ZALYA hentak tumit kasutnya berkali-kali. 15
minit yang berlalu terasa bagai 15 jam lamanya. Suhu bilik
mesyuarat itu dipasang tahap sejuk beku. Macam duduk kat
kutub utara! Nak bagi dia mati keras ke apa?
Ikutkan hatinya, dia tak ingin datang ke sini. Tetapi
kerana Hanim merengek-rengek dengannya, dia akhirnya
beralah. Punyalah gigih dia ambil cuti separuh hari.
Semuanya semata-mata untuk menapak ke pejabat agensi
pelancongan ini.
Hentakan tumit kasut Zalya makin laju. Apabila ejen
pelancongan itu sampai nanti, siaplah dia sembur! Dia tak
kira! Lelaki atau perempuan, dia akan ajar cukup-cukup.
Akhirnya pintu bilik beku itu ditolak dari luar. Zalya
sudah bersedia dengan mod tempur.
“Maaf sebab terlambat. Saya tengah uruskan klien di
telefon tadi.”
Sikit lagi dia nak mati kejung dalam bilik ni, boleh
pula travel agent ini pergi layan klien lain? Darah Zalya terus
capai takat didih. Memang sengaja mahu cari bala ni!
Baru saja dia mahu membuka mulut, matanya
melekat pada wajah itu. Zalya terlopong. Oh, my God!!!
Sepantas kilat dia menunduk. Bersembunyi di bawah meja.
“Kenapa, cik?”
“Saya... err... saya tengah cari anting-anting saya.”
Zalya beri alasan.
“Cik nak saya tolong carikan?”
“Eh, takpe, takpe! Saya boleh cari sendiri.”
Tangan meraba-raba lantai. Pura-pura mencari
benda yang tak wujud. Padahal otak sedang ligat mencari
jalan. Bolehkah dia pergi tanpa disedari? Tapi kalau dia pergi,
siapa pula akan selesaikan urusan pelancongan Hanim?
Aduh, stres dia begini! Macam manalah lelaki dalam
lif tadi boleh muncul di sini? Bukankah mereka turun di
tingkat yang berbeza tadi?
Mata Zalya beralih pada beg tangan yang tersadai di
atas kerusi. Agak-agak kalau dia sumbat muka dalam begnya,
muat tak?
“Cik dah jumpa?”
Zalya angkat wajah. Sinar mata lelaki itu membuat
dia terkedu. Jantung Zalya berdetak laju.
Wajah ini...
Lelaki ini...
Dia?
“Cik Zalya?” Lelaki itu menyeru namanya apabila
Zalya pegun di situ.
“Ya?” Terkebil-kebil matanya menatap wajah lelaki
itu.
“Cik okey ke?”
“Ya, saya okey.”
Mereka serentak bangun dan berdiri semula.
“Nama saya, Nazif. Silakan duduk.” Tangan tidak
dihulurkan ketika dia memperkenalkan diri. Sebaliknya
dibawa ke dada lalu duduk dilabuhkan ke kerusi.
Berkerut sekejap dahi Zalya. Layanan Nazif penuh
profesional sehingga buat dia tertanya-tanya. Lelaki ini
memang tak ingat atau pura-pura tak ingat dirinya?
“Saya Anna Zalya. Panggil Zalya aje,” ujarnya seraya
duduk di kerusi.
Nazif mengangguk saat mendengar namanya.
“Cik Zalya nak minum apa-apa? Kopi atau teh?”
“Coklat ada?” Saat itu juga Zalya rasa mahu
melempang mulut sendiri laju-laju. Dia ingat ini kafe ke nak
order minuman kegemarannya sesuka hati?
Terlepas tawa Nazif.
Alahai, kenapa bunyi tawa lelaki itu begitu merdu di
telinganya?
“Saya harap ada.” Nazif menekan butang interkom
di atas meja.
“Kak Sha, tolong bagi saya... Cik nak sejuk atau
panas?” Mata Nazif terhala kepada gadis di hadapannya.
Jarinya masih tidak lepas dari menekan butang interkom.
