MALAM semakin larut. Suara cengkerik,
keridik dan unggas-unggas malam semakin riuh.
Sesekali kedengaran suara burung hantu yang entah
di mana hinggapnya. Bayu malam yang berpuput
menggerakkan dedaunan dan ranting-ranting kecil
sekali gus menimbulkan satu irama yang amat
mengasyikkan.
Deruan air terjun dan jeram saling bertingkah
menongkah batu-batu besar di tengah-tengah dan
pinggir sungai. Sesekali terdengar juga suara kawanan
babi yang sedang asyik menyondol cacing di tanah
becak di gigi sungai.
Khemah dua buah dengan unggun api di
antara kedua-dua khemah menyala malas. Api unggun
barangkali sengaja dibiarkan kecil walaupun tidak jauh
dari unggun tersebut terdapat timbunan kayu api yang
agak tinggi.
Pintu salah satu khemah dibuka dan terkuak.
Sesusuk tubuh kalut meluru keluar dari khemah sambil
membetul-betulkan seluar dan jaket yang menyaluti
tubuhnya. Lampu suluh di dahi dinyalakan.
“Jangan lama-lama sangat.” Suara dari dalam
khemah kedengaran resah.
“Alah, aku pergi bukannya jauh dan lama pun.
Lepas aku tengok, aku baliklah.”
“Kat mana?”
“Kat hujung sana saja.” Dia menuding ke arah
yang dimaksudkannya.
“Biarlah aku ikut. Seramlah duduk dalam
khemah ni seorang diri.”
“Jangan mengada-adalah. Kau tunggu
sampai aku balik.” Faizal mengatur langkah pantas
meninggalkan khemah.
Ikhwan segera menjengah ke luar. Pun begitu,
tatkala Faizal berpaling dan membeliakkan matanya,
Ikhwan kembali masuk ke dalam khemah. Pintu
khemah sengaja tidak ditutup. Hanya apabila bunyi
tapak kaki Faizal sudah kedengaran jauh, Ikhwan
terjengul kembali di muka khemah. Kemudian keluar
kalut sambil merangkak ke khemah berwarna jingga
yang terletak hanya berselang 10 langkah dari khemah
yang didudukinya bersama Faizal.
“Anna, Sofia!” panggilnya kalut.
Tiada jawapan.
“Anna, Sofia!” Ikhwan mengeraskan suaranya.
Khemah berwarna jingga itu digoncang-goncang.
“Hoi! Kau gila ke?” Seorang gadis berambut
pendek berwajah marah terjengul dari pintu khemah.
Ikhwan tidak menghiraukan Sofia, sebaliknya
melemparkan pandangan ke laluan yang digunakan
oleh Faizal.
Berang kerana tidur diganggu, Sofia mencekak
leher baju Ikhwan.
“Baik kau cakap, kenapa kau kacau tidur aku
dan Anna? Kalau tidak, pecah batang hidung kau malam
ni!” Sofia mengepalkan penumbuk dan mengacukannya
ke batang hidung Ikhwan.
“Betul tu.” Anna yang turut keluar dari khemah
menunjukkan wajah marah.
“Faizal... Faizal...” Ikhwan seperti hilang
kata-kata.
“Kenapa dengan Faizal?” Sofia mendesak lagi.
Dia memandang sekeliling mencari kelibat Faizal.
“Dia pergi ke sana.” Ikhwan menuding ke arah
yang dilalui Faizal tadi.
“Buat apa?” Anna lebih pantas sebelum sempat
Sofia bertanya.
Sofia melepaskan cekakan pada baju Ikhwan.
Ikhwan gelisah.
“Kan kita dah bersetuju, takkan ke mana-mana
pada waktu malam. Kalau terpaksa, kita akan pergi
sama-sama.”
“Aku dah cakap, tapi dia degil.” Ikhwan
menggaru-garu pangkal keningnya.
“Ah, susahlah kalau macam ni. Kita yang buat
peraturan, kita juga yang langgar peraturan.”
“Aku rasa, kita ni macam tersilap tempat.” Anna
melepaskan nafas panjang.
“Apa yang tersilapnya?” Sofia bertanya kembali,
garang.
“Kau dah lupa apa yang diberitahu kat kita masa
kita singgah makan tengah hari kat warung di pekan
sana sebelum kita sampai sini?” Anna mengingati Sofia
dan Ikhwan.
