Sunday, 24 March 2019

7 Days Of Summer - Bab 8

TINGGAL 2 minggu sahaja lagi sebelum Arief dan
Nessa mula sibuk dengan peperiksaan semester akhir. Mereka
harus bersedia mental dan fizikal agar dapat bergraduasi
dengan keputusan yang cemerlang nanti.
Walaupun sibuk dengan tugas hakiki sebagai pelajar,
Arief dan Nessa tetap meluangkan masa untuk berjumpa.
Kadang keluar makan bersama atau mengulang kaji pelajaran
bersama-sama. Walaupun kursus dan subjek yang mereka
ambil adalah berlainan, itu bukanlah penghalang untuk
mereka mengulang kaji pelajaran bersama.
Kafe yang sentiasa mereka kunjungi sedikit hingar.
Arief bergerak pantas mendapatkan meja di hujung kafe.
Untuk ke kafe lain sudah tidak larat rasanya. Sementelah
sejak pagi tadi lagi dia dan Nessa belum menyentuh apa-apa
makanan.
“Arief awak tolong order ya. Saya nak buat panggilan
sekejap.”
“Nak makan apa?”
“Anything. But something heavy.”
Arief cuma angguk dan terus berlalu ke kaunter
untuk membuat pesanan. Manakala Nessa pula mula mendail
nombor telefon mamanya, Datin Nurain.
“Mama dengan baba sihat?”
“Sihat semuanya. Nessa dekat sana macam mana?
Dah bersedia untuk final exam?”
“Dah, mama. Tapi tetap juga risau kalau tak boleh
nak jawab nanti.”
“Jangan fikir banyak sangat. Tiket balik Malaysia dah
beli ke belum Nessa?”
Jantung Nessa mula berdebar. Perlu atau tidak dia
berterus terang dengan mamanya sekarang? Tapi kalau bukan
sekarang bila lagi?
“Ma, Nessa ada sesuatu nak beritahu mama.”
“Biar mama cakap dulu. Mama nak Nessa balik as
soon as you finish your exam. I have made plans for you.”
“Rancangan apa?”
Dahi Nessa mula berkerut. Kenapa tiba-tiba semua
orang suka buat rancangan sendiri tanpa berbincang dengan
dia terlebih dahulu? Hari tu Arief dan sekarang mama pula.
Nessa mencuri pandang ke arah Arief yang secara
kebetulan sedang memandang ke arahnya juga. Sempat Arief
kenyitkan mata ke arah Nessa membuatkan kekasihnya ini
tersenyum. Senyuman yang Nessa pamerkan itu nampak
kekok benar.
“Rancangan apa, ma?” soal Nessa sekali lagi apabila
Datin Nurain tidak menjawab.
“Sekejap, sekejap... ada orang datang. Nanti mama
call Nessa semula. Jaga diri!”
Talian terus mati dan Nessa hanya mampu
memandang kosong skrin telefon yang gelap tanpa cahaya.
Hati dia mula merasa kurang senang. Jantungnya juga sudah
mula berirama tidak sekata.
“Macaroni and cheese. Yay or nay?” Satu hidangan
diletakkan di hadapan Nessa dan satu hidangan lagi untuk
dia. Nak cepat, pesan saja makanan yang sama.
Senyuman cuba diukir walaupun sedikit payah.
“Yay. Kesukaan awak, kan?”
Arief mencemik.
“Hmm, tak juga. Tapi kalau lapar sangat memang ini
yang akan saya cari.”
“Jadi tengah lapar sangatlah ni?”
Arief angguk dan memulakan suapan.
“Belajar boleh buat kita lapar. Tambahan pula duduk
tempat sejuk, peratusan untuk perut berkeriuk tu sangatlah
tinggi. Jadi jangan pelik kalau nampak pelajar yang tak buat
kerja berat macam kita ni kuat makan.”
Nessa yang turut mengunyah angguk setuju.
“Cakap telefon dengan siapa tadi?”
Sudu terlepas dari tangan membuatkan keduanya
tersentak.
“Nessa, kenapa?” soal Arief pelik dengan tingkah
kekasihnya itu. Bukan dia tak perasan yang riak pada wajah
Nessa mula berubah seusai bercakap di telefon seketika
tadi. Senyuman pada wajah itu juga tidak indah seperti
kebiasaannya.
