Sunday, 24 March 2019

Lelaki Terakhir Untukku - Bab 2

TEPAT pukul 3 petang, semua staf ZR Galeri
sudah berkumpul di bilik mesyuarat untuk memperkenalkan
pengurus kanan baharu yang akan menggantikan tempat
Puan Irdina. Sejenak aku memandang ke sekeliling. Suasana
ditindih sepi memandangkan ada di antara mereka sedang
ralit menumpukan perhatian pada gadget masing-masing,
mengisi masa lapang sebelum ketibaan Encik Rahman, bos
besar ZR Galeri yang akan mengetuai mesyuarat hari ini.
Aku toleh ke sisi, mencari wajah Aunie yang sedari
tadi membisu. Melihat Aunie yang turut sama tenggelam
dalam dunia media sosial, kepala perlahan menggeleng. Ralit
sangat sampai aku di sebelah pun diabaikan. Itulah realiti
dunia zaman sekarang. Gadget menjadi tumpuan utama hari
ini.
Tidak lama kemudian, pintu bilik tiba-tiba terkuak
lebar sebelum tubuh gempal Encik Rahman berjalan masuk
ke ruangan ini. Puan Hani selaku PA turut sama mengekori
langkah penuh yakin Encik Rahman.
Suasana bilik mula dicengkam hening setelah Encik
Rahman masuk. Tidak lama kemudian, muncul pula lelaki
berkemeja biru laut melalui pintu yang sama Encik Rahman
gunakan.
Dan saat sepasang mata itu bertembung dengan
mataku, rahangku hampir saja melorot jatuh ke bumi. Cuma
seketika pandangan dia berlabuh di wajahku sebelum dia
melarikan pandangan.
“Weh, bukan ke mamat tu kita jumpa dekat kafe
tadi?” Aunie menyenggol bahuku yang ketika itu masih
terkesima melaraskan rentak jantung.
“Tia!” Aunie menepuk perlahan tanganku dan
pantas kepalaku terganjak memandang Aunie. “Kalau ya
pun, simpan sikit reaksi suka kau tu.” Boleh pula dia nak
mengusik aku dalam keadaan genting begini. Sudahlah suara
dia tu mengalahkan guna mikrofon!
Aku buat bodoh dengan usikan Aunie. Membenamkan
soalan Aunie, aku kembali menumpukan perhatian ke arah
Encik Rahman di hadapan.
“Selamat petang semua.” Encik Rahman membuka
bicara sebaik semua pekerja duduk setelah bangun
menunjukkan hormat.
“Seperti yang kalian tahu, Puan Irdina telah bersara.
Jadi saya gantikan tempat Puan Irdina dengan seorang yang
berkebolehan.”
Semua pekerja masih diam mendengar bicara
Encik Rahman, termasuk aku. Ada ketikanya mata aku nakal
mencuri pandang ke arah lelaki tersebut. Masih beku tanpa
senyuman. Malah aura karismanya terlalu menyerlah buat
aku ditimpa satu perasaan aneh.
“Saya kenalkan, ini Encik Erfan Rayyan. Anak didik
saya di RH Galeri, Selayang.”
Gamat ruang bilik dengan bunyi tepukan staf ZR
Galeri. Mengalu-alukan kedatangan pekerja baharu itu
sebagai Pengurus Kanan Bahagian Promosi. RH Galeri itu
ialah anak syarikat ZR Galeri yang ditubuhkan di Selayang.
Jika Erfan pengurus kanan, bermakna secara langsung aku
bekerja di bawahnya.
“Ada apa-apa yang kamu nak cakap, Erfan? Sepatah
dua kata untuk mereka.”
Aku hanya memerhati tingkah dua orang di hujung
sana. Entah kenapa, hati ini tiba-tiba berdebar-debar tidak
menentu. Seperti tarikan magnet yang mahu bercantum.
Begitulah pandangan mataku. Rasa tak berdaya nak kalih
daripada melihatnya.
