Sunday, 24 March 2019

Pabila Kau Hadir - Bab 8

“TAK lapar ke? Jomlah temankan aku.”
“Tak. Izzah dah makan sebelum balik rumah. Kan
Izzah dah hantar pesanan suruh makan kat luar,” balasku
separuh membebel seraya menjeling tajam ke arah Jeff. Aku
menjeling kerana akalku sudah dapat menelah fikirannya.
Sementelah malam ini Sera tidur di rumah papa, tentulah
aku sahaja yang menjadi sasarannya.
“Sekejap ajelah,” rayu Jeff tidak henti. Sejak aku
melangkah masuk ke dalam rumah tadi, Jeff merengek
kelaparan bagai anak kecil. Apabila aku menawarkan mahu
memasak nasi goreng yang paling simple, Jeff menolak pula.
“Hesy! Yalah! Yalah! Dekat-dekat sini aje tau,”
marahku sedikit tinggi.
Jeff tersengih. Aku segera masuk ke dalam bilik.
Menukar pakaian tidurku kepada dress labuh tanpa lengan
berserta kardigan melepasi punggung. Tas tangan berjenama
Carlo Rino antara koleksi kesayanganku, aku capai.
Sepanjang perjalanan, Jeff bercerita tentang
mummy yang tidak berputus asa hendak mengenenkan dia
dengan anak Datin Mala, kawan mummy. Ditolak berkali-kali,
mummy buat tidak tahu sahaja.
“Sampai satu tahap tu, aku rasa, our mummy is so
amazing. She's not giving up. Perempuan tu siap mesej aku
lagi. Tak ada masa aku pergi blind date bagailah. Boleh jadi
buta aku join benda-benda macam tu,” gerutu Jeff tak puas
hati.
“Cubalah Jeff. Manalah tahu Jeff serasi dengan dia.”
“Bukan tentang serasi atau tak, Izzah. Aku belum
bersedia ke arah tu. Hati aku belum terbuka nak kahwin
lagi. That’s the main point. Dan aku rasa aku tak terlalu tua
untuk terburu-buru cari pasangan. Tapi mummy tak sabar
pulak. Aduh, ni macam lebih kuah daripada nasi, tahu tak?
Naik pening aku nak terangkan pada mummy. Kau tahulah
mummy tu kadang-kadang tak nak dengar cakap kita.”
‘Tak Jeff, Izzah tak tahu mummy begitu,’ hati berbisik
kepada diri sendiri. Bercakap dengan mummy bagaikan boleh
dikira dalam setahun. Aku membisu.
Perbualan satu hala itu terganggu apabila Jeff
menerima panggilan daripada temannya. Sesudah bercakap
di telefon, Jeff tersengih memandangku. Pandangannya lain
macam sekali.
“Aku terlupa kawan aku ada buat house warming.
Let’s go, melantak kat sana!”
“Jeff, Izzah tak nak! Izzah nak balik. Hantar Izzah
balik dulu.” Aku enggan. Tidak mahu bersendiri lagi di majlis
Jeff. Aku serik!
“Sekejap aje. Kesian si Irfan tu. Dah berapa kali
dia ingatkan aku. Lagipun dia tak jemput ramai oranglah.
Janganlah risau. Aku ada. Kawan aku tak ganggu kaulah.”
“Yeah... sekejap. I know it will take at least 2 hours.
Lepas tu kononlah ‘aku ada’. Ada sebentar aje. Lepas tu...”
Bibirku terjuih-juih mengingatkan sudah berkali-kali
peristiwa yang sama terjadi. Kenapalah aku ni tidak pandai
mengelak seperti Sera? Jeff ni pun satu. Suka sangat nak
mengusung aku dan Sera ke mana-mana. Tahulah abang
penyayang. Biar sajalah aku berehat di rumah.
“Izzah balik naik teksi,” ugutku.
“No, you won't.”
Dalam geram dan sakit hati, aku tiada pilihan.
Sampai juga di kediaman mewah teman Jeff di Damansara.
“Ni rumah anak Datuk Malik, kawan papa. Anak
lelaki dia tu kawan Sera merangkap kawan aku jugalah.”
“Papa ada ke?” Alangkah bagusnya kalau aku dapat
bertemu papa di sini. Boleh juga aku menumpang pulang
nanti. Tidur di rumah papa pun aku rela asalkan aku dapat
lepaskan diri daripada berlama-lama di sini.
