Sunday, 24 March 2019

Aku Bukan Penggoda - Bab 6

LENGAN Aizat dipaut. Sengaja dibawa ke tepi
dadanya. Baizura angkat wajah sedikit, pandang sipi wajah si
encik kekasih. Bibir kulum senyum. Tahu Aizat tidak selesa
namun lelaki itu tidak rela pula merungkaikan pautan itu.
Sengaja dan sengaja dia menggoda. Mahu Aizat teringat-ingat
apabila mereka berjauhan nanti.
Ketika menonton wayang tadi pun, sengaja dia
memilih bilik VIP couple seat. Duduk rapat dengan kepala
disandarkan ke bahu si dia. Tak perlu diajar, si Aizat pula
memaut bahunya, erat. Baizura rela walaupun jauh di sudut
hati tahu, mereka tiada ikatan sah lagi. Namun naluri ingin
berkasih sayang tidak dapat dibendung. Mahu lakukan juga
tanda hati sayang dan cinta.
“Kita makan dulu.”
Baizura angguk tanpa suara. Hatinya masih berat
mahu berpisah.
“Nak makan apa?”
“Ikut abanglah. Tapi tak nak makanan berat. Dah
lewat malam ni.”
“Kalau ikut abang, nak makan Uya ni. Dari tadi
sengaja uji iman abang.” Baik punya perli.
Baizura ketawa. Kemudian dijarakkan tubuhnya
sedikit. Lengan Aizat ditampar.
“Ingatkan iman tu tak gegar,” balasnya.
“Tak gegar kata Uya? Hampir koyak ni hah. Nasib
baik dekat tempat awam,” seloroh Aizat. Kalau tidak kerana
sayang memang sudah lama kena cuci otak ni. Kekasihnya
ini semakin hari semakin nakal. Ada saja perbuatan yang
menguji imannya.
Pautan di lengan dilepaskan. Dia ketawa kecil
menutup kegusaran hati. Semakin hampir saat berpisah
sementara ini, semakin dia sayang mahu lepaskan. Hati tak
yakin. Mana tahu ada gadis cantik lain cuba menggoda si
kacaknya, dia pula melopong kena tinggal nanti.
Aizat berkerut dahi. Kepala menoleh dan tunduk
pandang ke kanan. Wajah si kekasih hati dipandang.
“Kenapa?” Dia pula memaut bahu Baizura.
Baizura diam. Bahunya bergerak naik turun. Mata
berkaca. Sungguh dia tidak sanggup untuk berpisah tetapi
arahan mak tok wajib ditaati. Sudah sebati dengan jiwanya.
Ditanam sejak dia kehilangan orang tuanya; setiap arahan
mak tok wajib diikuti tanpa soal.
Langkah Aizat terhenti. Didorong tubuh Baizura ke
tepi supaya tidak menghalang laluan orang lain.
“Kenapa ni? Tak nak ke Kuantan?”
Baizura angkat muka perlahan. Ditentang mata
Aizat. Wajahnya bergerak turun naik. Mengiakan apa yang
disoal.
Aizat tarik nafas. Tubuh Baizura ditarik dekat,
hampir memeluknya tetapi masih lagi berjarak.
“Then jangan pergilah. Kerja dengan abang. Tak pun
dengan pak ngah Uya pun boleh, kan? Nak juga pengalaman
di audit firm, abang boleh rekomen firma kawan abang.”
Kepala Baizura bergerak laju kiri kanan.
“Abang tak faham. Uya tak ada pilihan lain selain
ikut cakap mak tok.”
“Memang abang tak faham pun. Nak masuk
meminang pun tak boleh. Uya kerja di KL ni pun tak boleh.
Abang tak faham apa yang mak tok nak sebenarnya? Tak suka
abang jadi cucu menantu dia ke?”
Lagi laju kepala Baizura bergerak ke kiri ke kanan.
Empangan air matanya pecah. Dia teringin sangat mahu
memahamkan Aizat tetapi bolehkah Aizat faham kenapa dan
mengapa mak tok lakukan semua ini?
“Bukan. Abang adalah bakal cucu menantu pilihan
mak tok. Jangan ragukan itu. Uya ada tanggungjawab perlu
diselesaikan dahulu.”
“Tanggungjawab apa? Cuba cerita dekat abang. Biar
abang tolong Uya.”
Baizura diam. Kepalanya tunduk, mencari nafas.
“Suatu hari nanti Uya cerita. Tapi bukan sekarang.”
