“I baik aje. Alhamdulillah. Tak sangka dah 7
tahun kita tak jumpa. Miss you a lot, babe...” Ceria suara Ulya.
Aku ketawa mendengarnya.
“Asyik tunda, tunda, tunda. Nak balik, tak jadi! Ini
semua Zainal punya fasal. I ajak balik tak nak. Seronok stay
kat sana,” luah Ulya lagi.
Aku mengukir senyuman. Sungguh, aku suka
mendengar khabar itu. Paling tidak, aku tahu aku tidak salah
melepaskan Zainal kepada Ulya. Zainal tentu berbahagia di
samping Ulya.
“Malam ni ada kenduri doa selamat tau. I nak jemput
you datang rumah I. Opss, correction... rumah ibu bapa I.
Jangan excuse kata tak tahu ya. Itu tempat lepak you zaman
kita sekolah. Majlis pukul 8, kalau you nak datang awal lagi,
tersangatlah dialu-alukan.”
Aku menarik nafas. Aku tahu aku tidak mampu
sembunyi lagi. Sejauh mana aku lari, aku tetap terikat dengan
Ulya dan Zainal. Kerana mereka berdua adalah sahabatku.
“Insya-Allah, I datang dengan kakak I malam ni.”
“Sayang!”
Aku terkedu mendengar satu suara yang lunak
manja memanggil Ulya.
“Ya... kejap, sayang. I tengah calling ni. Kenapa?”
Ulya menjauhkan talian tetapi aku masih dapat menangkap
suaranya dengan seseorang sedang berbicara. Mungkinkah
Zainal?
“You bercakap dengan siapa?”
“Izzah, kawan kita. Remember?”
Telahanku tepat.
Senyap. Terasa sedikit debaran di hati apabila aku
tidak mendengar respons daripada Zainal.
“Eh, takkan you lupa kut? Izzah Ferhad. Dia kan
sekelas dengan kita, yang duduk sebelah I, ingat tak?”
“Oh, Izzah. I kenal. Tak pernah pun I lupa, sayang.
Hmm... kirim salam pada dia.”
Aku terkedu. Liur terasa kelat. Ucapan Zainal
membuatkan aku hiba entah kenapa. Memori yang pernah
tercipta antara kami terlayar di minda. Ah, sukarnya
menghapus kenangan.
“Helo Izzah, sorry! Nal mengacau pulak tiba-tiba.
Dia kirim salam. You jangan lupa malam ni tau. Kalau I tak
nampak kelibat you, I pergi serbu rumah you pulak malam ni.
Tak kiralah you nak terima ke tak, I tetap nak masuk rumah
you,” ugut Ulya dalam ketawa main-main.
Akhirnya senyuman terukir di bibir. Aku pasti akan
menghadirkan diri. Kisah aku dengan Zainal sudah lama
terkubur. Tidak perlu aku kenang kembali ceritera cinta yang
tidak sampai ke mana.
Usai maghrib malam itu, aku menaiki Honda Jazz
milik Sera ke Petaling Jaya, rumah ibu bapa Ulya. Sempat
lagi dia menyinggah di tempat kerja Syed Hafizi, mengambil
lelaki itu.
“Hai sayang... hei... hai Izzah...” Lelaki yang bakal
menjadi abang iparku sedikit masa lagi menyapa apabila
perasan kehadiranku di tempat duduk belakang.
“You, cepatlah naik!” gesa Sera.
“Kita pergi rumah kawan Izzah dulu. Makan-makan.
Lepas tu, baru I hantar you balik.”
“I ikut aje. I pun lapar ni. Tengok muka you, baru
I rasa kenyang sikit. Maklumlah, you kan selalu buat I rasa
kenyang.”
Aku ketawa mendengar gurauan Syed Hafizi. Pandai
dia mengambil hati. Aku sukakan kemesraan Sera dan Syed
Hafizi yang nampak real di mataku.
“Haa, tu kalau tengok muka I terus hilang lapar you,
maknanya tak lama lagi you nak diserang gastrik. Congrats
in advance.”
“Yang... sampai hati doa I macam tu. Izzah, tengok
kakak you ni, belum jadi isteri I dah doa yang pelik-pelik,”
rengek Syed Hafizi.
Aku menggeleng kepala.
Gurauan dan senda tawa terus mewarnai perjalanan
kami yang memakan masa hampir sejam akibat kesesakan
lalu lintas. Ketika kereta diparkir berhampiran rumah Ulya,
entah kenapa aku tidak senang duduk.
“Jom melantak!” Syed Hafizi terlebih dahulu
memulakan langkah. Aku tercari-cari juga kelibat Ulya dan
err... Zainal di pekarangan rumah itu tetapi tiada.
“Ya Allah, lamanya auntie tak tengok kamu, Izzah.
Makin lawa Izzah sekarang ni.” Mama Ulya memelukku erat.
Aku tersenyum dan membalas pelukannya.
“Alhamdulillah, saya sihat. Auntie pula macam
mana?”
“Alhamdulillah, auntie macam inilah. Dah makin
tua. Sakit sana sini tu mainan orang tualah Izzah. Izzah
datang dengan siapa? Suami?”
Pertanyaan mama Ulya membuatkan aku ketawa
kecil.
“Belum lagilah, auntie,” ujarku sebelum
memperkenalkan Sera dan Syed Hafizi yang tercegat di
belakang.
“Ulya mana, auntie?” soal Sera.
“Ada kat atas. Eh, masuklah... berborak kat luar pula
kita ni ya. Nal! Nal! Tengok siapa datang ni. Izzah... kawan
kamu ni. Pergi panggil Ulya, Nal. Kawan dia datang.”