“Ni rumah kawan papa, tapi majlis anak dia. Papa is
not here, anyway. Ni bukan majlis koktel or business dinner.”
“Hey Jeff... you almost missed the party, dude.”
Seorang teman mendekat dan memeluk Jeff.
“Adik aku, Izzah.” Jeff memperkenalkan tanpa
sempat aku bersuara. Lelaki itu mengiringi kami masuk ke
dalam rumah.
Aku membuntuti Jeff seperti anak kecil yang takut
dengan suasana asing. Err... alamak, ramainya manusia!
“Cantik adik kau Jeff!” Satu suara bergema dari
belakang.
Aku mula panas punggung. Belum pun menjamah
apa-apa, aku sudah terbayangkan rumah dan tilam.
“Adik aku memanglah cantik. Macam abang dia.
Jangan pandang adik aku lama-lamalah, Joe. Tak bagus untuk
daya ingatan kau,” tempelak Jeff agak kuat membuatkan
ruang itu meriah dengan gelak tawa.
“Kedekut.”
“Hai...” Aku menyapa dua tiga orang rakan
perempuan Jeff yang datang menghulur tangan kepadaku.
“Lewat gila kau datang, Jeff. Busy shooting drama
dengan Teene lagi ke?”
“Minggu lepas dah habis shooting tu di Melaka. Aku
terlupalah malam ni jemputan Irfan.” Jeff ketawa. “Balik
rumah, terus tergolek.”
“Hai bro... gila rindu kat kau.” Seorang jejaka
tinggi lampai mendekati kami dan terus memeluk Jeff. Erat.
Berkali-kali aku melihat Jeff menepuk-nepuk bahu lelaki itu
dan membisikkan sesuatu. Berkerut dahiku melihat gelagat
dua manusia itu.
“Jeff...” Hujung baju Jeff aku tarik.
“Eh, lupa...” Jeff tersengih seraya melepaskan pautan
pada tubuh lelaki itu. “Izzah, ni kawan aku, Hanif. Hanif, adik
aku, Izzah.” Jeff memperkenalkan aku sekali lagi. “Kita orang
nak keluar makan, tiba-tiba dapat call daripada Irfan. Aku
angkut dia sekalilah.”
Kami saling berbalas senyuman. Janggal sungguh
aku berada dalam kelompak ini.
“Kau nak makan apa? Aku ambilkan,” Jeff berbisik
perlahan.
“Apa-apa ajelah. Nak sikit aje. Izzah dah kenyang.”
Aku melabuhkan duduk di sofa. Masing-masing sibuk
dengan teman-teman sendiri seperti yang aku jangkakan. Jeff
bergerak menuju ke tempat hidangan. Banglo dua tingkat
ini, kata Jeff hadiah daripada Datuk Malik kepada anak lelaki
tunggalnya. Namun, Datuk Malik tidak dapat bersama dalam
majlis hari ini kerana mempunyai urusan di luar negara.
Lebih kurang 5 minit aku menunggu Jeff membawa
makanan, tetamu pula makin ramai memenuhi ruangan
itu. Kata hatiku pasti tidak silap. Jeff tentunya ‘ditahan’
rakan-rakannya, sekali gus melambatkan langkah dia.
Sudahnya, aku mengangkat punggung.
Aku mengatur langkah ke luar rumah. Bergemerlapan
lampu-lampu menjadikan seluruh ruang itu bercahaya.
“Izzah...”
Aku menoleh. Spontan, aku terpaku. Iskandar
sedang tersenyum melihatku. Aku terpinga-pinga pula.
Tidak tersilap pandangkah aku ini? Pertemuan kali ini tidak
pernah ada dalam anganku. Bagai di awang-awangan apabila
ditakdirkan bertemu dengan Iskandar malam ini. Kalaulah
begini takdirku, pasti aku tidak kisah mengekor Jeff ke
mana-mana lagi selepas ini.
Amboi, melampaunya! Tapi, apa dia buat di sini?
“Iskandar,” sapaku masih agak terkejut. Lelaki
itu tersenyum menatapku. Sepasang matanya yang galak
menilikku membuatkan aku tiba-tiba terasa segan. “Awak
buat apa di sini?” soalku.
