PINTU pejabat Tetuan Aizat, Zamri & Co.
ditolak. Baizura melangkah masuk dengan yakin. Senyuman
dihulurkan kepada orang pertama yang dilihatnya di kaunter
penyambut tetamu. Kali pertama ke sini, dekorasi firma
guaman ini mengagumkan. Pemiliknya mempunyai standard
yang tinggi dan berkelas.
“Assalamualaikum. Saya daripada Tetuan Ibnu, Ali
& Co. datang audit. Encik Nik Rizal ada?” Baizura senyum
sambil memperkenalkan diri.
“Waalaikumussalam. Cik Zura ya?”
“Ya betul,” jawab Baizura mesra.
“Encik Rizal belum masuk lagi. Mari saya tunjukkan
tempat dulu, cik.” Gadis itu keluar dari kaunter penyambut
tetamu. Senyumannya manis.
“Baik. Siapa nama ya?” ramah Baizura mahu
berkenalan. Gadis itu mempersilakan dia mengikutnya masuk
ke ruang pejabat. Mereka berjalan seiringan menuju ke bilik
yang dikhaskan untuk dia gunakan bagi melakukan kerjanya.
“Azizah. Panggil Azie je.”
“Okey, Azie. Terima kasih. Ini Nadya, pembantu saya,”
balas Baizura sambil memperkenalkan teman di sebelahnya.
Mereka berbalas senyum dan bersalam.
“Ikut saya, cik.”
Baizura angguk. Kemudian mengikut Azizah ke
tempat kerja sementaranya nanti. Sempat lagi dia menjeling
keadaan dalam pejabat itu. Rata-rata pekerjanya tekun
melakukan kerja. Keadaan persekitaran firma ini kemas.
Tidak seperti firma guaman milik bapa saudaranya, penuh
dengan fail kes.
“Sila masuk, Cik Zura dan Nadya.”
“Terima kasih.” Baizura senyum.
“Semua dokumen ini adalah mengikut senarai yang
Cik Zura e-mel tempoh hari. Jika ada lagi dokumen yang cik
perlukan, cik panggil je saya. Interkom nombor 010,” jelas
Azizah sambil menunjukkan dokumen yang tersusun di atas
meja.
Baizura angguk. Dibelek dokumen di atas meja.
“Nad, tolong cek dulu fail ni. Mana yang tak ada
senaraikan, nanti kita minta.”
“Baik, Kak Zura.” Tanpa membuang masa Nadya
memulakan kerja. Bekerja dengan Baizura tak adalah strict
sangat. Cuma untuk permulaan dia kena pastikan setiap
dokumen yang diperlukan ada untuk diperiksa nanti. Satu
hal pula mahu meminta berulang kali.
Baizura berpaling memandang Azizah.
“Terima kasih, Azie. Nanti ada apa-apa lagi saya
beritahu.”
“Sama-sama,” balas Azizah.
“Biasanya Encik Nik Rizal masuk kerja pukul
berapa?” tanya Baizura sebelum Azizah menutup pintu bilik
mesyuarat itu.
“Kalau tak ada kes di mahkamah dalam pukul 9 dah
sampai. Tapi hari ni ada sebut kes jadi mungkin tengah hari
baru masuk,” jawab Azizah.
“Okey.” Baizura angguk faham.
Azizah melemparkan senyuman sebelum
meninggalkan kedua tetamu itu.
Baizura mengambil tempat. Kali pertama datang
ke sini. Hatinya berkira-kira, adakah Nik Rizal seorang
peguam seperti yang diperkatakan oleh orang atau hanya di
permukaannya sahaja nampak berkarisma dan berwibawa?
Dengar cerita panas, lelaki itu juga seorang playboy
kacak. Itu diakuinya. Berbelas tahun berlalu, tentu dia semakin
matang dan kacak. Baizura pejam mata. Teringat kenangan
berbelas tahun dahulu. Jika tidak kerana kemalangan itu,
tentu jalan hidupnya berbeza kini.
“Kak Zura, cantik pejabat peguam ni. Tengok
dekorasi pejabat ni nampak ada class dan mewah, kak. Tak
macam pejabat peguam yang saya pernah pergi, bersepah
dengan dokumen,” banding Nadya, mengejutkan Baizura
daripada lamunan.
Baizura angguk. Teringat pejabat guaman pak sunya.
Bertimbun dokumen di setiap meja kerani dan pembantu. Dia
pernah bekerja sekejap di situ. Masa itu, ada tikanya dia tidak
tahu mana nak mencari letaknya dokumen yang diperlukan.
Mujurlah ada Jasmin yang arif dengan kedudukan dokumen
di pejabat itu.
“Ikut cita rasa pemiliknyalah Nad.”
“Untuk dekor macam ni kak, banyak duit keluar ni.”
Nadya melihat ikut cermin kaca.
