RIMASLAH pula! Belitan skarf merah yang
menjerut lehernya pantas dilonggarkan. Kerusi ditarik untuk
menikmati minumannya. Choco Latte disedut perlahan.
Automatik matanya terpejam rapat.
Pergh! Kenapa sedap gila coklat yang Kevin buat ni?
Zalya sedut lagi untuk membasahkan tekak. Terasa segar satu
badan. Pulih sudah semangat yang hilang.
Kevin memang tak pernah gagal menyediakan
minuman yang menepati piawaian cita rasanya. Sebab itulah
dia menjadi pelanggan setia The Cabin. Kafe yang tumbuh
bak cendawan di sekitar pejabat pun dia tak pandang walau
sebelah mata.
Matanya terkalih pada Americano milik bosnya.
Alamak! Zalya tepuk dahi. Pantas diletakkan minumannya
di atas meja. Berlari dia ke bilik Tina. Tidak dilupakan, kopi
milik bosnya diangkut sekali.
“Americano untuk bos.” Termengah-mengah Zalya
mencari oksigen.
“Siapa suruh you berlari-lari ni? You ingat ofis
ini trek balapan untuk you?” Kening Tina hampir bertaut
sementara tangannya membuka penutup cawan.
Zalya terseringai. Lega rasa hati melihat kepulan
wap masih jelas kelihatan. Sampai mati pun akan dia ingat
amukkan Tina terhadap Rafa yang menghidangkan kopi sejuk.
Sudahnya, budak pejabat itu trauma dan berhenti kerja.
“Saja saya nak exercise, bos. Plus, regular breathing
exercise can increase lung capacity,” ujar Zalya.
Nampak tak betapa berilmunya dia dalam bidang
sukan? Ini Zalya, bekas atlet pecut 100 meter, okey! Jangan
main-main. Sekali dia berlari, pencuri atau polis pun belum
tentu dapat kejar.
“Untuk Tina aje? Untuk I takde?”
Zalya tertoleh ke arah Luqman, salah seorang editor
di situ. Sebelum ini Luqman pernah bekerja dengan majalah
fesyen Harper’s Bazaar, sebuah syarikat majalah terkemuka
di New York. Namun editor bermata empat itu pulang semula
ke Malaysia dan bekerja dengan e-Hawa. Rindukan tanah air
katanya.
“Alamak, saya tak perasan pula Mr. Luq ada kat sini.”
Zalya diterpa rasa bersalah.
“I gurau ajelah, Zalya. Yang you terkejut sangat tu
kenapa?” Mata Luqman mengecil ketika ketawa. Tina juga
turut tersenyum.
Fuh! Zalya mengurut dada. Lega. Kalau tidak, naya
saja dia kena turun semula ke kafe Kevin.
“Thanks for the coffee, Zalya.” Tina menghirup
kopinya berhati-hati. Keningnya hampir bertaut melihat
Zalya masih terseringai di depan meja.
“You nak apa lagi?” Tina menyilang dua tangannya.
Mengecil matanya menembus wajah pembantunya itu.
“Bos, boleh tak kalau saya nak ambil half-day hari
ni? Please?” Mata Zalya berkelip-kelip penuh mengharap.
Semalam dia sudah menyuarakan hasrat, namun Tina suruh
dia tanya semula esok. Maknanya, hari inilah, kan?
“You dah siapkan kerja-kerja yang I suruh?”
“Dah,” pantas Zalya menjawab, yakin.
“E-mel pembaca?”
“Done.”
“Semua?”
“Err...” Zalya garu belakang kepala. Mustahil dia
boleh jawab semua e-mel itu. Satu dia balas, lima e-mel baru
masuk. Habis, sampai kiamat pun kerja takkan habis!
“You ada hal apa, Zalya? Tak boleh ke you settlekan
pada hujung minggu aje?”
“Tak boleh, bos. Saya kena selesaikan hari ini juga.
Lagipun, selama ini saya tak pernah ambil cuti. Tahun lepas
punya cuti pun belum habis guna lagi. Jadi, apa salahnya
kalau kali ini saya ambil cuti tu? Bolehlah ya, bos?” Zalya
pamer muka seposen macam kucing Puss ‘n Boot. Tapi
bosnya haram tak pandang.
Melihat Tina terus diam, Zalya diburu resah. Bosnya
ini memang sengaja mahu mendera perasaannya ke?
“Bos...” Zalya teragak-agak menyeru Tina, menuntut
jawapannya.
