Sunday, 24 March 2019

Lelaki Terakhir Untukku - Bab 3

WAKTU terus menginjak ke petang. Ketika
ini aku masih lagi sibuk meneliti satu per satu kertas kerja.
Banyak kerja yang memerlukan pemantauanku sebelum aku
serahkan kepada Encik Erfan untuk disemak.
Sedang aku tenggelam dalam kerja yang bertimbun,
tiba-tiba telefon bimbit aku bergetar menandakan mesej
masuk. Kepalaku menjenguk ke skrin telefon yang terdampar
di atas meja kerja, nama Aunie terpampang jelas di situ.
Tidak menunggu lama, aku ambil telefon Oppo F5
kesayanganku sebelum menekan aplikasi WhatsApp yang
terpampang. Hairan datang menjengah apabila dapat mesej
daripada Aunie. Sebab teman aku itu sangat jarang mesej
melainkan ada hal penting. Lagi pula, satu tempat kerja kut.
Perlu lagi ke bermesej bagai? Kalau dia mahu sampaikan
apa-apa, boleh saja terus datang ke bilik aku. Bukan jauh pun.
Tia, aku balik dulu tau. Ada hal sikit. Tak
payah tunggu aku.
Laju aku menaip membalas WhatsApp Aunie.
Okey. Jangan balik lambat sangat.
Aku dan Aunie menyewa satu rumah. Jadi Aunie
menumpang aku ke pejabat memandangkan hanya aku saja
yang ada kereta.
Sesudah itu, aku letak kembali telefon ke atas meja
dan kepala pantas kubawa menyandar di kerusi. Nafas aku
tarik sebelum kuhembus perlahan, merungkai kepenatan
yang menjalar di seluruh urat sendi.
Lama duduk dalam keadaan begitu, aku bangkit dan
mengemas ala kadar kertas-kertas yang bertaburan atas meja
sebelum bergerak untuk pulang.
Memandangkan aku terpaksa balik sendirian, jadi
aku perlu bergerak awal sebelum maghrib menjelma. Jam di
dinding aku jeling sekilas. Lagi satu setengah jam nak masuk
pukul 7. Jadinya aku perlu cepat. Jalan waktu begini agak
sesak disebabkan waktu kerja sudah berlalu. Masing-masing
mahu pulang cepat dan jalan raya pasti akan jadi sesak.
Ketika aku melintasi bilik kerja Erfan, aku perasan
biliknya masih cerah. Nampaknya Erfan masih belum
pulang. Barangkali banyak kerja dia mahu selesaikan. Yalah,
pelancaran produk terbaharu ZR Galeri semakin hampir.
Rata-rata pekerja akan mula sibuk menguruskan majlis
tersebut.
Kakiku terus diayun meninggalkan pejabat. Ketika
berpapasan keluar, sempat aku bertegur sapa dengan staf
ZR Galeri yang masih belum pulang. Mereka juga seperti
aku, banyak kerja yang perlu dilangsaikan. Tambahan lagi
sekarang dah masuk hujung tahun. Pasti lagi banyak kerja
bertambah.
Sebaik saja sampai di ruangan parkir, punat penggera
aku tekan. Kereta Myvi kesayangan aku ini dah lama berjasa.
Bukan aku tak mampu beli kereta besar, cuma aku perlu
berjimat untuk menampung perbelanjaan seharianku.
Daripada membazir beli kereta, ada baiknya aku simpan.
Dengan lafaz bismillah, aku hidup enjin kereta. Kali
pertama tidak berjaya. Aku cuba untuk kali kedua, juga tidak
berjaya. Aku dah mula panik. Kereta aku ini memang banyak
masalah. Dah namanya kereta secondhand, mestilah ada yang
tidak kena. Tak tahu pula hari ini Myvi kesayangan aku nak
buat perangai. Sudahlah ruang parkir ini gelap dan suram.
Menarik nafas dalam-dalam, aku cuba sekali lagi.
