Sunday, 24 March 2019

7 Days Of Summer - Bab 9

BERSUNGGUH Arief ketawa mendengar cerita
Faisal. Rakan serumahnya yang lain juga turut ketawa. Tak
pasal-pasal tangga di hadapan universiti mereka menjadi
tempat mereka melepak pula.
“Aku macam, ya Allah apa yang aku dah buat ni?”
“Aduh, sudahlah Faisal. Kembang tekak aku dengar
cerita kau.” Pucat muka Jinhai membayangkan apa yang
Faisal katakan. Yang lain semakin galak ketawa tambahan
pula riak muka Jinhai tika itu sangat melucukan. Siap dengan
muka pucat lagi, serius kelakar.
“Nasib baik keluarga aku takde yang pakai gigi
palsu.” Kevin turut mencelah.
“Adik nenek aku pakai gigi palsu juga, tapi dia tak
simpan dekat dapur macam nenek si Faisal tulah,” kata
Vincent pula.
Sedang mereka leka bersembang, Arief disapa oleh
salah seorang junior yang kebetulan lalu berdekatan mereka.
“Rokok, bang.” Kotak rokok dihulurkan kepada Arief.
“Wei, kau selalu buat kerja ni eh? Jadi supplier rokok
untuk Arief.” Kotak rokok dirampas oleh Fikri membuatkan
junior mereka itu kaget.
“Err... tak, tak...”
Arief hanya tersengih melihat gelagat Fikri dengan
junior mereka itu. Acah gengster pula teman serumahnya ini.
“Dah, kau tak payah nak ek sangat Fik. Bagi balik
rokok budak tu.”
Fikri turut tersengih. Baru nak berlagak abang
kawasan tadi, tapi Arief potong pula.
“Kau tak payah baik sangat nak kongsi rokok kau tu
dengan Bang Arief kau ni. Dia dah insof...” Faisal bergerak
memeluk bahu Arief. “Kan?” Faisal memandang Arief dengan
muka toya membuatkan yang lain ketawa manakala Arief
pula dah menjeling geram ke arah teman sebiliknya itu.
“Betul ke bang? Sejak bila? Saya ni dari dulu nak
berhenti merokok tapi susah betullah. Tunang saya pun dah
bising tu.”
“Dah bertunang ka dik? Eloklah kalau berhenti
merokok. Kesian tunang you. Nanti sudah kahwin ada anak,
kesian anak-anak you pula.”
“Betul tu, Jinhai. Kalau tak mulakan dari sekarang
bila lagi, kan?” Laju sahaja Kevin bersetuju dengan kata-kata
Jinhai.
Mereka semua memang tidak merokok. Entah
macam mana Arief seorang boleh tersasar. Tapi itu tidak
bermakna mereka sesuka hati memperlekehkan Arief. Malah
mereka tidak pernah lelah menasihati teman yang seorang
itu supaya berhenti merokok. Itu yang sejak beberapa bulan
yang lalu Arief perlahan-lahan mula meninggalkan tabiatnya
yang satu itu walaupun kadang-kadang culas juga.
“Susahlah bang.” Tersengih segan junior mereka itu.
“Tak susah, mate. Berkumur dengan cuka epal boleh
hilang ketagih you nanti,” kata Vincent pula. Macam mana
dia tahu? Sebab sejak Arief mula berkasih, itulah rutin lelaki
itu setiap pagi. Apabila ditanya kepada Arief, Nessa yang
menyarankan supaya mengamalkan begitu. Memang menjadi
rupanya. Arief bebas dari rokok secara total dah sekarang.
“Oh macam tu ke? Baik-baik, saya akan cuba
amalkan. Terima kasih abang-abang semua.”
Arief mula bertepuk tangan setelah junior mereka
itu tadi menghilang.
“Untung aku ada PA dan bodyguard macam korang.
Kalau nak buat PC pun takde masalah ni. Tukang jawabnya
ramai.”
“Ceh! Perasan pula kau.” Faisal yang memeluk bahu
Arief terus menolak sahabatnya itu supaya menjauh. Yang
lain juga turut buat muka bosan. Semakin galak Arief ketawa.
“Arief.”
Serentak mereka semua berpaling.
“Nessa?”
Nessa senyum seraya mengangkat tangan ke arah
teman-teman Arief yang lain.