“You luluskan ajelah, Tina. Kesian pula I dengar,”
celah Luqman.
Tina tergeleng. Namun dia akhirnya beralah.
“Okey, okey. Pergilah.”
“Betul ke ni, bos? I love you, bos!” Zalya meloncat
keriangan.
Tina tidak menyahut. Sebaliknya dia ayunkan tangan
agar Zalya lekas-lekas keluar dari pejabatnya.
“MR. EDMUND, you kena faham. Harga untuk letak iklan
di page 4 dan 5 tak sama seperti harga untuk page 20 dan
21. You mana boleh suka-suka hati minta I letak iklan you
di page depan tapi ikut harga page belakang?” suara Fida
sedikit meninggi. Geram apabila klien yang seorang ini tak
faham-faham bahasa.
Tumpuannya teralih kepada Zalya yang laju melintasi
mejanya. Nampak kawan pejabatnya itu terburu-buru
membongkar isi perut tas tangan. Sesekali muka Zalya
berkerut-kerut.
“Beginilah, Mr. Edmund. Apa kata you bincang
semula dengan bos you dulu? Lepas tu you beritahu dia,
kalau dia tetap nak guna harga lama, iklan akan diletakkan
di tempat yang lama. Bukan bahagian depan. Okey?” Fida
terus hempas gagang. Nafas dihembus kasar. Pandangannya
kembali ditala ke arah Zalya.
“Kau cari apa tu, mek?” Fida panjangkan leher.
“Kunci kereta saya. Mana awak sorok kunci saya,
Fida?”
Apabila tak jumpa barang yang dicari, mulalah Zalya
naik serabut. Padahal baru sekejap tadi dia nampak kunci
keretanya. Tapi sekelip mata pula boleh lesap. Inilah padahnya
kalau banyak sangat makan semut!
“Kau ingat aku takde kerja lain? Nak sorok-sorok
kunci kereta kau? Cuba cari guna mata. Bukan dengan
mulut.”
Zalya tembak sedas jelingan maut ke arah
Fida. Berapi-api mulut itu bercakap. Macam cili api! Dia
koyak-koyakkan mulut tu karang baru tahu!
“Masalahnya, tadi kunci tu elok aje ada atas meja ni.
Betul ke awak tak nampak?”
“Cuba kau cari betul-betul. Mesti ada di situ juga.
Takde oranglah nak ambil kunci kereta buruk kau tu.”
“Amboi... sesedap mulut awak aje mengutuk kereta
saya, kan? Lebih baik awak pergi ke klinik, check mata awak
tu. Kereta cantik dengan kereta buruk pun tak reti beza!”
“Kau yang kena pergi periksa mata kau tu dulu.
Kereta Kelisa tu sepatutnya dah kena letak dalam muzium.
Bahaya kalau dibawa atas jalan raya!”
Huh, dia peduli apa? Tangannya terus menarik laci.
Kunci kereta terbaring elok di situ. Fuh, lega!
“Kau nak keluar ke mana pula? Kerja kau yang
bertimbun-timbun tu bila kau nak siapkan?” Fida menjuih ke
arah timbunan fail di atas meja Zalya.
“Esok ajelah saya siapkan. Saya kena pergi ke Ruhani
Travel & Tours sekarang. Ada appointment.”
“Kenapa? Kau nak melancong ke mana?” Fida
tunjukkan minat ketika terdengar perkataan ‘travel & tours’.
“Bukan saya yang nak pergi, tapi Hanim. Dia minta
saya tolong pilihkan pakej pelancongan untuk dia dan
keluarga dia.” Zalya mencabut telefon dari pengecas sebelum
dihumban ke dalam tas tangan.
“Apasal Hanim suruh kau? Apasal dia tak buat
sendiri?”
“Dia kan sibuk. Mana sempat nak tempah baju,
pelamin, katering semua. Sebab tu dia minta saya tolong
uruskan. Dahlah, saya dah lambat ni. Pergi dulu! Adios!”
“Ya. Adios. Berambus!” halau Fida.
Grrr... Mata Zalya mengecil tajam.
BERTUAH SUNGGUH Zalya pada petang itu. Elok saja dia
sampai di depan Wisma Seri, dia ternampak sebuah kereta
hendak keluar tempat parkir. Apalagi, dia pun terus bagi
signal untuk masuk.