Namun masih juga tidak menemukan jalan. Pantas aku letak
kepala pada stereng kereta, memaksa otak memikirkan jalan
keluar untuk aku. Hari dah nak malam, siapa saja yang aku
boleh minta tolong? Aku bukannya ramai kawan. Aunie saja
satu-satunya kawan paling rapat.
Tumpuan aku terganggu saat cermin tingkapku
diketuk. Spontan kepala kuangkat dan wajah Erfan menyapa
pandangan. Melihat dia memberi isyarat menyuruh aku
keluar, lambat-lambat aku keluar dari perut kereta.
“Kenapa dengan you? Ada masalah?”
“Tak ada apa-apa.” Aku menyembunyikan masalah.
Tak nak dia membantu memandangkan kami baru mengenali.
“Tak ada apa-apa?” Dia menyoal kembali dengan mata
memicingkan pandangan ke arahku. Buat aku gementar.
“Encik Erfan nak balik ke?” Dek gugup, aku tersoal
dia dengan soalan di luar akal warasku. Soalannya tidak
kujawab.
“Sorry? You nak tumpang ke?” Terus dia menyoal
seperti memahami maksud soalanku.
“Eh, tak, tak! Saya dah nak balik ni.” “
“So, go on.” Dia mendepakan tangan, mengisyaratkan
aku masuk dan dia tercegat di situ menunggu aku berlalu.
Masuk saja, aku turunkan cermin kereta.
“Encik Erfan baliklah dulu. Tak perlu tunggu saya.”
Bibir aku paksa ukir senyum. Tak selesa apabila dia berdiri di
situ menungguku.
“Bila masa pulak I tunggu you?” Sarkastik nada
Erfan gunakan buat aku termalu sendiri.
Malas mahu berdebat, aku cuba menghidupkan enjin
kereta. Dalam hati dah berbakul-bakul doa aku baca. Semoga
kereta aku ni tak buat perangai depan encik bos ni.
Tapi malangnya, doa aku sepertinya tak
diperkenankan. Macam kerang busuk aku toleh pandang
Erfan.
“Kenapa tak beritahu kereta you rosak?”
“Saya tak tahu pula kereta saya nak rosak.” Bibir aku
masih tersenyum malu.
“Tipikal perempuan. Tahu pakai aje.” Setepek dia
bagi dekat aku.
Ikutkan hati nak lawan balik, tapi apabila Erfan
beri arahan supaya aku buka bonet depan, terpaksalah aku
menurut. Pantas aku mengekorinya.
“Pegang baju I ni. Jangan kotorkan.” Tiba-tiba dia
hulur kot bajunya kepadaku buat aku terpinga-pinga. Dan
apabila sedar ayat hujungnya, aku kemam bibir rapat-rapat.
Sempat lagi nak sakitkan hati aku!
“Encik Erfan pandai ke baiki kereta?” Ragu-ragu aku
bertanya. Kut-kutlah dia tak pandai dan saja berlagak pandai,
tak ke naya kereta aku nanti?
“Baiki you pun I pandai.”
Eh? Jawapan dia tu lain macam sangat. Merinding
bulu roma aku dengar. Terus aku melilau pandangan ke
sekitar. Sudahlah ada aku dan dia saja dekat sini. Kalaulah dia
ada niat tak elok pada aku, agak-agak aku boleh selamat ke?
“Jangan nak fikir buruk-buruk pasal I, Tia. Lagipun,
I tak berminat langsung dengan perempuan macam you.”
Jawapan jujur Erfan buat aku melopong mulut. Gamaknya
mulut Erfan dah tak ada insurans kut. Lancang betul
kata-kata dia.
“Bila pulak saya fikir buruk-buruk?” Aku cuba
menafikan tuduhan rambang Erfan.
“Your eyes told me.” Selamba dia patahkan soalan
aku.
Terdiam aku jadinya. Tak jadi aku nak melawan.
Sah-sah dia yang menang. Hari pertama berjumpa pun tak
lancar. Macam manalah aku nak lalui hari yang akan datang?
Setelah 20 minit Erfan ‘mengerjakan’ kereta aku,
akhirnya dia berikan arahan supaya aku hidupkan enjin
kereta. Dan sekali percubaan, kereta aku hidup.