Nessa menggeleng dengan wajah yang menunduk
memandang pinggan berisi makaroni.
“Takde apa-apa,” jawabnya perlahan.
“Cakap telefon dengan siapa tadi?” soal Arief lagi
apabila Nessa tidak menjawab soalannya yang satu itu.
Dengan berat hati Nessa menjawab.
“Mama.” Wajah Arief dipandang, menanti reaksi
kekasihnya itu.
“Mama sihat?”
“Sihat.”
“Cakap tentang apa? Tentang kita ke?”
Lama Nessa diam, memikirkan tentang rancangan
yang dikatakan oleh mamanya itu tadi. Arief pula hanya
memerhati segala gerak-geri Nessa sambil mengunyah
makanannya.
Makanan di dalam pinggan Nessa hanya sedikit
sahaja yang terusik. Sedangkan ketika mereka menuju ke
kafe itu tadi dia beria cakap yang dia lapar. Tapi sekarang dia
sepertinya tidak berselera pula untuk makan. Tangannya asyik
memutarkan sudu tanpa mengusik isi di dalam pinggannya
itu. Hanya sesuap yang masuk ke dalam mulutnya itu tadi.
“Tak sempat cakap, mama ada hal.”
Arief angguk faham.
“Tak nak makan ke?” Arief menjeling sudu Nessa
yang menguis makanan.
“Dah kenyanglah Arief.”
Sudu diletak perlahan dan Arief hanya memandang
segala gerak laku Nessa.
“Kenapa? Ada masalah ke?”
Nessa menggeleng.
“Makanan tu tak luak pun. Awak fikir apa sebenarnya
ni?”
Nessa mengangkat wajah dan memakukan
pandangan ke wajah Arief. Bibirnya yang merah itu cuba
mengukir senyuman walaupun langsung tiada rasa untuk
tersenyum.
“Tak fikir apa-apa pun. Tiba-tiba rasa kenyang.”
“Awak ada masalah sebenarnya, kan sayang?” Arief
merapatkan badan ke meja supaya jarak antara dia dengan
Nessa semakin dekat. “Tak sudi kongsi dengan saya?”
Matanya turut membalas renungan Arief. Dia sendiri
belum pasti akan masalah yang bakal dihadapi nanti. Jadi
bagaimana harus dia berkongsi dengan Arief? Perlukah dia
meluahkan kerisauannya kepada teman lelakinya itu?
“Saya tak nak paksa awak, sayang. But you always
have me if you need someone to talk to.”
Nessa cuma mampu angguk.
“Habiskanlah makanan awak tu, saya tunggu.”
Arief kembali menyambung makan, namun matanya
tidak dapat lari daripada mencuri pandang wajah Nessa yang
kembali tunduk memandang makanan sendiri.
“Jadi ke kawan awak nak tour Europe nanti?”
Arief menggeleng.
“Tukar plan. Mereka nak ke Iceland pula.”
“Awak ikut tak nanti?”
“Awak nak ikut?”
Soalan berbalas soalan membuatkan Nessa terdiam.
“Saya tak ikut,” jawab Arief saat bibir Nessa terkunci
kemas.
“Kenapa?”
“Saya tak nak tinggalkan awak seorang diri dekat
sini. Lagipun, saya kena berjimat cermat mulai sekarang. Nak
jaga anak orang, kan.”
Hujung bibir Arief tercuit dengan senyuman kecil
namun tidak pada wajah Nessa. Kerana rasa kurang enak yang
mencucuk tangkai hati, wajah Nessa menjadi beku tanpa riak.
Rasanya nak senyum pun dia tidak mampu dah sekarang.
“Arief, kalau awak nak ikut mereka pergilah. Saya
tak kisah. Saya boleh aje tunggu awak dekat sini.”
Sekali lagi Arief menggeleng dan kini wajahnya
turut berubah serius.
“Tak. I won’t leave you here alone. Awak dah jadi
tanggungjawab dan keutamaan saya sekarang.”
Tidak mampu membalas pandangan mata Arief,
Nessa tunduk memandang pinggan sendiri. Jujur hati dia
sebak mendengar kata-kata Arief. Entah kenapa dapat dia
rasakan bahawa kisah cinta mereka ini tidak semudah yang
diimpikan Arief. Kata-kata mamanya yang masih terngiang
di telinga membuatkan Nessa tidak dapat mengelak daripada
memikirkan yang bukan-bukan.