Bukan dia patut ceritakan. Kisah ini berselerak dan rumit.
Entah hujung mana perlu dia mulakan.
Kaki Aizat selangkah ke belakang. Menjarakkan
diri. Makin dia tidak faham. Tangan kanan naik ke belakang
tengkuk, digosok berkali-kali. Hatinya kecewa tetapi tak
mampu diluahkan. Rasanya dia perlu berjumpa dengan mak
tok, meluahkan hasratnya.
Baizura kemam bibir.
“Abang...”
Dia faham Aizat kecewa. Dipaut lengan lelaki itu.
Kalau boleh, mahu dipeluk tubuh lelaki itu. Mahu Aizat
faham akan perasaannya juga.
“AKU TAK faham satu perkara,” luah Aizat.
“Apa dia?” Zamri tenang. Tahu Aizat akan bertanya
juga kepadanya. Malam tadi Baizura balik dengan mata
merah, langsung tidak menegurnya. Pagi tadi pun mood
gadis itu merudum terus.
“Mak kau tak suka aku bercinta dengan Uya?”
Kepala Zamri bergerak ke kiri dan ke kanan.
“Tak. Kau calon cucu menantu dia. Apa pula tak
suka?”
“Habis tu kenapa tak benarkan aku kahwin dengan
Uya lagi? Aku lebih daripada mampu nak tanggung Uya.”
Zamri meletakkan sudunya. Tidak jadi dia menyuap
nasi goreng yang masih banyak berbaki di dalam pinggan.
Teh tarik dihirup perlahan. Kemudian barulah memandang
sahabat merangkap rakan kongsi firmanya.
“Rasanya sudah sampai masanya kau tahu sesuatu.”
Suara Zamri serius. “Uya merupakan pewaris tunggal R.I.B.
Berhad.”
Berkerut dahi Aizat mendengar. Dia tidak salah
dengar, kan?
“Bukan abang ngah kau pengasasnya ke?”
Kepala digelengkan.
“Abang ngah aku bertindak atas arahan mak
aku. Modal yang digunakan untuk menubuhkan R.I.B. 10
tahun lalu adalah daripada pampasan insurans dan wang
KWSP orang tua Uya. Dan Uya akan mengambil alih R.I.B.
Berhad selepas umurnya 25 tahun dengan pengalaman yang
mencukupi.”
“Dia boleh terus mulakan kerjanya di R.I.B. di sini,
bukan di Kuantan.” Aizat tidak bersetuju. Dah tahu nak
mewarisi syarikat itu buat apa ke Kuantan lagi? Pening.
Bendanya simple sahaja bukan susah sangat pun.
Zamri menarik nafas panjang. Itu hanya separuh
cerita yang perlu Aizat tahu. Panjang lagi kisahnya kenapa
dan mengapa Baizura perlu mulakan latihan di Kuantan.
“Dia tak terus kerja di R.I.B. Kuantan, tetapi di firma
audit adik arwah abang ipar aku. Dia kena mula dari bawah,
bukan terus masuk R.I.B.”
“Bapa saudara di Kuantan?”
Zamri angguk.
“Aku rasa dah sampai masanya kau berjumpa dengan
mak aku dan tanya sendiri kisah 10 tahun lepas. Aku nak
bercerita tak kena pula. Takut silap fakta. Nanti selepas hantar
Uya ke Kuantan, terus kita balik kampung.”
Aizat diam. Namun dalamannya bergelodak ingin
tahu. Melihat wajah serius Zamri, dia tahu ada sesuatu yang
dirahsiakan. Tapi apakah dia?
“Kisah 10 tahun lepas?”
“Kemalangan yang melibatkan keluarga kak long
aku dan juga papa kau.”
“Apa kaitannya?”
“Mereka semua terlibat dalam kemalangan yang
sama.” Zamri pandang wajah sahabatnya. Rasa bersalah
menyembunyikan fakta sebenar. Hanya menunggu masa
yang sesuai sahaja.
“Ada rahsia tentang kemalangan tu yang perlu kau
tahu.”
Wajah Aizat terus berubah. Teringat peristiwa 10
tahun lepas. Kesan pemergian papa tiba-tiba mengubah
dirinya. Dia mengambil masa setahun untuk kembali pulih.
Ditenung sahabatnya lama. Matanya merah. Hati terus
diserbu seribu satu soalan.
Zamri membalas tenungan Aizat.
“Tanggungjawab Uya berat dan dia perlukan
sokongan kuat daripada kau.”

No comments:

Post a Comment