AWKWARD...
Di kirinya ada Airin. Di hadapannya ada umi Nazif
dan seorang lelaki yang Airin panggil sebagai ‘walid’. Di
kanannya pula, ada Nazif. Zalya rasa kekok. Rasa macam artis
popular pula. Sebab semua mata tertumpu ke arahnya.
“Saya ada bawa buah tangan sikit untuk semua.”
Zalya cuba membunuh kekok dengan memberikan hadiah
yang dibawa.
“Buat susah-susah Lya aje.” Tersenyum Ruhani
menyambutnya. Makin melebar senyumannya saat
mengeluarkan sehelai skarf bercorak bunga.
Airin pula tanpa lengah membuka bungkusan yang
diberi oleh Zalya.
“Betul Kak Lya bagi skarf ini pada Airin?” soal Airin,
teruja apabila turut mendapat sehelai skarf bercorak abstrak.
Sesuai dengan usianya yang masih muda.
“Walid dapat apa?” Airin intai hadiah walid pula.
Adha menarik keluar satu pek serbuk kopi berjenama.
Terangkat kedua-dua keningnya, kagum dengan buah tangan
itu. Zalya macam tahu-tahu saja bahawa dia gemar minum
kopi. Diucapkan terima kasih kepada gadis itu.
“Terima kasih ya, Lya. Umi akan pakai skarf yang Lya
bagi ni,” ucap Ruhani.
“Airin pun!” sahut Airin.
Zalya tarik nafas lega. Puas dia perah otak
memikirkan buah tangan apa yang patut dia beri. Mujur
hadiahnya itu disambut baik.
“Lya mesti dah lapar, kan? Mari kita makan,” ajak
Ruhani.
Mereka bergerak ke meja makan. Zalya tunduk,
memandang hidangan yang tersedia. Sambal udang! Kecur
air liurnya. Tapi nak ambil lebih-lebih, dia segan. Nanti apa
pula kata keluarga Nazif?
Nazif tidak semena-mena mencapai mangkuk berisi
sambal udang itu. Zalya ternanti-nanti lelaki itu sudukan
sambal ke atas pinggannya. Namun Nazif berikan sambal itu
kepada umi pula. Begitu juga dengan lauk dan sayur yang
lain. Semuanya diberi kepada umi dahulu.
“Umi nak lagi?”
“Buat apa along sendukkan untuk umi? Sepatutnya
along bagi sambal udang tu pada Lya. Sikit sangat dia makan
tu.”
“Eh, takpe aunty. Err... umi. Cukuplah ni. Saya
makan memang tak banyak.” Zalya jadi segan. Takkanlah umi
Nazif tahu apa yang ada dalam fikirannya tadi?
“Jangan malu-malu. Umi masak banyak-banyak
sebab nak bagi Lya makan. Lya makan, ya? Along, boleh
tolong beri sambal pada Lya?”
Nazif menurut. Mangkuk berisi sambal itu diangkat
dan dua sudu besar sambal udang diletakkan ke atas pinggan.
“Nak lagi?” tanya Nazif.
Nak angguk atau tidak? Separuh pinggan sudah
penuh dengan udang saja. Besar-besar pula tu. Laju Zalya
menggeleng. Tak baik tamak.
“Lya suka makan sambal udang ke?” Ruhani
bertanya. Dia perasan mata gadis itu asyik terpanah pada lauk
itu saja.
Zalya pantas mengangguk.
“Makanan kegemaran saya dan ibu saya tu,” beritahu
Zalya.
“Ya? Orang tua Zalya kerja apa, ya?”
Terhenti suapan Zalya sebaik mendengar soalan
Ruhani. Perlahan dia mendongak. Seluruh ahli keluarga
Nazif seolah-olah sedang menanti jawapannya.
“Ayah saya akauntan. Ibu saya pula pensyarah di
UiTM.”
“Lya ada berapa ramai adik-beradik?”
“Saya seorang aje dalam famili.” Zalya cepat-cepat
senyum. Cuba mengaburi nadanya yang hampir bertukar
sayu.
