Thursday, 17 October 2019

Dean & Jean - Bab 8

“BAKPO ma tengok dari takdi lagi Dean
gelisoh jah. Ado hok tok keno ko?” Hajah Zaiton menegur
lalu anak lelakinya itu dihampiri.
“Takdop gapolah ma, masaloh kijo sikit,” balas
Dean dengan senyum nipis di bibir. Pandangannya
dibuangkan ke arah ruang tamu yang riuh dengan suara
anak-anak saudaranya yang sedang galak bermain. Kak long
dengan kedua-dua orang adik perempuannya sedang sibuk
menyediakan gubahan hantaran untuk majlis pertunangan
esok.
“Balik kampung jare jare pun dok mikir hal kijo lagi
ko?”
Dean tersengih sahaja ditegur begitu.
“Haih... budok-budok ni male-male buto dok
berungga lagi.” Hajah Zaiton membebel tetapi hanya
didengari oleh Dean sahaja. Cucu-cucunya yang sedang
berlari ke sana ke mari di ruang tamu rumah dipandang
bersama gelengan.
“Budok-budok ma, biar jo lah, bukenyo jupo sokmo
pun walaupun sepupu.” Dean buang senyum. Memanglah
rimas dengar suara jerit pekik begitu tetapi suasana
seperti itu bukannya selalu mereka rasai. Kalau hari raya
kadang-kadang tak semua ada sekali. Lebih-lebih lagi kakak
sulung dan adiknya yang ketiga kerana mengikut giliran ke
rumah keluarga suami masing-masing.
Hajah Zaiton tersenyum dan mengangguk. Orang
tua seperti dia sudah tentulah rimas dengan suasana yang
riuh begitu. Bingit rasanya. Maklumlah kebiasaannya rumah
itu sunyi sahaja. Apabila sesekali anak cucu balik, riuh-rendah
jadinya.
“Oh ya ma, nanti kei maso Dean nok kelik, boleh tok
ma tolong buat nasik tupe mace hari tu. Saeng Dean suko do
oh makei,” beritahu Dean sambil tersenyum.
“Boleh, tapi saeng Dean tu tino ko jate? Ma tengok
senyum semace jo tu,” usik Hajah Zaiton dengan senyum
lebar.
Serba salah hendak menjawab pertanyaan ibunya
itu, Dean tersengih dan kepalanya digaru.
“Hurm, tengok gitu gak, mesti tino kei?” Hajah
Zaiton terus mengusik.
Dean langsung tidak menjawab tapi terus tersengih
di tempatnya.
“Pahtu, bilo nok bowok jumpo ma nyo?”
“Dean saeng jo lah nga dio ma,” jawab Dean
malu-malu.
“Hurm... sapa bilo Dean nok saeng jah, anok daro
ore tu. Kalau ma pun ma tok berehi ore bowok anok dara
ma gi maghi gini. Mace ore takdo agama, tok molek sangat
ore kelih. Kalau kene gak, kito sudoh selaluh. Royat jo nok
bilo-bilo maso ma ngan ba leh gi miney.”
Dean berdeham. Kena setepek dia tapi masalahnya
Jean tu yang liat sangat.
‘Hurm... Jean yang liat atau kau tu yang tak reti nak
berterus terang Dean? Kau tak cakap perasaan kau pada dia
manalah dia tahu.’ Marahnya kepada diri sendiri.
“Biar dululah ma. Dean nok kelih dio dulu,
saeng-saeng dulu. Nok cari hok molek loni ni susoh ma,”
dalih Dean.
“Sapa bilo Dean? Umur Deanlah ko tuo doh.
Adik-beradik semuo nikoh belako doh.” Hajah Zaiton
membebel pula.
“Tunggu dulu ma. Dean dok caghi duit lagi loni, biar
kukuh dulu kerjo. Bukei senei nok tanggung anok ore ma.”
“Ado jah alase dio tu,” cemik Hajah Zaiton dan terus
bangun dari duduknya.
“Oh ma lupo. Esok Dean gi umoh Aji Hamdi deh,
ambik khemoh hok nok guna pete esok. Ma royat doh ko
dio.”
“Baiklah ma.” Kepala diangguk.
“Abe ngoh gi rumoh Aji Hamdi boleh lah jumpo Kak
Najwa. Dengar kato, dio kelik pete takdi.” Tiba-tiba Haida,
adik bongsu Dean menyampuk.
“Bakpo pulok abe ngoh nok jupo dio? Toksei eh!”
“Olohhh, mano tau nanti ma boleh bese ngan Aji
Hamdi pulok,” usik Haida lagi.
“Mulut tu kecek molek sikit,” marah Dean.
Haida sengih sahaja dan terus buka langkah menuju
ke dapur. Hajah Zaiton hanya menggeleng sahaja melihat
keletah anak-anaknya dan terus beredar.
Dean hanya memerhati sahaja langkah Hajah Zaiton
sehingga hilang dari pandangan. Kemudian pandangannya
dibuangkan ke arah anak-anak saudaranya yang sedang galak
bermain. Leka memerhati, tubuh disandarkan ke dinding
kerusi. Teringatkan Jean, nafasnya dihela lalu telefon bimbit
dalam kocek baju Melayunya dicapai dan jemari dileretkan ke
skrin. Kosong. Tiada satu pun miscalled atau mesej daripada
Jean.
Argh! Kepada siapa dia hendak bertanya? Telefon
rumah Jean? Malulah dia, nanti nampak macam dia pula yang
beria-ia.
‘Call Jean semula?’ hati berbisik lagi. Manalah tahu
kali ini talian Jean boleh ditembusi. Kepala diangguk lalu
tubuh ditegakkan semula. Baru sahaja nombor Jean ingin
didail tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi dan nombor
Jean yang tertera di skrin. Serta-merta itu, helaan nafas lega
dilepaskan. Bersama senyum yang mula melebar panggilan
Jean terus disambut.
“Assalamualaikum...” sapa Dean.
“Waalaikumussalam.”
Terdengar suara manja Jean di talian hilang rasa
gundah di hati Dean sejak petang tadi. Mungkin sebab itulah
Jean dianggap pain killer ketika dia serabut dan bermasalah.
Tidak mahu adik-adiknya mengganggu perbualan tersebut,
Dean bingkas bangun dan terus keluar dari rumah menuju
