Sunday, 30 June 2019

Kampung Hilang - Bab 3

Awal Disember 1948...
PAGI di kampung itu tidak lagi seindah
seperti sebelum perang dan darurat. Walaupun mereka
tidak lagi mendengar letupan bom atau bunyi rentetan
senapang atau machine-gun, tetapi sesekali terdengar
juga bunyi tembakan dilepaskan di dalam hutan di
pinggir kampung. Entah oleh siapa walaupun setahu
mereka, kampung itu memang dikawal oleh askar-askar
kerajaan.
Ramai orang kampung yang sudah bersiap-siap
untuk berpindah. Mereka tidak mahu terperangkap
ketika waktu perintah berkurung berkuat kuasa, jadi
masing-masing memilih untuk keluar seawal mungkin
pada sebelah pagi.
Kampung Hilang
52
Semakin banyak rumah yang telah dikosongkan.
Kampung itu semakin sunyi. Hanya tinggal beberapa
buah keluarga sahaja lagi yang masih menunggu
saat-saat akhir sebelum mengosongkan kampung
itu sepenuhnya. Antara mereka termasuklah Mid dan
Daram.
Daripada gelagat yang ditunjukkan oleh Daram,
Mid tahu ada sesuatu yang amat membimbangkan
Daram. Setiap kali ada orang bercakap tentang
Andang, Daram akan mendengar dengan penuh teliti
tanpa mahu campur. Walaupun ada orang yang cuba
mendapatkan pandangan Daram tentang Andang,
Daram tetap memilih untuk mendiamkan diri.
Mid tahu, Daram sedang menyembunyikan
sesuatu. Sesuatu yang amat merunsingkannya dan
ada kena-mengena dengan Andang. Selagi boleh,
Daram mahukan orang kampung segera meninggalkan
kampung itu. Selagi boleh, Daram cuba memastikan
tiada sesiapa yang akan tinggal di kampung itu lagi.
Mat Perang dan dendam komunis sering kali dijadikan
alasan agar orang kampung bersetuju untuk berpindah
beramai-ramai.
Daram hampir berjaya sebenarnya.
“Kenapa dengan kau ni, Daram? Aku tengok
kau semakin gelisah sahaja. Cuba kau ceritakan kepada
aku. Mungkin aku boleh bantu,” Mid cuba mengumpan
Daram untuk berterus terang.
“Kau dah suruh keluarga kau berpindah dari
kampung ni?”
Rosli Mohd. Sah
53
“Dah. Mak dan adik-beradik aku semuanya dah
berpindah ke kampung pak cik aku. Pak cik aku dah
buat rumah lain pun untuk keluarga aku.”
“Baguslah.”
“Kau sendiri?”
“Keluarga aku memang dah lama berpindah.
Aku seorang saja yang masih ada di kampung ni.”
“Kenapa kau tak pindah sekali?”
“Aku ada kerja yang perlu dibuat. Ada amanat
yang perlu aku tunaikan.”
“Kerja dan amanat?” Mid mengerutkan dahinya.
“Tak payah tahulah.”
“Janganlah macam tu. Kita dah bersama.
Alang-alang bersama, lebih baik kau beritahu aku.
Sekurang-kurangnya tidaklah aku terpinga-pinga,” Mid
cuba berseloroh.
Tetapi Daram jangankan ketawa, senyum pun
tidak.
Daram merenung perkampungan yang terletak
di bawah bukit. Serambi itu bagaikan satu pentas
terbuka untuknya menyaksikan pementasan hidup di
sebuah perkampungan yang semakin sunyi, semakin
kosong dan semakin ditinggalkan.
“Aku bimbangkan Andang.” Akhirnya Daram
bersuara juga.
“Kenapa dengan Andang? Bukankah dia
penyelamat kampung ni? Dia yang jaga keselamatan
Kampung Hilang
54
kita semua,” tanya Mid, bertalu-talu.
Daram mengangguk.
“Benar... tapi... kau belum kenal siapa Andang
lagi.”
“Siapa Andang?”
Daram berdecit. Dia keberatan untuk
memecahkan rahsia.
Ketika itulah beberapa suara bersatu, menjerit
dan berulang-ulang kali memanggil serta menyeru
nama Daram.
Daram dan Mid segera menjengah. Beberapa
orang kampung mengekori Ibu Darus berjalan ke
tangga serambi rumah Daram.
“Kenapa ni? Apa dah jadi?” tanya Daram.
“Darus hilang!” Ibu Darus terus memberitahu.
“Hilang ke mana?”
“Manalah aku tahu. Pagi tadi, dia dah tak ada di
tempat tidurnya.”
“Awal sangat... barangkali dia pergi cari ubi dan
umbut kut?” Mid cuba mencelah.
Wanita tua itu menggeleng pantas. Cadangan
itu ditolak mentah-mentah.
“Aku kenal anak aku. Darus lebih sanggup
tahan lapar daripada pergi cari makanan. Dia bukannya
seberani mana nak pergi seorang diri. Lebih-lebih pada
waktu itu, masa semua orang masih tidur.”
“Boleh jadi dia ke pekan?” Daram pula cuba
Rosli Mohd. Sah
55
meneka.
Sekali lagi wanita itu menggeleng.
“Laki aku juga hilang,” seorang wanita kampung
yang berambut kusut-masai turut memberitahu Daram.
Ternyata pagi itu, selain Darus, beberapa orang
lelaki kampung itu turut hilang secara misteri.
“Bala lagi!” Mid mula susah hati.
Daram mengertap bibirnya.
“Malam tadi, imam balik,” Ibu Darus
membocorkan rahsia itu.
“Imam balik?” Daram menenung wajah Ibu
Darus dalam-dalam.
Wanita itu mengangguk.
“Dia minta tolong. Katanya dia berjaya larikan
diri dari kem komunis.”
“Siak?”
“Katanya, dah dibunuh komunis.”
“Macam mana dia boleh lepas?”
“Entah...”
“2 malam sudah, imam datang minta tolong
laki aku. Dia cakap dia berjaya larikan diri dari kem
komunis juga,” wanita berambut kusut-masai yang
kehilangan suami itu juga membocorkan rahsia.