Mendengar jawapan itu, Airin segera duduk di
sebelah Zalya. Tangan Zalya diraih ke dalam pelukan.
“Kak Lya jangan risau. Mulai hari ini, Airin jadi adik
Kak Lya. Boleh, kan?”
Pucuk dicita, ulam mendatang. Zalya mengangguk
saja. Siapa tak mahu adik secomel Airin?
“Boleh, Airin. Kak Lya pun suka kalau dapat adik
macam Airin.”
“Dah lama Zalya kerja di e-Hawa?” Soalan ayah Nazif
berjaya mengusir pilu Zalya.
“Masuk tahun ini, sudah dua tahun saya kerja di
sana.”
“Zalya kerja apa?”
“Saya assistant editor Tina, salah seorang editor di
e-Hawa.”
“Oh, dia popular dengan kolum Tanya Tina tu, kan?”
celah Ruhani pula.
Zalya pantas mengiakan. Kolum Tanya Tina antara
kolum yang paling popular di e-Hawa. Semuanya disebabkan
jawapan penuh humor atau cadangan bernas yang diberikan
oleh bosnya, Tina.
“Awak ni asyik tanya pasal kerja aje. Biarlah Lya
habis makan dulu. Macam mana, Lya? Sedap tak?” Ruhani
terpaksa mencelah.
“Sedap sangat, umi. Rasa macam masakan kat
restoran lima bintang.” Bersungguh Zalya memuji. Bukan
ambil hati tau! Dia tak reti menipu. Kalau tak sedap, dia akan
cakap tak sedap. Tapi hidangan malam ini memang terbaik!
Rasa nak bungkus untuk bawa balik.
“Ya? Makanlah lagi. Jangan segan-segan kalau nak
tambah nasi.”
Suasana di meja makan pada malam itu makin riuh.
Mulut Airin tak henti-henti berceloteh. Cerita pasal ekspedisi
kembara mendaki gunung. Kisah kedai bakeri Ruhani. Baru
Zalya tahu, umi Nazif memiliki rangkaian Honey’s Bakery.
Diam-diam dia mengagumi umi Nazif. Wanita
itu begitu ramah dan merendah diri. Tak sangka, dia dapat
bertemu sendiri dengan wanita yang menjadi orang kuat
Honey’s Bakery.
“Oh ya! Kak Farhana telefon Airin tadi. Dia kirim
salam,” beritahu Airin.
“Waalaikumussalam...” Satu keluarga itu menjawab
hampir serentak.
“Farhana ada cakap bila dia nak balik ke sini?” tanya
Adha.
“Alamak! Lupa Airin nak tanya tadi. Mungkin raya
nanti baru Kak Farhana balik agaknya. Walid tanya ni macam
tak biasa pula.”
Nama yang satu itu buat hati Zalya tertanya-tanya.
Siapakah Farhana? Namun soalan itu hanya disimpan dalam
hatinya.
Selesai makan, Zalya dijamu pula dengan pencuci
mulut. Potongan kek tiramisu nampak begitu menggoda.
Kek itu dihias cantik pula tu! Sayangnya nak makan.
“Tiramisu ni dari bakeri umi ke?”
“Ya, tiramisu ini antara best seller di bakeri umi
tahu. Lya rasalah.”
Zalya terus benamkan sudunya. Pencuci mulut itu
begitu ringan dan gebu. Apabila disuap, terus cair dalam
mulut. Rasa tidak puas pula makan sepotong saja.
“Ibu Lya selalu tak buat kek di rumah?”
Tiramisu yang ditelan serta-merta terasa kelat. Pahit.
Perlahan Zalya geleng kepala.
“Selalunya dia masak apa untuk Lya?” Entah
mengapa Ruhani begitu teringin mengenali wanita yang
telah melahirkan Zalya itu.
“Ibu selalu masak... macam biasa. Sama macam
orang lain, umi.”
Berkerut dahi Ruhani mendengar jawapan Zalya.
