Sunday, 30 June 2019

Kampung Hilang - Bab 5

PAK Daram terlalu berang. Berita yang
disampaikan kepadanya benar-benar membuatkan dia
sakit hati. Jikalau mereka ada di hadapannya, harus dia
menempeleng keempat-empat mereka dengan belakang
tangannya.
“Payah budak-budak ni! Menyusahkan saja!”
Pak Daram menghentak jenang beranda. Bergegar
seketika beranda itu.
“Kita nak menyusul dan keluarkan budak-budak
tu ke?” Chot membetul-betulkan gulungan rokok nipah
yang sudah pun terselit di celah bibir kehitamannya.
“Kalau kita menyusul pun, kita takkan dapat
apa-apa. Kita dah tak boleh buat apa-apa. Benda yang
sama akan berulang.”
“Pak Tua Mid yang jumpa budak-budak tu
dulu. Kenapalah Pak Tua Mid tak halang? Pak Tua
Mid seronok sangat ke nak mengulangi balik apa yang
berlaku sebelum ini?” Chot masih membebel tidak puas
hati.
“Apa yang Orang Tua Mid tahu? Cakap bolehlah.
Kalau aku tak ada, dia pun tak ada fungsi apa-apa.”
“Dia boleh halang mereka sebelum terlambat.
Betullah kalau Pak Daram tak ada, dia tak ada nilai. Pak
Daram kena ingat juga, kalau tak ada dia, aku pun tak
wujud.”
“Memang siallah!” Pak Daram naik angin lagi.
Sekali lagi dia menghentak jenang beranda.
Chot sekadar mengerling, memusing-musing
puntung rokok nipah di bibirnya, kemudian mengangkat
cawan berisi kopi pekat yang ada di hadapannya.
“Kau pergi ke kedai Eton, Chot. Kau
cakap dengan dia, aku nak jumpa dia,” Pak Daram
mengeluarkan perintah baharu.
“Eton mengadu masalah lagi ke? Dia pun
dah bosan ke?” Chot seperti orang tolol yang disuruh
mengemam telur biawak di dalam mulut.
“Bukan pasal itulah.”
“Habis tu?”
Pak Daram merenung Chot dengan tajam. Chot
buat-buat tidak tahu. Dia terus menikmati kopi pekat
yang dihidangkan oleh isteri Pak Daram.
“Aku ada hal dengan dia!” Pak Daram
mengeraskan suara.
“Takkan dia nak datang. Dia kan tengah
berniaga.”
“Pasal berniaga dialah aku nak suruh dia
datang.”
“Kan bagus kalau kita ke kedainya saja.
Untung-untung ada orang yang cari Pak Daram di sana.
Boleh juga aku buat-buat tambah pendapatan. Bulan
ni teruk sangat ni. Beras pun tak lepas nak beli.” Chot
masih seperti tadi, tolol tidak bertempat.
Pak Daram mengisar-ngisarkan rahangnya.
“Ah, macam-macamlah kau ni, Chot. Kau tak
bosan-bosan ke? Ada beras ke tak ada beras ke, kan
sama saja?”
Chot tersengih seperti kerang busuk.
“Kalau dah macam tu, kau habiskan kopi kau
cepat. Kita ke kedai Eton.”
Pak Daram masuk ke ruang tamu. Langsung
tidak dipelawanya Chot. Chot tenang menghabiskan
saki-baki kopi di dalam cawan. Kemudian cepat-cepat
menyambar biskut kering bergula yang turut
dihidangkan bersama. Beberapa keping biskut gula itu
dimasukkan ke dalam kocek bajunya.
Tidak sampai beberapa saat kemudian, Pak
Daram keluar semula. Di bahunya tersidai sehelai
kain hitam yang entah apa fungsinya. Seluar longgar
besar berwarna hitamnya diikat tali yang diperbuat
daripada kain. Bajunya yang juga berwarna hitam tidak
berbutang, sekali gus menampakkan bidang dadanya
yang terbonjol tulang selangka dengan perut sedikit
merening.
“Tak habis lagi kau? Benda yang sama, kau tak
bosan-bosan ke?” sindir Pak Daram ketika dia berdiri
di hadapan tangga, lebih kurang 5 jengkal dari tempat
Chot duduk.
Chot tersengih-sengih.
“Dah, dah...”
“Kalau dah, kau tunggu apa? Mohlah cepat. Lagi
cepat urusan aku selesai, lagi cepat aku boleh balik.”
“Habis tu, cawan-cawan kopi ni?”
“Biarkan kat situ. Esah bini aku tahulah
mengemaskannya.”
“Mana Kak Esah? Tak nampak pun dari tadi.”
“Yang kau sibuk tanyakan pasal bini aku ni,
kenapa?” Pak Daram jegilkan matanya.
Lagi sekali Chot tersengih-sengih tetapi sesekali
dia memanjangkan leher ke arah pintu yang sedikit
terkangkang. Kelibat Esah langsung tidak kelihatan.