“Ingat. Sebab itulah aku panggil kau orang
berdua bila Faizal ikut kepala dia saja.”
“Dia ke mana sebenarnya?” Sofia bertanya lagi.
“Tadi ada suara perempuan menyanyi dari arah
sana.” Telunjuk Ikhwan lurus menuding ke arah yang
dimaksudkannya. “Faizal kata dia nak siasat.”
“Dah tahu tempat ni tak ada orang, buat apa
nak siasat?”
“Sebab suara perempuan menyanyi itulah,”
Ikhwan menjawab seperti budak bodoh.
“Ah, kacau sungguh!” Sofia menumbuk angin.
Geram sangat barangkali.
“Habis tu, kita nak buat apa sekarang ni?” Anna
pula bersuara bimbang.
“Nak buat macam mana lagi. Kita kena dapatkan
dialah. Cari si Faizal sampai jumpa. Kemudian tarik
dia balik ke khemah. Kalau nak siasat pun, pagi-pagi
esoklah. Bukan sekarang!” Suara Sofia tegas.
“Marah-marah pun tak guna. Faizal tak ada di
sini.” Ikhwan bersuara malas.
“Yang kau tak tahan dia, kenapa?” Sofia kembali
menghala Ikhwan.
“Aku dah cuba tapi dia tetap nak pergi. Takkan
aku nak pukul belakang leher dia pula.”
Anna ketawa kecil. Sofia tetap berwajah garang.
“Kalau macam tu, bersiap. Bawa lampu suluh
dan parang. Kita kena cari dia sampai jumpa.”
“Awal-awal lagi aku dah kata, kita buat silap
sebab datang ke sini. Banyak tempat lain yang boleh
kita pergi, kenapalah nak datang ke tempat yang orang
pun tak mahu duduk ni,” Ikhwan mengeluh.
“Kau nak mengeluh apa lagi? Pergi ambil lampu
suluh dan parang kau. Cepat!” herdik Sofia.
Ikhwan masuk ke khemahnya. Sebentar
kemudian dia keluar dengan sebilah golok bersarung
yang siap diikatkan ke pinggang. Lampu suluh kepala
dan lampu suluh tangan turut dibawa. Pintu khemah
dizip.
“Besarkan sedikit api unggun tu,” arah Sofia
kepada Ikhwan.
Ikhwan membongkok dan mengutip beberapa
batang kayu api yang sudah siap dikerat-kerat.
Kayu-kayu api itu kemudiannya dicampakkan ke dalam
unggun. Bunga-bunga api memercik ke udara dan
kemudian hilang lenyap.
“Arah mana tadi dia pergi?” Sofia bertanya lagi.
“Sini.”
Ikhwan mengepalai perjalanan Sofia dan Anna.
Suluhan lampu picit dan lampu kepala menceracak ke
segala arah. Sesekali Ikhwan memeriksa laluan di atas
tanah, mencari kesan tapak kasut Faizal di atas tanah.
Deruan air sungai kedengaran semakin jelas.
Sekali gus memberitahu ketiga-tiga mereka bahawa
sempadan destinasi mereka semakin sampai ke
penghujung. Kelibat Faizal masih tidak kelihatan.
Malahan suluhan cahaya daripada lampu suluh dahinya
juga tidak kelihatan.
“Faizal! Faizal! Kau kat mana?” Ikhwan
melaung.
Tiada sebarang jawapan.
Anna dan Sofia turut memanggil nama Faizal.
Sama seperti cubaan Ikhwan, tiada jawapan balas.
Kecuali suara unggas malam, kawasan tersebut seperti
terasing daripada peradaban dan habitat manusia.
Segala bunyi dan suara yang mereka dengar dari khemah
mereka sebelum ini bagaikan sudah pupus apabila
mereka berada di luar lingkungan tapak perkhemahan.
Sebenarnya mereka masih belum bertemu jalan
tar lama seperti petunjuk yang mereka peroleh. Mereka
juga tidak menemui pintu gerbang yang kononnya
diperbuat daripada batu-batu sungai pada jalan masuk
Kampung Hilang
90
ke kawasan itu. Semua petunjuk yang mereka ada
belum ditemui.
