cakap tadi ya? Please...” pujuk Kevin.
Tergeleng kecil Zalya.
“Berapa?” Zalya enggan berlama-lama di kafe itu
lagi. Ada banyak kerja yang perlu dia uruskan di atas.
“Macam biasa.”
“Nah.” Wang bertukar tangan.
“Jangan lupa datang lagi!” Kevin tidak lupa ucapkan
ayat wajib itu sebelum Zalya menapak keluar dari kafe.
Zalya hanya palitkan senyuman. Dibawa kedua-dua
cawan menghala ke pintu keluar. Saat itu jugalah, seorang
pelanggan melangkah masuk ke dalam kafe.
Tubuh Zalya berganjak ke kiri, mahu mencari
laluan. Namun apabila Zalya ke kiri, lelaki itu ke kiri. Zalya
ke kanan, dia pun sama. Dah serupa menari tango pula di
tengah-tengah kafe ini!
“Hesy!” Berdecit mulut Zalya. Barulah figura tinggi
lampai itu akhirnya berhenti dan berdiri tegak.
“Sorry.”
Ungkapan maaf itu tidak dibalas sebab geram. Mahu
Zalya tak naik angin apabila diajak berdansa tanpa rela?
Sebaik memperoleh ruang, langkah diatur pantas
untuk kembali ke pejabatnya semula. Langsung Zalya tidak
berpaling ke belakang.
“Welcome to The Cabin. Boleh saya ambil pesanan
encik?”
Kevin memandang wajah pelanggan barunya itu.
Rasanya inilah kali pertama dia melihat wajah pelanggan ini
di kafenya. Senyuman paling ramah segera dipamerkan.
“Ya. Bagi saya kopi O satu. Pekat.”
“Kopi O pekat satu!” Kevin sampaikan pesanan
kepada staf di belakangnya. Pandangan dia kembali ke
arah pelanggan di hadapannya ini. Jejaka itu dilihat sedang
memandang ke arah luar kafe sambil tersenyum.
Apa yang lelaki itu tengah pandang?
Kevin ikut halakan mata ke tempat sama. Gadis
berskarf merah menggamit perhatian mereka.

No comments:

Post a Comment