Nampak teragak-agak. Malah seakan berat untuk menjawab
soalan tadi.
“Nazif pergi ke mana, umi?” Zalya cepat-cepat
tamatkan topik tadi.
“Dia tengah solat agaknya. Sekejap lagi dia turunlah
tu.”
Nazif muncul tak lama kemudian. Keningnya sedikit
terangkat melihat jam di dinding.
“Umi, dah lewat sangat dah ni. Along hantar Lya
balik ya?”
“Tak boleh ke kalau Kak Lya tidur di sini aje?” celah
Airin. Masih tak puas habiskan masa dengan Zalya.
Terkejut Zalya mendengar permintaan Airin itu.
Nazif geleng kepala. Ruhani pula sudah ketawa.
“Mana boleh, Airin. Kak Lya kan tak bawa baju.”
Zalya cuba beri alasan. Seganlah dia nak bermalam di rumah
keluarga lelaki itu.
“Alah... Kak Lya pinjamlah baju Airin. Saiz kita kan
lebih kurang sama aje?”
“Lain kali, ya? Lagipun esok Kak Lya kena gerak awal
untuk kerja.” Zalya memujuk. Airin terpaksa mengalah.
“Lya, umi ada bekalkan kek sikit. Nanti Lya kongsi
dengan kawan serumah, ya?” Sekotak pencuci mulut
diberikan kepada Zalya.
Tak tergambar rasa yang menyerbu di dada. Zalya
terharu.
“Terima kasih umi.” Dia hulurkan tangan untuk
menyalami tangan wanita itu. Namun Ruhani segera menarik
tubuhnya ke dalam dakapan. Betapa hangatnya pelukan umi
Nazif sehingga membuat Zalya terleka. Dibalas pelukan
wanita itu, lama.
“Lain kali, Lya mesti datang ke sini lagi tau!” Ruhani
berpesan seraya menepuk-nepuk belakang tubuh Zalya.
Zalya mengangguk.
ZALYA LETAKKAN kedua-dua tangannya di atas perut. Rasa
hendak meletup. Terlalu banyak yang dia makan sehingga
perut terasa senak.
Disandarkan tubuhnya pada kerusi. Dia cuba
pejamkan mata. Saat itu Zalya tidak mahu fikirkan apa-apa.
Tapi nama Farhana asyik melintas dalam kepala. Jika Airin
tidak bercerita, sampai bila-bila pun dia takkan tahu akan
kewujudan seorang lagi adik Nazif itu.
“Kenapa awak tak pernah cerita tentang Farhana?”
Soalan itu meluncur keluar dari mulut Zalya. Wajah Nazif
dicari. Namun lelaki itu nampak seperti tidak berperasaan
saja.
“Awak nak saya cerita apa tentang dia?”
Aik? Macam tu pula?
“Dia kan adik awak juga? Tapi awak langsung tak
pernah sebut tentang dia. Saya ingat, awak hanya ada seorang
adik aje.” Zalya sengetkan tubuh, menghadap Nazif. Wajah
lelaki itu bertukar keruh. Nampak teragak-agak untuk buka
cerita.
“Tapi kalau awak rasa keberatan, awak tak perlu cerita
dengan saya. Anggap aje saya tak tanya apa-apa tadi. Maaf
sebab menyibuk,” ujar Zalya. Hampir saja Zalya melangkaui
batas. Apa haknya untuk ambil tahu urusan keluarga Nazif?
Bukankah dia orang luar sahaja?
“Tak. Awak tak perlu minta maaf. Sebenarnya
Farhana tu adik tiri saya.”
“Adik tiri?”
“Farhana anak walid dengan arwah isteri pertama
walid.”
Zalya menanti Nazif menyambung cerita.
“Selepas beberapa tahun isterinya meninggal, walid
berkahwin dengan umi dan setahun kemudian mereka dapat
Airin.”
Oh... patutlah Nazif nampak lebih mesra dengan
Airin dan umi. Apabila lelaki itu berbual dengan ayahnya,
hanya beberapa patah sahaja. Itu pun banyak tentang kerja.
