Sunday, 24 March 2019

Pabila Kau Hadir - Bab 7

PETANG itu, aku memandu ke Dobi Mama. Oleh
sebab parkir kereta di hadapan Dobi Mama sudah penuh,
terpaksalah aku memarkirkan kereta agak jauh daripada
kebiasaan. Masuk sahaja di ruang hadapan, anak mataku
menangkap kelibat Fiqa yang mundar-mandir dengan Lenovo
melekap di telinga.
“Tapi saya pun sibuk ni, encik. Habis tu macam
mana? Saya tak jamin dapat simpan duit ni lama-lama. Kalau
apa-apa berlaku, saya tak mahu dipersalahkan. Lagipun
nilainya banyak. Encik datanglah ambil. Lepas kerja nanti
encik datanglah ambil, ya?”
Aku menjongket sedikit kening, tertanya-tanya
tentang apa yang sedang dibualkan. Bunyinya seperti serius
sekali. Fiqa menjauhkan bibirnya dari corong telefon.
“Ada pelanggan tertinggal duit tunai RM 2000 dalam
poket. Fiqa suruh datang ambil. Tak nak pula. Sibuk katanya.
Dia nak ambil awal pagi esok.”
Aku terkesima. RM 2000? Besar sangat nilainya tu.
“Macam mana ni kak?” Fiqa bertanya pandanganku.
Perkhabaran Fiqa itu sedikit meresahkanku.
Wang tunai dijumpai di dalam poket seluar pelanggan? Itu
sebenarnya sudah terlalu kerap berlaku, tetapi jika sampai
mencecah ribuan ringgit, ini baru julung kalinya. Bagi
aku, ketika inilah keikhlasan dinilai. Dalam sekelip mata,
wang ditemui boleh dimasukkan ke poket sendiri. Tetapi,
aku tidak inginkan begitu. Haram tetaplah haram. Biarpun
boleh berjoli dan bermewah-mewah, jika tiada keberkatan
apalah gunanya duit itu diguna pakai. Rezeki haram yang
menjadi darah daging, akibatnya boleh sampai merosakkan
kemurnian sekeping hati.
“Dia kat mana? Suruh dia contact akak. Akak
hantar,” putusku.
Bincang punya bincang, akhirnya aku mengambil
keputusan untuk menemui pelanggan itu. Bukanlah masalah
besar bagiku kerana hari ini memang aku peruntukkan
sepanjang hari untuk tugasan di Dobi Mama. Jadi, ada baiknya
juga aku selesaikan masalah ini daripada menyimpan wang
tunai sebanyak itu dan memberi risiko kepada diriku sendiri.
“Helo encik, saya dah sampai. Encik di mana?”
“Helo puan. Err... maaf puan, saya terpaksa batalkan
pertemuan kita hari ni. Saya ada hal ni. Saya...”
Aku terpinga-pinga di tempatku. Lantas, apa
perlunya aku bergegas ke sini?
“Encik, saya dah selamat sampai di tempat parking
di hadapan restoran yang encik sebutkan tadi. Saya dah ada
di sini, encik. Paling kurang pun, encik datanglah sekejap,
datang ambil duit encik ni. Sekejap pun jadilah. Kalau encik
tak nak duit ni pun, saya mohon encik hargailah saya yang
bersusah payah datang ke sini semata-mata nak bagi duit
encik,” ujarku berhemah. Kalau ikutkan hati, rasanya sangat
sesuai untuk aku menempelaknya tetapi aku malas mahu
mengambil pusing. Bergaduh dengan pelanggan tidak akan
membawa sebarang keuntungan buatku. Tambahan pula,
melalui cerita Fiqa, lelaki ini merupakan pelanggan tetap
Dobi Mama sejak setahun yang lalu.
Lelaki itu terdiam agak lama. Dia mengeluh.
“10 minutes, I will be there. Fiqa dengan puan ke?
Macam mana saya nak kenal puan?”
“Fiqa tak ikut saya, dia di Dobi Mama. Encik call saya
bila dah sampai di tempat parking ya. Terima kasih.”
