Sunday, 24 March 2019

7 Days Of Summer - Bab 5

KERTAS yang telah siap dicetak dibelek dengan
tangan kiri, manakala tangan kanan pula sibuk mengepit
puntung rokok yang masih berasap. Tajam matanya melihat
hasil kerja yang bakal dihantar hari esok. Tugasan yang tak
pernah habis selagi belum tamat belajar, memang itulah yang
dia perlu hadap.
Kemudian puntung rokok itu tadi dikepit dengan
bibir, menikmati asap beracun buat seketika. Tabiat yang
masih belum mampu dinyah daripada hidupnya. Asap
dihembus dan Arief memandang sekeliling. Mencari wajah
yang belum tiba.
Kertas yang berselerakan dibiarkan begitu sahaja
apabila tangan kiri naik mengusap belakang leher. Penat
dengan kelas yang padat sepanjang minggu. Nak melepak
dan bersosial pun tidak sempat. Itu belum kira perjumpaan
dengan macam-macam persatuan. Dekat-dekat nak ke
penghujung semester ni semakin aktif pula persatuan yang
dia sertai. Ada saja aktiviti yang dilakukan. Lepas tu sibuk nak
bermesyuarat bagai.
Rokok disedut lagi buat kesekian kalinya. Saat dia
menarik dalam asap beracun itu, matanya menangkap susuk
tubuh yang sedang menuju ke arahnya. Spontan puntung
rokok yang masih berbaki ditekan-tekan dalam ashtray dan
bibir mula mengukir senyuman.
“Haa, buat apa tadi tu?” tegur Nessa seraya
melabuhkan duduk di hadapan Arief.
“Takde apa-apa.”
“Takde apa-apa? Saya nampak okey.” Nessa menjeling
tetapi jeling main-main saja. Hujung bibir dah mula tercuit
dengan senyuman.
“Sikit aje.” Arief kenyit mata. Rasa bersalah
sebenarnya kantoi depan-depan macam ni.
“Kata nak berhenti merokok, kenalah disiplin sikit.”
“Sedang mencuba. Tapi itulah, bila nampak tu rasa
tergoda betul. Lagipun bukan sekotak, awak.”
“Ya, bukan sekotak. Tapi tetap juga tak elok untuk
kesihatan.”
Arief mula tersenyum senget. Kemudian dia
menongkat tangan di atas meja, gaya merenung Nessa
macam orang angau.
“Dah lama tak dengar orang membebel, seronok
juga rupanya ya. Merdu aje.”
“Perlilah, perli!” Nessa menjeling dan mencebik.
Namun seketika kemudian ketawa mereka bersatu.
“Dah lama ke tunggu?”
“Cukup lama untuk habiskan sepuntung rokok,”
canda Arief. Masih lagi mahu mengusik Nessa dengan
kepantangan gadis itu. Nessa seperti juga gadis yang lain,
tidak suka lelaki merokok. Mujurlah dia sedang dalam fasa
berhenti merokok dan mujur juga Nessa sedia menerima
kekurangan dia yang satu itu.
“Lama sangat dah tu. So, what’s up? Dua minggu
kita tak jumpa, kan?”
Arief angguk seraya meneguk jus di atas meja.
Sempat dia membuat pesanan bagi pihak Nessa tanpa
bertanyakan gadis itu terlebih dahulu. Mujur Nessa juga tidak
kisah dengan pilihannya.
“Sibuk dengan pelbagai urusan. Bulan depan ada
acara dekat Malaysian Hall. Menteri datang. Saya kena
uruskan beberapa program yang berkaitan dengan persatuan.
Have you heard about this?”
“Ada dengar juga, tapi tak pasti yang kami terlibat ke
tidak nanti. Belum dapat apa-apa notis.”
“Nessa...” Arief merapatkan badan ke meja.
“Ya?”
“Final exam lagi 2 bulan. Awak dah sedia?”
Nessa tersandar ke belakang.
“Ini yang saya risau.”
“Kenapa?”
“Risau kalau tak dapat score nanti. Macam sia-sia aje
belajar bertahun lepas tu final semester KO.”
Arief tergelak dengan keselambaan Nessa.
“Dah habis peperiksaan nanti terus balik Malaysia
ke?”
“Mungkin. Sebab saya tak merancang untuk tinggal
lebih lama dekat sini.”
“Kenapa? Dah rindu orang dekat Malaysia?”
Nessa angguk.
“Salah satunya. Tapi yang sebetulnya, takde alasan
yang kukuh pun untuk saya berlama dekat sini.”
Arief diam memikirkan tentang kata-kata Nessa.
“Jadi, kalau ada alasan yang kukuh awak akan terus
tinggal dekat sini?”
“Mungkin.”
“Contoh alasan kukuh awak tu?”
Nessa jongket bahu.
“Kerja dekat sini ke. But that is so not gonna
happen.” Nessa tergelak dengan kata-kata sendiri.
“Kenapa?”
“Sebab saya tak nak kerja dekat sinilah. Duh, apalah
soalan awak ni Arief.” Nessa ketawa tetapi sedikit canggung.
Kerana perasan akan pandangan mata Arief yang agak
berlainan dari tadi.
“Lagi? Sebab lain.”
“Hmm...” Nessa ketuk dagu sendiri.
“Would you stay if I ask you to stay, Nessa?”
Ketukan pada dagu terhenti. Mata yang bulat mula
mengecil, lalu bibir terus kaku tanpa bicara.
“Tinggal dekat sini dengan saya?” mohon Arief tanpa
ragu.
Perubahan pada wajah Nessa sedikit pun tidak
dipedulikan. Dia sudah tidak mampu menyimpan perasaannya
lagi. Kerana itu tanpa teragak-agak dia meluahkan segalanya.
Dia tidak mahu terlepas peluang yang ada dan dia tidak mahu
melepaskan Nessa daripada genggamannya walaupun gadis
itu ternyata belum berada dalam genggamannya.
“Arief, saya...”
“I like you, Nessa. Would you be my girlfriend?”