“Hai Nessa, cari Bang Arief ya?” usik Fikri dan yang
lain pula hanya tertawa mendengar usikan Fikri dengan
slanga Indonesia.
“Ya, cari Bang Arief,” jawab Nessa yang turut
berlelucon. Tersengih Arief melihat gelagat Nessa dengan
rakan-rakannya tika itu. Bahagia sungguh apabila Nessa
begitu mudah ‘klik’ dengan sahabatnya.
“Okeylah, kami balik dulu Arief. Jumpa dekat rumah.
Selamat tinggal Nessa, jaga diri.” Bergilir mereka menepuk
bahu Arief sebelum berlalu meninggalkan Arief berdua
dengan Nessa di situ.
Arief tegak di hadapan Nessa. Rapat sehingga hujung
kasut mereka bertemu.
“Kenapa tak cakap nak datang?”
Nessa tersenyum tetapi senyumannya itu sedikit
tawar berbanding tadi.
“Saya ada sesuatu nak beritahu awak.”
“What’s wrong, sayang?” soal Arief tidak sabar
dengan kening yang mula berkerut saat wajah Nessa mula
berubah serius.
Sayang? Hati Nessa basah setiap kali mendengar Arief
memanggilnya dengan panggilan itu. Bisakah dia mendengar
panggilan itu dari bibir Arief seumur hidupnya? Bisakah dia?
“Nessa?” tegur Arief apabila Nessa kelihatan seperti
sedang berkhayal. “Jom kita duduk dekat bangku sana.”
Lalu lengan baju Nessa ditarik supaya gadis itu mengikut
langkahnya.
Buat beberapa ketika mereka hanya diam,
memandang pelajar yang lalu-lalang. Dalam fikiran
masing-masing mula bertingkah dengan pelbagai perkara.
Namun riak yang tenang pada wajah keduanya telah
menyembunyikan rahsia hati mereka.
“Awak ada masalah kan, Nessa?” Arief menoleh ke
kanan, mencari wajah kekasihnya itu.
“Boleh saya tahu kenapa awak tak nak balik Malaysia,
Arief?” Nessa turut memandang wajah Arief. Menanti jawapan
daripada kekasihnya itu.
Arief kembali memandang ke hadapan. Lain yang
dia tanya, lain pula yang keluar dari bibir Nessa. Nafas ditarik
dalam dan Arief mula membongkok dengan menongkat
kedua lengan pada lutut.
“Apa yang awak nak beritahu saya?”
“Jawab soalan saya dulu, Arief.”
Arief duduk tegak semula.
“Look, tadi awak cakap nak beritahu saya sesuatu.
Apa dia Nessa?”
Ketegangan mula terasa apabila masing-masing
mula bermain teka-teki. Tegas dengan kata-kata sendiri. Bibir
dikemam dan Nessa tunduk bermain dengan jari sendiri.
Matanya dipejam celik bagi menahan cecair jernih yang
bertakung di tubir mata.
“Ikut saya balik Malaysia, Arief.” Wajah diangkat,
mencari anak mata kekasihnya di sebelah. “Balik jumpa
mama dengan baba, minta restu mereka untuk kahwin.”
Arief menarik nafas dalam seraya meraup rambutnya
ke belakang.
“Dah beritahu mereka tentang kita?” soalnya
perlahan.
Nessa angguk sebagai jawapan.
“Mereka tak bagi awak tinggal dekat sini dengan
saya? Mereka tak restu hubungan kita?”
Nessa diam. Terasa berat hatinya untuk mengiakan
semuanya. Mata mula memberat dan tanpa dapat ditahan
air matanya mula turun membasahi pipi. Tetapi cepat saja
belakang tangannya naik mengesat cecair jernih itu.
Air mata Nessa gugur kerana cinta mereka terhalang
dan semua itu jelas pada pandangan mata Arief. Benarlah
tekaannya bahawa Nessa memang ada masalah dan lebih
memeritkan gadis itu menanggung semua ini sendiri.
Lama Arief diam memikirkan tentang kewajaran
dia merancang segalanya. Disangkakan yang segala
perancangannya akan dipermudahkan tetapi dia lupa, dia
merancang dan yang di atas sana juga turut merancang dan
sudah tentu ia tidak sama.
