Sunday, 24 March 2019

Aku Bukan Penggoda - Bab 5

TOK! Tok! Tok!
Baizura panjang kepala mengintai ke dalam bilik.
Kemudian dia sengih. Barulah kakinya melangkah masuk.
Cik abang sedang menghadap kerja hanya angkat kepala
seketika sebelum kembali menyemak fail di depannya.
Baizura mendengus. Sakit hati pula apabila orang tu
buat bolayan. Seolah-olah dia tidak wujud dalam bilik ini.
Kerusi ditarik kuat. Geram punya pasal, sengaja
dia tunjuk perasaan. Lagi menyakitkan apabila si dia hanya
jongket kening dengan wajah tanpa perasaan.
Baizura hempas punggung. Auch! Terkena bucu.
Sakit punggungnya.
Aizat angkat muka. Dia geleng kepala. Baizura
ni ada saja mahukan perhatian. Diletak pen dan matanya
memandang wajah manis di hadapannya ini. Hati berat mahu
melepaskan gadis itu pergi jauh. Kalau boleh, mahu diikat
agar siang malam dia boleh memandang wajah manis itu.
“Abang...” panggil Baizura.
“Abang Aizat...” Baizura petik jarinya. “Abang
khayal ke apa? Orang panggil tak jawab!” bebel Baizura.
Tahu Aizat hanyut dalam fikirannya sendiri. Sudah tentu
fikirkan tentang perpisahan mereka nanti. Dia pun kalau tak
kebal hati, mahunya merayu-rayu dengan mak tok supaya
mengizinkannya terus bekerja di sini.
“Hmm... ada apa masuk sini? Dah siap kemas
barang?”
Dingin suara itu. Tapi Baizura tidak kisah pun. Suara
tak mesra alam itu, maknanya tengah bengang kes Akashah
tadilah. Bukan dia mulakan, tapi lelaki itu! Dia sikit pun tidak
simpan perasaan terhadap Akashah.
Baizura angguk.
“Rindu...” bisiknya sepatah, kemudian tersenyum
memandang si buah hati.
Wajah itu sangat susah mahu tersenyum. Tapi itu
pun sudah cukup manis. Kalau wajah itu tersenyum mahunya
beratur anak dara tunggu giliran mahu memikat.
Kedua belah tangan dilipat dan diletakkan atas
meja. Kemudian dagunya berlabuh di atas tangan itu. Mata
memandang dan memerhati kekasih hati. Nanti jika sudah
berpindah ke Kuantan, dia tidak boleh nak pandang begini.
Mereka akan berjauhan dan jarang berjumpa. Sanggupkah
hatinya menanggung rindu nanti?
“Rindu, then cancel tawaran kerja di Kuantan.” Aizat
memberi saranan. Kening terangkat sebelah. Tak aci. Apa-apa
pun dia tahu gadis itu tidak akan sesekali melanggar perintah
mak tok.
Perlahan Baizura geleng kepala. Kalau ikut hati
memang dia sendiri tidak mahu pergi. Sudahlah tempat
baharu, kawan pun tak ada. Tetapi demi tanggungjawab, kena
paksa rela pergi juga.
“Tak boleh. Ini arahan mak tok.”
“Kita kahwin. Jadi mak tok tak boleh paksa Uya lagi,”
saran Aizat. Tak sanggup nak berpisah dengan kekasih hati.
Jika depan mata pun ada Akashah terang-terangan memikat,
inikan pula jauh nun di Kuantan.
Baizura geleng kepala lagi.
“Mak tok mesti tak bagi. Uya kena kerja dulu, paling
kurang 3 tahun sebelum mak tok bagi kahwin.”
“Uya boleh kerja mana-mana firm audit di KL ni
kalau nakkan pengalaman. Tak perlu sampai ke Kuantan.
Peluang membina kerjaya di sini lebih banyak berbanding di
Kuantan.” Aizat hela nafas. Dia betul tidak faham apa yang
ada dalam fikiran mak tok Baizura.
Baizura sengih. Sangat kompleks untuk diterangkan.
Dia pula tidak tahu mahu mula dari mana.
“Uya tahu. Tapi arahan mak tok tak boleh bantah.
Mak tok lebih tahu apa yang terbaik untuk Uya.”
Aizat mengeluh. Lagi-lagi mak tok. Dia sudah
tidak tahu nak cakap apa lagi. Apabila mak tok suruh, sikit
pun Baizura tidak membantah, mengikut saja apa yang
diaturkannya. Jadi dia walaupun sebagai kekasih hati, tiada
hak untuk menekan dan memaksa Baizura membuat pilihan
lain.
“Office hour dah habis. Jom dating,” ajak Baizura,
mengubah topik perbualan mereka. Kalau bab mak tok suruh
ni sampai bila-bila takkan habis. Dia tersepit antara keinginan
dan tanggungjawab.
Aizat geleng kepala. Ada banyak fail yang perlu
disemak.
“Please...” rayu Baizura. “Dah lama kita tak keluar
tengok wayang. Jomlah...” rengek Baizura. Dia bangun