Lebih 25 tahun dahulu, sekumpulan anak muda
telah masuk ke kawasan tersebut. Bagaimanapun, nasib
mereka tidak sebaik mana apabila kesemua mereka
menemui pelbagai masalah termasuklah kematian.
Kecuali seorang yang berjaya menyelamatkan diri, yang
lain-lain hilang tanpa dapat dikesan di kawasan yang
pernah menjadi penempatan penduduk sebelum zaman
darurat pertama.
Pelbagai cerita telah didengar tentang Kampung
Hilang. Ada pelbagai teori membabitkan kehilangan
di bekas kampung itu. Ada yang mengatakan angkara
seorang bomoh sihir bersama anak perempuannya
yang dijadikan umpan memerangkap mangsa.
Mangsa-mangsa yang mudah terpukau dan terpengaruh
dengan kecantikan, akhirnya terbunuh dek kecantikan
itu.
Ketiadaan peta dan hanya berdasarkan cerita
mulut selain sedikit catatan yang ditinggalkan oleh
arwah bapa Faizal menjadi bekalan dan panduan
mereka. Anehnya, walaupun Faizal yang mencadangkan
Kampung Hilang sebagai destinasi jelajah mereka,
orang yang paling teruja dan tidak sabar-sabar untuk
ke Kampung Hilang ialah Sofia.
Satu-satunya jalan menuju ke Kampung Hilang
telah diselimuti hutan dan belukar tebal. Jalan tar yang
pernah membelah di pinggir kampung itu juga telah
lama dilencongkan. Jalan lama tidak lagi digunakan.
Malah jalan itu sendiri hilang dalam hutan tebal.
Rosli Mohd. Sah
91
Petunjuk utama tentang kewujudan kampung
tinggal itu ialah kawasan sekitar yang lebih jarang
tanpa pokok-pokok besar yang dibaham gergaji enjin
serta serakah tauke-tauke konsesi balak. Hutan di
sekitar Kampung Hilang yang menganjur sehingga
ke perkampungan orang asli, pula masih hutan dara.
Kelompok yang lebih hijau dan lebih tebal itulah yang
menjadi penunjuk penting kewujudan perkampungan
tersebut. Dan itu jugalah yang menjadi panduan kepada
mereka berempat.
Hampir sejam mereka mencari kelibat Faizal,
namun tidak berhasil. Anna, Sofia dan Ikhwan akhirnya
kembali semula ke khemah mereka.
“Kalau begini gayanya, kita kena keluar dulu.
Pergi semula ke Kampung Sebelah. Minta tolong orang
kampung untuk masuk dan cari Faizal,” Anna bersuara
perlahan.
“Lebih baik buat laporan polis dulu. Ingat, kita
masuk ke sini tanpa permit kebenaran,” Sofia pula
mencelah.
“Kita bukannya masuk hutan atau kawasan
larangan. Kita masuk ke kawasan yang pernah jadi
tempat tinggal manusia.” Ikhwan tidak bersetuju
dengan pendapat Sofia.
“Sepatutnya kita maklumkan kepada polis
sebelum kita ke sini,” Anna membetulkan pendapat
Ikhwan.
“Semuanya salah Faizal. Dia yang tidak
sabar-sabar nak datang ke sini. Dia yang tak mahu
maklumkan kat polis. Kau berdua ingat lagi apa
yang dia cakap masa di kampung sebelum ni?” Sofia
mengingatkan Ikhwan dan Anna semula.
“Dia terlalu yakin. Sekarang, kita yang
susah.” Ikhwan menghela nafas panjang. Dia terpaksa
bersetuju dengan pendapat Sofia, walaupun sebenarnya
ingin sahaja dia berkata, Faizal tidak akan jadi tidak
sabar jikalau bukan Sofia yang kuat mendesak untuk
menyegerakan kedatangan mereka ke Kampung Hilang.
“Mengeluh panjang pun tak guna. Sekarang,
kita berjaga. Kalau Anna nak tidur, masuk tidur dulu.
Aku dan Ikhwan akan berjaga. Manalah tahu kalau-kalau
si Faizal balik semula.”
Anna tidak berganjak dari tempat duduknya.
Bahkan dia mencampakkan sebatang kayu api ke dalam
unggun api yang semakin malap.
Untuk seketika, mereka hilang topik perbualan.