“Bagi yang suam, boleh?” Zalya tak berani menempah
maut untuk meneguk minuman sejuk berais atau panas
berapi di dalam bilik sesejuk ini.
Nazif tahan senyum. Lain macam sungguh perangai
kliennya ini. “Kak Sha, warm cocoa and hot coffee in the
meeting room. Thank you.”
Berdebak-debuk jantung Zalya saat mata mereka
bertentangan. Apa masalahnya dengan organ penyambung
nyawanya ini?
“Saya difahamkan Cik Zalya berminat dengan pakej
lawatan ke Eropah. Betul?”
“Ya, memang betul. Tapi sebenarnya saya datang
bagi pihak kawan baik saya. Dia nak kahwin pada hujung ni
dan minta tolong carikan pakej pelancongan untuk mereka
sekeluarga.”
“Cik Zalya ikut sekali dalam lawatan tu?”
“Tak. Saya tak ikut.”
“Oh...”
Zalya tersalah tengok atau memang Nazif nampak
kecewa dengan jawapannya? Ah, jangan nak perasan sangatlah
Zalya oi! Khayalan semata-mata saja semua itu.
Pintu bilik beku itu diketuk perlahan dari luar.
Seorang wanita muncul membawa minuman mereka.
Secawan coklat suam diletakkan di hadapannya. Manakala
kopi pula diberi kepada lelaki itu. Sepiring kuih turut
dihidangkan.
“Terima kasih, Kak Sha,” ucap Nazif.
Wanita itu mengangguk sebelum beredar pergi.
“Jemput minum, Cik Zalya.” Nazif mempelawa.
“Terima kasih.” Perlahan-lahan Zalya meneguk
minumannya. Sedapnya!
“Ada beberapa pakej pelancongan yang saya boleh
cadangkan. Tapi saya perlu tahu juga berapa ramai yang pergi
dan berapa hari tempoh lawatan itu.”
Tanpa membuang masa, Zalya membentangkan
semua maklumat yang dia ada. Nazif pula dilihat begitu tekun
mendengar sambil mencatat segala info. Zalya panjangkan
lehernya. Kemasnya tulisan lelaki itu! Kalah tulisan dia yang
serupa cakar ayam.
“Kalau saya lihat pada bajet dan tempoh lawatan,
kami ada dua pakej yang sesuai.” Nazif pusingkan skrin
laptop.
Pantas Zalya duduk tegak semula. Berlagak macam
tak buat apa-apa sebentar tadi.
“Pakej pertama melancong ke London, Paris,
Amsterdam, Brussel, Luxembourg dan Switzerland selama
9 hari 6 malam. Pakej kedua pula meliputi kawasan UK,
Belgium, Belanda dan Paris. Tempoh masa pun sama, 9 hari
6 malam. Pakej termasuk tiket penerbangan pergi dan balik,
tempat penginapan, makanan, kenderaan, tourist guide dan
lain-lain.”
“Tourist guide tu penduduk tempatan sana atau orang
Malaysia? Kalau boleh kawan saya mahu pemandu pelancong
dari Malaysia. Lebih senang nak berurusan katanya.”
“Pemandu pelancong tu orang kita, Cik Zalya.”
Orang kita? Adakah akan ada kisah kita di antara
awak dan saya? Chewah! Dalam diam Zalya mengusik miang.
“Kalau cik berminat, saya akan berikan quotation
bagi kedua-dua pakej supaya cik dapat berbincang dengan
kawan cik dahulu.” Suara Nazif mengembalikan tumpuan
Zalya.
Sesi soal jawab memakan masa hampir setengah
jam. Setiap soalan Zalya dijawab oleh Nazif dengan tenang,
tepat dan padat. Langsung tiada belok-belok. Cekap sungguh
staf agensi ini bekerja! Padanlah beria-ia Hanim suruh dia ke
mari.
“Kalau ada apa-apa soalan, cik boleh terus
hubungi saya di nombor yang tertera pada kad itu.” Nazif
menghulurkan sekeping kad namanya kepada Zalya.
A. Nazif bin A. Norman.
Pengarah Urusan
Ruhani Travel & Tours Sdn. Bhd.