Mid dan Daram saling berpandangan. Sesuatu
bermain-main di benak mereka.
“Di mana imam sekarang?” Daram mengambil
Kampung Hilang
56
goloknya yang bersarung dan dikenakan ke pinggang.
Mid tahu ke mana Daram hendak pergi.
“Tak tahu. Pagi-pagi lagi dia dah hilang,” kata
Ibu Darus.
“Aku tak percaya imam balik ke kampung ni
untuk dapatkan bantuan. Aku tak percaya dia berjaya
larikan diri dari kem komunis. Aku percaya, dialah
komunisnya. Selama ini, dialah tali barut Mat Perang,”
kata Daram dengan garang.
Orang kampung kelihatan terkejut dengan
kata-kata Daram. Sukar untuk mereka menerimanya.
Apatah lagi imam adalah seorang yang kelihatan warak,
alim dan bijak berhujah agama.
“Buat apa dia culik orang kampung?”
“Dia cuba nak tahu di mana kedudukan sebenar
Andang. Dia nak tahu di mana tempat persembunyian
Andang. Dia nak tahu berapa kekuatan yang ada pada
Andang. Aku percaya, orang yang hilang ni semua
banyak bercakap tentang Andang,” kata Daram lagi.
“Memang dia banyak bertanya tentang Andang
pun,” Ibu Darus bersuara kesal. “Aku dah agak, imam
memang tidak pernah bertukar kiblat dan fahamannya.”
“Ibu Darus kenal imam sebelum ni?”
“Apa pulak yang tak kenalnya. Aku kenal
dia semenjak zaman MPAJA. Aku kenal dia masa dia
jadi pengikut Mokhtaruddin Lasso lagi.” Ibu Darus
memecahkan rahsia. Bukan sahaja rahsia imam, tetapi
rahsia dirinya sendiri.
Rosli Mohd. Sah
57
“Maknanya, imam memang komunis?”
“Tak pastilah aku dia tu komunis ataupun tidak,
tapi dia memang menyokong perjuangan komunis.
Katanya, hanya perjuangan radikal dan revolusi sahaja
yang boleh memerdekakan negara ini. Tapi aku pasti,
dia tidak pernah menyertai Rejimen Ke-10. Besar
kemungkinan dia hanyalah Min Yuen biasa,” kata Ibu
Darus lagi.
“Darus ada terlibat ke?” Mid cuba menduga.
“Aku tak benarkan. Aku tahu sebab aku dulu
adalah AWAS. Aku yang tolong Shamsiah Fakeh
lari daripada buruan Inggeris ke dalam hutan. Aku
terlibat dengan gerakan tu tapi aku tak pernah percaya
komunis akan memerdekakan negara ini. Ini Tanah
Melayu, kenapa pula orang yang mahu bina Empayar
Komunis Shantung, yang mahu mengabdikan Melayu
sebagai buruh murah perlu dianggap sebagai pejuang
kemerdekaan? Mereka sama seperti Inggeris, sama
seperti Jepun, Portugis, Belanda dan Siam... mereka
juga adalah penjajah.”
Ibu Darus membuatkan orang kampung
berpandangan sesama sendiri. Selama ini tiada sesiapa
pun yang memberikan perhatian kepada wanita yang
gemar berkemban dan makan sirih itu. Tiada sesiapa
pun yang tahu latar belakangnya. Malah tiada sesiapa
pun yang faham aras pemikirannya.
“Aku pasti, imam yang melarikan Darus. Imam
mungkin cuba mengumpulkan pasukannya sendiri
untuk menyaingi Mat Perang. Aku nak minta tolong
kau, Mid dan Daram... dapatkan bantuan Andang.
Kampung Hilang
58
Keluarkan Darus. Aku lebih rela jumpa Darus dalam
keadaan mayat daripada aku jumpa balik sebagai
komunis,” kata Ibu Darus dengan linangan air mata.
“Aku akan cuba tolong. Aku akan cuba dapatkan
bantuan Andang.” Suara Daram tersekat-sekat.
“Andang datang! Andang datang!” Suara orang
kampung bersahut-sahutan.
Dari serambi rumah Daram, mereka dapat
melihat Andang muncul bersama beberapa orang lelaki
orang asli yang terpaksa dipapah.
Semua orang berlari meninggalkan rumah
Daram, menuruni bukit menuju ke halaman masjid
tempat pertemuan lazim bagi sesiapa pun yang datang ke
kampung itu. Daram dan Mid juga turut bersama-sama
orang kampung. Mereka juga ingin tahu apa yang telah
berlaku kepada orang yang banyak dimitoskan tentang
kehebatan, keperwiraan, ketangkasan mahupun
kebijaksanaan dalam memburu komunis.
“Ada orang yang telah membocorkan rahsia aku
dan penduduk Kampung Sungai Kumbai,” kata Andang
dengan garang sebaik sahaja dia terpandang wajah
Daram.
“Imam... imam yang bocorkan rahsia kau,”
beritahu Daram.
“Imam? Imam masjid ni?” Andang seperti tidak
percaya.
“Ya, selama ini dialah tali barut komunis. Ibu
Darus tahu banyak tentang latar belakangnya,” kata
Daram lagi.
Rosli Mohd. Sah
59
Andang berpaling ke arah Ibu Darus tetapi tidak
bertanya apa-apa. Sekadar merenung dan kemudian
menghela nafas panjang.
“Komunis masuk ke Kampung Sungai
Kumbai masa ramai orang kampung keluar berburu.
Mat Perang dan komunis tu cuba balas dendam. Aku
percaya, komunis dari luar datang untuk bantu Mat
Perang selepas aku bunuh ramai anggotanya sebelum
ini,” kata Andang. Komunis menyerang pada ketika
orang kampung sedang mencari rezeki dan kurang
berkawal. Bukan sahaja waktu serangan, tempat untuk
menyerang, kawasan yang dijadikan oleh Andang
sebagai kubu dan tempat untuk bersembunyi pun turut
diserang komunis. Itulah yang meyakinkan Andang
bahawa maklumat itu sebenarnya disalurkan oleh orang
yang pernah datang ke tempat persembunyiannya.
