Sunday, 24 March 2019

Kerana Aku Memilihmu - Bab 9

SEPERTI berada di sebuah perpustakaan.
Begitulah gambaran suasana di dalam rumah teres 2 tingkat
milik Johan dan Ayana pagi ini. Masing-masing mendiamkan
diri. Menikmati sarapan dengan mulut terkunci.
Walau hati masih sakit dengan sang suami, Ayana
tetap menyediakan sarapan pagi untuk mereka. Cukuplah
dengan Kopi Tenom yang diberi Hasmah, sekembali
pekerjanya itu bercuti dari Sabah dan roti yang disapu dengan
kaya.
Johan panggung wajah. Menatap Ayana yang diam
tidak berkutik di depannya. Mata isterinya itu kelihatan
sembap. Kesan tangisan semalam barangkali. Rasa bersalah
kerana buat wanita yang disayangi menangis. Dia tak berniat.
Namun, itulah yang terjadi.
“Sayang...”
Baru saja Johan buka mulut, Ayana sudah bangun
daripada duduk. Mengangkat bersama muk yang telah
pun kosong. Tak kuasa mahu melayan bicara Johan
memandangkan hatinya masih lagi terasa sakit.
Terlepas keluhan Johan. Ayana melayannya dingin
sekali. Subuh tadi pun mereka tidak solat berjemaah. Wanita
itu lebih awal menghilangkan diri. Menunaikan solat di bilik
Arisa. Bersiap juga di bilik anak gadis mereka itu.
Tidak mahu membiarkan suasana bisu menghantui,
Johan turut bangun daripada duduk. Mengekori Ayana yang
sudah masuk ke dalam dapur. Menghadap singki dan mencuci
muk yang digunakan tadi.
“Sayang, we need to talk.” Bersandar di counter
top sambil memandang tepat ke arah Ayana yang
membelakanginya, Johan bersuara. Berharap isterinya sudi
mendengar.
“Aya tak nak cakap hal itu lagi!” tegas Ayana
menjawab. Masih terus membelakangkan Johan.
“Tapi kita kena bincang.” Johan terus mendesak.
“Nak bincang apa? Nak bincang majlis kahwin abang
dengan perempuan tu!”
Sabar Ayana ada hadnya. Desakan Johan buat
amarahnya menggelegak. Sakit hati apabila lelaki itu
tidak menghormati permintaannya yang tidak mahu
membincangkan hal tersebut. Malah masih terus mendesak.
“Jangan melampau Ayana!” Jika Ayana tahu marah,
begitu juga dengannya. Tutur isterinya mencanak naik
darahnya. Hilang panggilan sayang, berganti pula dengan
sebutan Ayana sahaja.
“Oh... kalau Aya, melampaulah! Yang abang tu tak
melampau ke? Sampai nak kahwin lagi? Tell me abang, apa
salah Aya? Apa kurangnya Aya, sampai abang nak kahwin
lagi?” Kerana marah, Ayana menentang pandangan Johan.
Gerakan pada rahang lelaki itu yang menandakan Johan
sedang marah langsung tidak menggerunkannya.
“Please, Aya. Jangan rumitkan keadaan kita. Abang
nak kita bincang dengan baik. Bukannya cara macam ni.”
Ayana, masih degil macam dulu. Itu penilaian Johan
pada isterinya hari ini.
“No!!!” Melengking jeritan Ayana. Langsung tidak
dapat menerima. Hidup bermadu bukannya manis seperti
madu lebah. Dia tak rela!
“Aya tak nak bincang apa-apa lagi. Aya tak nak
bermadu! Titik.” Sekali lagi ditegaskan keputusannya. Walau
apa pun terjadi, dia tidak rela berkongsi. Apatah lagi hendak
berkongsi lelaki yang amat dicintai. Itu adalah mustahil!
Johan menggeleng-geleng. Sakit hati dengan
kedegilan sang isteri. Dia cuba tidak tinggikan suara. Tapi
semakin menjadi-jadi pula tingkah Ayana. Sabarnya sudah
hilang.
“Susahlah Aya ni. Abang cuma nak kita bincang
tapi Aya rumitkan lagi keadaan. Ke... Aya suka abang buat
maksiat? Aya nak tanggung dosa yang abang buat? Itu yang
Aya nak?”
Terketap rapat bibir Ayana. Cuba mengawal rasa
sebu yang memberat di dada. Sampai hati Johan. Disebabkan
keinginannya yang tidak direstui, sanggup lelaki itu
meletakkan urusan dosa ke bahu dia. Kejam!
Tanpa kata, Ayana berlalu. Empangan air matanya
kian memberat. Tak sanggup dia hendak menangis di hadapan
Johan. Tidak mahu kelihatan lemah di mata sang suami.
Langkah isterinya hanya disoroti pandangan mata.
Muka diraup. Kesal kerana meninggikan suara kepada Ayana.
Tapi, kedegilan Ayana mencabar kesabarannya. Membuatkan
dia naik marah.
Memikirkan Ayana dan Marsha; dua wanita yang
berada dalam hatinya, dia tidak mahu kehilangan salah
seorang pun daripada mereka. Namun, dalam masa yang
sama dia sedar bahawa Ayana tidak rela berkongsi kasih.
Isterinya itu secara terang-terangan menolak.
‘Jangan fikir sangat fasal Aya, Johan. Kau lelaki.
Kau ada hak kahwin lebih daripada satu. Kalau asyik fikir
fasal Aya, sampai ke sudah hubungan kau dengan Marsha
terumbang-ambing. Aya tak berhak halang kau.’
Ada suara menyapa. Memberi suntikan vaksin
kepadanya. Mempengaruhi dia. Menyuruh dia agar tidak
terlalu memikirkan tentang Ayana. Menyakitkan kepala
sahaja.
‘Tapi... aku tak boleh belakangkan Aya. Dia isteri aku.
Bukan setahun dua, tapi dah 10 tahun aku dengan dia. Nak
tak nak, aku kena dahulukan dia.’
‘Nak dahulukan apa? Kau dah beritahu dia, kan?
Cukuplah! Dia setuju atau tak, itu terpulang pada dia. Yang
penting sekarang, kau dengan Marsha. Takkan kau nak
lepaskan Marsha sebab Aya kut? Rugi tau Johan!’
Minda dan hati mula bertelagah. Tidak sekata dalam
memberi jawapan.
Ketika perasaannya sedang berperang, tiba-tiba
telefon pintarnya berbunyi. Ada pesanan menerjah masuk
melalui aplikasi WhatsApp. Nama yang tertera turut kelihatan
di situ. Pantas telefon pintar yang terletak di atas counter top
dicapai.
Morning love. Jangan lupa janji you
dengan papa hari ni.
Johan tepuk dahi. Jujur dia lupa. Jika Marsha tidak
menitip pesanan ringkas kepadanya, sudah pasti dia tidak
ingat langsung akan janjinya hari ini.
Pesanan Marsha dibalas. Tidak mahu gadis itu pula
merajuk jika pesanan itu tidak dibalas atau terlambat balas.
Lelah dia hendak memujuk. Sudahlah Ayana pun tengah
marah dengannya. Jangan ditambah dengan Marsha pula.
Mahu pecah kepalanya nanti.
‘Aik, Johan... belum apa-apa dah nak pecah kepala?
Itu belum kahwin lagi. Lagi teruk kau kena hadap. Silap hari
bulan, gugur rambut sebab fikir masalah isteri hari-hari,’ ejek
minda.
Johan mendecit. Waktu seperti inilah mindanya
mahu mengejek. Tak beri sokongan moral langsung! Asyik
mengejek dia sahaja. Pantas, butang hantar ditekan.
Okay. See you there.
Ringkas jawapannya.