“Rasanya saya yang perlu tanya soalan tu,” ujarnya
bersahaja. “Oh, tidak. Itu soalan yang saya nak tanya bila
nampak awak di muka pintu tadi. Tapi lepas apa yang Jeffry
Ishan cakap, I don’t think I need to ask anymore.”
Aku terkejut. Kiranya dia sudah lama
memerhatikanku? Bagaimana aku hendak ternampak dia jika
dari tadi aku lebih banyak menunduk sahaja?
“Adik tuan rumah ni yang jemput saya dan Hisham.
Hisham is somewhere around.”
“Oh...” Sungguh hilang kosa kataku mahu berbicara
dengannya.
“Wonderful surprise, I guess. Awak adik Jeffry Ishan.
Pelakon yang hot sekali kat kampung saya. Saya teringat
masa raya hari tu. Syaza dan Acu Za asyik bergosip fasal Jeffry
Ishan. Tapi, awak senyap aje. Langsung tak bersuara. Boleh
pula tumpang sekaki tolong dengar fasal abang sendiri.”
Iskandar masih dengan raut muka sukar percayanya.
“Mereka memuji, sebab tu saya senyap. Kalau
mengutuk, saya bersuaralah,” balasku. Betul ke aku hendak
membela si Jeff tu atau sama naik mengutuk?
“Dari mula saya nampak awak masuk dengan Jeff,
tak habis-habis saya berfikir tentang sesuatu. Ingat tak saya
pernah kata saya rasa saya pernah bertemu dengan awak
sebelum di kampung umi?”
Aku mengangguk.
“That’s it. I met you twice before Eid.”
“Twice?” Aku terpinga-pinga. Bilakah itu? Ah,
mungkinkah Iskandar ternampak aku ketika di R & R Tapah?
Kalau ya, itulah detik pertama kami. Yang kedua?
“Yang kedua di Dobi Mama.”
“Dobi?” Dahiku berkerut. Setahu aku, aku mengenal
dia sebagai pelanggan di Dobi Mama sejak pertemuan kami di
restoran 2 minggu lepas. Mungkinkah aku terlupa?
Aku masih merenungnya dalam usaha untuk
mengimbas lipatan memori. Namun, hampa.
“Awak ni mudah lupalah.” Iskandar ketawa kecil.
“Mungkinlah. Maaf, saya rasa tak pernah nampak
awak di Dobi Mama lagi setakat ni.”
“Lupakan.”
“Eh, mana boleh minta lupakan terus macam tu aje?
Kenalah bagi hint untuk saya cuba ingat balik. Cikgu kalau
bagi kerja sekolah mesti kena bagi jawapan kalau pelajar dia
tak tahu atau tersalah jawab, kan?”
Iskandar tergelak dengan hujahku. Kenapa aku
merasakan malam ini lancar sekali perbualan kami, ditambah
lagi dengan suasana nyaman seperti ini? Menghangatkan
pertemuan kami.
“Saya bukan cikgu, awak. Dan biasanya, saya punya
stail. Kalau pelajar saya tak ingat, dia kena cari sampai dapat.
Kalau betul-betul tak dapat setelah beberapa kali percubaan,
baru saya akan bantu.”
“Ala, kejamnya...” rungutku selamba.
“Hei, mulut... no spoon feeding, yeah.”
“Jadi, saya kena cuba lagilah ni.”
“Cubalah lagi. Tapi saya rasa pertemuan kita yang
pertama lebih menarik agaknya.”
“Hmm, yang tu kat mana pulak?” Stres pula aku
berteka-teki dengan lelaki seorang ini. Riaknya selamba
habis. Senyumannya pula manis bergula.
“First hint. Airport.”
Hah? Aku tercengang. Bilalah pula aku ke lapangan
terbang ni? Apa pula kaitan dengan lelaki ini? Kali terakhir
aku naik kapal terbang rasanya 3 tahun yang lalu. Ketika itu,
kami sekeluarga ke Singapura.
Aku menggeleng.
“Lama sangat dah tu. 3 tahun lepas?”
“Cepatnya mengalah. Tak sampai 2 minit fikir dah
give up. Macam mana nak jadi student yang berjaya ni?”
“Betullah. Mestilah saya dah tak ingat apa yang
berlaku pada 3 tahun yang lepas.”
“Second hint. Toilet. Ermm... on the way to the
toilet to be precise.”
