Sunday, 24 March 2019

Kerana Aku Memilihmu - Bab 8

JOHAN melangkah masuk ke dalam bilik.
Perlahan-lahan, dia menghampiri sekujur tubuh yang sedang
berbaring di atas katil. Duduk melutut di depan Ayana. Wajah
yang sedang lena ditatap lama. Satu helaan berat dilepas
keluar.
Bukan niatnya mahu melukakan hati sang isteri.
Dia menyayangi isterinya ini. Namun, dia juga perlu berterus
terang. Dia sudah tidak sanggup membohongi Ayana lagi. 6
bulan hubungannya dengan Marsha berjalan secara rahsia.
Kini dia mahu mengakhirinya.
Rambut yang menutup sebahagian wajah Ayana
dikuak ke tepi. Perlahan dan penuh hati-hati. Tidak mahu
tingkahnya mengejutkan Ayana yang sedang tidur. Pandangan
jatuh pada mata si isteri. Ada kesan sembap pada kelopak
mata isterinya itu. Pasti kesan menangis petang tadi. Kasihan
Ayana. Tentu wanita ini kecewa apabila dia memberitahu
berita itu.
‘Maafkan abang, sayang. Abang tak berniat nak
lukakan hati sayang. Tapi sampai bila? Abang dah tak sanggup
sembunyikan hubungan abang dengan Marsha lagi. Sayang
kena tahu. Sayang berhak tahu.’
Dulu, dia pernah bercadang tidak mahu memberitahu
Ayana tentang hubungannya dengan Marsha. Biarlah dia
berkahwin secara rahsia. Tapi apabila berfikir sedalamnya,
tindakan itu hanya akan membuat luka Ayana menjadi lebih
parah. Lebih baik dia berterus terang sekarang daripada
Ayana mendapat tahu tentang dia dan Marsha di kemudian
hari. Itu lebih menyakitkan.
Puas membelek wajah wanita yang suatu ketika
dulu hanya namanya tertulis dalam hati, Johan bangun
daripada duduk. Bergerak ke penyidai tuala lalu baju kemeja
berwarna biru itu dicampak masuk ke dalam bakul yang telah
isterinya khaskan untuk pakaian kotor. Badan yang melekit,
membuatkan langkahnya dibawa ke bilik air.
Bunyi air yang mencurah-curah dari bilik air
mencuri ruang pendengaran Ayana. Matanya dibuka. Dari
tempatnya, jelas kelihatan cahaya dari bawah pintu bilik air.
Dia yakin yang sedang mandi itu adalah Johan. Bau minyak
wangi yang ditinggalkan lelaki itu menambah keyakinannya.
Tadi, seusai solat isyak, dia melihat kelibat Johan
tiada di rumah. Barangkali keluar menenangkan diri atau
keluar berjumpa kekasih hati. Siapa tahu kan? Lagi pula
memang sejak kebelakangan ini lelaki itu jarang berada di
rumah. Sentiasa sibuk memanjang. Sangkanya Johan sibuk
fasal kerja. Tak sangka pula sibuk melayan perempuan lain!
Sakit hati Ayana. Rasa nak kerat Johan 18. Kemudian
campak ke Sungai Rajang. Biar dimakan buaya. Tapi,
sanggupkah dia?
Pintu dikuak. Cepat-cepat Ayana pejam mata semula.
Tidak mahu Johan menyedari yang dia sudah terjaga. Hatinya
masih sakit. Tidak sanggup bertentang mata dengan si suami.
Anggap saja lelaki itu tidak wujud di ruang matanya buat
sementara waktu.
Bunyi wardrobe dibuka kedengaran. Kemudian
tidak lama selepas itu terdengar suara Johan mengangkat
takbiratulihram. Perlahan-lahan Ayana buka sedikit kelopak
matanya. Memandang dalam samar, kelihatan Johan sedang
menjalankan kewajipan sebagai seorang Muslim. Inilah yang
buat dia menyayangi lelaki itu. Suaminya itu tidak pernah
lalai dalam menjalankan kewajipannya kepada Ilahi. Walau
sesibuk mana, Johan tetap akan luangkan masa bertemu
Sang Pencipta.
Usai solat, Johan merebahkan badan di atas tilam.
Ayana yang sedang berbaring di sebelah dipandang sekilas.
Tidak berniat mahu mengganggu lena wanita itu. Dia tahu,
emosi isterinya itu belum stabil. Biarlah Ayana bertenang
dahulu. Bukan mudah untuk Ayana menerima berita yang
disampaikan kerana fitrah seorang wanita memang tidak
suka berkongsi kasih.
Johan menelentang menghadap siling. Sebelah
tangan diletakkan di atas kepala. Sebuah keluhan dilepaskan.
Tadi dia keluar bertemu Marsha. Menurut gadis itu, Datuk
Hilmi ingin bertemunya esok. Masalahnya dengan Ayana
baru saja tercetus. Belum selesai dan kini dia bakal berdepan
dengan masalah baru pula.
Yakin, pertemuannya dengan Datuk Hilmi esok
bukan membincangkan urusan kerja, tetapi bercakap
mengenai hubungannya dengan Marsha. Ayah mana yang
sanggup membiarkan anak gadisnya ke hulu ke hilir bersama
lelaki bukan mahram? Begitu juga Datuk Hilmi yang
mahukan hubungan anaknya dengan lelaki yang dicintai
diikat dengan ikatan yang sah.
Cuma, Johan merasakan ini bukan masa yang sesuai.
Hubungannya dengan Ayana baru saja dilanda badai. Dia
perlukan sedikit lagi masa untuk memujuk isterinya sebelum
mengahwini Marsha.
Nafasnya dihela. Susahnya mahu berkahwin untuk
kali kedua.