Hampir 10 minit berlalu, Vivo milikku masih
tidak berdering. Barangkali lelaki itu tersangkut dalam
kesesakan lalu lintas. Aduh! Menyesal pula aku mendesaknya
menemuiku. Mulalah aku terbayangkan penyeksaanku ketika
menemani Jeff ke mana-mana. Bagai menanti buah yang tak
gugur.
“Ada baiknya aku masuk restoran ni, tunggu sambil
makan,” getus hati kecilku.
“Izzah.”
Aku berpaling sejurus menutup pintu kereta mencari
pemilik suara garau yang menyeru sepotong namaku.
Buat seketika, kami saling bertatapan. Aku tidak pasti
bagaimanakah reaksiku ketika ini. Setelah hampir 6 bulan
lamanya, aku tidak lagi mengharapkan sebarang pertemuan
dengannya biarpun sesekali muncul juga bayangannya di
benakku.
Kami terus bertatapan seolah-olah tidak terasa
peritnya bahang mentari.
“Err... kita jumpa di kampung masa raya dulu,”
ujarnya cuba mengingatkan. Mungkin tingkahku yang
berdiam agak lama menghantar kemungkinan bahawa aku
sudah lupa akan dirinya.
“Ya, saya masih ingat.” Aku melirik lagi ke arah
Iskandar. Penampilannya tampak segak dengan kemeja dan
seluar slek. Rambut hitam pekatnya tersisir rapi. Warna
kulitnya yang sawo matang tampak sesuai dipadankan dengan
kemeja ungu lembut.
Ungu? Kenapa setiap kali aku bertemu dengannya
dia mesti memakai pakaian berwarna ungu? Tapi warna ungu
itu sesuai sekali dengan warna kulitnya yang tidak terlalu
cerah dan tidak pula terlalu gelap. Aku terpegun menatapnya.
“Tak sangka jumpa awak di sini,” ungkap Iskandar
lagi berbasa-basi. Sepasang matanya merenungku tidak
berkelip. Naik segan aku mahu membalasnya.
Aku kematian kata. Tidak tahu apa yang perlu
dibualkan. Sudahnya, aku hanya tertawa kecil.
“Saya nak jumpa pelanggan.”
“Oh, awak kerja kawasan sini ke? Dah masuk
waktu tengah hari ni. Lunch with client?” soalnya setelah
mengerling jam pada tangan kanannya.
“Eh, tak. Saya kerja sendiri, tak kira masa.” Ringkas
jawapanku kepada Iskandar.
“Your own business?”
Aku tersenyum menanggapi kesimpulan yang
dirangka dalam fikiran Iskandar.
“Saya nak masuk ke restoran sekejap sambil tunggu
pelanggan saya. Lapar,” ujarku perlahan.
“Saya hantar awak.”
“Tak perlu.” Serba salah aku melihat dirinya yang
sudah bersedia mahu beriringan denganku. Sesungguhnya,
aku terlalu dibentengi rasa segan apabila berdua-duaan
dengannya. Lelaki ini bagaikan magnet yang menarik-narik
anak mataku agar menatap seraut wajahnya itu.
“My pleasure. Please, let me.”
Nada suara yang berbaur rayuan itu melemaskanku.
Anggukanku menerbitkan senyuman mekar di bibir Iskandar.
“Oh ya, awak pula buat apa kat sini?” Tiba-tiba aku
terfikir tujuan keberadaannya di situ. Masakan berjalan-jalan
tanpa sebab.
“Saya nak ambil barang. Tapi tak apa, saya hantar
awak ke restoran dulu.”
Aku lantas mengorak langkah menjauh sedikit
daripada Iskandar apabila sedar kedudukan kami di antara
dua kereta ini agak rapat. Namun, Iskandar bagaikan tidak
mengerti isyarat yang aku berikan. Dalam pada hendak
berjarak, sedar-sedar sahaja kami sudah beriringan masuk ke
dalam restoran.
“Terima kasih, Iskandar.”
Iskandar tersenyum.
“Gembira jumpa awak hari ni, Izzah. Or should I say,
saya rasa teruja sangat dapat jumpa awak hari ni. What a lucky
day despite all the chaos happening in the morning.” Satu per
satu kata-kata Iskandar menerjah masuk ke pendengaranku.