“Assalamualaikum, semua. Terima kasih untuk
peluang yang Encik Rahman berikan kepada saya. Insya-Allah,
saya akan bekerja dengan lebih baik. Dan saya mohon berikan
kerjasama anda pada saya.” Lembut dan penuh tertib Erfan
menuturkan kata. Penuh berkarisma cara dia berucap. Pakej
lengkap sebagai seorang lelaki budiman. Itu yang aku nampak
dari gayanya.
Setelah selesai sesi suai kenal, mesyuarat diteruskan
hingga ke petang. Bermacam-macam topik diketengahkan.
Memandangkan ZR Galeri menghasilkan aksesori wanita,
seperti rantai, gelang kaki dan cincin, banyak kerja
memerlukan pantauan semua pihak. Jawatan aku di sini
sebagai Pengurus Bahagian Promosi, mencari cara untuk
mempromosi barang-barang ZR Galeri selain daripada
menguruskan kerja-kerja di luar.
2 jam masa berlalu, akhirnya mesyuarat selesai.
Terasa kebas punggung aku duduk lama tanpa pergerakan.
Aunie awal-awal lagi sudah mencicit keluar ke tandas.
Manakala aku masih sibuk mengemas pen, buku dan dokumen
yang digunakan untuk kembali semula ke bilik kerja. Banyak
lagi kerja perlu diselesaikan sebelum pulang.
“Hah, Tia. Mari sini saya kenalkan awak dengan
rakan partner baharu awak.” Suara Encik Rahman yang
memanggil membantutkan pergerakanku. Kepala aku angkat
memandang tubuh gempal Encik Rahman dan Erfan yang
ketika itu mampir mendekat.
Jantung sekali lagi hilang sifat. Laju bukan main
berdetak. Saat kedua-dua manusia itu berdiri di depanku,
sehabis daya kukawal air muka agar tak nampak ketara gugup
yang melanda.
“Puan Irdina ada beritahu yang Erfan akan ambil alih
bahagian promosi? Maksudnya, apa saja yang memerlukan
pemantauan, Erfan perlu tahu terlebih dahulu.”
Mendengar soalan Encik Rahman, kepala aku laju
mengangguk mengiakan. Memang 2 hari lepas Puan Irdina
sudah khabarkan kepadaku mengenai pekerja yang bakal
menggantikan tempatnya. Tapi tidak pula diberitahu namanya
dan paling tak sangka pula orang yang menggantikan Puan
Irdina ialah lelaki.
“Baguslah kalau awak tahu. Jadi awak boleh bantu
tunjukkan bilik kerja Erfan?”
Terus aku halakan anak mata ke wajah kosong tanpa
reaksi itu. Aduhai... kaki macam nak lari tapi tak boleh.
Nak tak nak, terpaksa aku bersetuju. Memandangkan Erfan
orang atasan yang menggantikan Puan Irdina, aku tak boleh
bersikap sambil lewa melayani lelaki itu.
Hilang saja kelibat Encik Rahman, kornea mataku
pantas berlabuh pada wajah tanpa celanya sebelum memulakan
langkah menunjukkan bilik kerja ketua baharuku itu.
“Nama you Tia Zahara?”
Serta-merta langkah kakiku mati. Aku pusing tubuh
ke belakang sedikit dan kening pantas terjongket naik. Hairan
mendengar soalan yang dia ajukan.
“Ya?” Mata dia kurenung lama. Cuba mengorek
kewajaran soalannya itu untuk pertemuan pertama kami.
Namun malangnya, aku tak dapat menyingkap apa yang
terbenam dalam mindanya detik ini.
“You, Tia Zahara?” Sekali lagi dia menyoal,
mengulangi soalan yang dia ajukan seketika tadi. Dapat aku
kesan nada tak percaya dalam bicaranya. Seolah-olah ada
sesuatu yang dia mahu buktikan.
“Ya, sayalah Tia Zahara. Ada apa ya Encik Erfan?”
Kesabaran aku tanam menyedari tingkah peliknya itu. Tak
dapat aku faham sikapnya itu. Pertama kali bertemu, dia
menyoal aku seperti pesalah.