“Farhana dengan awak, tak rapat ke?” Tangan Zalya
bermain-main dengan hujung skarfnya.
“Ya. Mungkin dia rasa tak selesa. Kami tiada
hubungan sedarah. Aurat kena jaga. Tiap hari dia kena pakai
tudung dalam rumah. Saya yang tengok pun rasa rimas, inikan
pula dia. Sebab itu lepas habis sekolah rendah saya minta
untuk belajar di sekolah berasrama. Tak sangka, dia pun buat
benda yang sama. Habis sekolah, dia masuk universiti. Tamat
belajar, dia terus kahwin dan ikut suaminya yang bekerja di
luar negara. Dia cuma akan balik pada hari raya sahaja. Jadi,
tak banyak yang saya tahu tentang dia.”
Panjang lebar Nazif bercerita. Rumit juga kisah
keluarga lelaki ini. Dari luaran, keluarga lelaki itu nampak
bahagia saja. Tak sangka ada kisah di sebaliknya.
“Tapi Farhana tu baik orangnya. Walaupun tinggal
berjauhan, dia tetap sayangkan Airin dan walid,” sambung
Nazif.
Nazif cuma kata Farhana sayangkan Airin dan
walid. Bagaimana pula dengan hubungan Farhana, Nazif dan
ibunya? Kenapa nama mereka berdua tercicir dari sebutan
mulut Nazif?
No, no, no! Stop it, Zalya. Jangan nak jadi kepohci
sangat. Biar Nazif cerita sendiri kalau dia mahu. Mulut dia
terus dikunci rapat.
TERDENGAR SUARA memberi salam. Ruhani menoleh ke
pintu. Terjengul wajah Nazif di situ.
“Waalaikumussalam. Along dah hantar Lya balik?”
“Dah, umi. Kenapa umi tak tidur lagi? Dah pukul
berapa ni?” Nazif duduk di atas sofa yang sama dengan ibunya.
“Tidur apa pula? Baru pukul 10 malam. Awal lagi.”
“Awal? Biasanya jam 9 malam lagi umi dah siap
bermimpi.”
“Banyaklah along punya mimpi. Tadi along hantar
Lya sampai depan pintu ke?”
Nazif senyum. Nampak sangat umi ambil berat
dengan gadis yang seorang itu.
“Ya, umi. Sampai depan pintu. Ikutkan hati nak
hantar sampai depan pintu bilik.”
“Along jangan macam-macam. Jangan buat hal
kat rumah anak dara orang.” Ruhani mengingatkan. Tahu
anaknya sekadar bergurau. Tapi dia tak sukakan jenaka
sebegitu. Tak kelakar baginya.
“Umi ni, macam tak percayakan along pula. Along
bergurau ajelah. Takkanlah along nak buat macam tu pula?”
“Along, umi sentiasa percayakan anak-anak umi.
Umi tahu dan kenal macam mana perangai along. Cuma
umi nak along berhati-hati aje. Kita tak tahu apa yang akan
jadi nanti. Jadi, jangan lupa jaga batas pergaulan. Along tu
satu-satunya anak lelaki umi. Sebab tu along kena pelihara
nama baik keluarga kita.”
Nazif gapai tangan ibunya.
Cinta Untuk Mr. Hero
94
“Insya-Allah, umi. Along janji takkan buat umi sedih
sebab along.”
Ruhani menepuk-tepuk tangan anak lelakinya itu.
Dia tertoleh kepada Airin yang leka menonton rancangan
masakan Cake Wars.
“Airin jangan buat-buat tak dengar pula. Umi pesan
ni untuk Airin sekali.”
“Ya, umi. Airin dengar...” sahut Airin. Mata masih
melekat kepada wajah pengacara yang kacak. Itu antara sebab
utama dia menyukai rancangan tersebut.
“Bila lagi Lya nak datang ke mari? Nanti along bawa
dia ke sini lagi, ya?”
