Sunday, 24 March 2019

7 Days Of Summer - Bab 6

“OKEY, set! Siapa kalah kena masak nasi
Arab esok.” Fikri angkat kening. Peluang keemasan untuk
dia gantung sudip ni. Kalau ikutkan esok giliran dia untuk
memasak.
“Nasi lagi ke?” Jinhai mengusap perutnya yang
masih kempis. “Aku rasa perut aku dah nak ke depan dah ni.”
“Samalah dengan aku. Belum kahwin perut dah ke
depan. Dah kahwin nanti sah aku dulu yang mengandung,”
tambah Faisal.
Terburai ketawa mereka yang sedang bersembang di
ruang tamu rumah. Semua malas mahu keluar dan seharian
mereka hanya duduk melepak di rumah sahaja. Kebetulan
pula minggu ini tiada aktiviti yang harus mereka sertai.
Merdekalah sekejap rasanya.
Arief yang duduk sambil bertongkat tangan ke
belakang turut mencelah. “Boleh. Tapi tak payahlah masak
nasi Arab. Nasi lemak pun sedap. Dah lama tak makan
homemade punya nasi lemak.”
“Hmm...” Kevin dan Vincent serentak mengusap
dagu.
“Matilah kalau kita yang kalah. Aku tak tahu masak
nasi lemaklah.” Vincent menggaru kepala yang tidak gatal.
Selama mereka tinggal bersama, dia lebih banyak jadi tukang
makan dan bancuh air sahaja. Bab masak memang dia kurang
pakar. Setakat masak nasi goreng luluslah. Tapi kalau sampai
ke nasi lemak, itu dia memang angkat tangan menyerah.
“Ah, takde! Siapa kalah kena masak nasi lemak.
Muktamad!” putus Fikri membuatkan yang lain mula
mengomel.
Arief hanya tersengih melihat gelagat
rakan-rakannya. Fikri memang agak tegas berbanding yang
lain. Tetapi selalunya ketegasan Fikri bertempat. Tapi kali ni,
dia pun tidak tahu nak cakap apa. Bersungguh pula mereka
nak berlawan main dart. Siapa yang kalah kena denda bagai.
Padahal dia cuma nak hilangkan bosan melepak tak buat apa
sekarang ni.
Permainan dimulakan dan masing-masing begitu
fokus melontarkan dart ke arah papan dart yang tergantung.
Faisal pula tekun mengira markah rakan-rakannya. Tiba
giliran Arief, lontaran dia agak tersasar sehinggakan tiada
markah yang dikumpul. Riuh ruang tamu apartmen dengan
gelak ketawa mereka. Ada yang mengusik, ada yang serius.
Suasana semakin hangat dan riuh-rendah apabila
Faisal mula mengelat sewaktu mengira markah. Saja dia
kenakan Vincent. Melompat abang mata sepet tu ingin
menangkap Faisal yang cuba melarikan diri. Diluku-luku
kepala budak suka mengusik tu. Manakala Fikri dengan
Jinhai dan Kevin pula masih sibuk dengan dart di tangan.
Tidak dipedulikan Faisal dan Vincent yang sedang bergomol.
Arief menarik keluar telefon dari dalam poket.
Dipandang skrin telefon yang hitam. Tanda tiada sebarang
pesanan ringkas atau panggilan yang diterima. Nafas dihela
lemah. Sejak siang tadi langsung tiada khabar berita daripada
Nessa. Ini membuatkan hatinya risau. Risau dan resah.
“Okey dah, aku menang! Wohooo!” sorak Jinhai.
Faisal yang masih bergelut dengan Vincent bingkas
bangun merapati Jinhai.
“Wei, aku punya giliran belum lagi.”
“Kau dengan Vincent kira out sebab korang masuk
gusti, bukan main dart.”
Tergelak Arief yang mendengar. Selamba betul si
Fikri ni.
“Jinhai nombor satu, aku nombor dua, Kevin
nombor tiga. Korang takde nombor, jadi esok korang kena
masak nasi lemak untuk kami.” Kedua belah tangan Fikri
naik memeluk bahu Kevin dan Jinhai. Beria-ia budak berdua
itu mengangguk setuju siap angkat-angkat kening bahagia.
“Aku pun?”
“Haah. Sebab kau sibuk duk angau dengan telefon
tu. Jadi kau pun out. Kalah!”
Terhambur lagi ketawa mereka mendengar kata-kata
bersahaja Fikri. Vincent dengan Faisal sudah mula tolak
menolak bahu, bergaduh macam budak-budak. Yang lain
pula langsung tak ambil peduli. Bukan serius pun budak
berdua tu bergaduh.
“Okey, baik. Tapi malam ni siapa yang nak masak?
Aku dah lapar ni.” Arief bangun untuk ke dapur dan yang lain
mula mengekori dari belakang. Apabila Arief cakap lapar baru
mula terasa lapar semuanya.
“Malam ni biar aku yang masak. Korang nak makan
apa?” Fikri mula menyarung apron. Yang lain pula mula
bertenggek di kabinet dapur.
Pelbagai menu yang diutarakan. Orang nak masak,
rugilah kalau tak demand. Macamlah dalam peti ais tu penuh
dengan bahan mentah. Baru saja Arief ingin mencelah,
telefon di dalam poketnya berbunyi.
“Akhirnya, Nessa...” Jelas kelegaan pada suara
Arief setelah menjawab panggilan daripada orang yang
ditunggu-tunggu. Dia terus bergerak keluar dari ruang dapur.
“Maaf Arief, saya tertidur tadi.”
“Kenapa suara serak? Awak menangis ke?”
“Tak, saya okey.”
“No. She’s not!” Sayup kedengaran suara Aimi yang
menjerit di sebelah sana.
“Awak tak sihat?”
Nessa berdecit geram dengan Aimi. Dia dah buat
Arief risau sebab tak balas mesej, tak jawab panggilan dan dia
tak nak Arief bertambah risau tentang keadaan kesihatannya
pula.
“Saya sihat, Arief.”
“Jangan tipu, sayang. Dengar suara pun dah tahu
awak tak sihat.” Ketegasan Arief membuatkan Nessa terdiam.
“Ni dah makan ke belum?”
“Belum.” Semakin serak suara Nessa. Entahkan
kerana sakit atau sedang menahan tangis.
“Stay at home. Sekejap lagi saya sampai.” Panggilan
dimatikan dan Arief bergegas ke ruang dapur semula.
“Jinhai, ajar aku masak bubur untuk orang sakit
resipi mummy kau.”
“Kenapa? Siapa yang sakit?” Faisal terlebih dahulu
menyoal.
“Nessa.”
Jawapan pendek Arief membuatkan mereka yang lain
tersenyum. Patutlah berkerut semacam muka tu. Risaukan
kekasih hati yang sakit rupanya.
“Sini. Ginseng yang hari tu ada lagi.” Jinhai terus
bergerak mengeluarkan botol berisi cecair ginseng yang
disimpan di dalam peti ais.