012-3456789
Zalya membaca nama yang tertera pada kad itu. ‘A’
untuk apa? Ahmad? Abdul? Sorotan matanya kembali pada
wajah jejaka itu. Bibirnya gagal membendung senyum.
“Kenapa... cik pandang saya macam tu?” Nazif
teragak-agak bersuara. Terus terang, dia hairan mengapa dia
ditilik begitu. Bukannya tidak selesa, tapi lebih kepada segan.
Atau ada apa-apakah di mukanya sekarang ini?
“Awak tak rasa kita pernah berjumpa sebelum ini?”
tanya Zalya tanpa segan. Hidup ini terlalu singkat untuk dia
rasa segan segala.
Nazif nampak terkejut namun senyumannya tak
pernah padam.
“Ya, dalam lif tadi. Masa cik tengah leka tengok saya.”
Cis! Muka Zalya bertukar jadi warna epal merah yang
masak ranum. Malu kuasa dua. Sahlah dia sudah terkantoi
tadi.
“Bukan. Maksud saya, sebelum hari ini.”
“Saya tak faham. Maksud cik?”
“Cuba awak tengok muka saya betul-betul. Pernah
tak awak nampak muka saya sebelum kita jumpa dalam lif
tadi?”
“Hurm...”
Zalya menanti penuh debar. Menunggu lelaki itu
menggali memori yang baru dia sebutkan.
“Tak. Saya tak rasa kita pernah berjumpa.”
Gelengan lelaki itu buat Zalya kecewa.
“Cuba awak ingat perlahan-lahan. Mungkin kita
pernah jumpa tahun-tahun sudah?”
“Tak, Cik Zalya. Saya takkan sesekali lupa kalau saya
pernah jumpa orang secantik Cik Zalya.”
Zalya terkedu. Lelaki itu juga nampak terkejut
dengan apa yang baru melompat keluar dari mulutnya.
“Maaf, saya tak patut cakap macam tu. Kalau
ada apa-apa soalan, cik boleh hubungi saya. Jumpa lagi.”
Kelam-kabut Nazif minta maaf dan beredar dari situ.
Lesap sudah lelaki tenang yang mendepani Zalya
tadi. Terlucut tawanya. Kelakar dengan reaksi lelaki itu.
Tadi dia malu kerana kantoi merenung Nazif di
dalam lif. Sekarang muka Nazif merah padam kerana terlepas
kata. Baguslah tu! Sekarang mereka sudah seri satu sama.
Yes! Yahoo!
TEPAT JAM 6 petang, Zalya tiba di rumah. Sebaik kereta
diparkir, dia melentokkan kepala di stereng. Dia letih sangat.
Serius! Bukan main-main punya penat.
Selalunya jalan menghala ke rumahnya tidak sesibuk
ini. Tetapi dek treler terbalik atas jalan tadi, trafik jadi sesak
sehingga beberapa kilometer. Kalau hari-hari begini, pasti dia
akan merangkak balik ke rumah macam Ju-On, hantu dalam
filem seram dari Jepun itu.
Zalya paling muka ke sisi. Pintu kereta masih
tertutup rapat. Alangkah baiknya kalau ada lelaki yang tolong
bukakan pintu untuk dia. Alangkah bahagianya jika tubuhnya
didukung masuk ke dalam rumah. Betapa indahnya hidup,
jika lelaki itu adalah lelaki yang dia temui di Ruhani Travel
& Tours tadi.
Buat kali ke-143, wajah Nazif mengasak ruang
ingatan. Sungguh tak disangka, saat dia hampir berputus asa,
lelaki itu menunjukkan diri. Muncul tiba-tiba di depan mata.
Baru saja matanya terpejam, cermin kereta diketuk
kuat. Tersentak tubuh Zalya. Kus semangat... Dada diurut
perlahan.
“Mek, kau dah pengsan ke?” Muka Fida bertukar
risau dan gelabah yang amat.
“Saya penatlah, Fida. Tak larat nak bangun...”
“Habis takkan kau nak tidur di luar? Dah nak masuk
waktu maghrib dah ni. Cepat masuk!”