TAP! TAP!
Bunyi tapak kasut Arief yang sedang menapak di
atas jalan raya. Bergabung dengan bunyi kasut Nessa yang
berjalan di sisinya. Siang sudah bertukar malam dan mereka
dalam perjalanan untuk pulang ke apartmen Nessa.
“Hujung minggu nanti saya takde.”
“Ke mana?”
“Countryside, dengan kawan sekelas.”
“Aimi tak ikut?”
“Ikut juga.” Nessa menoleh, memandang sisi wajah
Arief. Wajah panjang dan bujur. Dagu Arief kelihatan sedikit
tajam apabila dipandang dari arah sisi begini. Mata Arief pula,
kelihatan semakin sepet. Puas dia menikmati keindahan
wajah di sisinya itu.
“Buat bekal ke?”
“Hah?”
Arief turut menoleh ke arah Nessa dengan senyuman
di hujung bibir.
“Pandang saya tak lepas macam tu. Buat bekal sebab
tak boleh jumpa hujung minggu nanti?”
“Eh!” Nessa senyum kemudiannya dengan mata
kembali memandang lurus ke hadapan. Langkahnya terhenti
apabila tiba di hadapan bangunan apartmen kediamannya.
“Arief...”
Arief tegak di hadapan Nessa dengan kedua belah
tangan dalam poket jaket. Dingin malam semakin menggigit
hingga ke tulang. Hidung pun dah mula tersumbat. Jika lagi
lama dia berembun, memang mendapatlah selesemanya.
“Tentang soalan awak masa dekat kafe tadi...”
“Saya tak paksa, Nessa. Jangan rasa terbeban.”
“Tak!” Nessa menggeleng. Kepala tunduk
memandang hujung kasut. Sejujurnya dia merasa senang
berada di sisi lelaki itu. Hatinya juga telah lama terdetik
dengan satu rasa saat dia mula rapat dengan Arief. Suara
hatinya sudah bulat dan dia nekad. Wajah diangkat, membalas
pandangan mata Arief.
“Saya terima,” jawab Nessa perlahan.
Buat seketika mereka hanya diam dan saling
berpandangan. Tangan Arief naik mengusik hujung tudung
Nessa.
“Saya sukakan awak sejak kali pertama saya
terpandangkan awak sewaktu majlis hari raya di Malaysian
Hall. You looked so nice in your baju kurung cotton dan
dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir, awak kelihatan
manis di mata saya.”
Terkelip-kelip mata Nessa mendengar luahan hati
Arief. Pemuda itu terlalu jujur dan tidak dia sangka bahawa
Arief telah lama menyimpan rasa hati terhadapnya.
“Bila awak hampir kena langgar, jantung saya
bagaikan mahu luruh. Saya takut, risau dan saat awak berada
dalam pelukan saya, saya sedar yang saya telah jatuh cinta
dengan awak, Nessa.”
Tanpa sedar, pipi Nessa mula berubah warna. Dia
malu. Ini pertama kali seumur hidupnya seorang lelaki
meluahkan rasa cinta terhadapnya.
“Saya cintakan awak, Nessa. Benar-benar cintakan
awak.”
Kepala yang mendongak mula menunduk dan
hujung bibir digigit menahan rasa. Rasa gembira dan terharu
bergabung menjadi satu.
“Arief...” Liur ditelan. “Saya tak tahu apa yang
baiknya tentang saya ni hinggakan awak boleh jatuh cinta
dengan saya dalam waktu yang singkat begini. Dengan
pertemuan yang tidak terduga dan dengan keadaan di mana
saya langsung tidak sedar tentang kewujudan awak.” Anak
matanya tunak memandang ke dalam mata Arief.
Arief diam mendengar.
“Tapi Arief...” Nafas ditarik dalam. Anak mata jejaka
itu ditenung sepuasnya. “I do like you. Saya tak tahu sejak
bila tapi saya juga sukakan awak dan saya rasa saya juga sudah
mula jatuh cinta dengan awak.” Perlahan sahaja suara Nessa
di hujung kata.
Meluahkan rasa hati bukanlah sesuatu yang mudah
lebih-lebih lagi bagi seorang perempuan sepertinya. Tetapi
luhurnya Arief meluahkan kata membuatkan Nessa yakin
untuk melafazkan rasa cintanya. Sementelah mereka sedang
merasai rasa cinta yang sama.
“Nessa...”
Nessa dan Arief saling berpandangan.
“Sudikah jadi kekasih saya?”
Bibir Nessa mula menguntum senyuman dan tanpa
ragu dia menjawab.
“Sudi.”