Penjelasan daripada Ibu Darus akhirnya
membenarkan tanggapan Andang.
“Andang, aku nak minta tolong kau sikit,” kata
Ibu Darus, merayu.
“Apa dia?” Andang sedikit mendengus.
“Aku terlebih dahulu minta maaf bagi pihak
anak aku. Anak aku tu terlalu ingin jadi pejuang. Dia
tersilap langkah kerana tidak kenal kawan. Walaupun
dia bersalah, aku mohon sangat-sangat, selamatkanlah
dia daripada gerombolan komunis tu. Aku tak rela
anak aku jadi komunis dan dikutuk manusia sepanjang
zaman,” kata Ibu Darus. Air matanya mula mengalir.
“Tak payahlah nak minta maaf. Aku tahu apa
Kampung Hilang
60
yang perlu dibuat,” beritahu Andang.
Lelaki orang asli yang mengalami kecederaan
telah dirawat oleh Daram dan Mid dengan dibantu oleh
beberapa orang penduduk kampung. Ketika semua
orang sibuk memberikan perhatian kepada lelaki-lelaki
orang asli itu, Andang pula menghilangkan diri.
“Mid, kau tengokkan orang kampung,” kata
Daram.
“Kau nak ke mana?”
“Aku nak ke tepi sungai sana.”
“Buat apa?”
“Jangan banyak tanya. Ikut sahaja apa yang aku
suruh.”
Daram meninggalkan pekarangan masjid. Dia
berjalan pantas menuju ke sebatang laluan yang akan
membawanya ke sungai. Laluan itu sebenarnya adalah
laluan yang digunakan untuk ke pekan berhampiran.
Itulah laluan yang paling dekat tetapi perlu menyeberang
sungai. Walaupun dekat, tetapi orang kampung jarang
menggunakan laluan itu.
Namun Daram tahu, ada sesuatu yang menarik
di tepi laluan tersebut yang akan menjadi tumpuan
Andang. Andang sudah pasti akan ke situ demi
mencapai matlamatnya. Amanat arwah bapanya kembali
bermain-main dalam fikiran. Dia perlu menghalang
Andang sebelum terlambat.
Tepat sebagaimana yang difikirkan. Andang
sedang bersila, berteleku dengan kedua-dua belah
Rosli Mohd. Sah
61
telapak tangannya bertangkup dengan silaan bunga
teratai di atas batu besar yang dililitkan kain merah.
Matanya terpejam rapat dan mulutnya terkumat-kamit
membaca sesuatu.
“Andang! Hentikan!” Daram bersuara garang.
Suara Daram mengganggu tumpuan fikiran
Andang. Matanya terbuka dan dia kelihatan marah.
“Kenapa kau kacau kerja aku, Daram?
Sepatutnya kau bantu aku. Kau sepatutnya tolong aku,”
kata Andang dengan suara kesal.
“Aku tak mahu bersekutu. Bukankah arwah dah
pesan, tindakan kau takkan mendatangkan kebaikan,
tapi masalah yang lebih besar.”
“Aku tahu macam mana hendak mengawalnya.”
“Tak ada sesiapa yang dapat kawalnya.
Sebaliknya dia yang akan kawal kau.”
Andang ketawa besar. Dia
memperlekeh-lekehkan ingatan Daram.
“Aku telah bersatu dengannya. Aku dah buat
perjanjian dengannya.”
“Apa yang kau korbankan?” Daram segera
bertanya.
Andang tidak terus menjawab tetapi tersenyum
lebar.
“Andang... kau korbankan anak kau, Melati?”
Daram seperti tidak percaya. Suaranya separuh berbisik.
“Ya... aku korbankan Melati demi orang
Kampung Hilang
62
kampung.”
“Kau...”
“Apa yang kau susahkan? Melati bukannya
mati. Melati masih hidup, selamat dan tak tahu pun dia
sebenarnya telah dikorbankan.”
“Bapa apa kau ni???” Daram benar-benar kesal
dengan tindakan terburu-buru Andang.
“Daripada kau membebel di sini, pergilah
selamatkan orang kampung tu. Selamatkan juga
orang-orang aku. Aku nak ajar komunis-komunis
bedebah tu. Malam ni, imam dan Mat Perang mesti
muncul di kampung ni.”
Daram mahu bersuara. Dia benar-benar tidak
bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh Andang.
Dia tahu, bahaya yang menanti jauh lebih besar
daripada kebaikan yang dijanjikan. Amanat dan ingatan
arwah bapanya sentiasa kekal dalam ingatannya. Dia
tidak menyangka sama sekali, anak murid bapanya yang
bernama Andang itu rupa-rupanya menanggapi secara
serius gurauan tentang ilmu memanggil semangat
hutan yang sering kali digunakan oleh guru-guru
tua untuk mengasah kebolehan dan ilmu anak murid
mereka.
Paling tidak disangka-sangka oleh Daram,
Andang sebenarnya menguasai ilmu tersebut dengan
baik biarpun bapanya banyak menurunkan ilmu dan
mengajarnya berbanding Andang yang datangnya
hanya sesekali.
Namun masa sudah semakin suntuk. Tiada
Rosli Mohd. Sah
63
apa-apa yang dapat dilakukannya kalau Andang sudah
mengatakan yang dia akan membalas dendam terhadap
imam dan Mat Perang. Apatah lagi, dia sendiri ingin
melihat bagaimana imam dan Mat Perang datang ke
kampung itu dan menyerah diri. Sebelum kampung
itu benar-benar ditinggalkan, Mat Perang dan imam
mahupun komunis itu perlu diajar terlebih dahulu.
Ketika Daram sampai di masjid, dia tidak
bercakap apa-apa. Walaupun Mid cuba mendesak
dan mengeceknya untuk menceritakan tentang
kehilangannya tadi, Daram sekadar mendiamkan diri.
“Kita tengok apa yang akan berlaku malam
nanti. Nak lebih mudah, kita berkumpul di rumah aku
sajalah. Sesiapa yang ada makanan, bawa ke rumah aku.