Sebaliknya suara unggas malam pula yang berorkestra
rancak yang sesekali diselang-seli dengan suara burung
hantu yang entah di mana diamnya.
Anna menyusun kembali ingatannya sebelum
mereka sampai ke kawasan pinggir Kampung Hilang.
2 minggu lepas, Faizal muncul dengan cadangan
untuk memenuhi cuti semester mereka. Sedangkan
sebelum itu mereka telah merancang untuk bercuti di
sebuah tempat peranginan tepi pantai di negara jiran.
“Tempat ini lagi seronok. Setakat nak melepak
tepi pantai, kemudian tengok orang, apa yang
seronoknya?” kata Faizal dengan wajah berseri-seri
sewaktu mereka bertemu di sebuah restoran makanan
segera tidak jauh dari kediaman sewanya.
“Cuba kau cerita sedikit, apa yang menarik
dengan tempat yang kau nak ajak kami pergi kali ni?”
Sofia dengan lagak jantan bertanya bersama renungan
mata tajam ke wajah Faizal.
“Kau orang pernah dengar tentang Kampung
Hilang?”
“Kampung Hilang?” Anna dan Ikhwan bersuara
serentak. Sofia sahaja seperti terkejut tetapi berwajah
serius menantikan penjelasan lanjut Faizal.
“Bapa aku pernah cerita tentang perkampungan
tu. Dia dan kawan-kawannya pernah masuk ke kampung
tu.”
“Apa yang ada kat kampung tu?”
“Kampung Hilang... kampung yang ditinggalkan
penduduk. Kampung yang dibiarkan musnah, runtuh
dan diselaputi hutan rimba.”
“Dah berapa tahun?”
“Bapa aku dan kawan-kawannya masuk
ke kampung tu lebih 25 tahun dulu. Masa mereka
masuk pun, kampung tu memang dah ditinggalkan.
Kebanyakan rumah dah pun ditutup tumbuhan
menjalar.”
“Kenapa pula kampung tu ditinggalkan? Ada
pembangunan? Tapak tadahan air? Atau seluruh
kampung itu hendak dijadikan kem tentera?” Ikhwan
bertanya seperti orang nanar.
“Entahlah. Bapa aku tidak pernah cerita pula
kenapa kampung tu ditinggalkan.”
“Kawan-kawan bapa kau?”
“Mereka hilang di kampung tu.”
“Hilang?” Sekali lagi Anna dan Ikhwan bertanya
serentak.
Cerita yang dituturkan oleh bapanya,
diceritakan kembali oleh Faizal kepada kawan-kawannya
itu. Mereka memang tertarik dengan cerita dan misteri
yang berlegar-legar di perkampungan tersebut. Cuti
semester adalah masa yang paling sesuai untuk mereka
berkunjung dan melihat sendiri kesan-kesan tinggalan
yang masih tidak terusik.
“Kamu berempat nak ke kampung puaka itu?”
tanya seorang lelaki tua sewaktu mereka singgah makan
tengah hari di sebuah kedai makan tepi jalan 2 hari
lepas sebelum mereka ke kawasan Kampung Hilang.
“Ya, kami memang nak ke sana,” Faizal
menjawab dengan tenang dan tersenyum. Namun
senyumannya tidak dibalas oleh lelaki tua itu. Wajah
lelaki tua itu cukup tegang dengan sorotan matanya
yang sangat tajam. Kening tebalnya sedikit bergerak.
“Kamu berempat nak cari masalah ke?” Lelaki
itu bersuara separuh menderam, bahkan tidak berpaling
langsung ke arah mereka berempat.
“Apa maksud pak cik?” Sofia segera menyampuk.
“Jangan dikacau tempat itu. Sudah lama sangat
tidak ada masalah yang melanda. Jangan buat dan
jangan cari masalah. Kamu berempat tak tahu apa yang
kamu berempat minta.”
“Pak cik tahu kampung tu?” Ikhwan lebih
berminat untuk mengetahui jawapan yang dapat
memudahkan perjalanan mereka.
Lelaki tua itu berpaling perlahan-lahan. Kening
tebalnya yang sebahagian besarnya sudah beruban
bergerak-gerak lagi. Sorotan tajam matanya tetap
tidak berubah. Rambut kejurnya yang sedikit panjang
menerjah cuping telinga, terkuak apabila diterpa angin.