“Jadi youlah pekerja paling berdedikasi di sini?”
Soalan Erfan ajukan buatkan aku tengadah.
“Sorry? Boleh Encik Erfan ulang sekali lagi?” Aku
tengah pening nak faham kata-kata Erfan.
Tiba-tiba hujung bibirnya tercarik dengan senyuman.
Serta-merta aku diterpa perasaan tidak enak.
“Nothing. Boleh tunjukkan bilik I?” Tangannya
diangkat lurus ke hadapan, meminta aku menunjukkan jalan
ke bilik kerjanya.
Aku kerut kening. Pening memahami tingkah
anehnya itu. Walaupun bingung disoal begitu, aku tetap
membawa Erfan ke bilik kerjanya.
“Ini bilik Encik Erfan. Ada apa-apa Encik Erfan nak
tahu lagi?” Sebaik saja berhenti di depan biliknya, aku ajukan
soalan lain. Kutlah dia mahu tanya apa-apa lagi sebelum
aku masuk bilik sendiri yang terletak bersebelahan dengan
biliknya.
“Boleh you hantarkan laporan promosi bulan lepas
dekat bilik I kejap lagi?”
Aku angguk walaupun dalam hati menanam geram
dengan sikap bekunya. Langsung tak ada senyuman yang
mahu dihulurkan. Wajah ketat tanpa reaksi saja yang dia
tayang.
“Boleh, Encik Erfan.” Aku pamer senyum paksa.
“Terima kasih. Oh, lagi satu! Boleh you buatkan I
secawan kopi? Jangan terlalu manis. I tak suka benda manis.”
Selesai dia cakap begitu, dia terus masuk ke bilik kerjanya,
meninggalkan aku yang terpinga-pinga dengan arahannya.
Apa dia fikir aku tea lady dekat ofis ni? Ikutkan hati
nak saja aku sembur dia dengan kata-kata tak beradab, tapi
memikirkan sekarang aku berada di ofis, jadi aku pendam
dalam hati. Baru beberapa jam kenal, dia dah tunjuk perangai.
Huh!
Tanpa melengahkan masa, menonong aku berjalan
pergi pantri. Capai mug, seuncang kopi segera kurang manis,
lepas tu aku tuang air panas dan kacau. Siap! Tak payah letak
gula. Biar pahit macam muka dia!
Selesai membancuh minuman, berhati-hati aku
mengatur langkah keluar dari pantri. Di pertengahan
jalan, aku terserempak dengan Aunie. Nampak saja aku
terkocoh-kocoh, dia menghampiriku.
“Untunglah kau, babe. Dapat kerja bawah Encik
Erfan. Aku rasalah, jodoh korang berdua ni memang dah
tersurat.” Aunie dah mula buat teori lagi mengenai aku dan
Erfan. Lagaknya seperti dia Tuhan yang tahu jodoh aku. Asal
berjumpa aku, ada saja ayat dia nak kenenkan aku dengan
Encik Erfan. Dari kafe sampai habis mesyuarat, nama Erfan
tak berhenti meniti di mulutnya. Naik pening aku dengar.
“Itu bukan jodoh, tapi bodoh!” Aku bulatkan mata.
Menghantar maksud jangan melebih-lebih.
Aunie hanya ketawa-ketawa saja. Entah apa yang
lucu pun aku tak tahu. Rasanya aku tak buat lawak pun.
“Malas aku layan kau. Aku nak pergi hantar kopi
dekat raja muka ketat tu yang kau admirer sangat!” Laju
saja kaki menapak meninggalkan Aunie sebelum sempat dia
bersuara menyoal.
Sampai depan pintu, perlahan aku ketuk,
memberitahu kemunculanku.
“Masuk!”
Aku yang mendengar arahannya pantas menyelinap
masuk dan secawan kopi aku letak ke atas meja kerjanya.
“Kalau tak ada apa-apa, saya keluar dulu Encik
Erfan.” Lantas aku mengundur perlahan sebelum pusing
tubuh untuk beredar.
