Sunday, 24 March 2019

Aku Bukan Penggoda - Bab 2

“SERIUS kak... Encik Rizal tu tengah usyar
akak. Tiap-tiap hari belanja makan,” bisik Nadya.
Baizura jeling.
“Buat kerja. Jangan buat gosip pula.” Rimas dia.
Setiap hari ada sahaja alasan yang diberikan supaya mereka
ikut makan tengah hari. Ingat senang ke nak memikat dia
dengan hanya belanja makan? Dia tahu Nik Rizal ada niat
lain. Cuma Nadya sahaja tidak tahu.
Nadya ketawa tutup mulut.
“Bukan buat gosip kak. Cakap yang betul je.”
“Dengar dek bakal tunang dia, kita yang kena halau
nanti. Tak ada masalah cari masalah!” Baizura memberi
amaran.
Ada dia terdengar Clarice bercerita, anak saudara
Encik Ali kekasih hati Nik Rizal. Jangan nak main mata,
perempuan itu cantik dan tahap cemburunya boleh tahan
juga. Setiap gadis yang cuba menggoda Nik Rizal, selalu dapat
habuan; kena tular, diberhentikan kerja dan macam-macam
lagi Nik Sooraya akan buat akibat cuba menggoda bakal
tunangnya.
Nadya mencemik.
“Takkanlah time kerja pun bakal tunang datang
berumah tangga kat sini? Tak kerja ke?”
“Mana tahu. Clarice cakap bakal tunang Encik Nik tu
anak saudara Encik Ali, anak Tan Sri Nik Salim. Katanya lagi
model Muslimah, sambilan,” cerita Baizura. Tidak sengaja dia
terajak Clarice bergosip semata-mata mahu mengorek rahsia.
Nadya terangguk-angguk.
“Baguslah, sepadan.”
Tok! Tok! Tok!
Keduanya angkat muka.
Nik Rizal senyum kacak.
“Jom, dah waktu lunch.”
“Tak apalah, Encik Rizal. Kami lunch dekat-dekat ni
je,” tolak Baizura secara baik.
Nadya tunduk sembunyi senyum.
“Bila lagi you all nak merasa I belanja. Lagipun I tak
ada selera makan sorang. Ada gadis cantik teman selera sikit
I makan.”
“Kami kenyang lagi ni. Mungkin lewat sikit keluar.
Nak settlekan kerja dulu.” Baizura memberi alasan lagi.
“Kerja boleh tunggu. Perut, lama mana boleh
tunggu? Nanti kena gastrik pula. Tak payah segan-segan
dengan I.” Beria-ia Nik Rizal memujuk. Dia memandang
Nadya meminta pertolongan. Harapnya gadis itu faham.
“Nad laparlah, Kak Zura. Bila lagi nak merasa Encik
Rizal belanja, kan? Jomlah,” pujuk Nadya.
Baizura jegilkan mata. Kalau boleh dia tidak mahu
kerap sangat dilihat bersama dengan Nik Rizal. Hatinya tidak
enak.
“Hari ni je. Esok I tak ada kat pejabat. Ada kes di
mahkamah Pekan,” beritahu Nik Rizal.
“Haa, esok kita pun dah last. Lepas ni tak merasa
Encik Rizal belanja lagi,” sampuk Nadya.
Baizura pandang Nadya. Hatinya tidak setuju. Tetapi
Nadya sengaja kelip-kelipkan matanya. Memujuk.
“Okey, sebagai tanda menghormati keikhlasan Encik
Rizal.” Dia mengalah.
Nik Rizal tersenyum lebar. Hatinya bukan main
gembira lagi. Peluang yang ada mesti digunakan sepenuhnya.
Mereka berjalan beriringan ke kereta. Tanpa sedar
ada mata memerhati. Ada hati dimamah cemburu. Ada hati
berbekam dendam.