Aku cuba untuk tidak terlalu menonjolkan rasa suka
atas ucapannya. Tetapi, hati ini terasa hangat sekali. Ironisnya,
aku bagaikan tidak percaya. Iskandar yang kutemui setelah 6
bulan ini agak berbeza dengan Iskandar di kampung umi. Di
sana dia lebih gemar berdiam dan buat hal sendiri. Namun,
hari ini lain benar tingkahnya.
Dia masih merenungku dan aku cuba bertenang
sebaik mungkin. Minuman yang dipesan kucecap sehingga
habis.
“Err... saya rasa saya perlu call pelanggan saya. Dah
lambat sangat ni,” omelku lebih kepada mahu melepaskan
diri.
Sudahnya, Iskandar juga meminta diri. Aku sekadar
menyoroti langkahnya keluar ke pintu restoran.
Vivo milikku mengeluarkan bunyi nyaring. Tidak
perlu aku lihat pemanggilnya, aku sudah tahu. Tentunya
si encik pelanggan yang jelas sekali mengambil masa lebih
daripada 10 minit untuk sampai ke tempat parkir.
“Helo puan, saya dah sampai. Maaf, ambil masa
lama sikit. Puan masih di tempat parking ke?” Sopan
sahaja dia bertanya. Pertemuanku dengan Iskandar yang
bagaikan melambatkan detik waktu membuatkan aku tidak
merasai bahawa lelaki seorang ini sudah membuatkan aku
menunggunya hampir 30 minit.
“Helo, ya. Saya dah masuk ke restoran depan
tempat parking tu. Tak apalah, saya ke tempat parking tu
sekarang.” Aku mengangkat punggung, berjalan ke arah
pintu dan tersentak melihat Iskandar masih berdiri di luar
pintu kaca itu. Dalam pada aku terpegun menatap kelibatnya
yang aku jangkakan sudah jauh daripada pandangan, tidak
semena-mena Iskandar mengalih pandang.
Pandangan kami bersatu.
“Puan...”
Aku dan Iskandar terpaku.
“Iskandar!’
Iskandar! Iskandarlah lelaki yang aku nantikan sejak
tadi. Sedikit demi sedikit aku mula memahami apa yang
sedang terjadi kepada kami.
“You surprised me!” Kudengar sebaris ayat itu
menerobos masuk ke gegendang telinga apabila aku
mendekati Iskandar. Saat ini aku sedar, aku dan Iskandar baru
sahaja dikejutkan dengan kebetulan yang tidak terjangka ini.
“You too,” balasku perlahan dan Iskandar
terkekeh-kekeh ketawa.
Aku turut melambakkan ketawa memikirkan
uniknya pertemuan kami. Daripada hanya bertegur kerana
terserempak, perbualan kami meleret dari satu topik ke
topik yang lain. Rupa-rupanya tidak pula berhenti setakat itu
sahaja. Masih panjang takdir untuk kami.
“Sekejap, saya nak yakinkan diri saya dulu. Awak
datang hantar wang tunai pada saya, kan? Dari Dobi Mama?”
soalnya seperti mendesak.
Aku mengangguk lagi seraya tersenyum.
“Ya Iskandar, sayalah orangnya tu. Saya tunggu awak
15 minit dalam kereta, tapi awak tak muncul-muncul. Jadi
saya turunlah. Nak makan.”
Terlukis riak kesal di wajah Iskandar.
“Maafkan saya, Izzah. Saya tak bermaksud nak
susahkan awak. Ermm... atau saya perlu panggil awak, Puan
Izzah?” soalnya nakal mencetuskan bunga-bunga tawa antara
kami.
Sebentar cuma, tawa Iskandar tiba-tiba terpadam.
Renungan Iskandar tajam menjamah segenap inci wajahku.
Iskandar menghantar pandangan, bagai memohon penjelasan.
Aku terpinga-pinga dengan reaksinya. Apa salahku?