Kita makan beramai-ramai. Kita bergotong-royong.
Mungkin inilah malam terakhir kita di kampung ni,”
kata Daram kepada orang kampung.
Tiada sesiapa pun yang mahu membantah
kata-kata Daram. Masing-masing segera pulang ke
rumah untuk mengambil makanan yang masih ada.
Walaupun tidak berbahagi tugas, tetapi masing-masing
tahu apa yang perlu dilakukan.
Cuaca yang begitu baik sepanjang minggu,
petang itu bertukar mendung. Langit kelihatan berat
dengan awan hitam berkepul-kepul bagaikan asap
daripada pembakaran tayar getah. Angin juga agak
kencang. Di sebelah timur langit, lebih tepat lagi dari
arah gunung, kilat memancar-mancar dan guruh
berdentum-dentam bagaikan ada satu pesta berat di
dada langit yang hampir meruntuhkannya.
Kampung Hilang
64
“Jangan bercerai-berai dan terpisah-pisah.
Pastikan semua orang berkumpul di masjid!” arah
Daram kepada orang kampung. Dia telah menukar
fikiran, tidak lagi meminta orang kampung berkumpul
dan bergotong-royong di rumahnya, tetapi di masjid.
Mid tidak pasti sama ada orang kampung
mendengar arahan Daram. Dia sendiri pun berasa gerun
melihat perubahan alam itu. Pokok-pokok yang ada di
sekitar kampung seperti ditolak dengan tangan ghaib
yang besar sehingga tunduk ke tanah walaupun belum
patah. Beberapa buah rumah kosong pula tercabut
perabung dan dinding kerana dipukul angin yang agak
kencang.
“Daram... cuaca ni menakutkan!” kata Mid
kepada Daram yang masih memerhatikan langit dan
awan dari tangga masjid.
“Apa yang berlaku selepas ini lagi menakutkan,”
balas Daram sambil menghela nafas panjang.
“Apa maksud kau?” Mid membulatkan matanya.
“Andang.”
“Apa Andang dah buat?”
“Dia dah puja batu tu.”
“Hah???” Mid langsung terduduk di anak tangga
masjid. Dahinya ditepuk.
Daram kerutkan kening dan dahinya.
“Kau tahu apa yang Andang cuba buat?” Daram
cuba mendapatkan kepastian.
“Kenapa pula aku tak tahu? Andang memanggil
Rosli Mohd. Sah
65
syaitan itu. Syaitan itu akan musnahkan seluruh
kampung dan penduduk,” kata Mid. “Syaitan tu akan
mengubah kampung ini buat selama-lamanya.”
“Dari mana kau tahu?”
“Aku juga belajar dengan arwah bapa kau.”
Daram menggaru-garu pangkal tengkuknya.
Ternyata, banyak benda yang dia tidak tahu tentang
arwah bapanya. Lebih banyak benda yang tidak
disangka-sangka bakal berlaku kerana banyak rahsia
yang tidak pernah diungkapkan kepadanya ketika arwah
bapanya masih hidup.
“Daram, kau kata arwah ada bagi amanat kepada
kau, kan?” Mid cuba mengingatkan Daram.
“Arwah bapa aku tak pernah cakap apa-apa
dengan kau?” Daram hilang nafsu untuk terus berbual.
Mid menggeleng.
“Tak ada. Kau anaknya, sudah tentulah dia
memberikan tanggungjawab tu kat kau. Lagipun
berbanding kami yang belajar sambil lalu ini, kau adalah
anaknya yang dia didik dan ajar dengan sempurna.”
Daram termenung sejenak. Dia seperti cuba
mengesan keikhlasan pada kata-kata Mid.
“Pesanannya kepada aku ialah, pastikan batu
besar di jalan masuk ke kampung ni dari arah sungai
tidak dipuja. Dia minta aku pecahkan dan musnahkan
batu besar tu.”
“Dah terlambat.”
“Ya, dah terlambat. Aku tak fikir ada orang yang
Kampung Hilang
66
tahu tentang syaitan itu dan pemujaannya.”
Daram merenung kaki langit. Dia menuding
ke ufuk barat yang kelihatan berat dengan awan hitam
berkepul.
“Kau nampak tu? Kita dah terlambat,” kata
Daram.
“Dah terlambat?” Mid seperti tidak percaya.
“Ya, dah terlambat... Kumpulkan orang
kampung. Syaitan itu bukannya kenal mangsa. Aku
yakin selain Mat Perang dan imam, akan ada mangsa
lain yang tidak berdosa dibaham syaitan tu,” kata
Daram lagi.
Mid berlari dari sebuah rumah ke sebuah rumah
yang lain, memaklumkan dan memaksa penghuninya
agar segera berpindah ke masjid. Mid memberitahu
tentang natijah buruk yang akan menimpa mereka
sekiranya mereka enggan. Mid terpaksa meyakinkan
mereka bahawa hanya berlindung di dalam masjid dan
berada dalam kelompok yang besar sahaja yang mampu
menyelamatkan nyawa mereka.
“Ancaman ini lebih besar dan lebih bahaya
daripada komunis. Kalau nak hidup lama, cepat ikut
seperti yang disuruh!” ujar Mid apabila ada orang
kampung cuba bertegang leher dengannya.
Kesungguhan Mid untuk mengumpulkan orang
kampung berbaloi apabila hampir kesemua mereka
berkumpul di pekarangan masjid. Kecuali seorang
sahaja iaitu Ibu Darus.
“Kau dah pergi ke rumah dia?” tanya Daram.
Rosli Mohd. Sah
67
“Dah. Rumahnya kosong.”
“Kau dah cari dia?”
“Dah... seingat-ingat aku, dia tidak ke
mana-mana pun sejak dia datang maklumkan kepada
kita yang Darus hilang diculik imam.
“Mungkin dia masuk ke hutan mencari Darus
sendiri. Dia kan kenal imam.”
“Mungkin juga.”
“Pandailah dia jaga diri. Kita dah usahakan yang
terbaik untuk orang kampung. Bukannya bergaji pun.”