Nazif garu kepala. Hendak bawa Zalya datang untuk
kali pertama pun dia sudah rasa cukup payah. Inikan pula
untuk kali kedua. Pasti ada untuk kali ketiga dan seterusnya.
“Umi nak jumpa Zalya lagi sekali?”
“Mestilah. Kalau boleh umi nak selalu jumpa dia. Tak
puaslah berborak sekejap sangat.”
“Kenapa umi suka sangat dengan Zalya, ya?” soal
Nazif.
“Sebab Lya tu peramah orangnya. Pandai bawa diri.
Hormat orang tua pula tu.”
“Takkan sebab itu aje?” Soalan itu sudah lama
berlegar dalam kepalanya. Tak mengerti mengapa uminya
begitu menyukai gadis yang baru mereka kenali.
Ruhani senyum. Dia pernah nampak bagaimana
penyabar dan penyayangnya Zalya. Ketika majlis perkahwinan
Irham dan Hanim tempoh hari, dia nampak Zalya membantu
seorang kanak-kanak terjatuh. Bukannya senang untuk
bertemu anak gadis yang tidak kekok ketika melayan
budak-budak. Markah bonus tu!
“Nanti along cubalah rapat dengan Lya, ya? Lagipun,
umi suka sangat tengok along dengan Lya. Nampak sepadan
sangat.”
“Umi, along dengan dia cuma kawan biasa aje.” Nazif
enggan memberi harapan kepada umi. Bimbang jika impian
umi tidak kesampaian nanti.
“Takpelah. Sekarang kawan biasa dulu. Akan datang,
jadi kawan luar biasa. Siapa tahu, nanti jadi isteri pula?”
“Amboi, umi... bukan main jauh lagi umi buat
rancangan. Tapi kalau betul along jadi dengan Kak Lya,
Airin pun suka.” Siaran TV sudah diabaikan. Drama realiti di
hadapannya ini lebih menarik perhatian. Tersengih-sengih
Airin pandang muka alongnya.
Nazif geleng kepala. Entah kenapalah semua ahli
keluarganya begitu menyukai Zalya? Nanti kejap. Semua?
Bukankah itu bermakna, dirinya termasuk juga?
“Along sukakan Zalya?” korek Ruhani.
“Suka!” Airin pula yang menjadi tukang jawab.
“Umi tanya along, bukan Airin.” Nazif menjeling
muka adiknya.
“Airin tolong jawab bagi pihak along. Lagipun
jawapan Airin tak salah, kan?”
Belum sempat Nazif menyanggah, Ruhani pantas
memotong.
“Kita hantar rombongan merisik, nak?” cadang
Ruhani pula. Daripada dia suruh anaknya berkawan tak
tentu hala, lebih baik dia merisik Zalya dengan cara baik.
Sekurang-kurangnya, tidaklah dia biarkan Nazif dan Zalya
keluar tanpa sebarang ikatan.
“Airin setuju! Nanti kita cakap dengan walid, ya?
Airin pun happy sangat kalau dapat kakak ipar macam Kak
Lya. Bolehlah kita tambah geng untuk shopping sama-sama
nanti. Betul tak, umi?”
“Elok sangatlah tu. Umi pun suka kalau dapat keluar
dengan Lya lagi. Tapi Airin tahu ke rumah Kak Lya kat mana?”
“Umi jangan risau. Pandailah Airin korek maklumat
daripada Kak Lya nanti.”
“Airin ada nombor Zalya ke?” tanya Nazif. Bila dua
orang perempuan dalam keluarganya itu berborak sakan,
orang di sekeliling langsung tidak dipedulikan. Termasuklah
dia yang terpacak di situ.
“Mestilah ada. Airin minta sebelum Kak Lya balik
tadi.” Airin tayangkan telefonnya, bangga.
“Kalau macam tu, kita hantar rombongan minggu
depan ya? Alah, rombongan untuk merisik aje. Lagipun,
sampai bila along nak membujang? Along tak takut kalau Lya
terlepas ke tangan orang?”