“Awak!” Jari telunjuknya dihala pada tubuhku dan
dia kelihatan seperti sedang mencerna sesuatu. “Awak pemilik
Dobi Mama?” telahnya tidak lama kemudian. Riaknya seperti
masih tidak menduga akan kenyataan yang sudah terbentang
di ruang mata. “Wow... oh...” Seperti terlongo sahaja aku
melihat dirinya. Matanya terpancar rasa kagum.
Aku menjongketkan bahu, dengan niat biarlah
dia meneka sendiri. Reaksiku yang seolah-olah mahu
mempermainkan dirinya tidak berkesan kerana aku tahu
Iskandar tentulah tidak bodoh untuk melihat kebenaran
biarpun aku tidak melafazkannya di bibir.
“Wow... that’s amazing, Izzah. You impress me. Hei,
ya Allah... saya masih terkejut ni. Selama ni, saya selalu ke
sana. Saya dah kenal Dobi Mama sejak...”
“Setahun,” pangkahku.
Iskandar terdiam.
“Ya, dah setahun.” Dia ketawa. “Dah hampir setahun
dan saya tak sangka hari ni saya dapat jumpa pemiliknya.
Biasa berurusan dengan Fiqa sahaja. Kagumnya saya,
akhirnya dapat bertemu dengan pemilik dobi terbaik.”
Aku melambakkan ketawa apabila Iskandar tidak
habis-habis lagi melontar pujian dek rasa teruja dan
terperanjatnya. Aku suka melihat dirinya yang seperti
kanak-kanak baru belajar sesuatu yang baharu. Entah-entah
pujiannya sekadar mahu mengambil hati. Tetapi, seperti
biasa, aku suka gayanya yang begitu lembut menuturkan
bicara.
“Selamat berkenalan, Encik Iskandar. Terima
kasih kerana sudi menjadikan Dobi Mama sebagai pilihan.
Erm... selama ni, saya memang jarang di Dobi kalau hujung
minggu.”
“You're welcome. Jadi, saya nak panggil apa ni ya?
Puan mama atau cik mama?”
Tawa kecilku meletus mendengar soalannya di
hujung kata. Terimbas kembali kenangan di kampung umi.
Tatkala dia melarangku memanggilnya dengan panggilan
encik.
“Boleh panggil saya, Izzah.”
“Manalah tahu, di kampung panggil lain, di KL lain
pula pangkatnya.”
“Saya masih orang yang sama, Iskandar.”
Dia tersenyum lembut. Beberapa saat, kami saling
bertatapan. Ada gelora yang memalu jantung hatiku. Ah,
lelaki ini auranya begitu kuat. Berdekatan dengannya sering
kali menerbitkan perasaan yang sudah lama terkubur. Hangat!
“Terima kasih kerana sudi berkhidmat pada baju
saya selama ni, Izzah.”
“Sama-sama. Lain kali, mohon jangan tinggalkan
duit banyak-banyak dalam poket baju ya! Fiqa tu teringin
benar nak guna duit tinggalan pelanggan untuk majlis
kahwin dia,” usikku.
“Hei... sepatutnya awak pertahankan diri sendiri tau.
Saya asyik panggil awak puan saja di talian.”
“Apalah sangat pada gelaran puan. Saya dah terbiasa
dengan panggilan tu sejak berbisnes dobi ni.”
Lama juga kami berbicara. Sekali pandang, seperti
rakan lama yang kembali bersua. Sedangkan aku dan dia
tahu bahawa kami bukan sesiapa. Berkenalan cuma di
kampung umi, itu pun dengan sikapnya yang acuh tidak
acuh. Berbicara hanya sepatah-sepatah. Hari ini, lain pula
perwatakan Iskandar. Peramah dan lebih mesra. Mungkinkah
6 bulan telah mengubah dirinya? Mungkinkah begitu?
“Terima kasih,” ujar Iskandar apabila sampul yang
berisi wang tunai bertukar tangan.
“Banyak sangat nilainya, Iskandar. Tu yang saya tak
berani nak simpan lama-lama walaupun Dobi Mama memang
ada property drawer khas.”
“Maafkan saya. Saya betul-betul terlupa. Apa-apa
pun terima kasih banyak-banyak ya. Sampaikan salam terima
kasih saya pada Fiqa juga.”