Malah sejak dia bersetuju dengan cadangan
dan rancangan Arief, dia telah pun berfikir sebarang
kemungkinan yang bakal terjadi pada hubungan mereka.
Walaupun dia bahagia, walaupun dia gembira berada di sisi
orang yang dicintai, namun hatinya tidak dapat mengelak
daripada kerisauan memikirkan tentang penerimaan mama
dan babanya nanti.
“I’m done. Jom saya hantar awak balik.”
“Tak apa, Arief.” Nessa menahan Arief daripada
bangun. “Saya dah janji nak teman Aimi beli barang hari ni.”
“Oh...” Kening Arief mula berkerut. “Beli barang
dekat mana? Nak saya temankan awak berdua?”
“No, it’s okay. Dekat-dekat sini aje. Hmm... saya
gerak dulu ya. Jumpa awak esok.”
“Esok tak boleh Nessa, saya ada hal. Dah beritahu
awak tadi, kan?”
“Oh lupa.” Nessa tersengih bagi menghilangkan
kecanggungan. “Kalau begitu, bila kita boleh jumpa lagi?”
“Nanti saya call awak.”
Nessa angguk dengan senyuman yang tiada serinya.
“Saya gerak dulu.” Baru saja dia ingin melangkah,
Arief menahan.
“I love you, sayang.”
Sekali lagi Nessa senyum.
“I love you more, baby.” Nessa berpaling dan terus
berlalu. Air mata sepantas kilat turun membasahi pipi apabila
rasa sebak yang tersimpan tidak mampu ditahan lagi.
‘Oh Tuhan, kenapa aku harus merasa begini?’
Mata Arief tidak lepas daripada memandang belakang
Nessa yang semakin menjauh. Kemudian tangannya mula
bermain dengan penyedut minuman dalam gelas sebelum
minuman yang masih berbaki itu disedut sehingga habis.
‘She is hiding something,’ bisik hati kecil Arief.

BENAR TELAHANNYA, mama menentang hebat
keputusannya untuk terus berada di bumi London setelah
tamat belajar nanti. Berapi amarah mamanya itu. Berbeza
dengan babanya yang mengambil pendekatan untuk berdiam
diri.
“Bukan selamanya mama. Untuk beberapa tahun
sahaja. Nessa akan pulang juga ke Malaysia nanti.”
“No, Nessa! Mama dah rancang semuanya untuk
Nessa dekat sini.”
Dari siang tadi memang rancangan mama itu yang
sering berlegar dalam fikiran dia.
“Apa rancangan mama?”
“Mama nak Nessa balik dan tolong mama uruskan
Rumah Sakinah. Di samping itu, boleh tolong baba dekat
syarikat juga. Hanya Nessa sahaja waris yang kami ada dan
semua ini kami akan serahkan kepada Nessa juga nanti. Jadi
mama nak Nessa balik sini dan belajar selok-belok segala jenis
pengurusan supaya senang untuk Nessa uruskan semuanya
nanti.”
Nessa menarik nafas dalam. Cuba untuk lebih
bertenang supaya senang untuk dia memujuk mamanya itu.
“Dua atau tiga tahun aje, ma. Lagipun Arief dah janji
yang dia akan bawa Nessa balik Malaysia juga nanti.”
“Siapa Arief yang Nessa cakapkan ni?”
“Dia pelajar dekat sini juga.”
“Malaysian?”
“Of course, ma.”
Datin Nurain diam.
“Mama... Okey macam ni, Nessa balik tapi Nessa
akan balik dengan Arief untuk beberapa bulan dan kemudian
Nessa akan datang ke sini semula. Boleh?”
“Kenapa nak kena balik sana semula?”
“Sebab itu impian Arief, ma. Impian dia untuk bina
kerjaya di sini.”
“Jadi Nessa lebih pentingkan impian dia daripada
impian mama dan baba?”
Nessa terdiam. Sejujurnya kepalanya sangat
berserabut sekarang. Tidak tahu apa yang harus diperkatakan
kerana apa yang dia katakan sepertinya sangat salah pada
pendengaran mamanya.
“Mama nak Nessa balik sini seorang. Seorang,
Nessa!”