Suara Esah juga tidak kedengaran. Deham dan batuk
Esah setiap kali Chot datang ke rumah Pak Daram itu
juga entah ke mana.
“Sudah!” bentak Pak Daram, sekali gus
membuatkan Chot tersentak. Cepat-cepat dia bangun
dan berdiri di sebelah Pak Daram. Ketika Pak Daram
hendak melangkah menuruni tangga, Chot pun buat
benda yang sama. Langkah terhenti. Chot menunggu
langkah Pak Daram.
Sekali lagi apabila Pak Daram hendak
melangkah, Chot pun nak melangkah sama, sekali gus
membuatkan kedua-duanya terhenti di tengah-tengah
laluan ke tangga.
“Kau jalan dululah!” Pak Daram menolak bahu
Chot.
Chot cepat-cepat menuruni tangga. Kemudian
menyarung seliparnya yang sedikit kecil berbanding saiz
tapak kakinya. Namun belum sempat dia melangkah,
Pak Daram menarik bahunya sekali gus membuatkan
langkah Chot terhenti dan dia berpaling.
“Ada apa?” tanya Chot kepada Pak Daram.
“Kau pergi ke belakang. Ambil golok aku yang
aku letakkan atas kerusi tepi pintu belakang tu,” arah
Pak Daram.
Chot tidak membantah.
“Apa ke lama sangat si Chot ni buat kat belakang
tu?” Pak Daram merungut sendirian. Dia merenung ke
arah pintu belakang yang terselindung di sebalik tiang
beranda.
“Chot, apa lagi yang kau terhegeh-hegeh di
situ?” Pak Daram meninggikan suara.
“Kejaplah!”
“Kan senang saja. Pintu belakang tu kan
terbuka. Golok tu atas kerusi tu saja!” Pak Daram
semakin hilang sabar.
“Ya, ya... dah jumpa.” Chot berlari-lari anak
mendapatkan Pak Daram. Golok bersarung itu
diserahkan kepada Pak Daram.
Pak Daram menerima golok tersebut dan segera
talinya diikat ke pinggang. Golok bersarung sedikit
terlondeh tetapi kekar di sisi paha sebelah kirinya.
Kedua-duanya mengatur langkah pantas ke
kedai Eton yang terletak di tepi jalan.
“Pak Daram, aku nak tanyalah,” Chot memecah
kesunyian antara mereka ketika rumah Pak Daram
semakin jauh ditinggalkan.
“Apa benda lagi yang kau nak tanya?” Pak
Daram bersuara bosan.
“Kenapa Pak Daram lebih suka jalan kaki?
Kenapa Pak Daram tak mahu tunggang saja motosikal
Pak Daram tu?”
“Yang kau sakit hati sangat dengan motosikal
aku tu, kenapa?”
“Tidaklah... dah alang-alang ada tu, pakailah.
Buat apa diselimut di bawah rumah. Orang kata, kalau
tak pakai, cepat rosak enjinnya.”
“Kalau pakai, lagi cepat rosak.”
“Ke Pak Daram memang tak pandai tunggang
motosikal? Kalau tak pandai, aku boleh jadi penunggang
dan Pak Daram boleh bonceng. Pak Daram sebut saja ke
mana Pak Daram nak pergi, aku boleh tolong bawakan.”
“Tak payah! Harta aku kau tak payah nak
menyibuk!”
Chot ketawa kecil. Pak Daram buat-buat tidak
dengar.
“Orang yang hadiahkan motosikal tu kat Pak
Daram tak tahu barangkali Pak Daram bukan saja
tak ada lesen memandu, tapi tak pandai tunggang
motosikal. Jangankan motosikal, basikal pun Pak
Daram tak pernah tunggang.” Chot ketawa mengejek.
“Pak Daram kan orang tua. Orang tua mana tahu
tunggang motosikal.”
Merah padam muka Pak Daram tetapi tidak
sepatah perkataan pun meluncur daripada bibirnya.
Pak Daram tahu, sudah lama benar Chot mengidamkan
motosikal tersebut. Semenjak dihadiahkan oleh salah
seorang pelanggannya, Pak Daram sekadar mengelap,
membersihkan habuk dan debu pada motosikal tersebut.
Sesekali menolak ke halaman dan membiarkan cahaya
matahari menyimbah ke atas motosikal tersebut,
kemudian kembali menolak ke bawah rumah dan
menyelimutinya dengan gebar buruk.
Memang Pak Daram sangat sayangkan motosikal
tersebut. Motosikal itu adalah hadiah pertama yang
amat berharga sepanjang dia bergelar bomoh. Itu pun
pelanggannya itu datang dari Kuala Lumpur. Entah dari
mana pelanggannya itu tahu tentangnya, Pak Daram
tidak ambil kisah pun. Pak Daram hanya tanya, jampi
dan usahanya mujarab. Pelanggannya berpuas hati.