“Selagi kita terus bertahan di kampung ni,
selagi itulah macam-macam masalah akan melanda.”
“Ya. Aku setuju.”
Deru angin semakin kuat. Dari arah gunung,
suara angin amat menggerunkan. Seolah-olah seperti
bunyi lohong besar yang sedang menyedut air.
Bunyinya amat kuat. Sesekali pancaran kilat dan petir
sambar-menyambar di kawasan gunung. Semuanya
dapat dilihat dengan jelas dari arah masjid.
Ada orang kampung yang mula menangis.
Ketakutan dan kebimbangan kembali menghantui
mereka. Ada juga yang menyalahkan Mid dan Daram
kerana tidak membenarkan mereka bersembunyi dan
berlindung di rumah masing-masing.
“Kalau kau orang semua rasa syaitan yang
dipuja Andang itu akan berkawan dan bermain-main
dengan kau orang semua, pergilah balik ke rumah
masing-masing. Aku nak tengok berapa ramai yang
Kampung Hilang
68
masih hidup pagi esok,” kata Daram dengan geram
apabila dia terus diasak oleh orang kampung yang tidak
berpuas hati.
Kata-kata Daram membungkamkan mereka.
“Andang puja syaitan untuk dia balas dendam.
Kau orang nampak di kaki gunung tu? Nampak awan
hitam tu? Andang dah buka pintu untuk syaitan tu
keluar. Dengar tak bunyi macam air disedut tu?” Mid
pula menokok.
Saat itulah, beberapa orang yang sedang berada
di bawah masjid berlari keluar dalam keadaan kalut.
“Masjid nak runtuh!” kata mereka serentak.
Daram dan Mid berpandangan sesama sendiri.
Semua orang kampung berkumpul di halaman,
memerhatikan masjid dengan wajah takut. Daram
dan Mid turut mendapatkan orang kampung, juga
merenung masjid dengan mata mengecil.
Apa yang dilihat oleh orang kampung
sebenarnya tidak sama seperti yang dilihat oleh
Daram dan Mid. Orang kampung melihat masjid itu
seolah-olah sedang digoyang oleh tangan yang cukup
besar tetapi hampir dicabut dari tapaknya. Sedangkan
Daram dan Mid pula tidak melihat sebarang perubahan
ketara pada bangunan yang menjadi pusat pertemuan
orang kampung selama ini.
“Jangan ada sesiapa pun yang keluar dari
kawasan masjid!” arah Daram apabila beberapa orang
kampung cuba meninggalkan pekarangan masjid.
Rosli Mohd. Sah
69
Arahan Daram tidak dipedulikan. Mereka terus
berlari. Dan sebaik-baik sahaja mereka keluar dari
sempadan halaman masjid, mereka seperti ditiup angin
dan kemudian disedut naik ke langit. Suara jeritan dan
minta tolong sayup-sayup sebelum menghilang.
“Aku dah cakap, jangan sesiapa pun keluar dari
sempadan masjid ini!” kata Daram lagi.
“Eh, tu Ibu Darus!”
Semua pandangan terarah pada sesusuk tubuh
yang hanya berkemban, memaut tiang pagar belakang
masjid dengan penuh susah payah. Beberapa bahagian
tubuhnya kelihatan terkoyak dan menampakkan isi
daging. Darah meleleh dan tersembur.
“Pergi tolong Ibu Darus!” arah Daram kepada
orang kampung.
Orang kampung saling berpandangan. Mungkin
memikirkan yang mereka mungkin akan disedut
dan diterbangkan angin aneh, membuatkan mereka
tidak teruja untuk membantu Ibu Darus yang sedang
kepayahan.
“Pergi cepat! Dia tercedera tu!” kata Daram lagi.
Mid tidak menunggu lagi. Mid sedar, jikalau dia
tidak mulakan, sampai bila-bila pun orang kampung
sekadar menjadi penonton semata-mata. Keberanian
mereka sudah hilang sepenuhnya.
Bersama-sama dua orang asli yang dirawat,
Mid ke pintu pagar bahagian belakang masjid.
Memang dia dapat merasakan ada kuasa sedutan
yang begitu kuat sehinggakan kakinya sendiri sukar
Kampung Hilang
70
untuk didirikan di atas tanah. Kedua-dua lelaki orang
asli yang bersama-samanya berpapahan dan berjalan
mendapatkan Ibu Darus.
“Tolong aku, Mid!” Ibu Darus merintih tatkala
Mid dan kedua-dua lelaki orang asli itu sudah semakin
rapat dengannya.
Keadaan Ibu Darus sebenarnya cukup parah.
Dia mengalami kecederaan pada beberapa bahagian
tubuhnya. Mukanya sendiri dibasahi darah. Rambutnya
bertepek-tepek menandakan tempat luka yang
mengalirkan darah berpunca dari bawah rambutnya.
“Hulurkan tangan!” jerit Mid kepada Ibu Darus.
Baik dia mahupun kedua-dua lelaki orang asli itu,
mereka tidak mampu merapati Ibu Darus.
Ibu Darus menghulurkan tangannya.
Renungannya penuh mengharap. Mid cuba mencapai
tangan Ibu Darus, tetapi ketika hujung jarinya hampir
bertemu dengan jari ibu Darus, seperti ada satu
pancungan kilat yang telah memisahkan tangan Ibu
Darus dari badannya.
“Mid, tinggalkan Ibu Darus! Dia dah tak boleh
diselamatkan!” Suara Daram kedengaran sayup-sayup.
Ibu Darus terkulai. Pun begitu, renungannya
ke wajah Mid seperti terlalu mengharapkan Mid
menyelamatkannya walaupun peluangnya sudah
hampir tertutup.
“Aku akan kembali, Mid! Aku sumpah semua
penduduk dan keturunan mereka, Mid!” pekik Ibu
Darus sebelum seluruh tubuhnya mula disedut dan
Rosli Mohd. Sah
71
dilayangkan ke udara sebelum hilang ditelan awan
hitam tebal.
