Wednesday, 16 October 2019

Detik Waktu Itu - Bab 1

“ASSALAMUALAIKUM, Kak Iqa. Farah ni.
Akak, orang sesat...”
Suara cemas Farah di bumi London itu bergema
hebat di koklea Faiqah. Mujur dia belum tidur lagi.
“Apa? Hilang? Dekat mana?” soal Faiqah bertalu-talu.
Suaranya sedikit tinggi. Terperanjat. Lambat pula otaknya
mahu mencerna.
“Kak Iqa, orang belum hilanglah! Orang sesat. Tak
ada seorang pun dekat sini. Farah takut...” Tangisan halus
Farah mula kedengaran.
“Farah dengan siapa?” Faiqah bertanya gusar.
“Sorang,” jawab Farah ringkas. Maka, berpatah-patah
Faiqah memarahinya selepas itu. Langsung tak beri dia
udara mahu membalas balik. Farah meminta agar si kakak
merahsiakan perkara tersebut. Takut papa dan mama terbang
ke London dan mengheretnya pulang. Dia baru dua bulan di
situ. Karang diajaknya balik Malaysia, tak payah studi lagi,
naya! Terbantut pengajiannya nanti.
Dengan izin Allah, saat Farah berteduh di sebuah
pondok telefon awam berwarna merah itu tiba-tiba seorang
lelaki menghampirinya. Raut wajah itu persis orang
Asia. Mungkin si jejaka sedang mencari tempat berteduh
memandangkan hujan sedang turun. Di bumi London ketika
ini jarang sangat hujan. Tapi sekali hujan, lebat. Tengok!
Hujan semakin lebat membasahi bumi London.
“May I?” Lelaki itu meminta izin. Selalu dia tak
begini. Dia sangat menjaga batasan pergaulan antara bukan
mahram. Sekarang dia dalam keadaan darurat dan tidak
punya tempat berteduh lain. Di sekelilingnya hanyalah
kawasan lapang berumput. Yang ada hanya sebuah pondok
telefon merah yang menjadi kebanggaan warga kota London.
Pondok itu pula dihuni seorang wanita bertudung, sama ada
warga Malaysia atau Indonesia atau Brunei.
Dapat sahaja persetujuan daripada si gadis, lelaki itu
lantas masuk dan menyeluk tangan dalam jumper hitamnya.
Sejuk!
Farah yang melihat perbuatan jejaka itu mula
berfikir lain. Bagaimana jika lelaki itu keluarkan pisau dan
meragutnya? Ya Allah, selamatkanlah hamba-Mu ini. Farah
menggigil ketakutan.
Seminit. Dua minit. Tiada tindakan luar biasa
daripada lelaki itu. Farah lega. Hembusan nafas kuat
dilepaskan. Lama masing-masing berdiam diri. Bunyi air
hujan melatari suasana tika itu.
“Are you freezing?” Entah macam mana Farah boleh
terkeluar pertanyaan itu. Dia perasan gigilan di bahagian kaki
lelaki itu. Telinganya mula memerah. Farah meneliti seketika
tubuh lelaki itu. Atas bawah. Kasut sneakers Tommy Hilfiger,
jean, sarung tangan, jumper hitam dan tiada penutup telinga
serta tiada topi. Jatuh kasihan dia kepada pemuda itu.
Manalah tidak kesejukan.
Farah lantas menyeluk beg galasnya. Niat hanya
ingin membantu. Dia mengeluarkan sebuah topi benang kait
berwarna merah yang baru dibeli tadi di sebuah kedai pakaian
di pekan. Ralit berjalan dan ambil gambar, sedar-sedar diri
sudah tersesat jauh. Mahu patah balik dia tak tahu arah tuju.
“Nah!” Farah maju sedikit ke arah lelaki itu. Dia
tersasul semasa mengunjukkan beanie merah itu kepada
lelaki di sebelah. Lelaki itu pun memandangnya pelik.
“Malaysian?” Amar Asyraf bertanya dahulu.
Farah mengangguk. “Malaysian too?”
