Wednesday, 13 February 2019

Cinta Untuk Mr. Hero - Bab 4

“HEY, are you okay?”
Satu pertanyaan. Tubuh Zalya bagai terkena renjatan
sebelum bangkit dari perbaringan. Tercungap-cungap dia
mencari oksigen. Menarik nafas yang tersekat.
Mata Zalya pantas mengitar ke segenap ruang.
Segera dia mengecam bilik sendiri. Nafas lega ditarik. Dikesat
peluh yang merenek di dahi.
“Mek, kau okey ke?” Fida bertanya.
Entah bila masa rakannya itu berdiri di ambang
pintu, Zalya sendiri tak tahu.
“Aku dengar suara kau tadi. Kau mengigau lagi ke?”
“Sorry kalau saya buat awak terjaga.” Tak pasal-pasal
dia mengganggu lena tidur rakan serumahnya.
“It’s okay. Sebenarnya aku pun belum tidur lagi
sebab aku berborak dengan Rayyan tadi. Betul kau tak apa-apa
ni? Kau nak aku teman tidur dengan kau tak?” Terpapar riak
kebimbangan di wajah Fida.
“Takpelah, Fida. Saya dah tak apa-apa.”
“Kalau macam tu, aku masuk bilik dulu. Jangan lupa
basuh kaki dan baca doa sebelum tidur,” pesan Fida.
Zalya sandarkan tubuh di kepala katil. Tidak
mengerti mengapa igauan itu makin kerap mengganggu
tidurnya. Setiap kali dia bermimpi ngeri, nafasnya bagai
tersekat. Menggeletar satu badan.
Ini mesti sebab dia sudah terjumpa semula dengan
Nazif! Zalya sangka selepas dia bertemu semula lelaki itu, dia
takkan diganggu mimpi ngeri itu lagi. Tapi sama saja!
Nazif... nama itu diseru perlahan. Baru sekarang dia
tahu nama lelaki itu. Bukan main puji dia cantik. Tapi kenapa
lelaki itu buat-buat tak ingat pada dia?
Tapi jika difikirkan semula, keadaannya ketika
mereka bertemu dahulu agak tak semenggah. Selekeh.
Comot. Sebab itu Nazif tak ingat dia agaknya. Terus Zalya
tarik muncung panjang sedepa. Kecewa sangat-sangat.