“I made a mistake when I asked you to stay.”
Nessa tersentak. Mata dipejam buat sesaat namun
tiada kata yang mampu keluar dari bibirnya saat itu.
“Saya lupa yang awak bukan seperti saya, keseorangan
dan tiada siapa-siapa yang perlu difikirkan melainkan diri
sendiri. Awak masih ada mama dan baba, awak masih ada
keluarga dan saya tiada semua itu. Saya lupa, Nessa.”
Hujung mata Arief mencuri pandang Nessa di
sebelah. Pipi kekasihnya itu kembali lencun dengan air
mata. Kalau dapat disentuh, ingin saja dikesat pipi yang
basah itu. Ingin saja ditarik Nessa ke dalam pelukan bagi
menenteramkan cinta hatinya yang sedang kesedihan. Tetapi
tak boleh. Untuk memaksa Nessa terus tinggal di sini saja dia
tidak mampu, apatah lagi untuk menyentuh gadis itu. Dia...
tiada hak ke atas Nessa.
Arief tersandar ke belakang dan perlahan-lahan
bibirnya mula merekah dengan senyuman.
“Dahlah sayang, jangan nangis lagi. Buruklah.” Suara
diceriakan dan sengaja dia mengusik bagi menghilangkan
rasa sedih Nessa.
Srott srett bunyi hingus dan Nessa menjeling. Dalam
kepalanya berselirat dengan pelbagai persoalan lebih-lebih
lagi melihat mood Arief yang sudah berubah ceria.
“Eee... geram aje saya nak lap pipi awak yang basah
tu. Mari sini...” Bahu Nessa ditarik supaya memandang ke
arahnya, kemudian lengan kemejanya ditarik sebelum dia
melekapkan ke pipi gadis itu. Pipi basah itu dilap dengan
penuh kelembutan dengan hujung lengan kemejanya.
Kesempatan itu diambil oleh Arief untuk memandang
sepuasnya wajah Nessa dalam jarak dekat begitu.
“Kita tukar rancangan,” kata Arief setelah kedudukan
mereka dijarakkan. “Habis saja exam nanti, awak balik
Malaysia seperti yang mama awak mahukan.”
Mata Nessa membuntang.
“Habis tu awak macam mana?”
“I’ll stay.”
“Maksud awak, kita putus?”
Arief diam.
Diam Arief membuatkan Nessa mula membuat
kesimpulan sendiri. Bibir dikemam sebelum dia bersuara.
“I hate distance. You meet the best people and they
are always far away.” Terasa pahit liur yang ditelan. “Awak
dah tak cintakan saya ya, Arief?” Suara kembali serak. Kalau
benar Arief tidak mencintainya, tak sempat exam dia dah
bungkus kain baju balik Malaysia.
“Distance doesn’t ruin a relationship Nessa, doubts
do. Awak tahu yang saya terlalu cintakan awak, bukan? Dan
cinta saya tak serapuh itu. Berat hati saya untuk lepaskan
awak pergi, tetapi saya tak nak buat awak terus bersedih
begini. Saya tahu sekarang awak terpaksa memilih antara
saya dengan mama awak, bukan?”
Nessa angguk.
“Balik Malaysia dan jumpa mama dan baba awak
dahulu. Bila dah selesai semua urusan awak dekat sana,
datang ke sini semula.”
“Baliklah dengan saya, Arief.” Ingin sahaja
digenggam tangan Arief dan mengheret lelaki itu pulang ke
Malaysia bersama dengannya. Kalaulah dia mampu...
Arief menggeleng, tetap tegas dengan pendiriannya.
“Saya dah takde sesiapa dekat sana.”
Kali kedua Arief menyatakan dan baru hari ini dia
mengetahui tentang latar belakang Arief. Itu pun bukan
secara keseluruhan.
“Tapi awak ada saya.”
Arief tersenyum dan sekali lagi dia menggeleng.
“Kenapa awak tak nak balik Malaysia?”
“Bukan saya tak nak, tapi saya tak boleh, Nessa.”
“Tapi kenapa?”

“JADI KAU biarkan Nessa balik jumpa keluarga dia sendiri?”