“BIE... YOU kat mana?” Lunak manja suara Nik Sooraya
bercakap dengan bakal tunangnya. Tapi mata tajam memerhati
langkah tiga manusia yang sedang berbual mesra ke kereta.
Bukan main lagi bercanda di tengah panas. Hatinya hangat
apabila melihat si lelaki dengan penuh budiman membuka
pintu kereta buat si cantik seksi itu tadi. Jadi sengaja dia ingin
menduga jawapan si bakal tunang.
“I ada lunch meeting dengan klien. Kenapa?” si
bakal tunang menyoal penuh mesra. Dapat dilihat gelagat
bakal tunangnya sedang melihat jam di pergelangan tangan.
Kemudian mata itu melilau ke sekitar kawasan, bagaikan
mencari sesuatu. Nasib baik kedudukannya terlindung.
“Oh... I ingat nak ajak you lunch sekali. I on the way
ke pejabat you ni.”
“Lunch meeting I kat bandar, baby. Apa kata malam
ni I datang ambil you. Kita dinner bersama,” pujuk Nik Rizal
dalam talian.
“I dah lambat ni. Klien tengah tunggu. Kita jumpa
malam ni ya? Muahhh...” Talian diputuskan sebelum sempat
Nik Sooraya membalasnya.
Bibir diketap kuat. Sakit hati melihat kereta Nik Rizal
berlalu pergi. Terpandang sekilas bukan main lebar senyuman
lelaki itu. Si gedik di sebelahnya pun apa kurangnya. Tak
sedar diri! Laju kakinya melangkah ke pejabat Nik Rizal. Dia
yakin Azizah tidak keluar makan tengah hari.
Pintu kaca ditolak kuat. Azizah terdongak
memandang ke pintu utama pejabatnya. Nik Sooraya
melangkah dengan wajah merah dan berwajah ketat. Air
mukanya menakutkan. Azizah cuba senyum namun jelas
dibuat-buat. Nik Sooraya melangkah mendekati meja
penyambut tetamu itu. Mata tajam bak mahu membunuh itu
membuatkan mulut Azizah terkunci untuk menyapanya. Dia
terkebil-kebil memandang Nik Sooraya di hadapannya.
“Encik Rizal mana?” Nadanya mendatar, menelan
amarah di hati. Dia cuba bertenang. Tapi mata tajam menatap
wajah penyambut tetamu itu.
Azizah hilang suara. Dia gugup. Selama ini dia selalu
melihat senyum mesra dan peramah Nik Sooraya. Apabila
berubah macam ni hilang seri cantik di wajah itu. Nampak
macam singa betina tengah tunggu masa untuk melahap
mangsa. Dan kenapa pula dia yang terasa bakal menjadi
mangsanya.
“Dia ke mana?” Nik Sooraya menekan suara. Diri
semakin hilang sabar. Azizah nampak kecil besar kecil
besar di matanya. Entah-entah mereka ini berpakat untuk
menipunya.
“Err... err...”
Gulp! Hilang suara, hilang kata. Terkebil-kebil dia
memandang wajah singa Nik Sooraya.
“Dia keluar dengan perempuan mana!” Tidak
mendapat jawapan untuk soalan pertama, soalan lain pula
diajukan. “Cakaplah!!!” tengking Nik Sooraya.
Wajah Azizah berubah. Tergambar ketakutan di
wajah itu.
“Dia keluar lunch dengan auditor, Cik Sooraya.”
“Auditor ke kekasih baru dia?” Hatinya tidak mahu
percaya. Faham sangat dengan perangai Nik Rizal yang
pantang melihat perempuan cantik seksi.
Azizah angguk kemudian geleng. Dia salah tingkah.
“Me... memang betul Cik Zura tu auditor. Dia datang
buat audit seminggu kat sini,” terang Azizah.
“Yang mana satu? Bertudung ke tak bertudung?”
“Tak bertudung,” jawab Azizah.
Nik Sooraya mendengus tidak puas hati. Dijeling
tajam Azizah.
“Dia tu datang buat audit ke sengaja datang nak
menggatal pikat Rizal?”
Azizah angkat bahu. Kepalanya tergeleng-geleng.
Tak tahu dan tak ambil tahu. Selama 3 hari Baizura dan
pembantunya datang audit, mereka fokus pada kerja. Sesekali
datang bertanyakan dokumen kepadanya. Selain itu mereka
langsung tidak keluar dari bilik mesyuarat yang telah
dikhaskan. Bosnya sahaja yang rajin menjenguk mereka buat
kerja. Dan bukan main lama lagi berada di dalam bilik itu.
“Mereka dari firma audit mana?”
“Tetuan Ibnu, Ali & Co, Cik Sooraya.”
Dan tanpa sebarang soalan lain, Nik Sooraya
berpaling mahu keluar dari situ. Tetapi sampai saja di pintu,
langkahnya terhenti. Dia menoleh.
“Jangan beritahu Encik Rizal I datang hari ni!” Mata
tajam memberi amaran juga.
Azizah angguk. Dia angkat tangan kanan separas
bahu, seolah-olah bersumpah. Spontan tingkahnya. Gerun
dengan sikap Nik Sooraya yang berubah menjadi singa betina
itu.
“Weh, perempuan tu kenapa?” Tiba-tiba beberapa
orang pekerja yang tidak keluar makan tengah hari
mengerumuninya.
“Meroyan. Ternampak Encik Nik keluar makan
dengan Cik Zura kut.”
Mereka sengih.
“Tapi cantik gila kan Cik Zura tu. Padanlah Encik
Rizal nak himpit.”
“Dia tu rasa tergugatlah tu. Harapkan cantik dengan
tepek mekap tebal je.” Selamba sahaja mereka berkumpul
mengutuk. Terus bergosip tentang bos kasanova mereka.
Faham sangat. Azizahlah selalu menjadi mangsanya.
“Ni perempuan yang entah ke berapa. Kalau aku jadi
Cik Sooraya, dah lama tinggalkan Encik Rizal. Bukan stok
boleh dibuat suami.”
“Cik Sooraya pun bukan stok boleh dibuat isteri
juga. Untuk perhiasan boleh.”
“Bukan main korang eh. Anak Tan Sri tu. Tak
pasal-pasal kena saman!”

No comments:

Post a Comment