Fenomena aneh yang terhidang di hadapan
mata mereka semua bukan sahaja menimbulkan
ketakutan. Daram sepatutnya menjadi penyelamat
tetapi nampaknya tidak banyak yang Daram dapat
lakukan. Imejnya sebagai anak seorang ahli perubatan
masyhur, tidak banyak dapat membantu orang
kampung untuk keluar daripada kemelut itu. Sudah
ada kekesalan kerana masih cuba bertahan, sedangkan
sepatutnya mereka sudah pun bersama-sama keluarga
masing-masing di tempat yang lebih selamat.
Beberapa orang penduduk kampung mula
melahirkan kekesalan kerana masih terus bertahan di
kampung itu meskipun mereka mempunyai banyak
peluang untuk menyelamatkan diri dengan berpindah
ke tempat lain. Ruang untuk menyelamatkan diri
dirasakan sudah tertutup sepenuhnya. Mereka
terperangkap dengan ancaman komunis. Mereka juga
terperangkap dengan pemujaan syaitan oleh Andang.
“Buat sesuatu, Daram.”
Daram menghela nafas panjang. Wajah Mid
direnungnya dalam-dalam. Dia mengangguk kecil
sekali gus memberikan isyarat kepada Mid yang dia
akan berbuat sesuatu untuk menyelamatkan mereka
semua.
Mid berpaling ke arah orang kampung yang
berlindung di dalam masjid. Wajah-wajah mereka
sudah cukup untuk membuatkan dia mengerti bahawa
mereka berada dalam ketakutan dan kebingungan.
Kampung Hilang
72
Fenomena yang baru berlaku menambahkan lagi
sengsara. Ancaman keselamatan ke atas mereka
bukannya perkara kecil.
Jikalau Daram tidak mampu membantu orang
kampung, bermakna tanggungjawab itu berpindah ke
bahunya. Kampung itu bukan lagi perkampungan yang
sesuai untuk dihuni oleh manusia. Selepas Andang
memuja syaitan untuk melaksanakan permintaannya,
bermakna sesiapa sahaja yang masih tinggal di kampung
itu akan menjadi sebahagian daripada pengikut syaitan
sama ada mereka rela ataupun sebaliknya.
“Jangan ada sesiapa pun yang keluar dari
kawasan masjid ini. Malam ni, kita berlindung di sini.
Esok, kita tinggalkan kampung ni. Tak perlu balik ke
rumah masing-masing lagi. Aku jangkakan malam ini
syaitan yang diseru oleh Andang akan melaksanakan
tugas-tugas yang diberikan oleh Andang,” kata Mid
kepada orang kampung yang sedang ketakutan itu.
Seperti yang diarahkan oleh Mid, tiada sesiapa
pun yang keluar dari kawasan masjid walaupun ketika
matahari sudah hampir terbenam di ufuk barat. Daram
pula asyik mundar-mandir di hadapan tangga masjid.
Sesekali dia berhenti dan melemparkan pandangan ke
arah jalan besar.
Malam datang tanpa dapat ditahan-tahan. Tiada
sesiapa pun yang menyalakan pelita di masjid. Seluruh
kampung kini tidak ubah seperti sebuah kampung
tinggal. Tiada juga orang yang berani berada di luar
masjid, apatah lagi keluar dari pagar masjid.
Sunyi sepi.
Rosli Mohd. Sah
73
Orang kampung bersama-sama Mid dan Daram
terus berlindung di dalam masjid tanpa banyak bergerak.
Walaupun tidak diberikan amaran atau disuruh oleh
Mid dan Daram, mereka seperti tahu malam itu mereka
akan menyaksikan sesuatu yang menakutkan. Sesuatu
yang akan kekal dalam ingatan mereka.
Tiada sesiapa pun yang melaungkan azan
sebagai menandakan masuknya waktu maghrib. Semua
orang seperti terlupa untuk mendirikan solat maghrib
walaupun mereka sudah berada di dalam masjid.
Ketika remang cahaya semakin menghilang,
angin kencang mula bertiup. Masjid yang digunakan
sebagai tempat berlindung, bergoyang-goyang dan
bergoncang-goncang bagaikan ada tangan besar yang
menghinggutnya. Bunyi dahan-dahan sekah dan
ranting-ranting pokok saling berlaga antara satu sama
lain, begitu jelas. Angin kencang turut menyerbu
ke dalam masjid, menerbangkan objek-objek ringan
termasuklah sejadah.
Orang kampung berkumpul di suatu penjuru.
Duduk rapat-rapat seperti anak ayam kesejukan dan
ada yang saling berpelukan. Ada yang menangis dan ada
yang mula meratap.
Daram dan Mid tidak mampu membantu orang
kampung yang sedang ketakutan. Mereka sendiri
diamuk seribu satu macam perasaan yang tidak dapat
diungkapkan dengan kata-kata.
“Daram!!!”
Suara itu sayup-sayup, berbaur dengan suara
Kampung Hilang
74
keras angin dan pergolakan alam di luar masjid.
Datangnya dari arah jalan besar menuju ke pintu pagar
hadapan masjid.
Semua orang tercangak-cangak.
Mid berengsot ke bukaan pada dinding masjid,
mengintai ke luar sambil mencari orang yang menyeru
nama Daram sebentar tadi. Daram sendiri tidak berkutik
dari tempat duduknya. Dia seperti tidak mendengar.
“Daram!”
Suara seorang wanita memanggil nama Daram
semakin jelas kedengaran meskipun batang tubuhnya
masih tidak kelihatan.
“Siapa tu?” Mid melaung, tidak mampu
menahan rasa ingin tahunya.
Tiada jawapan. Suara angin semakin keras.
Daun-daun kering berterbangan. Sebahagiannya lekat
ke dinding masjid. Sebahagian lagi menyerbu masuk
ke dalam masjid menerusi bukaan pada dinding. Pintu
masjid yang ditutup dan dipalang dari dalam pula saling
berhempas seolah-olah meminta agar dibuka.
“Daram!”
Suara wanita itu semakin dekat. Mid terus
memanjangkan tengkuk, mengintai dari bukaan pada
dinding, memerhati ke arah tangga masjid yang dikatup
gelap malam.
“Busuk!”