Angguk tidak, geleng pun tidak. Arief hanya diam
memandang kepekatan malam. Cuba memujuk hati yang
sedang rawan. Pulang daripada bertemu dengan Nessa
beberapa hari yang lalu membuatkan dia terfikirkan tentang
sesuatu. Apatah lagi apabila Nessa berlalu dengan riak sedih
begitu.
Jadi saat dia mengetahui tentang hubungan mereka
tidak mendapat restu ibu bapa Nessa, cepat saja dia membuat
keputusan. Satu yang dia lupa, bukan mudah untuk
mana-mana ibu bapa menyerahkan anak perempuannya
kepada lelaki lain walaupun untuk dijadikan isteri.
“Dia ada keluarga dekat sana, kan. Biarlah dia balik.”
“Kau okey tak?” Tangan Faisal mendarat di bahu
Arief. Dia risaukan rakannya itu kerana dia tahu apa yang
sahabatnya itu sedang hadapi sekarang. Dia kasihankan Arief
tetapi tiada apa yang mampu dia lakukan untuk membantu
sahabatnya itu selain menjadi pendengar setia kepada segala
permasalahan Arief.
“Aku okey.”
Rahsia hati cuba disorok sendiri. Berat rasa hati
untuk melepaskan Nessa pergi tetapi dia harus akur dengan
kehendak takdir. Nessa masih punya tanggungjawab terhadap
kedua ibu bapanya. Sukar untuk dia melepaskan Nessa pergi
sama seperti terpaksa menerima takdir Tuhan atas kematian
kedua ibu bapanya dahulu. Perit dan teramat berat untuk
diterima. Dan Arief tidak yakin yang dia mampu menghadapi
satu lagi kehilangan dalam hidupnya.
“Kau tak nak halang dia balik Malaysia?”
Arief menggeleng.
“Hati aku lebih sakit bila melihat dia dalam kesedihan.
Jadi, lebih baik aku menanggung kesakitan melepaskan dia
pergi daripada aku sakit melihat dia bersedih di sisi aku.”
“Habis tu, kau dengan Nessa macam mana nanti?”
“Aku tak tahu apa yang bakal terjadi kepada kami.
Tetapi yang pasti, aku tak akan putuskan hubungan aku
dengan dia. Dia wanita pertama yang aku cintai Faisal, tiada
yang lain. Dia cinta pertama aku. Tak mudah untuk aku
membuang dia daripada hidup aku ini. Aku biarkan dia pergi
tidak bermakna aku buang dia dari hati aku. Lagipun dia dah
janji yang dia akan kembali ke sini semula dan kami akan
teruskan apa yang telah kami rancang.”
“Kiranya dia pulang minta restu ibu bapa dialah ni?”
“Sort of.”
Faisal angguk faham. “Dan kau, memang takkan
ikut dia balik?”
Arief menggeleng dengan yakin.

“NESSA BALIK dan kita bincang. Cakap dalam telefon
macam ni mama tak suka.”
“Mama janji akan restui hubungan Nessa dengan
Arief?” soal Nessa penuh berharap.
Datin Nurain menarik nafas dalam.
“Ya.” Perlahan sahaja jawapan yang dia berikan.
“Mama janji yang mama akan izinkan Nessa balik ke
London semula dan tinggal dekat sini dengan Arief?”
“Ya, sayang. Nessa balik Malaysia dulu dan selesaikan
semua tugas Nessa dekat sini. Mama janji bila sudah selesai
semuanya Nessa boleh balik ke London semula dan mama
izinkan Nessa berkahwin dengan Arief.”
Bibir Nessa mula tersenyum dengan air mata yang
bertakung di juring mata.
“Thank you so much, mama. Terima kasih sebab
faham Nessa. I love you.”
“I love you too. Nessa balik, ya?”
“Okey ma, Nessa balik.”
Panggilan ditamatkan dan air mata Nessa mula
merembes. Teresak dia di situ. Dengan tangan yang terketar
dia menghantar pesanan ringkas kepada Arief.
Love,
Fears all things,
Believes all things,
Hopes all things,
Endures all things.
I love you, Arief.
Nessa menjatuhkan kepala ke lutut dan menyambung
tangisnya di situ. Buat beberapa ketika dia melayan rasa hati
yang masih kacau-bilau.
I love you more. Stay safe and have a
good rest, sayang.

No comments:

Post a Comment