Selain diberikan wang yang agak banyak, Pak Daram
juga dihadiahkan motosikal baru.
Sudah berulang-ulang kali Chot mengecek
untuk menggunakan motosikal itu. Setiap kali dikecek,
setiap kali itulah juga Pak Daram akan memberi amaran
kepada Chot. Malah memberikan kata dua, jikalau Chot
masih lagi teringin hendak menunggang motosikal itu,
dia akan demah kepala Chot dengan belakang golok
kesayangannya.
Namun Chot tetap Chot. Chot seperti orang
tolol yang mudah lupa, bahkan tidak takut dengan
sebarang ancaman.
Anehnya, Chot cuma berbaik dengannya. Chot
cukup rapat dengannya. Setiap hari, tanpa berselang,
muka Chot dan batang tubuhnya akan terpacul di
rumah Pak Daram. Kadang-kadang, tanpa disuruh pun
Chot akan membantu. Setelah lewat senja, barulah
Chot balik ke rumahnya.
Walau tidak mewah, tetapi Chot ada duitnya
sendiri. Kebun getah 7 relung peninggalan arwah
emaknya dipajak. Hasil pajakan tersebut sudah
cukup untuk menampung kehidupan Chot yang
serba sederhana. Apatah lagi kalau setiap hari, makan
minum Chot di rumah Pak Daram. Jarang benar Chot
keluarkan wangnya sendiri untuk membeli makanan
dan minuman.
Tinggal berdua dengan bapanya di tepi sungai,
rumah mereka jauh sangat sederhana. Jarang Pak
Daram berjumpa dengan Dollah, bapa si Chot. Malah di
masjid pada hari Jumaat pun Dollah sukar ditemui. Kata
Chot, bapanya jarang balik lagi kerana sibuk dengan
kerjanya sebagai pengawal keselamatan di sebuah kuari
yang jaraknya lebih 20 kilometer dari kampung mereka.
“Chot!” panggil Pak Daram.
“Ya.”
“Sekarang ni getah tengah naik harga. Harga
pajak kau tak berubah juga?” Pak Daram cuba selidik.
“Tak. Harga getah naik turun. Tak boleh
aniaya orang, Pak Daram. Kalau harga naik, baguslah
untuk penoreh. Aku bukannya buat apa. Mereka yang
menoreh, mereka yang membersihkan kebun, mereka
juga yang membaja. Jadi, berpatut padanlah dengan
harga pajakan yang aku terima setiap 6 bulan sekali.”
“Dah lama juga orang yang pajak kebun kau
tu, kan? Tak ada orang lain tawarkan harga yang lebih
baik?”
“Ada, tapi aku malaslah.”
“Maksud kau?”
“Pemajak sekarang buat kebun getah aku tu
macam hartanya sendiri. Pak Daram pergilah tengok
kebun aku. Bersih. Dia menoreh pun pokok tak rosak. 3
bulan sekali, dia membaja, meracun. Kalau aku matikan
pajakannya, samalah macam aku aniaya dia.”
“Wow! Tak sangka, kau ni sebenarnya baik hati,
Chot. Ke kau buat kebun getah kau tu sebagai umpan?”
Chot tersengih.
“Aku ingat kau jenis hati perut busuk yang
pentingkan diri saja.”
“Taklah... bukan semua perkara kita kena
busuk hati perut, Pak Daram. Bahagian-bahagian
rezeki ini, elok juga kalau kita berkongsi. Kata orang,
lagi pemurah kita berkongsi, lagi murah rezeki kita.”
“Macam aku kongsi rezeki dengan kau?”
“Alah, Pak Daram ni nak mengungkitlah tu.”
Pak Daram ketawa.
“Aku suka masakan Kak Esah. Sedap.”
“Yalah tu. Bukan kau nak jimatkan duit ke?”
Giliran Chot pula ketawa kecil sambil
mengangguk-angguk.
“Pak Daram marah ke?”
“Taklah marah. Ada rezeki lebih. Aku dengan
bini aku saja. Anak tak ada. Bila kau ada sekali, baguslah.
Tak membazir makanan kat rumah aku. Tapi...”
“Tapi apa, Pak Daram?”
“Sesekali tu, cubalah kau hulur-hulur sikit duit
kat Kak Esah kau. Tentu dia kembang hati sebab kau
bagi belanja dapur.”
“Yalah, nanti lepas ni aku bagi belanja dapur.”
Pak Daram tersengih. Jikalau Chot sudah
berjanji begitu, dia tidak akan mungkir.
Perjalanan ke kedai Eton yang terletak di tepi
jalan besar agak memenatkan. Badan sudah berlengas,
dahi sudah dilencuni peluh walaupun cahaya matahari
hanya mencuri ruang di selaan-selaan dedaunan. Laluan
di tengah-tengah kebun getah terbiar, agak sunyi.
Hujan yang sudah lama tidak turun menyebabkan
laluan itu berdebu.

No comments:

Post a Comment