Thursday, 17 October 2019

Dean & Jean - Bab 9

Oh my my my, oh my my my
I’ve waited all my life
ne jeonbureul hamkkehago sipeo
Oh my my my, oh my my my
Looking for something right
ije jogeumeun na algesseo
I want something stronger
Than a moment, than a moment, love
I have waited longer
For a boy with
For a boy with luv

SAMBIL bernyanyi dan menari, langkah terus
diayun menuruni mata tangga. Sampai sahaja di mata
tangga terakhir, kaki terus diayun menuju ke ruang tamu.
Beg tangan dan beg komputer riba diletakkan ke atas sofa.
Kemudian langkah dibuka menuju ke meja makan.
Baru sahaja dia ingin duduk, dia terdengar suara
mamanya menegur. Jean menoleh dan dahi dikerutkan.
“Happynya hari ni. Pagi-pagi dah menyanyi,” usik
Puan Kamalia bersama senyuman.
“Mama cuti ke hari ni?” Jean tersengih diusik tetapi
kerutan di dahi tetap ada. Dia terus melabuhkan duduk.
“Pagi ni mama ada urusan dekat bank sekejap.
Kebetulan pulak kelas mama petang hari ni.” Puan Kamalia
ikut duduk.
“Hari ni Jean balik lewat ya.” Teko dicapai dan
air Milo dituangkan ke dalam cawan. Sandwic telur terus
disuapkan ke mulut.
“Kerja lebih masa lagi?”
Kepala digeleng.
“Jean nak ambil Dean dekat airport.”
“Dean pergi mana?” Berkerut dahi Puan Kamalia
mendengar bicara anak gadisnya itu.
“Balik Kelantan. Adik bongsu dia bertunang.”
Selamba Jean dan terus menyumbat sandwic ke mulut.
“Habis tu Dean bila nak bertunang?” Sengaja Puan
Kamalia bertanya. Hendak juga dia dengar apa jawapan yang
akan Jean berikan.
Jean tergelak.
“Dean? Bertunang?”
Puan Kamalia mengangguk sambil menjongket
kening. Pelik sangatkah soalannya tadi? Kalau dia tanya bila
Jean nak bertunang itu memanglah pelik.
“Hurm... nak bertunang apanya ma kalau girlfriend
pun tak ada.”
‘Minat dekat perempuan tapi perempuan itu
pula yang jual mahal. Kesian betul kau, Dean. Rupa ada,
businessman lagi tapi tetap juga kena reject!’ ejeknya.
“Ya ke orang handsome macam Dean tu tak ada
girlfriend lagi?” duga Puan Kamalia lagi.
“Betul ma. Dia tu mana ada girlfriend lagi.”
“Entah-entah Jean aje yang tak tahu kut.”
“Ya Allah, ma. Jean hari-hari dengan Dean. Jean
tahulah.” Beria Jean membalas. Dia cakap yang benar pun
mamanya tak percaya. Getusnya dan Milo panasnya dicapai
lalu dihirup.
Bibir Puan Kamalia terus terukir senyum. Lega hati
dia mendengar jawapan anak gadisnya itu. Maknanya harapan
dia dan suaminya masih terbuka luas. Hanya menunggu masa
sahaja untuk direalisasikan.
“Kenapa Dean tak balik naik teksi aje? Kenapa Jean
nak kena ambil dia pulak?”
“Ermm... mengada-ada dia tu. Sibuk suruh Jean
ambil juga,” bebel Jean bersama cemikan.
“Dia rindukan Jeanlah tu.” Puan Kamalia mengusik.
“Memang taklah. Hurm... mama nak keluar pukul
berapa ni?” Tisu di atas meja dicapai dan bibirnya dikesat.
“Pukul 9 lebih nanti baru mama keluar.”
Jean angguk dan bingkas bangun. “Kalau macam tu
Jean pergi dulu ya. Pukul 10 nanti ada first meeting dengan
klien,” ucap Jean dan kerusi ditolak ke dalam meja. Blaus
lengan panjang berwarna ungu yang dipakainya dikemaskan.
“Oh ya, mama nak beritahu ni.”
Jean jongket kening. Apa pula yang mama hendak
beritahu agaknya. Nervous pula dia.
“Bulan depan papa ajak kita balik Jakarta.”
Hurm... ingatkan apa tadi.
“Balik Jakarta? Bukan ke kita baru balik 2 bulan
lepas?”
“Jean lupa ya, bulan depan kan birthday nek bonda.”
Puan Kamalia mengingatkan.
“Uncle Toby call papa semalam dan beritahu keluarga
dekat sana dah sepakat untuk sambut birthday yang ke-75
nek bonda secara besar-besaran. Jadi kita kenalah balik,”
sambungnya.
“Oh...” Panjang Jean membalas sambil
terangguk-angguk.
“Ambil cuti 5 hari ya. Kita pergi 12 hari bulan.”
“Lamanya.” Bukan Jean tidak suka balik ke sana tapi
kerjanya di sini bagaimana? Sudahlah shooting untuk projek
baru akan bermula hujung bulan ni. Haih!
“Kalau Jean tak boleh nak lama-lama, Jean baliklah
sekejap. Asal ada masa majlis nek bonda. Nanti merajuk pulak
nenek Jean tu.”
Jean tersenyum.
“Macam tu boleh,” balasnya.
“Okeylah ma, Jean gerak dululah. Nanti lambat pulak
sampai. Sudahlah jammed masa-masa macam ni,” ucap Jean
dan Puan Kamalia dihampiri.
“Yalah. Hati-hati drive,” pesan Puan Kamalia lembut.
Sekali lagi Jean mengangguk. Sebaik satu kucupan
dihadiahkan di pipi mamanya, dia terus beredar.
Puan Kamalia hanya memerhati sahaja sehingga
langkah anak gadisnya itu hilang dari pandangan. Teringatkan
perbualannya dengan Jean sebentar tadi, tiba-tiba dia
terfikirkan sesuatu.
‘Hurm... Dean...’ bisiknya sambil bibir mengukir
senyum.