Di luar sana terdapat lima kubikel dengan lima
buah meja yang semuanya berpenghuni. Dinding pula dihias
dengan lukisan abstrak yang mempunyai kisah setiap satunya.
“Tak kisahlah, Nad. Mungkin banyak kes berprofil
tinggi yang mereka dapat. Encik Nik Rizal tu pun bukan
calang-calang orang juga. Peguam sedang meningkat naik.
Setiap kes yang dia pegang, kebanyakannya menang. Lagipun
bapa dia peguam legend tau.” Bibir Baizura senyum sinis. Dia
masih belum berpeluang untuk bertemu dengan Nik Rashid.
Setiap cerita tentang Nik Rashid masih kemas tersimpan
dalam lipatan memorinya. Setiap momen manis terasa
bagaikan menyindirnya. Semuanya palsu.
Nadya angguk.
“Kak Zura, Encik Rizal baik dan kacak lagi tu.
Hehe...” bisik Nadya.
Baizura menjeling. Si Nadya ni belum tengok lagi
pak su dan kawan dia. Lagi kacaklah.
“Dah pernah jumpa dia ke?” sengaja bertanya. Tak
jumpa pun Google sudah boleh kenal orangnya.
Nadya angguk.
“Dalam Selasa lepas dia datang pejabat, jumpa Encik
Ali.”
“Selasa? Kak Zura half-day ke hari tu?” Baizura
berkira dalam hati. Hari tu dia ada hal di resort, jadi terpaksa
dia mengambil cuti separuh hari.
“Ya, kak. Dia datang bawa KFC, belanja satu pejabat.”
Bukan main lagi Nadya mencanang kemurahan hati Nik Rizal.
Senyum-senyum dia membayangkan wajah kacak peguam
itu. Alahai kalau dapat teman lelaki seperti itu, puas hatinya.
“Patutlah beria puji baik... kacaklah...” sindir
Baizura. Orang belanja KFC dah melebih pujiannya. Kalau
belanja makan hari-hari apalah lagi pujian muncul daripada
bibir Nadya tu. Materialistik betul minah ni.
Nadya tersengih-sengih.
“Kenyataan, kak.”
Baizura mencebik. Tak kisahlah kacak ke baik ke.
Tujuan mereka datang ke sini adalah untuk melaksanakan
kerja yang diamanahkan. Bukan mahu mengurat ke apa.
Tapi tidak sabar juga mahu berkenalan dengan peguam yang
orang kata kacak ni.
Sepit rambut dalam beg diambil dan rambutnya
disimpul kemas lalu disepit. Sengaja dibiarkan rambut di
tepi telinga berjuntaian menyerlahkan batang leher putih
mulusnya.
“Seksilah Kak Zura,” komen Nadya apabila dia
melihat leher dan dada Baizura yang terdedah. Baju kemeja
yang dipakai pula sengaja dibuka dua butang teratas. Sudahlah
bajunya berwarna biru lembut, kainnya pula nipis sehingga
menampakkan bayang baju dalam merah yang dipakainya.
Baizura pandang diri sendiri.
“Apa yang seksinya?” Pelik! Dia geleng kepala. Baju
ni selalu sangat dia pakai ke pejabat. Selalunya disarung jaket
sekali, tapi hari ini terlupa pula membawa jaketnya.
“Apa yang seksinya kak? Tu, leher akak tu nampak
menyelerakan. Baju pula terbuka sampai ke pangkal dada.
Orang boleh bayangkan apa yang ada dalam baju tu. Boleh
tahan mengkalnya.”
“Aip, kau tu anak dara lagi Nad. Cakap bukan main.”
Baizura membetulkan bajunya. Rambut dilepaskan. Dia
geleng kepala.
Nadya angkat bahu dan sengih. Sudah terbiasa cakap
lepas. Kalau dengan kawan-kawan lagi banyak kata-kata tidak
ditapis. Biasalah zaman sekarang semuanya bersikap terbuka.
Bercakap, bercakap juga, tapi kerja pun kena jalan. Lalu fail
general ledger ditarik, bersedia untuk memulakan kerja.
Fail-fail yang disenaraikan dan diminta semua ada.
“Panaslah Nad. Kau tak panas ke?”
Nadya pandang Baizura dengan wajah tidak percaya.
Dia punyalah sejuk tahap beku, Baizura cakap panas?
“Panas kak? Sejuklah,” rungut Nadya.
“Akak panas.” Rimas dengan rambut panjangnya,
disimpul dan disepit tinggi mendedahkan lehernya.
Masuk saja ke pejabat ini diri terasa berbahang
panas. Mungkin sebab hatinya tengah berdebar sakan mahu
berjumpa Nik Rizal setelah berbelas tahun tidak berjumpa.
Tapi tentu sekali lelaki itu sudah lama melupakannya.
“Berapa inci tebal kulit Kak Zura ni? Saya yang
bertudung ni pun tak tahan sejuk.” Nadya geleng kepala.