TAK SEPERTI selalu, hari ini Ayana lebih selesa mengunci
diri di dalam bilik sederhana besar miliknya. Otak yang serabut
dengan masalah yang ditimbulkan Johan membuatkan
keinginan hendak bekerja terencat. Biarlah urusan di kafe
diuruskan oleh pekerjanya sahaja. Dia mahu bersendirian
buat seketika waktu.
Namun, bukan mudah untuk dia bertenang. Setiap
bait kata Johan menerjah gegendang telinga. Mengganggu
emosi. Pertama kali Ayana rasa begini. Berat dadanya. Air
mata juga menjadi begitu murah jatuh ke pipi.
Air mata dikesat. Di sini bukanlah tempatnya. Dia
tidak mahu ada antara pekerjanya menyedari kemurungannya
itu. Pantas, tas tangan dicapai. Kaca mata hitam disarung
ke wajah. Menyembunyikan mata yang sembap daripada
kelihatan.
Setelah mengunci pintu biliknya, Ayana mengatur
langkah. Dia tidak boleh berada di kafe. Dia mahu mencari
tempat untuk menghamburkan kesedihan yang menyesakkan
dadanya.
“Has, akak nak keluar. Mungkin tak masuk lagi
petang ni. Kalau ada apa-apa yang penting, just call atau
WhatsApp akak,” beritahunya kepada Hasmah, pekerja yang
dipertanggungjawabkan menjaga kaunter pembayaran.
“Baik, Kak Aya.” Tanda faham, Hasmah menjawab.
Kepala turut diangguk perlahan.
Ayana segera keluar. Punat pada alat kawalan jauh
keretanya ditekan. Dia membolos masuk ke dalam. Sebaik
enjin kereta dihidupkan, kereta Honda City biru miliknya
meluncur laju meninggalkan bangunan bertingkat 3 itu.
30 minit pemanduan, akhirnya dia sampai ke tempat
dituju. Kereta diberhentikan di bahu jalan. Kemudian Ayana
keluar dari perut kereta. Melangkah dekat ke lereng bukit
sambil terus membuang pandangan jauh ke bawah. Tingginya
tempat itu. Mujur dia tidak tergolong dalam mereka yang
punya rasa gayat.
“Abang nak kahwin lagi.”
Suara Johan kembali terngiang di cuping telinga.
Pedih. Sakit. Dia rasa ada sesuatu mencucuk dadanya ketika
ini.
“Abang tak bergurau, sayang. Abang serius nak
kahwin lagi.”
Tuhan...
Ayana sudah tidak mampu bertahan. Air matanya
mengalir laju ke pipi. Sakit yang dirasa menekan di dada.
Sehingga tangan ditekup di situ. Tegar Johan melumat
perasaannya tanpa rasa kasihan.
Tangisannya pecah. Suasana sunyi mula berdendang
dengan tangisannya yang berlagu sendu. 10 tahun dia
menggapai bahagia. Adakah bahagia itu sudah berakhir?
Semakin deras air matanya mengalir. Melepaskan segala yang
terbuku dalam hati.
10 minit kemudian, tangisannya mulai reda. Air
mata yang masih bersisa dikesat dengan telapak tangan.
Saat seperti ini, dia perlukan perkongsian. Lantas dia segera
menuju ke kereta. Melabuhkan duduk di kerusi pemandu.
Telefon pintarnya dicapai. Tak salah rasanya jika dia ingin
berkongsi rasa sakit ini dengan seseorang.
Pantas, nama kak long dicari. Nombor kak long
didail.

No comments:

Post a Comment