ke kerusi kayu di hadapan rumah.
“Kenapa baru sekarang call? Tahu tak macam mana
aku risau fikirkan tentang kau sejak petang tadi?” bebelnya
dan terus duduk.
Jean tergelak kecil.
“Sorry, balik dari One Utama tadi aku terus tidur.
Bangun, solat maghrib lepas tu dinner. Dan sekarang baru
aku free nak call kau,” terang Jean panjang lebar.
“Kan tak elok tidur lepas asar, nanti cepat lupa. Aku
dah banyak kali pesan.”
“Aku penat sangat hari ni.”
“Hurm... yalah. So, apa yang jadi petang tadi? Kau
bergaduh dengan siapa?”
Jean mendengus.
“Ada sorang mamat tu boleh pulak terlanggar aku
sampai handphone aku jatuh ke bawah. Pecah berderai kau
tahu tak?” marahnya.
“Habis tu, sekarang call aku pakai handphone mana?
Beli handphone baru?”
“Memang taklah aku nak beli baru. Aku suruh
mamat tu ganti dan dia belikan aku iPhone XS,” cerita Jean
beria.
“Untunglah!” Dean mengusik.
“Tapikan... aku rasa tak syok juga sebab handphone
ni mahal kut compared yang aku punya tu.”
“Okeylah tu, rezeki. Siapa yang nak bagi kan?”
“Hurm... yalah. Kau tengah buat apa tadi masa aku
telefon kau?”
“Tengah borak dengan mak aku.” Dean sandarkan
tubuhnya ke kerusi dan pandangan dibuangkan ke langit
yang semakin gelap ketika itu.
“Eh, aku kacau kau dengan mak kau ke?”
“Masa tu mak aku tengah tanya tentang kau.”
“Tanya pasal aku? Kenapa? Mesti kau ada cerita yang
bukan-bukan pasal aku kan? Isy, kau ni!”
“Kau ni suka salah sangka. Manalah aku pernah
cerita buruk tentang kau?”
“Habis tu kenapa mak kau tanya tentang aku pulak?”
“Yalah, mak aku tanya bila nak bawak bakal menantu
dia ni balik.” Dean cuba bergurau walau sebenarnya dia
benar-benar memaksudkan apa yang dikatakannya itu.
“Hurm... jangan nak buat lawaklah.” Suara Jean
sudah mula berubah.
Dean buat-buat ketawa.
“Tapi mak aku betul-betul nak jumpa kau, Jean...
sebab aku selalu cerita pasal kau.” Jujur Dean beritahu.
“Hesy, seganlah! Nanti mak kau beria-ia ingat aku ni
girlfriend kau.”
“Kalau betul pun apa salahnya.”
“Dahlah. Malas aku cakap dengan kau lagi. Kata-kata
kau malam ni lain macam sangat.”
“Okeylah... okeylah. Aku gurau pun tak boleh. Sensitif
sangat malam ni kenapa?” Kecewa dengan penerimaan Jean,
Dean hela nafas.
“Kau tu entah apa-apa agaknya.”
“Yalah, lain kali aku tak cakap macam tu lagi.”
Jean terdiam dan suasana menjadi hening seketika.
Tiba-tiba dia mati kata-kata.
“Dah tidur ke?” Dean memeluk sebelah tangannya
ke tubuh dan langit yang mula ditaburi bintang direnung.
Kalaulah ketika itu mereka berdua memandang pada langit
yang sama, alangkah indahnya. Hati berbisik sendiri.
“Belum.”
“Dah tu senyap aje kenapa?”
“Aku tak tahu nak cakap apa.”
Dean tergelak kecil dan nafasnya dihela.
“Kalau kau nak tidur, pergilah tidur.”
“Ermm... taklah. Aku dah banyak tidur petang
tadi. Jadi malam ni mesti aku jadi burung hantu. Kalau kau
ada tentu aku ajak kau melepak kedai mamak malam ni.”
Dengusnya.
Sekali lagi tawa kecil Dean meletus. Rindunya dia
dengan Jean. Rindu dengan jelingan manja Jean. Rindu
dengan mulut Jean yang kuat membebel. Rindu dengan
tawa Jean yang mencuit hati malah dia rindu segala-galanya
tentang Jean.
‘Argh! Baru sehari kau tinggalkan dia, Dean!’
Bebelnya kepada diri sendiri.
Baru sahaja Dean ingin membalas kata-kata Jean,
terdengar kuat suara Hajah Zaiton melaung namanya. Dean
tegakkan tubuh dan berpaling.
“Kejap Jean,” ucapnya dan terus menyahut panggilan
Hajah Zaiton.
“Maghilah masuk minum. Ma buat air panas doh
tu.”
“Okey, ma. Kejap lagi Dean masuk,” balas Dean dan
duduknya dibetulkan kembali.
“Nanti aku call kau balik Jean. Mak aku panggil ajak
minum tu.”
“Okey. Jangan lupa nasi tumpang aku tau.” Jean
mengingatkan.
Dean ketawa lagi.
“Ya, aku dah suruh mak aku buatkan untuk bakal
menantu dia ni,” selorohnya.
Berdecup mulut Jean mendengar gurauan tersebut
tetapi dia langsung tidak membalas semula.
“Good night and miss you. Assalamualaikum.”
Tanpa menunggu balasan daripada Jean, talian terus
dimatikan. Sengaja Dean biarkan Jean terpinga-pinga di sana.
Kalau dibiarkan Jean membalas tentu kena bebel lagi dia.
Jean merenung telefon bimbitnya tidak berkelip.
Benarkah apa yang diucapkan oleh Dean tadi atau dia tersilap
dengar? Pelik betul dia dengan Dean sejak kebelakangan ini.
Suka sangat menyebut perkara yang entah apa-apa.
‘Rasanya Dean tak maksudkan apa yang dia cakap,
kan?’ Hati tertanya sendiri. Kepala digeleng. Tak, Dean tentu
sedang bergurau dengannya.
Mengenali Dean dia tahu benar lelaki itu memang
suka mengusiknya. Malas hendak memikir lagi, telefon
bimbitnya terus dicampak ke atas meja sisi dan tubuhnya
direbah ke tilam. Sambil merenung siling, kata-kata Dean
tadi terngiang-ngiang lagi dan dia tersengih.
‘Isy, Jean! Dean sengaja nak usik kaulah!’ bebelnya
kepada diri sendiri dan matanya terus dipejamkan.