Aku menggaru pelipis. Toilet? Lama aku berdiam
sebelum aku teringatkan sesuatu. Burberry Heart Cantley!
Beg aku! Oh my God!
Segera aku kalihkan pandanganku ke arah Iskandar.
“Awak ke lelaki itu?” Aku tercengang-cengang. Allah!
Tentulah dia.
“Awak yang tegur saya kat airport tu ya masa beg saya
tertumpah kopi. Ya Allah.” Tiba-tiba sahaja aku tidak tahu apa
yang perlu aku katakan. Teruja dan terkejut saling bertindih
di sudut hati. Aku ingati detik pertemuan dengannya. Hanya
suaranya yang aku dengar, seraut wajahnya tidak sempat aku
tatap.
“Ya, tapi awak langsung tak sudi pandang saya,”
ujarnya dalam nada merajuk. Atau lebih tepat lagi buat-buat
merajuk. “Sedih benar tengok beg pink dia kotor,” omelnya
lagi membuatkan aku melepaskan ketawa.
“Mestilah, saya baru aje pakai beg tu. Tak sampai
setahun pun. Dahlah jenis yang susah nak tanggal kotoran
degil. Mestilah sedih,” ujarku membela diri. Beg itu masih
ada dalam simpananku, tetapi sudah jarang kugunakan
kerana kotorannya tetap melekat.
“Terima kasih tolong nasihatkan saya versi perli-perli
halus masa saya tengah sedih tu ya,” kataku. Ucapan yang
sepatutnya aku berikan kepadanya hari itu. Namun, kehadiran
Jeff memendekkan pertemuan pertama kami.
Iskandar ketawa.
“Padan muka.”
Aku jegilkan mata. Geram!
“Apa yang awak kata hari tu ya? Nangis tengah-tengah
alam, epik sangat!” Aku mengulang ungkapan sama yang
pernah menerobos masuk ke gegendang telingaku.
Iskandar melarik senyuman.
“Masa kat kampung hari tu, Acu Za asyik cerita
tentang Jeffry Ishan, dan ada drama pelakon tu. Saya tengok
sekali kat TV. Drama malam raya. Masa tu, saya confident
yang dialah orang yang tarik perempuan yang terduduk sedih
kat airport tu. Saya ingatkan isteri dia, tapi bila tanya, Acu
Za kata pelakon kesayangan dia belum kahwin lagi. Lepas tu,
saya buat kesimpulan lagi, girlfriend dia agaknya. Malam ni,
semua persoalan saya terjawab. Rupanya awak adik dia. Tak
iras langsung.”
“Jadi, awak ingat saya ni girlfriend Jefflah masa di
kampung hari tu?” tebakku.
“Hmm...”
Aku tersenyum. Lantas, kalau Iskandar tidak
berfikiran begitu, adakah perbualanku dengannya di kampung
akan menjadi sebaik ini? Dan aku tidak akan berasa janggal
seperti hari raya tempoh hari. Mungkinkah layanannya
kepadaku akan turut berubah?
“Wanna know another secret?” soalnya.
Aku menanti penuh sabar, dalam debaran.
“Saya rasa kita sama-sama ingat hari tu kan. The
only difference between me and you is that you’re forgetful
and I am not,” hujahnya selamba.
Celotehnya membuahkan senyuman kecilku. Tawa
kami menghiasi pekatnya warna malam. Aku dan Iskandar...
Hati kecilku bermohon supaya Tuhan aturkan sesuatu untuk
aku dan dia.
Aku mencuri peluang, merenung Iskandar buat
sekian kalinya. Lelaki bertubuh tegap dengan sepasang mata
yang redup lagi menawan ini telah memukau hatiku.
Tidak semena-mena, pandangan kami bertaut.
Renungan Iskandar yang tajam membuatkan aku hilang arah
dan tidak keruan.
“Izzah, kenapa kau kat luar? Naik sakit mata aku
mencari kau.” Suara Jeff menghapuskan bunga-bungaan
indah yang menabiri hati. Aku menoleh ke arah Jeff yang kian
mendekat.
“Made a new friend?”
Aku mengorak senyuman. Sudah tiba masanya dua
lelaki ini saling berkenalan.
“Jeffry, and you?” Jeff terlebih dahulu menghulurkan
salam dan disambut Iskandar dengan senyuman.
“Iskandar.”