Setelah kereta diparkir, kupon yang telah digores
dipamerkan atas dashboard. Kalau tidak, percuma saja dia
dapat ‘surat cinta’ daripada majlis perbandaran. Daripada
dia bayar saman, lebih baik dia guna duit itu untuk beli
minuman kegemarannya di kafe Kevin. Kurang-kurangnya,
terhapus rasa dahaga.
Langkah diatur laju melintasi lobi. Dari jauh lagi dia
sudah nampak pintu lif yang ternganga. Apalagi? Kaki segera
memecut kerana enggan terlepas lif.
“Tunggu!!!” laung Zalya.
Tup! Pintu terkatup rapat di depan mata. Terlongo
dia di situ. Punyalah kuat dia melaung tadi, takkanlah orang
dalam lif tadi tak dengar suaranya? Kalau dia tahu siapa
manusia yang tiada kesedaran sivik itu, siaplah dia!
Ting!
Pintu lif tiba-tiba terbuka semula. Mukanya terus
diangkat. Tadi hampir-hampir dia nak naik hantu. Tapi
sebaik terlihat gerangan di balik pintu, lidah terbius kelu. Api
kemarahannya terpadam sejurus menatap raut yang satu itu.
“Cik nak naik tak?” Satu suara garau menyapa halwa
telinga.
Aduhai... kenapa suara lelaki ini semacho mukanya?
Tak ubah macam Chocolate Molten Lava Cake. Menggoda!
“Cik?”
Soalan lelaki itu membuat Zalya tersentak. Dalam
kelam-kabut dia melangkah masuk.
“Err... terima kasih.”
Ucapannya tidak dibalas. Hanya senyuman nipis yang
diberikan. Zalya terus pandang ke depan. Tak mahu tertawan
dengan senyuman seindah peragawan. Senyuman yang bisa
buat dia tak tidur malam. Senyuman yang boleh buat dia
angau. Oh Tuhan, tolong keraskan hati dia. Be strong! Be
strong!
Zalya dapati butang nombor 22 sudah menyala.
Pasti pejabat lelaki ini terletak di aras 22. Lantas dia picit
butang nombor 21, tempat agensi yang dituju. Kotak lif mula
bergerak naik.
Penyaman udara menderu kuat di ruang sepi itu.
Tiada siapa yang bersuara. Kalau boleh Zalya tak mahu nafas.
Betapa sukarnya hendak berkongsi udara dengan lelaki ini.
Zalya talakan pandangan ke depan. Cuba untuk
tidak endahkan perasaan yang menggebu. Namun cermin
pada dinding lif membolehkan dia melihat wajah si dia yang
sedang berdiri di belakang.
Kalau wajah lelaki ini terpampang di muka hadapan
majalah e-Hawa, sekelip mata majalah mereka akan habis
dijual. Mata si dia begitu redup. Hidungnya terletak mancung.
Bibirnya pula seksi teramat!
‘Hoi, Zalya! Apa yang kau dah melalut ni?’
Idea nakal yang mulai bertunas lekas dicantas.
Memang beginilah jadinya kalau virus gatal miang menyerang.
Silap hari bulan, dia akan minta nombor telefon. Nampak tak
betapa tak malunya dia?
Tapi muka lelaki ini...
Mata Zalya mengecil. Kenapa dia macam pernah
nampak sebelum ini? Laju otaknya memproses maklumat.
Tapi segalanya kosong. Zero. Zilch.
Dari biasan cermin, jejaka itu mengorak senyum.
Aduhai, terserlah kekacakannya. Tapi kenapa lelaki itu
tiba-tiba tersenyum pula? Apa yang lucunya? Zalya hairan.
Takkanlah...
Kelam-kabut Zalya pecutkan pandangan ke tempat
lain. Dia tak perasan, kan? Tak mungkinlah! Mata terus
pandang skrin kecil di dinding. Lif baru tiba di tingkat 7.
Ya Tuhan, kenapa lambat sangat lif kat bangunan ini?
Mata Zalya masih melekap pada skrin. Dia buat
countdown sendiri. 19, 20, 21!
Ting!
Sebaik lif terbuka di tingkat 21, Zalya berlari keluar
bak lipas kudung. Tak berani dia berpaling walau seinci pun.
Sayup-sayup telinga Zalya menangkap bunyi tawa bergema
dari kotak lif. Lelaki itu ketawakan dia ke? Sah! Dia dah
terkantoi.
Malunya! Malu!
No comments:
Post a Comment