Wednesday, 13 February 2019

Cinta Untuk Mr. Hero - Bab 10

STERENG digenggam kuat. Kaki kuat memijak
minyak. Keretanya seakan tak jejak tanah. Berdesup laju di
atas jalan raya.
Zalya cuma hendak sampai ke rumah secepat
mungkin. Lebih-lebih lagi sejurus dapat berita daripada
ayahnya. Macam nak terkena serangan jantung pun ada!
Ada orang datang merisik Zal. Nanti
kita bincang, ya?
Merisik? Siapa pula yang suka-suka hati datang
merisik tentang dia? Seingatnya, tiada pula lelaki yang
berminat dengan dirinya.
Oh, ya! Kecuali seorang tauke kafe bernama Kevin.
Tapi mustahil Kevin hendak buat kerja gila begitu! Lelaki Cina
itu nak tengok dia mogok tak minum Choco Latte setahun?
Ayah, tunggu. Zal balik sekarang.
Sebaik tiba, matanya tertumpu ke arah sebuah kereta
dengan logo empat bulatan yang diparkir di situ. Dahinya
berkerut.
‘Macam pernah kulihat kereta itu. Tapi di mana ya?’
Sempat dia bermonolog gaya Yassin Senario.
Namun bukan kereta itu yang patut jadi keutamaan
sekarang ini! Langkah diatur laju menuju ke pintu utama.
Terdengar sayup-sayup suara ibu bapanya berbicara dengan
tetamu. Ingin tahu, Zalya menunggu di luar untuk pasang
telinga.
“Saya bukannya nak menolak. Tapi Zal tu banyak
kekurangannya. Kerja dia pun biasa-biasa aje. Rasa macam
tak sesuai pula kalau nak dibandingkan dengan anak lelaki
encik yang berpangkat besar.”
Tersentap perasaan Zalya. Mengapa hal kerja yang
dibangkitkan ibunya? Dia tahu jawatannya tidak sebesar
mana. Tapi hina sangatkah kerja di e-Hawa? Teruk sangatkah
kerjayanya sebagai pembantu editor?
Tangannya terus berpaut di jenang pintu. Cuba
mencari sokongan untuk terus berdiri.
“Pasal kerja, kami langsung tak kisah. Asalkan cari
rezeki yang halal.”
Salmah terkalih memandang suaminya. Tak
menduga jawapan itu akan dia dengar.
“Sebenarnya, masih banyak benda yang anak kami
perlu belajar. Berat hati saya nak lepaskan anak perempuan
saya kepada keluarga Encik Adha,” tutur Imran.
Encik Adha? Nama siapa pula tu? Zalya toleh semula
untuk memandang kereta yang berada di laman. Sumpah, dia
pernah nampak kereta itu. Tapi di mana? Dan bilakah?
“Encik Imran tak perlu risau. Kami pun tak
mengejar kesempurnaan, sebab apa yang lebih penting
adalah keserasian antara Zalya dan Nazif. Lagipun, semua
orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kalau
ada apa-apa yang terkurang, kami akan sama-sama belajar
dan beri tunjuk ajar,” kata Adha pula.
Nazif? Betulkah nama itu yang dia dengari? Adakah
Nazif yang membawa keluarganya datang merisik? Tapi
kenapa dengan tiba-tiba saja?
“Sebab itu kami datang ke sini untuk bertanya sama
ada Lya sudah berpunya atau tidak. Lya masih belum ada
sesiapa, kan?” Ruhani bersuara pula.
“Setahu saya, dia memang takde kawan lelaki. Tapi
kami tetap kena tanya tuan punya badan dulu. Maklumlah,
budak-budak zaman sekarang, bukannya nak kongsi semua
cerita dengan orang tua mereka lagi,” balas Imran.
“Kami bukannya apa, kalau Lya masih belum
berpunya, kami cadang nak terus ikat dia sebagai tunang
anak lelaki kami.”
“Tunang???” Suara Zalya terlepas kuat.
Enam pasang mata tertumpu kepadanya. Oh, my
face! Muka Zalya terasa pijar. Tak pasal-pasal bikin malu
depan kaum kerabat Nazif. Aduh, tebal muka satu kurun!
“Hai, Kak Lya!”
Airin terus bangun dan memeluk dirinya. Walaupun
sedang mendakap Airin, mata Zalya terarah kepada Nazif.
Lelaki itu tersenyum-senyum. Gelakkan dialah tu!
Segera Zalya salam tangan ayahnya sebelum gapai
tangan dingin ibunya. Kemudian, dia bersalaman dengan
Ruhani. Dengan Adha, dia hanya tunduk tanda hormat.
“Lya apa khabar?” soal Ruhani.
“Err... ba... baik. Umi pula macam mana?” jawab
Zalya gugup. Entah kenapa dia terasa bulu romanya berdiri
tegak. Mungkin sebab sepasang mata helang milik ibunya
mencerun ke arah dirinya.
“Alhamdulillah. Lya duduklah.” Ruhani tepuk kerusi
di sebelahnya.
Zalya terus duduk. Peluh dingin merecik di dahi.
Pertama kali dia dirisik. Agaknya sebab ini kut jantungnya
berdetak terlebih kencang seperti genderang mahu perang.
Eh, itu bukan lirik lagu ke?
“Mereka sekeluarga datang untuk merisik Zal. Zal
setuju ke kalau mereka nak pinangkan Zal untuk Nazif?”
Tanpa berlengah Imran terus tanya. Sebab sudah sejam
tetamunya menunggu. Rasa serba salah dibiar lebih lama.
Zalya pandang setiap muka yang ada. Ruang tamu
yang luas tak semena-mena rasa kecil dan sempit. Oksigen
bagai sedang divakum keluar dari ruang itu.
“Zal kena bagi jawapan sekarang ke?” Zalya berbisik
perlahan kepada ayahnya.
“Kenapa? Zal nak minta tempoh dulu ke?”
Zalya angguk.
“Berapa lama?”
“Err... 10 minit?”
Imran tercengang-cengang.