“Kawan Irfan ke? Tak pernah nampak.”
“Oh, tak. Saya kawan kepada adik perempuan Irfan.”
“I see, macam mana pula boleh berkawan baik
dengan kau ni, Izzah? Aku tinggal sekejap aje pun, dah lari
cari kawan baru pulak,” celoteh Jeff seraya menjelingku.
“Sekejaplah sangat. Izzah bosan kat dalam tu. Jeff
punya fasallah. Siapa suruh seret Izzah datang sini?”
“I promise you, habis makan kita terus balik. Jom
masuk. Iskandar, kami masuk dulu ya,” ujar Jeff sebelum
menarik lenganku mengekorinya.
Aku membalas pandangan Iskandar. Aku ingin
mengatakan sesuatu namun tidak terluah. Iskandar juga
sekadar membiarkan aku pergi begitu sahaja. Hatiku terasa
ralat.
Dalam perjalanan pulang, Jeff mula memberi
syarahan seperti yang sudah aku duga.
“Kau tak sepatutnya berbual dengan entah
siapa-siapa kat tempat tersorok macam tu, Izzah. Bahaya
untuk keselamatan kau. Lelaki tu pun satu, bukan main lagi
dia merenung kau macam nak telan.”
“Jeff, janganlah paranoid sangat.”
“Haaa! Paranoid dan sinikal. Aku tahu kau nak cakap
dua patah perkataan tu, kan? I’m telling you, I’m not that
kind of person. Aku risau, sebab kau adik aku. Aku tak mahu
apa-apa jadi pada kau. Kau tanggungjawab aku,” bidas Jeff
tinggi.
Kali ini aku membisu, faham dengan perangai Jeff.
Terkadang, sifat melindunginya membuatkan aku lemas.
Namun aku mengerti, begitulah dia menunjukkan kasih
sayangnya terhadap aku dan Sera.
Lantas, niat hati untuk bercerita tentang
persahabatanku dengan Iskandar terkubur begitu sahaja.

ISKANDAR! AKU pejamkan mata dengan hati yang
melayang-layang. Apa yang sudah Iskandar jampikan aku
agaknya? Aku terbayangkan pertemuan dengannya. Aku
terkenangkan bicara lembutnya. Aku merinduinya sepanjang
masa, wajah tampannya sering terbayang di ruang mata,
gemeresik suaranya menampan telinga tak kira masa.
Cintakah ini? Sayangkah ini? Andai benar inilah rasa cinta.
Oh, alangkah hebatnya perasaan cinta ini!
Tetapi...
Senyumku pudar. Harus aku akui hubungan kami
memang bertambah baik dan rapat dari hari ke hari. Tika
malam menjelma, pasti aku dan Iskandar akan bergayut lagak
anak muda yang baru sedang mengenal kata cinta. Tetapi,
tidak pernah terdengar pengakuan cinta itu baik daripada aku
mahupun Iskandar. Lantas, aku takut sendiri. Kalau-kalau
hanya aku yang menganyam impian indah untuk bersama
Iskandar sedangkan Iskandar hanya menganggap aku tidak
lebih daripada seorang kawan. Atau tidak lebih daripada anak
angkat umi yang ditemuinya di kampung.
Aku terkenangkan memori cintaku bersama Zainal
bertahun lalu. Terlalu kerap lafaz cinta bergema di telinga.
Tetapi kali ini, zero!
Akukah yang sedang ralit dengan kata hati?
Setiap kali bersua, tidak banyak yang kami
bualkan. Tetapi, kehadirannya yang ibarat Chipsmore itu
entah mengapa cukup membuai hati ini. Ada ketika, aku
terbayang-bayangkan Iskandar berhari-hari. Parah sungguh
kurasakan. Ibarat mandi tak basah, makan pun tak kenyang.
“Buat apa tu?”
Aku merenung siling. Buat apa ya ni? Termenung?
“Helo... orang di sana, awak buat apa tu? Bisu pula
tiba-tiba. Kenapa ni?”
“Tak buat apa-apa pun. Termenung mengenangkan
nasib diri.”
“Macam nak bunuh diri aje bunyinya,” omel
Iskandar. Ketawa kecilnya menampan telinga.
Aku tergelak. Nauzubillah. Tidaklah sampai begitu.
Akalku, alhamdulillah masih waras.