“Kenapa kamu nak cari masalah? Bukan tak ada
tempat lain yang boleh kamu lawati,” lelaki tua itu jelas
degil dan cuba menghalang mereka.
“Arwah bapa saya pernah sampai ke sana,”
Faizal berterus terang.
Besar mata lelaki tua itu melotot. Rahangnya
berkisar-kisar. Dia mengelus-elus janggutnya
yang panjang separas dada. Wajah Faizal disorot
dalam-dalam. Kemudian dia mendengus, bangun dan
kemudian berlalu meninggalkan gerai dengan langkah
sedikit terkengkang.
Anna, Sofia, Faizal dan Ikhwan mengiring
langkah lelaki tua itu dengan pandangan penuh tanda
tanya sehinggalah kelibatnya tidak lagi kelihatan.
Pekedai makan – seorang wanita berbadan
separuh boyak dan berwajah masam – muncul dengan
sebatang pen dan sekeping kertas berwarna kusam
mencatatkan sesuatu dan mengira.
“Kalau kamu masih berhajat juga nak ke
kampung puaka tu, baik hentikan. Jangan cari masalah.
Kami di kampung ni dah cukup letih dengan masalah
dari kampung tinggal tu. Dah tak larat nak hadap
masalah yang berulang-ulang,” kata wanita pekedai itu
ketika menerima bayaran daripada Faizal.
“Apa sebenarnya yang ada di kampung tu,
kak?” Sofia bertanya tanpa menghiraukan amaran yang
diberikan oleh wanita bertubuh boyak itu.
“Ada macam-macam.”
“Kalau tak ada sesiapa pun yang pergi ke sana,
macam mana boleh tahu ada macam-macam di sana?”
Wanita bertubuh boyak menarik muka masam.
“Kakak pernah pergi ke sana?” Sofia terus
mendesak.
“Cukuplah kalau kamu berempat tahu, lebih
banyak bahaya daripada seronok di kampung tu. Bahaya
dan masalah yang berpunca dari kampung tu, bukan
saja menimpa kamu, tapi kami di kampung ni. Ada
banyak benda lain yang boleh dibuat selain daripada
menempah masalah,” katanya sambil berlalu ke meja
yang digunakan sebagai meja kerjanya.
“Pelik sungguh. Ditanya tak jawab. Tak
habis-habis dengan bahaya, masalah... tapi tak mahu
beritahu apa masalah, apa bahaya,” rungut Sofia,
separuh berbisik.
“Jangan sampai menyusahkan penduduk
kampung ni,” wanita bertubuh boyak itu menyambung
kata apabila dia kembali untuk menyerahkan baki
wang kepada Faizal. Namun pada masa yang sama,
renungannya ke wajah Sofia amat tajam sehingga
membuatkan Sofia tunduk dan cuba melarikan
wajahnya.
Namun sebenarnya reaksi yang ditunjukkan
oleh wanita bertubuh boyak dan lelaki tua berkening
tebal putih menunjukkan bahawa destinasi mereka
adalah tepat. Mereka sedang menuju ke sebuah kampung
yang telah ditinggalkan oleh penduduk asalnya.
Itu cerita 2 hari lepas. Ketika mereka
memilih lokasi untuk mendirikan khemah, Faizal
yang sebelumnya seronok menceritakan tentang
maklumat-maklumat yang diperoleh daripada catatan
arwah bapanya, tiba-tiba sahaja mendiamkan diri.
Sesekali dia menegakkan leher dan kepala, merenung
ke suatu arah dan kemudian menghela nafas panjang.
Sebaliknya yang kelihatan lebih teruja ialah Sofia.
Ketika mereka masuk tidur, Faizal kelihatan
gelisah. Hanya selepas Ikhwan memaklumkan kepada
Sofia dan Anna tentang kehilangan Faizal, amaran yang
mereka terima sewaktu di gerai ketika dalam perjalanan
ke lokasi puaka itu kembali terngiang-ngiang.
“Jangan cari masalah dan jangan munculkan
masalah kepada penduduk kampung lain. Kami sudah
letih dengan masalah yang berpunca dari kampung
itu.”
Ikhwan menghela nafas panjang.
“Apa yang harus kita buat sekarang?”
No comments:
Post a Comment