MARSHA MENCIUM pipi papanya. Senyumannya melebar.
Dia tahu papa takkan hampakan dia. Dia tahu papa akan
turuti segala kehendaknya. Sebab itu, dia perlukan papa
untuk membincangkan hal ini dengan Johan. Sudah puas dia
mendesak, tapi lelaki itu asyik beralasan mahu menjaga hati
isterinya saja. Menyampah betul!
Setelah kelibat Marsha hilang ke tingkat atas banglo
3 tingkat ini, perhatian Datin Marlina beralih ke arah Datuk
Hilmi. Ada sesuatu yang ingin disuarakan. Tindakan suaminya
yang terlalu manjakan Marsha sehingga menuruti segala
kemahuan anak gadis mereka itu amatlah membimbangkan.
“Ling, you tak rasa bersalah ke buat macam ni? You
pun tahu Johan tu dah berkeluarga. Takkan you nak paksa dia
kahwin dengan Sha?”
Datuk Hilmi membalas pandangan isterinya.
“I sanggup buat apa saja demi melihat senyuman
Sha. You pun tahu I sayangkan anak kita.”
Demi kebahagiaan anak manjanya itu, dia tidak
kisah bermenantukan lelaki yang sudah berkeluarga seperti
Johan. Lagipun, Johan pekerjanya yang bagus. Kecekapan
dan ketelitian lelaki itu dalam menguruskan hal kerja
menarik minatnya untuk mempertanggungjawabkan Johan
menguruskan syarikatnya apabila sudah berkahwin dengan
Marsha nanti.
“I tahu, ling. I pun sayangkan Sha jugak. Tapi ini
bukan cara yang betul nak lihat Sha happy. Cara ni hanya
akan tambah penderitaan dia suatu hari nanti.” Dalam diam
Datin Marlina membantah.
“So, you ada cara lain?”
“Why don’t we try to reunite Sha dengan Nizam?”
cadang Datin Marlina. Baginya, Nizam tak ada yang kurang.
Sama hebat seperti Johan. Menjadi bonus, Nizam itu
masih bujang dan belum berpunya. Lagi pula, pemuda itu
merupakan anak saudaranya.
Tawa Datuk Hilmi terlepas. Cadangan isterinya
terasa lucu sekali.
“Ling! I serius.” Geram Datin Marlina mendengar
tawa sang suami. Seolah-olah mengejek cadangan yang
diberi. Apakah kurangnya Nizam jika hendak dibandingkan
dengan Johan?
“Mar, you macamlah tak kenal anak sendiri. Dah
berapa kali you cuba satukan dia dengan Nizam? Pernah
dia terima? Tak pernah, kan? So, buat apa kita nak bersusah
payah cuba satukan dia dengan orang yang dia langsung tak
suka? We’ll just be wasting our time!”
“Tapi ling... Johan tu dah ada isteri dan anak-anak. I
tak fikir dia boleh bahagiakan Sha.”
Datuk Hilmi jongket bahu.
“Who knows? Lagipun orang lelaki boleh kahwin
lebih daripada satu. Yang penting mampu. I takde halangan
kalau Sha nak bermadu. Kalau itu boleh bahagiakan dia, I
terima.”
Datin Marlina mengeluh. Susahnya mahu bercakap
dengan suaminya Terlalu manjakan anak sangat. Sampai
sanggup membiarkan anak menjadi perosak rumah tangga
orang lain.
Kalau dialah berada di tempat isteri Johan, dapat
tahu ada perempuan yang menggoda suaminya, mahu
mengamuk satu Malaya. Tapi apa boleh buat, si penggoda
yang menyondol rumah tangga orang itu bukan orang lain,
anak dia juga.
Marsha pun satu hal! Dalam ramai-ramai lelaki
di Malaysia ini, suami orang juga yang dia mahukan.
Sedangkan, berlambak lagi lelaki bujang di Malaysia ini yang
masih belum beristeri. Pilih saja yang mana satu. Tak perlu
jadi pemusnah rumah tangga orang. Menimbulkan kecaman
orang luar sahaja!

No comments:

Post a Comment