Dalam deru angin yang tidak mengendur,
hidung Mid tercium bau busuk dan hanyir. Bukan
Rosli Mohd. Sah
75
Mid sahaja yang tercium bau busuk dan hanyir itu,
malahan semua orang di dalam masjid. Bau itu tidak
menghadirkan rasa jijik, sebaliknya mengundang
ketakutan.
“Apa pula petaka yang datang ni?” Mid masih
mencari-cari kelibat orang yang menyeru nama Daram
tadi sambil menutup hidungnya.
“Daram!”
Suara itu benar-benar dekat namun sekadar
suara tanpa sebarang bentuk tubuh. Bau busuk dan
hanyir juga semakin kuat.
Angin kencang tadi tiba-tiba berhenti
berhembus. Suasana bertukar menjadi sunyi. Tiada juga
suara unggas malam seolah-olah seluruh kampung itu
berada dalam satu vakum yang menghalang sebarang
suara dan bunyi.
“Daram!”
Di tepi tangga masjid, Mid melihat sesusuk
tubuh tanpa wajah yang jelas. Rambutnya panjang
menggerbang. Dan jelas, bau busuk dan hanyir yang
menyerang hidungnya datangnya daripada lembaga
tersebut.
“Siapa?” Mid terus memberanikan diri untuk
bertanya.
Pertanyaan Mid tidak dijawab.
“Daram!” Wanita yang berambut menggerbang
dan berdiri di tepi tangga terus memanggil-manggil
nama Daram dengan suara yang semakin garau.
Kampung Hilang
76
Mid cuba beralih pandang ke arah Daram. Dia
terkejut. Daram sudah tiada di tempat dia berdiri tadi.
Mid meraba-raba dan mengharapkan hujung jarinya
akan tersentuh paha atau kepala lutut Daram. Namun,
usahanya tidak berhasil. Daram sudah beralih tempat
atau barangkali juga sudah melarikan diri.
“Kau siapa?” Mid memegang hulu golok di
tepi pinggangnya. Dia perlu memberanikan diri untuk
berhadapan dengan situasi itu. Setidak-tidaknya di
hadapan orang kampung yang dibelenggu ketakutan
dan ketidakpastian.
“Aku cari Daram.”
“Kau nak buat apa dengan Daram?”
“Daram berhutang dengan aku.”
“Hutang apa?”
“Mana Daram?”
“Dia tak ada di sini.”
“Dia ada. Daram! Turun dan tunaikan apa yang
kau janjikan.”
Mid semakin tidak faham. Pada masa yang sama
dia juga keliru. Diserang kekalutan fikiran seperti itu,
Mid masih cuba menjalinkan setiap rentetan peristiwa
untuk dia menyimpulkan perkara sebenar. Namun, dia
tetap tidak menemui jawapan yang dicari.
“Kau ni Ibu Darus, kan?”
“Ya, aku Ibu Darus. Aku dah berjanji akan balik.
Aku dah balik. Sekarang aku tuntut janji Daram.”
Rosli Mohd. Sah
77
Ada orang kampung yang mengengsot
mendekati Mid. Gambaran Ibu Darus dengan wajah
dan tubuh yang rosak akibat serangan angin ganas
yang mereka saksikan sebelum ini mendorong mereka
untuk memastikan bahawa orang yang bersuara itu
benar-benar Ibu Darus.
Bau busuk dan hanyir semakin kuat. Ada yang
sudah termuntah.
“Daram janji apa?” tanya Mid lagi.
“Anak aku! Daram janji akan bawa balik anak
aku.”
“Bukan Daram yang melarikan Darus.”
“Daram yang suruh Darus masuk ke hutan tu.
Daram yang suruh Darus korbankan dirinya untuk
selamatkan kampung ni.”
Mid semakin keliru.
“Aku mahu Daram. Kalau anak aku tak balik,
Daram perlu ganti dengan dirinya.”
“Kenapa Daram? Bila Daram berjanji?” tanya
Mid lagi.
“Kau tak payahlah membela Daram. Aku nakkan
Daram. Daram!”
Suara wanita itu melangsing sebelum akhirnya
bertukar menjadi ilai yang panjang. Dan serentak
dengan itu, kelibat yang berdiri di tepi tangga hilang.
Suasana kembali sepi. Orang kampung di
dalam masjid berhimpit-himpit seperti anak ayam yang
sedang kesejukan. Mid terus mencari Daram. Namun
Kampung Hilang
78
kegelapan yang terkandang di ruang dalam masjid tidak
memungkinkan matanya menemui Daram.
“Daram!” giliran Mid pula memanggil lelaki
bertubuh kecil itu.
Daram tidak menyahut.
“Apa sebenarnya yang berlaku?” Mid
menggaru-garu kepalanya.
Tengah malam telah tiba. Tatkala mereka mula
merebahkan kepala dan badan, sementara menunggu
hari siang, tiba-tiba kilat dan petir berdentum-dentam.
Panahan kilat telah mengenai sebatang dahan pokok
berhampiran masjid. Panahan tersebut menyebabkan
pokok itu tumbang menyembah bumi. Masing-masing
kembali tercangak-cangak dan bertanya-tanya sesama
sendiri.
Di bumbung masjid, terdengar deruman kuat
seolah-olah ketulan batu disimbah ke permukaannya.
Angin keras kembali menampar-nampar. Bumbung
masjid bergoyang-goyang seperti mahu tercabut.
Guruh berdentum-dentam di dada langit. Cahaya kilat
dan petir pula menghasilkan suasana yang amat tidak
menyenangkan.
“Ada orang di tengah halaman,” bisik seseorang
kepada Mid yang masih tidak berganjak dari tempat
duduknya tadi.
Mid beralih pandang. Cahaya kilat membantunya
melihat dua susuk tubuh yang sedang berjalan seperti
mayat hidup di halaman masjid. Sebahagian besar
pakaian kedua-dua tubuh itu sudah rosak teruk.
Rosli Mohd. Sah
79
Compang-camping dan koyak rabak.
“Apa pula bala yang datang ni?” Mid mengeluh
pendek. Dia benar-benar mengharapkan masjid itu
adalah tempat perlindungan yang terbaik untuk dirinya
dan orang kampung.