KELENTANG-KELENTUNG bunyi sudip berlaga dengan
kuali. Perencah ligat ditumis di atas dapur. Apabila daging
sudah masak, dimasukkan pula dua mangkuk nasi. Semerbak
harum bau nasi goreng memenuhi seantero ruang dapur.
Akhir sekali baru dia pecahkan sebiji telur.
Zalya yang baru pulang terus menonong ke dapur.
Hidung macam kena tarik-tarik untuk melawat kawasan
memasak itu.
“Awak tengah buat apa tu, Fida?”
“Tengah buat nasi gorenglah. Takkan buat kuak
lentang pula?”
“Memasak apa sampai macam tu sekali bunyinya?
Saya ingat ada orang berperang tadi. Sampai ke luar saya
dengar tahu!”
“Suka hati akulah nak masak ke nak berperang ke.
Kau pula pergi ke mana tadi? Awal-awal pagi dah ghaib?”
“Awak ni macam tak biasa pula. Saya pergi joging
kat taman rekreasilah. Kalau ajak awak, bukannya awak nak
ikut.” Zalya teguk air kosong untuk basahkan tekak. Lega
dapat hilangkan rasa dahaga.
“Aku ingatkan kau membuta tadi.”
“Tolong sikit! Awak ingat saya ni kaki tidur ke?”
Teman serumah merangkap teman sepejabatnya ini
memang suka cakap ikut sedap anak tekak saja. Nasib baik
dia bukan jenis kaki sentap. Kalau tak dah lama Zalya pindah
cari rumah sewa lain. Tak pun, dia halau Fida keluar. Tapi jika
dia tinggal seorang diri, siapa nak kongsi bayar sewa rumah
nanti? Nahi... nahi!
“Nasi goreng untuk saya ada tak?” Zalya panjangkan
leher. Bau nasi goreng dalam kuali begitu mengancam. Itu
belum rasa lagi. Zalya telan liur laju-laju.
“Sudah tentu ada, tuan puteri. Patik sudah siapkan
santapan cukup untuk satu kampung makan.”
“Ya? Ini yang buat saya sayang sangat dengan awak,
Fida!” Tubuh Fida dipeluk Zalya erat-erat. Tidak peduli
dengan kata-kata sinis Fida tadi. Alah bisa tegal biasa.
“Eee... apa peluk-peluk ni? Dahlah tak mandi.
Busuklah!” Fida menolak tubuh Zalya, menjauhi dirinya.
“Mana ada! Sampai hati tuduh saya busuk, kan?”
“Aku peduli apa? Badan kau melekit-lekit, tahu tak?
Kalau kau nak makan, pergi mandi dulu!”
“Okey, sekarang juga saya pergi mandi. Nanti awak
tolong buatkan telur mata kerbau untuk saya, ya?” Zalya
bergegas ke bilik air selepas habiskan kata-kata.
“Banyak cantik? Goreng sendirilah!” Laungan Fida
dari dapur hanya dibalas tawa Zalya.
Selesai bersihkan diri, Zalya turun semula ke ruang
makan. Nasi goreng sudah terhidang dengan hiasan daun
salad dan tomato. Begitu juga dengan telur goreng mata
kerbau yang pelik bin ajaib diletakkan di atasnya. Kenapa
pelik? Sebab ada dua kuning telur. Rare sangat!
“Kau tengok apa lagi? Duduklah.”
Tanpa membuang masa, Zalya duduk dan menjamah
sarapan yang tersedia.
“Sedapnya nasi goreng awak, Fida! Kalah nasi
goreng kat hotel lima bintang.” Melambung pujian Zalya.
Nasib baik ada Fida. Nak harapkan diri sendiri memasak?
Kirim salamlah!
“Tengok tanganlah. Lagipun, bila masa aku masak
tak sedap?”
“Amboi, bukan main riak lagi. Karang Tuhan tarik
balik bakat tu, baru tahu!”
“Aku bukan riaklah. Aku cuma cakap benda yang
betul. Kenyataan. Fakta.”
“Suka hatilah.” Zalya malas nak berdebat dengan
tukang masak kegemarannya itu. Silap hari bulan, Fida
merajuk dan mogok tak mahu masak lagi.
“Oh, ya! Kau ingat lagi tak mamat handsome yang
aku kenalkan dengan kau hari tu?”
“Mamat handsome mana pula ni, Fida?”
Tumpuan Zalya hanya pada makanan di depan mata.
Kalau ada makanan sedap, bom jatuh sebelah rumah pun dia
buat tak tahu.
“Alah, apa nama dia?” Fida petik-petik jari, cuba
mengingati. “Haa, Fakrul!”
Zalya rasa hendak tercekik sebaik mendengar nama
itu. Mana mungkin dia lupa lelaki yang bernama Fakrul itu.
Dari awal sampai akhir, asyik bercerita tentang diri sendiri.
Suka pergi memanjat gununglah. Selalu sertai maraton atau
triatlonlah. Masalahnya, ada dia kisah?
“Oh, kenapa dengan mamat tu?” Zalya sambung
makan. Tak berminat pun nak tahu sebenarnya.
“Dia tanya aku bila kau free. Aku rasa dia nak ajak
kau datinglah! Jadi, apa kata kau keluar dengan dia? Mana
tahu kot-kot sangkut. Bolehlah kita bersanding serentak!”
Fida bersuara teruja.
“Eee... tak naklah saya keluar dengan dia!” Zalya
buat muka tertelan peria.
“Dah kenapa pula? Apa dia dah buat sampai kau tak
suka keluar dengan dia?”
“Fida, awak tahu tak dia tu self-centered? Narcissist.
Saya tak sanggup tadah telinga untuk dengar dia seorang aje
yang nak bercakap. Langsung tak beri peluang kepada orang
lain. Boleh darah tinggi saya dibuatnya!”
“Janganlah cerewet sangat, Zalya. Perangai boleh
diubah. Lagipun, sampai bila kau nak terus single? Aku
teringin juga nak tengok kau bahagia macam aku dengan
Rayyan.”
Zalya tarik muka menyampah. Balik-balik bagi
alasan yang sama! Dia tahu Fida sedang diulit bahagia dengan
Rayyan. Cinta pertama dan terakhirlah katakan! Sebab itu
rakannya itu mahu lihat dia bahagia juga agaknya.
“Fida, saya belum terdesak lagi nak kahwin. Kalau
saya nak kahwin pun, bukan dengan Fakrul. Lagipun saya tak
boleh ngamlah dengan dia. Takde chemistry!”
“Habis kau ada chemistry dengan siapa? Nazif?”
Sekonyong-konyong muka Nazif menerpa di ingatan.
Lelaki itu memang serba sempurna. Dahlah ada rupa, sopan
pula tu! Rasa tak percaya pula lelaki seperti itu masih belum
pupus dari muka bumi.
“Mek, kau dengar tak apa yang aku cakap tadi?” Fida
serentak menampar meja.
“Mak!” Tak pasal-pasal Zalya melatah. Ditepuk dada
perlahan. Fida pula sudah terkekeh-kekeh, minta pelempang.
“Yang awak sergah saya tu kenapa? Rasa nak meletup
jantung, tahu!” Menjegil mata Zalya.
“Siapa suruh kau berangan tadi?”
“Mana ada!”
“Kalau tak ada, muka kau jadi blushing-blushing tu
kenapa?”
Susah betul Zalya hendak sembunyikan apa-apa
daripada pengetahuan Fida. Rakannya itu macam ada kuasa
luar biasa untuk tahu apa yang ada dalam kepalanya.
“Okay, fine! Saya mengaku memang saya tengah
fikir pasal ‘dia’.” Seakan terangkat beban di bahu apabila
Zalya mengakui isi hatinya.
“Tapi siapalah saya, kan? Saya dengan dia macam
langit dan bumi.” Zalya buat muka sedih.
Mengenangkan cara Nazif membawa diri, Zalya dapat
rasa mereka begitu berbeza. Tutur kata lelaki itu tersusun.
Tingkahnya juga terjaga. Sedangkan dia? Redah ikut suka
hati dia saja.
“Eleh, acah-acah rendah diri konon! Kau dengan dia
takde beza apa pun. Cuma satu ajelah. Dia lelaki, kau pula
perempuan. Atau sebenarnya... kau suka dengan perempuan?
Hmm?” Perlahan-lahan Fida menyilang tangan merentangi
dada sendiri. Matanya dikecilkan menanti jawapan daripada
Zalya.
“Fida! Bila masa pula saya cakap saya suka
perempuan?” Bulat mata Zalya merenung rakannya itu.
Fida gelak berdekah-dekah. Bukan main seronok
lagi apabila dapat menyakat kawan serumahnya.

No comments:

Post a Comment