“Saya tak ada kat sana kalau awak nak bunuh diri.
Tak dapat nak selamatkan. Keluar dalam berita esok pagi, saya
tak nak jadi saksi.”
“Hesy, awak ni. Tak adalah. Tak ada buat apa-apa pun.
Semua dalam bilik masing-masing. Awak pula buat apa?”
“Tadi baca research proposal student saya. Sekarang,
rest sekejap.”
“Oh... ahli akademik memang busy ya?”
“Depends on your time management. Mine was
okay. But these few days were quite busy. Tak sempat
nak check proposal siang hari. Terpaksalah carry forward
korbankan masa rehat.”
“Jangan abaikan kesihatan. Kerja kuat macam mana
sekalipun jangan lupa makan tau. Nanti jatuh sakit.”
“Terima kasih untuk nasihat tu. Saya hargai. Same
goes to you. Basuh baju kat kedai dobi tu jangan sampai
tertelan air sabun,” gurau Iskandar lembut.
“Eh, awak ni. Asyik doakan yang tidak-tidak aje untuk
saya. Tadi bunuh diri, ni tertelan air sabun pula. Bencilah!!!”
rengusku agak kuat. Lebih kepada hendak menarik muncung
sebenarnya.
Namun, Iskandar di hujung talian sekadar
mendendangkan ketawa romantisnya sehingga aku kelu
sendiri. Suka benar dia dengan rajukku.
“Saya nak inform awal-awal ni. Kalau awak merajuk,
saya letak phone. Tak pandai nak pujuk. So not me.”
“Bila masa saya merajuk?”
“I can feel that.”
“Tak ada. Sikit pun saya tak merajuk. Cuma geram
adalah. Doakan kita yang bukan-bukan pula.”
“Izzah, saya bergurau saja. Takkanlah nak doakan
yang pelik-pelik untuk sayang saya ni.”
Pegun aku tanpa suara. Sayang saya? Dek terkujat,
aku menjauhkan sedikit telefon pintarku dari telinga.
Memandang gadget itu dengan rasa yang pelbagai. Aku
tengah berhalusinasi ke ni? Sungguh aku masih memikirkan
benarkah apa yang aku dengar.
Spontan, aku berdeham entah kenapa.
“Sakit tekak tiba-tiba ke?” suara itu bagaikan
memerli.
“Tak adalah,” jawabku bersahaja.
“Izzah...”
“Ermm...”
“Saya akui kita baru kenal. Tapi, saya mahu beritahu
awak sesuatu. Saya selesa bersama awak. Saya tak pandai
menggambarkan rasa hati saya. Jujur saya katakan, saya tak
pernah berperasaan begini dengan mana-mana perempuan
lain. Tetapi saya pasti ada sesuatu untuk awak dalam hati ni.”
Aku nyata terpaku dengan pengakuan mengejut itu.
Berderau darahku. Kulit wajahku terasa tebal berinci-inci
biarpun lelaki itu tiada di ruang mata untuk menyaksikan
tingkahku yang sedang dihimpit rasa segan.
Memekar dan hangat perasaanku dengan pengakuan
itu. Iskandar... Sepotong namanya terukir indah dalam
hatiku. Jiwa memahat seraut wajahnya.
“Izzah, are you still there?” Dia menyoal memohon
kepastian.
“Saya di sini,” balasku separuh berbisik.
“Saya tak hairan kalau awak terkejut. Saya cuma
katakan apa yang saya rasa.”
“Terima kasih untuk rasa itu, Iskandar. Saya hargai
perasan awak. Dan ingin saya katakan, saya juga selesa
dengan hubungan kita.” Ah! hubungan apa yang sedang kami
bicarakan ini? Kawan? Teman tapi mesra? Atau kekasih yang
sedang hangat memadu asmara cinta? Istilah itu terdengar
asing sekali pada cuping telingaku.
Lantas, mungkinkah Iskandar sekadar memaksudkan
aku sebagai temannya? Fikiran itu tiba-tiba memadamkan
semangat dan rasa gembiraku sebentar tadi.
“Saya gembira ada teman sebaik awak,” bicara
seterusnya daripada Iskandar membuatkan aku menelan liur.
Telahanku tepat sekali. Terasa jauh hati ini.
Nafas kutarik dalam-dalam. Sabarlah aduhai hati...

No comments:

Post a Comment