“NOK KELIK hari ni jugok ko Dean?” Hajah Zaiton
menjengah bilik anak lelaki bujangnya itu dari muka pintu.
Dean yang sedang mengemas beg bajunya dihampiri.
“Ho ma. Esok ado meeting nok keno gi,” balas Dean
dan beg bajunya terus dizip. Dia bingkas bangun.
“Kapal tebe pukol berapo?”
“Pete, pukol 5 lebeh ma.”
Hajah Zaiton mengangguk.
“Ho molek lah, sempatlah ma buat nasi tupe ko
Jean.”
Mendengar ibunya menyebut nama Jean, Dean
tersengih. Argh! Kenapa sedap sangat bunyinya.
“Sengeh lebar molek dengar ma sebut namo gewe,”
usik Hajah Zaiton dan terus duduk di birai katil.
Sengih Dean melebar dan dia ikut duduk.
“Ma nok tanyo ni...”
Dean angguk.
“Gapo ma?”
“Gewe Dean tu Cino ko?” soalnya melepaskan apa
yang terbuku di hatinya sejak 2 hari yang lalu.
Terlepas tawa Dean mendengar soalan ibunya itu.
Perlahan-lahan kepalanya digeleng.
“Doklah ma. Namo dio Jeanelle Fitri.”
Hajah Zaiton kerutkan dahi. Pelik agaknya
mendengar nama itu.
“Mama dio ore Indonesia, tapi papa dio ore Johor.
Mama ngan papa Jean mengaja di universiti,” terang Dean.
Faham benar dia dengan riak yang dipamerkan oleh ibunya
itu.
“Oh... gitu.” Hajah Zaiton anggukkan kepala.
Patutlah lain benar namanya. Nampaknya bakal menantu dia
anak orang beradalah. Besannya juga bukan sembarangan
orang. Tapi bolehkah mereka terima anak terunanya yang
meniaga biasa-biasa sahaja ini? Malas hendak memeningkan
kepala memikir, dia terus berdiri.
“Hurm, takpolah. Ma nok gi masok dulu, takut tak
sempat Dean nok wak kelik nasik tupe ko Jean.” Senyum
Hajah Zaiton sambil menekan nama Jean di hujung bicaranya.
Dean tersengih malu-malu. Bukan main lagi ibunya
mengusik.
“Nanti ma buat kuih sekali, leh kirim ko ore tuo
Jean sekali,” tambah Hajah Zaiton.
“Amboi ma, sapa ore tuo Jean ma nok bui rasuah.”
Gelak Dean geli hati.
“Bakpo yo, bakal tok bese kei?” Hajah Zaiton buang
tawa dan terus keluar dari bilik anak lelakinya itu.
Dean ikut tergelak dan nafasnya dihela sebaik
tawanya reda. Walaupun dia rasa lega kerana ibunya tiada
tentangan tetapi jauh di sudut hatinya tetap risau memikirkan
penerimaan Jean. Sudikah Jean menerima dia seadanya?
Menerima dia lebih daripada seorang sahabat dan abang?
Memikirkan itu, keluhan berat dilepaskan dan wajahnya
diraup lalu ditundukkan merenung lantai. Mungkin orang
akan kata dia lambat bertindak tetapi meladeni Jean bukan
semudah yang orang lain fikirkan.