BADAN DIREBAHKAN ke atas katil tanpa sempat dibuka
tudung yang membalut kepala. Mata dipejam celik dengan
minda yang kosong. Penat dan mengantuk membuatkan
badan semakin malas nak bergerak.
Baru sahaja dia nak bergolek di atas katilnya itu,
telefon di dalam poket berbunyi. Terus ditarik keluar tanpa
rasa.
Good night, girlfriend!
Terus Nessa tegak di tengah katil dan tanpa sedar
bibirnya mula tersenyum. Kembang rasa hati apabila
menerima pesanan ringkas begitu daripada seorang kekasih.
Pantas tangannya bergerak membalas pesanan Arief itu.
Good night, boyfriend!
Nessa kembali merebahkan badan dengan mata yang
terpejam. Tetapi bibir tetap juga merekah dengan senyuman.
Angau!
“Eh, dia senyum-senyum pula dekat situ. Pergi
mandilah Ness,” tegur Aimi dari meja menulisnya.
“Malaslah nak mandi, sejuk.”
“Cuci mukalah babe. Tak elok tidur dengan tak cuci
muka macam tu.”
Nessa kembali tegak, memandang belakang Aimi
yang masih tekun menulis di meja tulisnya itu.
“Aimi...”
“Hmm?”
“I love you.”
“I love you too,” jawab Aimi tanpa menoleh.
Nessa bangun mendekati Aimi sambil membuka
tudung di kepala.
“But I love Arief more.”
Pergerakan tangan Aimi terhenti. Berkerut dahinya
cuba menghadam kata-kata sahabatnya itu. Wajah Nessa
dipandang dengan kerutan yang masih belum hilang.
“Say what?”
“I love Arief more...”
“Oh my... babe! You dengan Arief?” Hampir terloncat
Aimi di situ dan semakin dia rasa nak meloncat saat melihat
anggukan dan sengihan Nessa.
“Ness, you dah ada boyfriend!” Sepertinya Aimi pula
yang terlebih teruja berbanding Nessa sekarang.
“Ya, Aimi. I pun macam tak percaya yang I dah ada
kekasih.”
“Apa yang terjadi sebenarnya?” Tangan Nessa ditarik
supaya duduk berhadapan dengannya. Sesi soal siasat mula
dijalankan.
Nessa jongket bahu.
“I pun tak tahu nak cakap macam mana, Aimi. Kami
berjumpa lepas tu bersembang bla bla bla, kemudian terus
Arief tanya ‘would you stay if I ask you to stay?’ bila I cakap
takde alasan kukuh untuk I terus tinggal dekat sini.”
“Oh man! Sangat berterus teranglah this guy. Lepas
tu apa yang jadi?”
Serius pada wajah Aimi membuatkan Nessa menahan
gelak. Macam soal siasat kes jenayah pula padahal tengah
sembang pasal pengakuan Arief kut.
“Lepas tu dia lamar I...”
“Oh my!” Terjerit Aimi saat mendengar perkataan
lamaran yang keluar dari mulut Nessa. “Jadi, bila you dengan
dia nak kahwin?”
“Bukan lamar jadi isteri dialah babe.”
“Huh, lega! Ingatkan dia ajak you kahwin. I tak
bersedialah.”
“Eh, you pula yang kena bersedia?”
Aimi tergelak.
“Maksud I, belum bersedia untuk tengok kawan I ni
kahwin. Sebab semuanya macam tiba-tiba. Tapi kalau you nak
kahwin dengan Arief, I sentiasa sokong you, babe.”
“Betul ni?”
“Ya, Arief tu baik. Selama kita kenal dia, mana pernah
dia buat yang bukan-bukan dekat kita, dekat you. Kalau you
keluar dengan dia pun dia jaga you dengan elok. I percayakan
dia.” Yakin Aimi berkata-kata. “With no doubt,” tambah Aimi
lagi.
“Terima kasih, Aimi.” Aimi ditarik ke dalam pelukan.
“Terima kasih sebab percayakan Arief dan terima kasih sebab
sentiasa sokong I. I terharu.”
“You kawan baik I, apa yang elok semestinya I
sokong. Jadi, bila nak nikah?”
Pelukan terlerai.
“Dia lamar I untuk jadi kekasih, bukan isteri.”
“Oh lupa...” Aimi ketawa. “Dah jadi kekasih oranglah
sekarang ni?”
Nessa angguk dengan sengihan. Teruja, gembira
dan bahagia. Ini baru berkasih, belum berkahwin. Dah nak
kahwin nanti entah macam manalah tahap terujanya.
“Tahniah Nessa, kekasih Arief!” jerit Aimi dan bilik
mereka kembali riuh dengan gelak ketawa mereka berdua.

No comments:

Post a Comment