“Kejap, Tia Zahara!”
Serta-merta pergerakanku kaku. Mata aku halakan
ke mukanya yang masih menunduk pandang telefon di
tangan.
“Ya, ada apa-apa yang Encik Erfan nak tanya?”
Apabila dia hanya diam tak menjawab, aku pula jadi bosan.
“Umur you berapa?” Dia menyoal aku tanpa
mengangkat wajah.
“Hah?” Terpinga-pinga aku dengar soalannya.
Tiba-tiba berminat nak tahu umur aku dah kenapa pula?
“How old are you?” Dia ulang lagi soalan yang aku
tak jawab. Kali ini dia angkat wajah memandangku.
“27 tahun.” Ringkas aku bagi jawapan. Tak payah nak
susah-susah karang ayat panjang.
“Ada berapa orang adik-beradik?” soalan diajukan
lagi dengan lagak santai. Dah gaya polis saja dia soal aku.
“Saya anak tunggal.”
Apabila dia dengar jawapan aku, dia terus terdiam
lama. Matanya tak lepas daripada merenung aku. Sepertinya
ada sesuatu dalam benaknya mengganggu.
“You tak ada kembar?” Seperti tak berpuas hati
dengan jawapan aku, dia bagi lagi soalan.
“Saya anak tunggal, Encik Erfan.” Dalam sabar,
geram juga aku dengan sikap pelik Erfan ini.
Erfan melepaskan nafas sebelum cawan berisi kopi
diambil dan dicecap perlahan. Aku pula terus pusing tubuh
untuk berlalu. Tak nak berlama-lama di ruang itu. Boleh
demam aku berdepan dengan kedinginan seorang Erfan
Rayyan.
“Tia.” Sekali lagi namaku diseru. Pantas aku
memusing tubuh dan mempamer senyum penuh dengan
kepura-puraan.
“Kenapa kopi you tak manis?” Tiba-tiba matanya
terangkat merenungku. Wajah dan posisinya masih statik
begitu.
Serta-merta tubuh aku kejung. Bibir bawah
kugigit-gigit. Otak pula ligat mencari jawapan.
“Erk... rasanya saya dah letak gula tadi.”
Tergagap-gagap aku membalas soalannya.
“Berapa sudu you letak gula?” soalnya lagi dengan
renungan bagaikan mata pisau yang tajam.
Perlahan aku teguk liur yang terasa berbutir-butir
melalui kerongkong. Jawapan yang bagaimana mahu aku
berikan? Sedangkan aku langsung tak letak gula dalam air
kopi itu. Dia juga yang kata tak suka benda yang manis!
“Lain kali, jangan buat perangai macam ni. You ada
niat nak bunuh I ke?” Erfan membetulkan duduknya. Tegak
dengan mata tajam memandang aku yang tak berganjak
sedikit pun.
“Maaf, Encik Erfan. Saya buatkan kopi baharu.” Laju
aku mendekati mejanya.
Tapi baru saja tangan aku nak capai mug, Erfan lebih
pantas menjauhkan. Sekali teguk, air di dalam mug tersebut
terus licin.
Sementara aku, dah melopong mulut melihat air
yang aku bawa tadi sudah licin diminum Erfan.
“You boleh bawa keluar cawan ni.” Erfan hulur
cawannya setelah selesai menghabiskan saki-baki air tersebut.
Bersahaja tingkahnya.
“Kenapa Encik Erfan minum?” Blur aku bertanya.
Tadi tak silap aku dengar, dia beritahu kopi yang aku buat
pahit, tapi kenapa dia minum sampai habis juga?
“Selalunya orang buat air kopi pahit ni mungkin ada
masalah.” Dia kembali menatap skrin telefon selepas saja aku
sambut hulurannya.
Otak mula mencerna patah-patah perkataan yang
Erfan katakan. Apa maksud ayat dia? Kenapa air kopi pahit
yang aku buat dikait dengan masalah aku pula? Bingung aku
memahami sikap Erfan. Dia sedang bicara mengenai apa?

No comments:

Post a Comment