“Betul umi nak Zalya jadi menantu umi?”
“Mestilah! Umi tak nak orang lain jadi menantu umi
selain Lya.”
Halkum Nazif bergerak sekali. Berat sungguh
permintaan umi. Kalau orang lain, awal-awal lagi Nazif akan
berkata tidak. Tapi bukan pada umi. Takkan sesekali!
“Boleh tak along fikir dulu?” Nazif begitu teringin
membahagiakan umi. Apa saja sanggup dia lakukan asalkan
wanita itu gembira. Tapi dia perlu audit hatinya sendiri
terlebih dahulu. Dia mahu tahu sama ada hatinya boleh
terbuka buat gadis bernama Zalya.
“Ambillah berapa banyak masa yang along perlukan.
Umi akan tunggu berita baik daripada along,” tutur Ruhani,
penuh mengharap.
ADHA MELETAKKAN buku di atas riba. Matanya berkalih ke
wajah Ruhani.
“Awak nak kita pergi pinang Zalya untuk along?”
Adha bertanya. Tiba-tiba saja isterinya minta dia pinangkan
anak dara orang untuk Nazif. Siapa tak terkejut?
Ruhani laju mengangguk.
“Kita pergi pinang Lya, ya? Lagi cepat lagi bagus.”
“Awak bergurau, kan?” Adha tenung muka isterinya
dengan rasa tidak percaya.
“Bergurau apa pula? Ini hal kahwin along. Saya
serius nak Lya jadi menantu kita.” Bersungguh-sungguh
Ruhani cuba meyakinkan suaminya.
“Cuba beritahu saya kenapa awak nak sangat Lya jadi
menantu awak?”
“Sebab saya rasa Zalya tu budak yang baik. Bila saya
nampak cara dia layan budak-budak, saya yakin Zalya tu
penyayang orangnya. Saya tak naklah Lya terlepas ke tangan
orang lain. Kita hantar rombongan cepat-cepat ya?”
Perlahan Adha tergeleng, tidak setuju.
“Saya tahu awak teringin sangat tengok along
naik pelamin. Tapi janganlah sampai awak paksa along ikut
kehendak awak. Kahwin tu bukannya perkara kecil. Lagipun,
awak kena fikirkan juga hati dan perasaan along tu.”
“Saya buat semua ini demi kebaikan along juga.
Awak macamlah tak kenal dengan perangai along tu. Dia tu
bukannya reti berkawan dengan orang perempuan. Kalau kita
tak suruh, sampai bila-bila pun along takkan kahwin.”
“Tak payahlah awak nak desak along. Dia tu muda
lagi. Awak tak ingat berapa umur saya bila kahwin dengan
awak?”
“Awak janganlah buat kelakar dengan saya. Masa
awak kahwin dengan saya, itu adalah perkahwinan kita yang
kedua. Masing-masing dah ada anak satu pun. Mana boleh
samakan dengan mereka?”
Ada benar kata-kata isterinya itu. Perkahwinan
mereka yang sekarang bukanlah perkahwinan mereka yang
pertama. Sebaliknya adalah perkahwinan kedua selepas
Ruhani gagal dengan perkahwinan terdahulu.
“Kita pergi jumpa keluarga Lya hujung minggu ni
ya?” Ruhani tidak putus memujuk.
“Hani, mereka berdua baru aje nak kenal. Bagilah
sedikit masa untuk mereka tahu perangai masing-masing
dulu.”
“Nak kenal berapa lama? Awak kenal saya pun
sekejap aje, kan?”
“Tapi...”
“Saya tak kira. Saya nak along kahwin dengan Zalya
juga. Muktamad!” putus Ruhani.
Nazif yang berdiri di tangga hanya membisu. Tak
sengaja terpasang telinga. Tapi benarkah apa yang dia baru
dengar tadi? Umi mahu Zalya menjadi bakal isterinya?
Terbayang-bayang wajah gadis itu di ingatan.
Perlahan-lahan bibirnya mengulas senyum.
No comments:
Post a Comment