“Dah hidup dah Encik Erfan!” teruja aku
memberitahu, tapi elok pula dia tayang muka minta
penampar.
“Lain kali check apa masalah kereta you. Jangan
tahu guna saja.” Ayat berbentuk peringatan itu buat aku
mencemik bibir.
Perempuan dengan kereta manalah sinonim. Macam
aku juga. Aku tahu pakai saja. Bab baiki-baiki ni aku hantar
pergi bengkel saja. Senang, tak payah fikir-fikir dah!
Tanpa bicara, Erfan susun langkah meninggalkan
aku. Terpinga-pinga aku pandang belakang tubuh dia yang
dah menjauh itu. Tak cakap apa-apa, dah pergi? Mana adab
seorang manusia? Geram betul aku dengan Erfan Rayyan ni
tak dapat dibendung lagi.
Terpandang kot baju Erfan ada pada aku, nak tak nak
terpaksa aku mengejar langkahnya. Tak toleh kiri kanan aku
menonong saja berlari sambil menjerit memanggil namanya.
“Encik Erfan! Encik Erfan!” Kot baju dia aku
layang-layang. Macamlah dia pandang aku.
Panggilan aku berhasil mematikan langkah Erfan.
Semakin laju aku menyusun langkah. Saat aku hampir
mendekati Erfan, tiba-tiba sebuah motor melintas laju tanpa
sempat brek. Nasib baik penunggang motosikal itu terlanggar
aku sipi-sipi saja. Hanya siku aku saja luka. Tempat lain tak
ada terluka pun. Nasib baik aku tak jatuh macam nangka
busuk dekat sini. Kalau tidak, malu saja buat free show depan
Erfan.
“Har, are you okay?” Tiba-tiba Erfan menerpa aku
dan menarik tubuh aku menghadapnya. Atas bawah dia belek
aku. Mencari kesan luka di tubuhku.
Har? Dia bercakap dengan aku ke?
“Berapa kali abang cakap, nak melintas tu tengok
kiri kanan!”
Terkulat-kulat aku apabila dimarahi. Tak silap aku,
dia bahasakan diri dia abang? Dia tengah bercakap dengan
aku ke?
“Emmm... Encik Erfan?” Perlahan aku seru namanya
memaksa kepalanya terangkat merenungku.
Beberapa detik keadaan kami sepi sebelum tangan
yang elok melekat di bahuku melorot jatuh. Dia menjarakkan
kedudukan sambil kepala menunduk.
“Sorry. Ada terluka dekat mana-mana ke?” Nadanya
berubah dingin.
Aku hanya membisu. Tak tahu nak cakap apa
sebetulnya. Keadaan terasa canggung.
“Jom, I hantar you ke klinik?” Erfan memalingkan
tubuh tapi pantas aku halang.
“It’s okay Encik Erfan. Luka saya sikit aje. Letak
minyak gamat nanti eloklah.” Aku menolak ajakannya. Tak
sanggup menghadap dia selepas situasi antara kami begini.
Kedengaran Erfan melepaskan nafas. Panjang.
Tangan dia meraup rambutnya. Kemudian dia pandang aku
sekali lagi.
“Betul ni you tak apa-apa?” Nampak prihatin saja
cara Erfan bertanya.
Pantas aku angguk laju-laju. Sikit saja aku terluka.
Dekat siku. Letak ubat nanti baiklah. Tak perlu nak pergi
klinik semata-mata luka sikit. Lagipun aku dengan dia bukan
rapat.
“Kalau macam tu, you balik dulu.” Dia beri arahan
kepadaku.
Tengok reaksi Erfan, pantas aku meminta diri
pulang. Semasa aku berlalu meninggalkan ruang parkir, aku
perasan mata Erfan masih merenung keretaku. Lama pula dia
pandang sampai bayang dia hilang dari pandanganku.
Aneh betul sikap Erfan. Macam ada sesuatu yang dia
sembunyikan.

No comments:

Post a Comment