NESSA MENJERUK rasa. Geram sungguh apabila Aimi
selamba sahaja menjerit memberitahu Arief tentang keadaan
dia. Yang sebenarnya dia tidak mahu menyusahkan Arief. Dah
tahu Arief pasti takkan duduk diam. Lagi pula dia sudah sedia
maklum dengan tahap kerisauan lelaki itu.
“Tak payahlah buat muka macam tu, babe.”
“I geram dengan you ni, tahu tak?”
Aimi sengih.
“Ya tahu. Tapi Arief perlu tahu tentang keadaan you,
Ness. You kan kekasih dia.”
“Tapi dah malam Aimi, I tak nak susahkan dia.”
“Okey, I minta maaf. Tapi kalau you tak beritahu pun
Arief pasti dah dapat agak. Suara you teruk sangat, tahu tak.”
Nessa berdeham.
“Itulah. I pun tak sangka yang selesema kali ni boleh
jadi teruk sampai macam ni. Penat betul.”
“Tak apa babe, sakit tu kan penghapus dosa.”
“Yalah...”
Sedang Nessa leka bersembang dengan Aimi, telefon
bimbitnya menjerit minta dijawab.
“Saya dekat bawah. Boleh turun tak?”
“Boleh.”
“Turun sekarang. Ajak Aimi teman.”
“Baik.” Nessa memandang ke arah Aimi yang
sedang menjongket kening ke arahnya. “Teman I jumpa Arief
sekejap.”
“Okey.” Dengan senang hati Aimi mengekori Nessa.
Tiba sahaja di bawah, matanya terus terpandangkan
belakang Arief yang sedang duduk di bangku kayu di taman
berhadapan dengan bangunan apartmen. Nessa mula
menapak manakala Aimi pula hanya tegak di situ. Memberi
ruang kepada Nessa untuk berbicara berdua dengan Arief.
“Arief...”
Arief bangun dan menoleh. Tiba-tiba hati Nessa
terasa sebak saat terpandangkan wajah serius kekasihnya itu.
“Kenapa cebik macam tu?” Nessa didekati dengan
tangan yang penuh membawa bekas berisi bubur ginseng
serta teh lemon.
Nessa jongket bahu.
“Terharu kut tengok awak dekat sini, tengah malam
macam ni.”
“Dah berapa hari sakit ni? Tadi sampai pukul berapa?”
Arief bersuara lembut. Hilang sudah ketegasannya sewaktu
bercakap dengan Nessa di telefon tadi.
“Sejak semalam. Sampai dah petang, lepas tu terus
tidur tak sedar. Saya minta maaf Arief, sebab dah buat awak
risau.”
“Don’t be. Ni saya ada buatkan bubur ginseng dengan
teh lemon. Nanti jangan lupa makan dan minum.”
Bekas bertukar tangan.
“Terima kasih.”
“Macam mana boleh sakit, sayang?”
“Dekat sana sejuk sangat and a bit windy. Tak tahan
sejuk agaknya.”
Arief memandang lama wajah Nessa yang turut
mendongak memandangnya. Kemudian baju sejuk yang
tersarung di tubuh kekasihnya itu diperkemaskan.
“Lain kali kalau nak ke mana-mana kena ada saya.
Kalau tidak it’s a big no!”
“Encik Arief janganlah macam ni.”
“Macam apa, Cik Nessa?”
“Tegas sangat. Cik Nessa gerun tengok Encik Arief
yang begini.” Hidung yang berair ditonyoh dengan tisu.
Langsung tak kontrol cun depan encik kekasih.
“Encik Arief bertegas sebab Cik Nessa tak pandai jaga
diri. Tadi pun tak nak cakap yang awak tak sihat sebenarnya,
kan?”
“Saya tak nak susahkan awak.”
“Dengar sini, sayang. Saya cintakan awak dan
takde yang menyusahkan pun bila melibatkan awak. Cinta
bermakna saya nak jaga awak. Saya nak jadi sebahagian dari
hidup awak. Sakit awak, sihat awak. Semuanya. Jadi tolong
jangan sorokkan apa-apa daripada saya dan jangan risau awak
menyusahkan saya ke apa.”
Nessa tunduk kemam bibir. Kemudian mencuri
pandang wajah Arief yang tunduk memandangnya.
“Tapi Arief...”
“Apa?”
“Senyum sikit boleh? Dah lama tak tengok awak
senyum. Smile...” Dengan hidung merah berair, dengan suara
serak, sempat lagi dia mengusik kekasihnya itu.
“Kenapalah comel sangat? Sakit pun comel.”
Spontan bibir Arief mula carik dengan senyuman. Muncung
tudung Nessa dijentik mesra.
“Dah pergi masuk, sejuk dekat luar ni. Jangan lupa
habiskan semua dalam bekas tu.”
“Baik. Terima kasih, Arief. Saya sayang awak.”
“Sayang awak juga. Dah, pergi naik.”
Arief memandang Aimi yang masih setia menanti.
“Terima kasih Aimi temankan kami. Tolong jagakan
Nessa untuk saya ya. Kalau ada apa-apa just give me a call.
Kalau tunggu cik adik ni mengadu entah bila agaknya.”
“Saya tak cengenglah. I’m a strong woman okay.”
Nessa yang sedang berjalan ke arah Aimi membalas.
Tergelak Aimi melihat gelagat pasangan kekasih itu.
“Jangan risau, Arief. Nanti I jadi pengawas untuk
you, okey? I akan awasi kekasih you ni 24/7.”
“Thanks again.”
Sempat Nessa melambai ke arah Arief sebelum dia
dan Aimi berlalu meninggalkan Arief yang masih tercegat di
situ. Nafas dilepaskan. Nessa satu-satunya kesayangan yang
dia ada sekarang dan dia tidak mahu apa-apa terjadi kepada
kesayangannya ini. Dia tak nak...