“Ma...”
“Mama tak nak dengar Nessa sebut tentang Arief lagi
dan Nessa tak payah nak ikut rancangan bodoh dia tu. Sangat
pentingkan diri sendiri. Mama sudah aturkan segalanya
untuk Nessa. Jadi mama nak Nessa balik ke sini juga. Kalau
Nessa tak balik, biar mama saja yang pergi sana dan bawa
Nessa balik Malaysia.”
Mata Nessa mula berkaca. Arahan mamanya itu
secara tidak langsung telah memaksa dia untuk memutuskan
hubungan dengan Arief, kekasihnya. Orang yang dia sayang
dan cinta sepenuh hati.
“Mama, please...” Suara Nessa mula serak.
Datin Nurain mengeluh perlahan.
“Mama nak Nessa fikir betul-betul dan buat keputusan
guna akal fikiran, bukan cuma guna hati dan perasaan Nessa.
I’m your mother. Keberkatan hidup Nessa bergantung
pada Tuhan dan juga mama, ibu yang mengandungkan
Nessa selama sembilan bulan. Nessa pilihlah sama ada nak
menyenangkan hati mama atau untuk menderhakai ibu
Nessa ini. The choice is yours.”
Panggilan dimatikan oleh Datin Nurain dan Nessa
terus jatuh terduduk di situ. Dada dicengkam kemas. Hanya
Tuhan yang tahu betapa sakitnya hati ini tatkala harus
memilih antara ibu yang disayangi dengan kekasih yang
dicintai. Air mata sudah tidak malu lagi untuk mencemar
pipinya yang mulus itu.
“Ness...” Aimi turut duduk di sisi Nessa.
Nessa menoleh dengan belakang tangan sibuk
mengesat pipi yang basah.
“I macam tak boleh nak fikirlah Aimi.”
“Mama you cakap apa?”
“Dia tak setuju I stay dekat sini dan dia tak restu I
dengan Arief.”
Mata Nessa kembali basah dan Aimi yang melihat
juga turut rasa ingin menangis. Kegembiraan Nessa adalah
kegembiraannya dan kesedihan Nessa adalah kesedihan dia
juga. Bahu sahabatnya dipeluk dari sisi dengan kepala yang
dilentokkan ke bahu Nessa.
“Apa kata you bawa Arief balik jumpa mama you
dulu. Mana tahu kut mama you akan terima Arief nanti.”
“Arief tak nak balik Malaysia.”
“You cubalah bincang dengan Arief.”
“Arief tak nak balik Malaysia dan mama pun tak nak
Arief ikut I balik Malaysia. So how?” Suara Nessa bertambah
serak.
“Macam nilah babe. Apa kata you bincang dengan
Arief dulu tentang hal ini. Dengar apa kata dia.”
Nessa tunduk bermain dengan jari sendiri. Kadang
dia teresak, kadang dia menghembus nafas lemah. Turun naik
perasaannya tika ini.
“Exam dah nak dekat Aimi. I tak nak semua ni
mengganggu fokus Arief pada pelajaran dia. Dia ada impian
yang besar dan jika dia tersilap untuk kali yang terakhir ini,
I risau kalau semuanya memberi kesan yang buruk kepada
kehidupan dia nanti.”
“You juga ada impian you, Nessa. Impian you untuk
bahagia dengan dia dan impian you untuk hidup dengan restu
mama dan baba you. Jadi I rasa tak salah kalau you dengan
Arief sama-sama berkorban untuk menyelesaikan masalah
ini. Yang nak hidup bersama nanti you dengan dia juga.”
Bibir dikemam dan air mata Nessa kembali jatuh.
“I baru pertama kali jatuh cinta Aimi, dan I sangat
sayangkan Arief. Tapi kenapa I harus hadapi semua ini?
Kenapa cinta I tak seindah cinta orang lain?”
“Syhhh... jangan cakap macam tu babe, tak baik.
Inikan ujian daripada Dia. Jumpa Arief dan jelaskan semuanya
pada dia. Bincang dengan dia elok-elok dan sama-sama cuba
cari jalan penyelesaian. Okey?”
Nessa yang berada dalam pelukan Aimi hanya
mampu angguk sahaja di bahu sahabatnya itu.

No comments:

Post a Comment