JEAN BINGKAS bangun dan Nurlida dihampiri.
“Thanks, Cik Nurlida. Hope kita boleh bekerjasama
dengan baik,” ucapnya lalu tangannya dihulurkan untuk
bersalaman.
“Insya-Allah. I harap pun kerjasama ini berjalan
dengan baik dan disiapkan seperti tarikh yang kita tetapkan,”
balas wanita yang bernama Nurlida lembut.
“Sure. Once Encik Dean masuk ofis, I akan minta dia
call you.” Jean berjanji.
Nurlida angguk sahaja dan terus minta diri untuk
beredar. Sebaik wanita itu pergi, Jean tergesa-gesa mengemas
semua dokumen di atas meja.
“Kelam-kabut sangat tu nak ke mana?” tegur Azie.
Jean dipandang bersama kerutan.
“Aku nak pergi airport.” Jam di pergelangan
tangannya dikerling.
Alamak! Dah pukul 5 lebih. Kalau wakil dari Nutra
Beauty datang mengikut janji temu yang telah ditetapkan
tentu Jean tidak kalut sekarang ini. Tadi tiba-tiba pihak Nutra
Beauty menganjakkan waktu mesyuarat ke pukul 2 petang.
Nasib jugalah perbincangan tersebut selesai tepat-tepat pukul
5 petang. Jadi sempatlah dia berkejar ke lapangan terbang
untuk ambil Dean pula.
“Nak ambil bos eh?”
Jean mengangguk.
“Argh... waktu-waktu macam ni mesti jalan nak ke
airport jammed teruk!” desirnya.
“Biasalah. Dah habis waktu office hour.” Azie
mengiakan.
“Okeylah, aku blah dulu. Nanti lambat bising pulak
mamat tu.” Jean terus bergegas keluar.
Azie pula hanya memerhati sahaja sambil jongket
bahu. Bos dia pun satu, macam tak boleh balik naik teksi.
Nak susahkan Jean juga kenapa? Bebelnya dalam hati.
Keluar sahaja dari bangunan pejabat lima tingkat
itu, Jean terus meluru ke keretanya. Sebaik penggera ditekan,
tubuh diloloskan ke dalam perut kereta lalu enjin kereta
dihidupkan.
Sekali lalu jam di dalam keretanya dikerling. Kalau
ikut jadual penerbangan Dean, pukul 6 lebih nanti sampailah
lelaki itu di KLIA 2. Tapi sekarang dia masih di Damansara
lagi. Terfikirkan sesuatu, telefon bimbit dicapai dan aplikasi
WhatsApp dibuka. Nama Dean dicari dan dia mula menaip
sesuatu.
Aku lambat sikit. Sampai aku
calling2.
Send! Bersama helaan nafas, keretanya terus
dipandu keluar dari kawasan tersebut. Seperti yang dijangka
perjalanan menuju ke KLIA memang memakan masa. Apa
tidaknya, mana-mana jalan yang dilalui pasti bertembung
dengan kesesakan. Belum lagi ditambah dengan sesak
disebabkan kemalangan. Memang sakit jiwa dia dibuatnya.
Jam pada dashboard kereta dikerling sekali lagi.
Sudah hampir ke pukul 7 malam.
‘Hurm... nasib kaulah Dean terpaksa tunggu lama,’
desisnya.

No comments:

Post a Comment