‘Kak Zura yang tak bertudung panas? Aku yang
bertudung ni sejuk. Terbalik pula.’ Nadya pandang seniornya
ragu. Ada kata mahu diluahkan tapi ragu-ragu pula mahu
zahirkan.
Diperhatikan saja tingkah laku Baizura. Diteliti dari
atas ke bawah. Dia kagum. Baizura cantik. Tak perlu mekap
tebal, tak perlu pakai pakaian terdedah pun, dia nak nampak
seksi dengan kemeja warna biru lembut dan seluar slek
berwarna biru tu. Longgar tapi terletak elok di tubuhnya yang
ketinggian sederhana itu.
“Kenapa pandang akak macam tu?” tegur Baizura.
Dia pandang dirinya. Ada yang tidak kena ke?
Nadya geleng kepala. Matanya pandang wajah gadis
itu.
“Kak Zura seksi. Pakailah apa pun memang nampak
seksi. Silap hari bulan ada yang tergoda dan mahu mencuba.”
Ngeri Nadya fikirkan. Sengih sendiri dengan olahannya.
“Isy, mulut! Doa tu, doa... Minta-minta dijauhkan
semua tu,” marah Zura.
“Sebab itulah lebih baik Kak Zura pakai tudung dan
menutup aurat sepenuhnya,” nasihat Nadya.
Baizura geleng kepala. Bukan saja Nadya menegur,
ramai sudah yang tegur. Buat masa ini hatinya belum terbuka
untuk bertudung sepenuhnya. Mungkin suatu hari nanti.
Mungkin selepas semuanya selesai.
“Doakan Nad, hati Kak Zura terbuka untuk menutup
aurat sepenuhnya.” Dipandang Nadya lagi. Banyak yang
pembantunya itu tidak tahu kisah hidupnya. Masih banyak
tanggungjawab yang dipikulnya.
“Buat kerja. Cepat siap, cepatlah kita balik pejabat.
Kak Zura tak nak berlama-lama di sini.”
Nadya angguk.
Tok! Tok! Tok!
Pintu ditolak dari luar. Muncul seorang lelaki
tinggi lampai berbaju kemeja putih, tersenyum memandang
mereka.
“Assalamualaikum...” Matanya terfokus kepada gadis
yang tidak bertudung. Rambut disepit tinggi menyerlahkan
leher yang putih gebu itu. Dia menelan liur perlahan.
Matanya bagaikan tergam untuk terus melihat di situ. Wajah
itu sangat cantik, seperti pernah dilihatnya sebelum ini.
Terasa sangat familiar.
“Ehem. Cik Zura?”
“Saya.” Baizura bangkit dan berjalan mendekati
lelaki itu. Dia senyum.
“Everything okay?” Lelaki itu bertanya, prihatin.
“So far okay. Encik Nik Rizal kan?” Baizura
inginkan kepastian. Dahinya sengaja dikerutkan, seolah-olah
teragak-agak dan kurang yakin tekaannya betul atau salah.
Nik Rizal ketawa dan angguk.
“Betullah tu, saya. Panggil Rizal je.”
“Sorry. Semasa Encik Rizal datang pejabat hari tu
saya half-day,” ramah Baizura bercerita.
Kacak. Tinggi. Patutlah si Nadya ni puji melangit.
Tarik bibir terjongket sikit pun dah buat gadis-gadis terpukau.
Wajah itu tidak pernah berubah. Malah kematangannya
membuatkan dia semakin kacak. Lain daripada yang dilihat
dalam Internet.
“Dekat lunch hour ni. Jom saya belanja makan,”
pelawa Nik Rizal. Mahu mengambil kesempatan ini untuk
mengenali dengan lebih dekat.
Zura... Nama itu mengingatkannya tentang
seseorang. Tapi tak mungkin. Seseorang itu telah lama
meninggalkan dunia ini.
Nadya yang mendengarnya tarik senyum lebar.
Makan tengah hari bersama dengan peguam kacak ni, siapa
tak nak. Percuma pula tu. Jimat duit belanjanya hari ini.
“Nad?”
“Okey je Kak Zura. Memang tengah lapar ni. Pagi
tadi breakfast roti bakar dua keping je.”
Baizura jegilkan mata. Nadya tersengih-sengih.
“10 minit lagi kita jumpa dekat bawah. Saya masuk
pejabat kejap,” putus Nik Rizal. Tanpa tunggu lama dia
melangkah ke biliknya. Tidak mahu mendengar jawapan tidak
daripada mulut gadis itu. Rugi dia tidak ambil kesempatan
untuk berkenalan. Lagipun ada benda nak minta tolong.
Harap-harap gadis itu boleh bertolak ansur dengannya.
“Pandai-pandai je kau ni Nad. Akak tak cakap pun
nak lunch dengan dia.”
Nadya menyeringai.
“Orang nak belanja jangan ditolak, kak. Jimat duit
lunch hari ni. Hehehe...”
Baizura geleng kepala.
No comments:
Post a Comment