Kilat dan petir berdentum-dentam. Bunyinya
agak kuat. Namun tiada sesiapa pun yang mahu
menghiraukan kilat dan petir. Sebaliknya tumpuan
pandangan mereka adalah dua susuk tubuh yang kini
telah berhenti di tempat yang menyaksikan Mat Perang
membunuh orang kampung secara kejam semata-mata
untuk mencari Andang.
“Itu kalau tak salah... Mat Perang dan imam!”
Benar seperti yang dikatakan. Mat Perang yang
terkenal bengis kini tidak ubah seperti mayat hidup yang
tidak mempunyai sebarang perasaan. Imam yang sering
dihormati oleh penduduk kampung kerana keahliannya
dalam hukum-hakam agama juga seperti Mat Perang,
bergerak seperti patung bertali yang digerakkan oleh
tangan tok dalang.
“Mereka buat apa tu?”
Mat Perang dan imam disambar kilat. Asap
berbau hangit sampai ke dalam masjid. Tubuh
kedua-duanya melantun ke udara. Jatuh ke tanah
seketika kemudian, tetapi bangun dan cuba berjalan
ke arah masjid. Cumanya, langkah mereka seperti
terhalang oleh tembok ghaib, menjadikan mereka
seolah-olah berjalan setempat.
“Tengok, ada lain yang datang.”
Kampung Hilang
80
Cahaya kilat menampakkan beberapa orang
yang lain termasuklah salah seorang daripada mereka
yang saling tidak ubah seperti Darus, turut berjalan
dengan gaya yang sama seperti Mat Perang dan imam
ke arah masjid.
“Mayat hidup!”
Orang kampung di dalam masjid terlongo.
Seumur hidup mereka, itulah kali pertama mereka
menyaksikan satu kejadian yang sangat aneh tetapi
pada masa yang sama, menakutkan.
Mid teringatkan Daram.
Dan serentak dengan itu, dia terpandang
api jamung yang sedang bergerak-gerak di penjuru
halaman masjid.
“Aku dah kepung semua syaitan-syaitan ni.
Mereka takkan ganggu kita lagi.” Mid terdengar suara
Daram.
“Daram?” Mid seperti tidak percaya.
Ilaian panjang seperti suara Ibu Darus kembali
kedengaran. Jamung yang dipegang oleh Daram
kelihatan bergerak kalut.
“Daram! Kau bertanggungjawab untuk
semua ini. Kau perlu menebusnya!” suara Ibu Darus
melangsing sebaik-baik sahaja ilaiannya terhenti.
“Kau syaitan! Kau tak berhak memerintah aku!”
Daram menjawab kembali.
“Aku tuntut janji kau, Daram.”
“Aku dah pulangkan anak kau. Itu Darus.
Rosli Mohd. Sah
81
Pergilah peluk dia.”
Wanita berambut menggerbang bergerak ke
arah kumpulan mayat hidup yang masih lagi berjalan
setempat di bekas unggun api. Ketika dia begitu hampir
dengan Darus, satu panahan kilat muncul dari langit.
Tepat mengenai kepalanya. Jeritan panjang melangsing
membelah tengah malam.
Dan seketika kemudian, segala-galanya sunyi
sepi seolah-olah tiada apa-apa pun yang berlaku di situ.
Mid tidak tidur walau sepicing pun. Dan Mid
juga yakin, kesemua orang kampung yang berlindung
di dalam masjid juga tidak dapat melelapkan mata
walaupun sejenak. Sama seperti mereka, Mid juga tidak
sabar-sabar lagi untuk menunggu kedatangan siang.
Sepanjang malam sehinggalah ke subuh, bau
busuk hangit daging terbakar menyerbu hidung semua
orang. Tiada sesiapa pun yang berani mengeluh.
Dan apabila siang mula menjelma, semua
orang sudah duduk di bukaan pada dinding masjid,
melemparkan pandangan ke arah tengah halaman,
menyaksikan mayat-mayat bergelimpangan dan
berwarna hitam rentung. Asap nipis masih melenggang
naik dari setiap tubuh rentung itu.
“Mid, bawa turun semua orang kampung dari
masjid. Keluar dari kampung ni.”
“Andang?” Mid mencari-cari kelibat Andang.
Lelaki itu berdiri di atas sebuah pongsu di penjuru
halaman masjid di tepi pagar. Dia berpeluk tubuh.
Semua orang di dalam masjid masih menantikan
Kampung Hilang
82
kata pemutus daripada Mid. Akhirnya Mid memberikan
isyarat agar mereka semua turun dari masjid dan ke
halaman, sepertimana yang diarahkan oleh Andang.
Mid adalah orang terakhir yang turun. Tetapi dia
adalah orang yang paling ke hadapan untuk bersemuka
dengan Andang.
“Laluan keluar dari kampung ini sudah
selamat. Berpindahlah sekarang. Pergilah ke kampung
berhampiran. Tinggallah di sana. Janganlah balik ke
kampung ini lagi. Lupakan kampung ini,” kata Andang.
“Apa sebenarnya yang berlaku?” tanya Mid.
“Syaitan.” Pendek sahaja jawapan yang
diberikan oleh Andang.
“Daram?”
“Aku dah suruh dia tinggalkan kampung ni
subuh tadi. Dia tak berjaya singkirkan syaitan-syaitan
ini. Tapi dia berjaya menghidupkan mereka.”
Mid mahu bertanya lagi. Dia sebenarnya tidak
faham, tetapi isyarat yang diberikan oleh Andang
memaksa dia membatalkan niatnya.
“Kau tak pindah?” tanya Mid kepada Andang.
“Aku tak boleh berpindah. Aku dah terperangkap
di kampung ini bersama-sama Melati. Daram berjaya
memerangkap aku. Daram berjaya memperdayakan
aku. Jangan datang ke kampung ini lagi. Lepas ni, kau
boleh datang tapi kau tak boleh balik.”
Itulah perbualan terakhirnya dengan Andang.
Dan itulah juga kali terakhir dia bersua dengan Andang.

No comments:

Post a Comment