Aku tersentak apabila mama Ulya menyeru seseorang
yang aku tahu sedang berdiri di belakang kami. Debaran
dalam dada kencang. Aku tidak keruan. Perlahan-lahan aku
memusingkan batang tubuh. Mencari sekujur tubuh yang
telah lama hilang daripada pandangan.
Zainal!
Dia sedang merenungku dengan pandangan yang
sungguh tajam. Aku kehilangan kata-kata. Kerlipan mataku
terasa lambat sekali. Aku seperti tenggelam dalam kelunakan
renungan Zainal. Timbul memori kami yang telah aku halau
jauh-jauh selama 7 tahun. Memori anak-anak sekolah yang
baru mengenal cinta. Pertemuan kami di perpustakaan
sekolah, tempat lepak aku dan dia, bercerita dan bergelak
suka. Betapa manisnya kenangan, tetapi pahit untuk diingat
kembali.
Aku cuba melontar senyuman tetapi terasa bibirku
hanya senget seketika. Canggung benar pertemuan ini
rasanya. Dia masih seperti dulu. Segak dengan gayanya.
‘Sampai hati awak, Izzah. Awak permainkan saya.
Cinta kita tak ada makna pada awak, kan?’
Tidak semena-mena, perbualan terakhir kami
bertahun lalu menjengah kamar fikiran. Keruh wajah Zainal
masih terpahat di sudut jiwa.
Bahagiakah awak, Nal?
“Naiklah Izzah. Ulya ada di atas,” ujar Zainal
perlahan sebelum mengalihkan anak matanya daripadaku.
Dia ke bawah khemah, melayan para hadirin.
Dan aku... hanya mampu menelan liur.
“PERGI LA, lepas tu Dubai. Tak puas lagi, berhenti pula
di Singapore. Macam mana tak delay. Mama I dah call
membebel-bebel dah. Nallah yang punya kerja. You tahulah
dia tu minat sangat travel. Tahun depan dia ajak I ke Kashmir.
Katanya kawan dia pergi sana dan tak habis-habis puji
Kashmir. Kadang-kadang stres juga ikut kepala orang minat
travel ni. Dalam flight dah berjam-jam. Bila sampai, tak
sempat nak rehat, dah ajak berjalan sana sini,” becok mulut
Ulya bercerita tanpa henti.
Aku tersenyum melihat dia berkongsi
kebahagiaannya.
“Alaa... you pun apa kurangnya. Minat travel juga,
kan? Dulu you selalu cakap dengan I, you nak jadi seorang
pengembara, kan?”
“Memanglah I minat travel. Tapi bila dapat suami
terlebih minat ni, I rasa sampai nak termuntah dalam flight
tau. Eh, asyik cerita fasal I... you pula macam mana? Dah
7 tahun tak jumpa, jangan cakap you tak ada sesiapa lagi
eh. Perempuan cantik macam you, takkanlah tak ada yang
pandang?” Ulya menjongket kening nakal kepadaku.
Aku ketawa perlahan.
“I tak ada. Sibuk dengan Dobi Mama,” balasku
ringkas. Tidak mahu memanjangkan perihal itu sebenarnya
kerana aku memang tiada apa-apa dengan sesiapa pun buat
masa ini.
“Aiyooo... takkanlah kut. You ni jual mahal sangatlah,
Izzah. I sampai sekarang tak mengandung sebab you punya
fasallah.”
Aku menelan liur.
“Kenapa pula?”
“I tunggu you kahwin. Kita mengandung sama-sama.
Boleh berbesan.” Ulya ketawa kuat.
Aku yang awalnya terpinga-pinga mula faham akan
gurauannya.
“Eh, kejap. I nampak kawan Ilah. You tunggu sini
kejap ya.” Ulya bingkas bangun.
Mulalah aku sibuk mencari ke mana hilangnya Sera
dan Syed Hafizi. Mataku liar juga di bawah khemah itu tetapi
tidak nampak pula mereka berdua. Sakan sungguh pasangan
sejoli itu. Mabuk kepayang ni susah juga. Jangan ditinggalkan
aku sendirian di rumah ini sudahlah.
“Izzah...”
Panggilan itu menyentakkanku. Aku tidak perlu
menunggu lama untuk mengecam siapakah yang memanggil
sepotong namaku. Aku tahu. Aku sangat tahu. Ternyata,
telingaku masih dapat mengesan dengan baik kelunakan
suara Zainal ketika dia menyeru namaku.
Kali ini aku cuba melorek senyum sekali lagi dan
dapat aku rasakan senyumanku lebih lebar daripada detik
pertemuan hampir setengah jam lalu.
“You nampak berbeza,” sapanya perlahan dan aku
ingin menghadam sapaan itu sebagai teguran daripada
seorang sahabat lama.
“I masih sama, Nal. Mungkin lebih sesuai kalau I
katakan you yang nampak berbeza sekarang ni. Alhamdulillah,
I gembira kita dapat bertemu dalam suasana macam ni,
selepas bertahun-tahun lamanya. I gembira sebab I tahu you
dan Ulya bahagia bersama.”
Zainal merenungku tajam.
“Untuk kebahagiaan yang you sebutkan tu, mungkin
I perlu berterima kasih pada you.”
Kali ini, aku berdiam diri. Kenapa seperti ada
senyuman sinis sahaja pada bibir itu?
“Tak pernah I bayangkan kita akan bertemu lagi
dalam keadaan macam ni.”
Aku menghayati setiap patah katanya. Namun, tidak
dapat aku fahami makna yang tersirat di sebalik kata-katanya.
Apa yang ingin disampaikan oleh Zainal?
Ah, persetankan semua itu! Biarlah aku dengan
tanggapanku dan dia dengan perasaannya.
No comments:
Post a Comment