“KECEK NGAN sapo ralit molek?” Hajah Zaiton buang
senyum. Kalau bercakap pun jauh-jauh begitu sudah tentulah
anak terunanya itu sedang bercakap dengan perempuan.
“Jean,” balas Dean tidak berselindung. Dia
tersenyum.
“Jean? Jean mano pulok?” soal Hajah Zaiton penuh
minat.
“Jean hok suko nasik tupe ma tulah.” Dean tersengih.
Senyum Hajah Zaiton melebar. Tadi bukan main
menafi, tapi sekarang jujur pula. Jadi fahamlah dia apa
maksudnya.
“Pahtu, bilo nok kenal ko manyo? Kalau kene gak,
leh bekwoh sekali ngan acu nanti,” cadangnya.
Dean tergelak. Amboi, cepat betul ma buat
perancangan. Kalau adiknya hendak bersanding sekali
dengan dia, mahu makan tahun lamanya. Faham sajalah Jean
itu macam mana.
“Nanti dululah ma. Sapa tiko Dean royat ko ma.”
“Yolah,” jawab Hajah Zaiton sepatah. Tersenyum dia
dan kepalanya diangguk.
Soal kahwin, biarlah Dean yang tentukan sendiri.
Bagi dia, walau siapa pun pilihan anak-anak, dia akan sedia
menerimanya. Yang hendak hidup bersama itu anak-anak
bukannya dia atau suaminya.
“Maghi minum.” Air kopi tarik yang sudah
dituangkan ke dalam cawan terus dihulurkan kepada Dean.
Dengan senyum yang masih terukir, Dean
mengangguk dan huluran Hajah Zaiton disambut.

No comments:

Post a Comment