NAZIF DITARIK menuju ke gazebo di sudut laman. Mujur
lelaki itu tidak melawan. Jika tidak, jenuh Zalya hendak
mengheret tubuh yang lebih tinggi dan besar daripada dirinya
itu.
“Macam mana awak boleh ada kat sini?” Soalan
pertama diajukan kepada Nazif sebaik tiba di gazebo.
“Sebelum tu, boleh tak awak tolong lepaskan tangan
saya dulu?”
Muka terasa tebal sepuluh inci. Malu Zalya dengan
tingkah sendiri. Tangan Nazif segera dilepaskan.
“Sorry. Tapi kenapa awak langsung tak beritahu saya
yang keluarga awak nak datang merisik?” Mahu tembus muka
Nazif ditenung.
“Awak terkejut ke?” Mata Nazif berlabuh kepada
gadis yang berskarf jingga pada hari ini. Berapa banyak skarf
yang Zalya miliki agaknya?
“Mahu tak terkejut? Guruh takde, ribut takde.
Tiba-tiba ada orang datang untuk merisik pula. Rasa nak
gugur jantung saya ni tau!”
Nazif hanya tertawa perlahan.
“Lagi satu! Dari mana awak dapat alamat rumah ibu
bapa saya? Seingat saya, saya tak pernah beritahu awak di
mana mereka tinggal.” Zalya tidak puas hati.
“Tapi awak pernah beritahu Airin. Takkan awak dah
lupa?”
Zalya tengadah. Memang Airin ada bertanya tentang
alamat rumahnya. Apabila ditanya kenapa, Airin kata
rakannya tinggal dekat-dekat kawasan itu juga. Kenapalah
dia boleh percaya bulat-bulat terhadap gadis itu?
“Tapi itu tak bermakna awak boleh suka-suka hati
nak datang meminang saya!”
“Semua ini idea umi. Saya ikut aje.”
Idea siapa? Jawapan pendek Nazif buat dia rasa
hendak rebah. Boleh darah tinggi dibuatnya! Pantas Zalya
menghirup oksigen sedalamnya.
Relaks Zalya! Tenang... cool down...
“Awak ikut idea umi? Kenapa? Awak tak boleh buat
keputusan sendiri?” soal Zalya, sinis. Mahu menguji Nazif
sebenarnya. Namun lelaki itu masih tersenyum tenang.
“Pilihan keluarga adalah pilihan saya juga.”
Zalya tergeleng. ‘No! I agree to disagree!’
“Awak langsung tak tahu latar belakang saya, tak
kenal perangai saya. Tapi tiba-tiba awak nak kahwin dengan
saya? Awak tahu tak perkara kahwin ini tak boleh dibuat
main-main?”
“Sebab tak main-mainlah saya setuju dengan
permintaan keluarga saya. Lagipun, restu keluarga paling
penting sebelum kita buat apa-apa, kan?”
Restu, perkataan yang cukup kuat merentap tangkai
hati Zalya. Air mukanya terus berubah.
“Memang restu ibu bapa itu penting tapi...” Zalya
ketap bibir. Macam mana dia hendak pangkah kata-kata lelaki
ini?
“Zalya, saya tak nak paksa kalau awak tak nak kahwin
dengan saya. Saya cuma mahukan yang terbaik untuk awak.
Sebab tu saya hantar rombongan merisik dahulu. Saya nak
awak tahu yang saya serius dengan awak. Tapi kalau dalam
hati awak dah ada orang lain, saya dengan rela hati akan undur
diri. Saya akan sentiasa mendoakan kebahagiaan awak. Sebab
takde apa yang lebih penting selain melihat awak bahagia.”
Terkesima Zalya mendengar bicara jejaka itu. Nazif
sanggup berundur jika dia sudah ada pilihan lain? Lamaran
jenis apakah ini? Bunyinya macam separuh hati saja.
“Kalau awak hendak beralah, kenapa awak datang
pada hari ini? Kenapa awak berani tunjukkan muka awak
depan saya? Kenapa awak datang merisik saya?” Zalya cukup
pantang dengan orang yang begitu cepat mengalah. Belum
apa-apa lagi, sudah mahu angkat bendera putih! Macam tak
serius langsung!
“Kerana saya percaya ada sebabnya kenapa umi
sukakan awak dan mahu awak jadi menantunya. Saya yakin
pilihan umi takkan silap.”
Zalya tergeleng perlahan. Alasan Nazif tidak kukuh.
Hujahnya terlalu rapuh. Malah keputusannya seakan
dibayangi orang lain. Payah untuk Zalya terima alasan
sebegitu.
“Nazif, saya perlukan masa untuk fikirkan tentang
lamaran awak. Saya kena fikir masak-masak sebab ini
melibatkan masa depan dan hidup saya.”
“Ambillah seberapa banyak masa yang awak perlukan.
Walau apa pun jawapan awak, saya tetap akan terima.”

***BOLEH DAPATKAN DIPASARAN, KELUARAN JANUARI 2019*** 

No comments:

Post a Comment