“NESSA MACAM mana?”
Arief berpaling. Faisal yang lengkap berseluar paras
lutut itu elok bersandar pada kepala katil. Sedang membelek
telefon di tangan.
“Demam selesema.”
“Teruk ke?”
“Takdelah sampai terbaring tak boleh bangun ke apa.
Selesema kan, kau faham-faham sajalah.”
Faisal menarik sila dan bersandar pada dinding pula.
Kali ini dia duduk menghadap Arief yang turut bersandar
pada dinding di atas katil bujangnya itu.
“Kau dengan dia serius ya, Arief?”
“Aku tak pernah serius macam ni.”
Faisal diam buat seketika.
“Kau dah beritahu dia tentang rancangan kau setelah
tamat belajar nanti?”
Arief menggeleng.
“Kau tak nak beritahu dia ke?”
“Belum masanya, Sal.”
“Peperiksaan akhir tinggal 2 bulan saja lagi, Rief.
Kalau bukan sekarang, bila lagi? Takkan kau nak beritahu dia
masa kita semua tengah sibuk belajar untuk exam? Ataupun
kau nak beritahu dia lepas peperiksaan akhir nanti?”
Arief mengeluh. Bukan serabut dengan segala soalan
Faisal, tetapi risau memikirkan penerimaan Nessa tentang
rancangannya itu nanti.
“Baru seminggu aku dengan dia declare, Sal. Aku
rasa belum sesuai untuk aku kongsikan tentang rancangan
aku tu. Tengoklah macam mana. Tapi aku akan beritahu
Nessa sebelum peperiksaan akhir nanti.”
Lama Faisal memandang Arief.
“Kau memang takkan ubah rancangan kau ke?”
Jeda.
“Tak.”
Sepatah jawapan Arief membuatkan Faisal faham
sendiri. Tiada gunanya dia bertanya lagi kerana memang itu
jawapan sahabatnya sejak dulu. Sebagai seorang sahabat yang
memahami, dia akan sentiasa menyokong apa saja keputusan
Arief selagi ia tidak memudaratkan Arief mahupun sesiapa.
“Jomlah tidur. Esok nak kena masak nasi lemak ni.”
Selimut ditarik dan Faisal terus tumbang di atas katilnya.
Arief hanya memandang tanpa suara. Dia nekad.
Walau apa pun yang terjadi, keputusannya tetap tidak akan
berubah.

No comments:

Post a Comment