Lambat-lambat Zalya keluar kereta. Diheret langkah
berat sebelum menghumbankan diri ke atas sofa.
“Macam mana dengan meeting tadi?”
“Meeting apa, Fida?”
“Alah, kau ni! Buat-buat tak tahu pula. Tadi kau
pergi ke Ruhani Travel & Tours, kan? Ceritalah pada aku, apa
yang dah jadi,” gesa Fida.
“Nak cerita apa? Biasalah kalau pergi travel agency.
Saya tanya pasal pakej, mereka bagi jawapan. Saya minta
quotation, mereka bagi. Lepas tu saya balik rumah. Habis
cerita.”
“Takkan itu aje?”
Zalya tersengih-sengih. Fida macam tahu-tahu saja
ada benda yang sedang dia sembunyikan.
“Awak nak tahu tak siapa yang saya jumpa tadi?”
“Kau jumpa siapa? Pelakon? Penyanyi?” Fida sudah
termakan umpan.
“No, no, no...” Jari telunjuk Zalya goyang-goyangkan.
“Fida, orang yang saya tunggu-tunggu akhirnya
muncul juga di depan mata saya. Saya dah jumpa ‘dia’!” Zalya
menjerit keriangan.
Mata Fida mengerdip beberapa kali. “Kau cakap pasal
siapa ni?”
Zalya tidak segera menyahut. Terbayang-bayang
raut wajah Nazif. Segak dan bergaya. Sopan santun pula
tu! Memang sesuai sangat kalau dibuat suami. Eh, apa hal
menyimpang sangat angan-angan Mat Jenin dia ni?
“Fida, takkan awak dah lupa? ‘Dia’ yang selama ini
saya tunggu! ‘Dia’lah... Fida!” Zalya terlompat-lompat kecil.
Tak sabar mahu kongsi berita gembira itu dengan kawan
baiknya itu.
Dahi Fida berkerut-kerut. Tapi melihat reaksi Zalya,
dia segera faham apa yang Zalya cuba katakan.
“Dia? Betul ke kau jumpa dia?”
“Ya, Fida! Masa saya terserempak dengan ‘dia’ dalam
lif dekat agensi tadi, saya ingat-ingat lupa. Tapi tak lama
lepas tu baru saya tersedar. Memang 100% confirm! Dialah
orangnya!”
Berteriak sakanlah mereka macam Malaysia baru
menang Piala Dunia. Siap terlompat-lompat dek terlalu
gembira.
“Kecil betul dunia ni, kan? Itu maknanya kau ada
jodoh dengan ‘dia’.”
“Jodoh apa pula? Terserempak tanpa sengaja kut...”
Zalya enggan menanam harapan. Namun bibirnya asyik
tersenyum-senyum.
“Kalau tiba-tiba terjumpa, memang itulah jodoh
namanya. Kau tunggu apa lagi? Pergilah cuba mengurat dia.
Mana tahu kot-kot dapat.”
“Awak ni kan, ikut sedap mulut aje suruh saya pergi
mengurat! Awak ingat senang ke? Kenyit-kenyit mata, terus
sangkut?”
“Kau tu bukannya tak lawa, mek. Ramai orang nak
kenal dengan kau tapi kau yang jual mahal. Tak salah kalau
mencuba, kan?”
“Hesy, tak kuasa!” Zalya menepis cadangan Fida.
Lagipun, dia tak tahu sama ada lelaki itu sudah berpunya atau
tidak. Entah-entah sudah berkahwin dan beranak tiga! Tak ke
naya saja?
“Dia ingat dengan kau tak?”
“Saya dah tanya tapi dia tak mengaku. Dia kata dia
takkan lupa kalau...” Zalya matikan bicara.
‘Saya takkan sesekali lupa kalau saya
pernah jumpa orang secantik Cik Zalya.’
‘Dia kata aku cantik? Aku? Cantik? Oh, my God!!!’
Bibir Zalya terus terukir senyuman gatal sebaik teringatkan
lelaki itu. Tak dilayan Fida yang sedang mengasak dia supaya
menghabiskan cerita tadi. Ini namanya kes cedera parah
tahap masuk ICU dah ni!
No comments:
Post a Comment