Aku mengangguk. Mengenangkan kami berdiri di
hadapan pintu masuk restoran, aku mula meminta diri. Sudah
tidak jadi mahu memesan makanan sementelah pelanggan
yang ingin aku temui sebetulnya sudah lama sampai. Sempat
minum air saja tadi.
“Err... Izzah. Apa kata saya belanja awak makan?
Sebagai balasan terima kasih saya pada awak, sanggup
bersusah payah ke mari.”
“Mungkin lain kali, Iskandar. Ermm... tadi bukan ke
awak macam sibuk?” Aku mengangkat kening, bergurau.
Dia tertawa menutup kegugupan.
“Itu tadi.”
“Oh, sekarang tak lagilah ya?”
“Saya boleh batalkan kelas jika awak sudi terima
pelawaan saya,” tegasnya. Sepasang mata di sebalik cermin
mata itu terlihat begitu mengharap.
Aku pula yang terkesima mendengarnya.
Istimewakah aku di matanya sehingga begitu sekali Iskandar
mahu memanjangkan ‘memori’ kami hari ini? Ah, hanyalah
angan-angan aku sahaja!
“Atau mungkin kita boleh berjumpa hari lain?”
sambung Iskandar lagi apabila aku mempamerkan tindak
balas seperti enggan mahu menerima permintaannya.
Aku tidak memberi reaksi, dia yang membuat
kesimpulan. Entah mengapa, aku sedikit ralat apabila
Iskandar tidak lagi membuka mulut, mendesak untuk aku
berkata ‘ya’ pada permintaannya.
“Boleh. Just WhatsApp me or give a call.”
Dia tersenyum sebelum kembali diam mengekoriku
ke kereta.
“Masa saya keluar kereta tadi, saya nampak ada
sorang perempuan yang tengah buka pintu kereta. Dari sisi,
saya rasa saya macam pernah nampak aje perempuan tu.
Jadi, saya tenunglah dia. Makin lama saya tengok, saya yakin
dengan perasaan saya. Perempuan tu adalah perempuan yang
pernah saya jumpa di kampung dulu. Disebabkan keyakinan
tu, saya beranikan diri tegur awak. Nasib baik awak ingat
saya. Sebab mula-mula saya tegur tadi, awak macam terkejut
sangat.”
Aku tersenyum mendengar penerangan panjang
lebarnya. Aku ingin menambah, tetapi aku segan sendiri.
Dalam hati, aku ingin katakan kepadanya bahawa aku sudah
mengecam dirinya dari awal lagi dan hanya berpura-pura
kononnya aku memerlukan masa untuk mengingati siapa
dirinya yang pernah wujud dalam lipatan memoriku.
“Saya terkejutlah sebab tiba-tiba ada orang panggil
saya pula. Dahlah saya tengah berasap tunggu orang yang
tinggalkan duit beribu dalam poket.”
Iskandar tersengih.
“Berasap ke? Tak nampak pun asap tu? Mana? Mana?”
“Asap di balik tudung, memanglah tak nampak.
Lainlah kalau awak yang berasap, memang jelas kembang
telinga, asap berkepul-kepul keluar.”
“Saya marah tak keluar asap, terus keluar api.”
“Kalau keluar api tu, badan you yang terbakar, tak
sempat nak transfer api tu kat orang lain. Tu sebab kena guna
perkataan ‘asap’, supaya tak makan diri sendiri.” Entah apalah
topik utama perbualan ini, tapi terasa indah juga berbual-bual
kosong ini. Ah! Kalau hati sudah terbuai, semua yang pahit
akan bertukar manis.
“Ermm, nampaknya awak memang tak nak
mengalah. Asap! Api! Hah! Lagi satu bara api!” Nampaknya
dia juga tak mahu kalah.
Kami kemudiannya saling berpandangan dan
melambakkan tawa sebelum mengucapkan kata selamat tidak
lama kemudian.
Iskandar, apakah akan ada lagi pertemuan antara
kita selepas ini? Hatiku mula merindu.

No comments:

Post a Comment