dan pusing meja mendekati Aizat. Bahu kekasihnya diurut
perlahan.
“Please, lama kita tak dating berdua. Selalunya ada
manusia ketiga mencelah. Kita tengok wayang dekat Times
Square. Malam kita jalan-jalan dekat area sana sambil tengok
orang. Esok kan Sabtu.” Baizura merangka tentatif program
dating mereka.
Aizat ni bukan macam teman lelaki orang lain. Kena
ada planning dulu kalau nak pujuk dating. Kalau tengah
dating baru nak plan, alamatnya tak sampai setengah jam
sudah dibawa balik ke rumah ibunya. Dating di sana. Ini
memang Baizura tepuk dahi berkali-kali. Apalah punya
tempat dating. Tapi disebabkan itulah dia rapat dengan
ibu dan adik-beradik Aizat. Mereka sudah menganggap dia
sebagai bakal isteri Aizat.
Aizat lemah. Kalau sudah gadis itu merengek dan
merayu sambil picit-picit bahu ni, dia tak boleh kata tidak.
Tahu masa mereka semakin suntuk. Selepas ini entah sebulan
sekali baru dapat jumpa. Jika dulu walaupun tidak selalu
dating setiap minggu pun, setiap hari boleh jumpa di pejabat.
“Bolehlah... Abang Shah setiap hari ajak Uya dating.
Uya ni terhegeh-hegeh pula ajak abang. Kalau macam ni
baik dating dengan Abang Shah. Nak shopping ke nak apa ke
semua dapat.”
Pergh... bukan main lagi Baizura buat ayat drama.
Padahal belum Akashah buka mulut pun dia dah potong. Sikit
pun tidak beri lelaki itu peluang.
“Okay, give me half an hour untuk selesaikan kerja
ni. After that, I’m yours.”
Chup! Disebabkan terlalu excited sangat, tak
pasal-pasal pipi Aizat dapat hadiahnya. Baizura senyum
sampai telinga. Tahu ketelanjurannya tapi sikit pun dia tidak
berasa bersalah.
“Uya...” Aizat tahan diri. Hati dah kembang kuncup.
Tahu perbuatan Baizura itu salah tapi hati seakan merelakan.
“Ehem, ehem.”
Zamri bercekak pinggang di tengah pintu masuk
pejabat Aizat. Memandang tajam ke arah Baizura dan Aizat.
“Buat apa?”
Baizura angkat bahu sambil tersengih.
“Tak ada buat apa-apa pun. Salah ke masuk bilik
boyfriend sendiri?”
Eleh, macamlah dia takut. Zamri takkan berani nak
marah-marah. Merajuk sekali, baru tahu pak ciknya itu.
“Tu, duduk dekat-dekat tu buat apa?” Muncung
mulut Zamri. Dia melangkah masuk.
“La, tolong picitkan bahu tak boleh ke? Tegang bahu
Abang Aizat ni. Kasihan dia...” Baizura buat mimik muka
mengada-ada.
Zamri mendengus. Geram dengan mulut Baizura
yang menjawab itu. Aizat pula tak reti nak kata tidak ke?
“Jadi kau sukalah?” Matanya pandang ke arah Aizat.
Aizat jongket senyum senget.
“Dah awek aku urut, mahunya tak suka?”
“Cet, gatal! Kau tak boleh nak ikut perangai
mengada-ada Uya ni. Patutnya tahu kawal diri. Nanti belum
kahwin dah terbabas,” leter Zamri. Dia menarik kerusi dan
duduk dilabuhkan di depan meja Aizat.
“Tak bagi terbabas, aku masuk meminang dan
kahwin cepat,” tegas Aizat. Ingat dia suka ke apabila Zamri
tegur tingkah laku kekasih hatinya ini? Bukannya dia tak
mampu kahwin lagi, lebih daripada mampu dah. Baizura pun
dah habis belajar. Tak perlu nak tunggu dua tiga tahun lagi.
Zamri pula terdiam. Dipandang Aizat dan Baizura.
“Aku pun suka kalau korang kahwin. Tapi kau kena
faham, mak tok ada rancangan lain untuk Uya. Kau kena
sabar tunggu dua tiga tahun lagi. Itu je. Mak tok pun suka
kalau kau jadi suami Uya.”
“Rancangan apa? Pisahkan kami?” sinis Aizat
menyindir.
“Kau tak faham. Uya ada tanggungjawab lebih
besar. Suatu hari nanti kau akan tahu. Tapi buat masa
sekarang percayalah, bukan niat mak tok nak pisahkan
korang. Ini semua adalah persediaan Uya untuk menggalas
tanggungjawab sebenarnya.”
Aizat pandang Baizura di sebelahnya. Tak faham.
Jadi cuba dicari jawapan daripada gadis itu.
Baizura angguk.
“Mak tok sayanglah kat abang. Memang abang calon
cucu menantunya.”
Rahsia keluarganya buat masa sekarang perlu
disimpan kemas. Sampai masanya, dia akan kongsikan juga
dengan buah hatinya ini nanti.

No comments:

Post a Comment