“Alhamdulillah, saya anak Malaysia. Tapi saya dah
lama tak balik sana,” ucap si lelaki tenang. Betullah orang
cakap, apabila kita di tempat orang dan sebut nama negara
sendiri, pasti perasaan bangga itu terselit di dada. Lahir atas
tanah tumpah negara Malaysia. Dirgahayu Malaysiaku!
Farah tersenyum lega. Saat mendengar lelaki itu
orang Malaysia, leganya hati tak terkata. Namun, rasa trauma
dek tersesat masih lagi terasa. Topi kait di tangannya disua
kembali kepada lelaki itu.
Lelaki itu menggeleng perlahan.
“Saya baru beli. Price tag pun tak tanggal lagi.
Ambillah. Hujan lama lagi nak berhenti ni.” Farah
menuturkan perlahan. Lelaki itu masih menolak.
“Awak demam nanti. Telinga awak dah merah-merah
tu.”
Usai Farah berkata, si lelaki pun meneliti telinganya
di cermin plastik dinding merah telefon awam. Ada sedikit
riak gusar terpancar di wajahnya. Kalau dia terkena demam,
datuk susah hati nanti.
“Nah!” Farah masih menyuakan pemberian
ikhlasnya. Sudah tak teragak pada kecantikan sulaman
benang merah berkait itu. Bila-bila ada rezeki boleh beli
lain. Tapi kalau anak teruna orang dekat sebelah ni tiba-tiba
pengsan, tak ke naya! Dengan hujan lebat belum berhenti.
“Terima kasih.” Akhirnya pemberian kecil itu
diterima. Senyuman ikhlas dilontarkan bersama. Beanie
benang kait merah itu segera dipakai lantas menutup
telinganya yang sejuk.
“Sama-sama.” Senyuman manis dibalas oleh Farah.
Mereka kembali senyap. Aduh, waktu macam inilah
lagu Westlife Mandy berlegar-legar dalam kepala otak Farah.
Raining down as cold as ice
A shadow of a man
A face through a window
‘Farah, wake up!’ bisik hati kecil Farah.
“Buat apa datang kawasan penuh rumput ni?” Lelaki
itu mula ajak bersembang. Mata masing-masing memandang
ke arah hujan di luar.
“Sebenarnya, saya sesat,” beritahu Farah.
“How?” Ada riak terkejut pada wajah si lelaki. Dia
berpaling memandang gadis itu.
“Lepas jalan-jalan dekat pekan tadi, saya ambil
gambar here and there. Sedar-sedar hari nak hujan. Rasa diri
dah tersasar jauh dari pandangan orang awam. Nak tanya
jalan balik tak ada sorang pun berjalan kawasan ni. Takut
jugak saya.”
“Tu, yang mata awak sembap. Menangis ke?” Perlahan
sahaja lelaki itu ucap sambil dia turut ralit memandang awan
gelap di luar.
Jarak yang dekat itu membolehkan Farah mendengar
ulasan lelaki itu kepadanya. Cepat-cepat dia pandang dinding
plastik telefon awam yang lut sinar itu. Allah! Gara-gara
mengadu dekat kakaklah ni. Sembap habis! Sudah macam
telur rebus.
“Sini jarang ada orang lalu petang-petang. Sini
kawasan perladangan sebenarnya. Kalau awak jalan lagi
depan sana ada ladang oren.”
“Oh... Awak pulak? Buat apa kat sini?” tanya Farah
ingin tahu.
“Drawing.” Ringkas sahaja jawapannya.
Mata Farah meliar memandang kawasan sekeliling
itu. Yalah, kawasan ni memang sesuai kalau ada yang mahu
melontarkan ilham dalam lukisan. Subhanallah. Dilitupi
pepohonan hijau dan rumput-rumput nan segar. Cuma
sekarang awan gelap melitupi panorama mereka.
“Student?” tanya lelaki itu.
“Yup. Entah-entah kita sama uni tak?” Farah
menebak.
Amar Asyraf menggeleng sambil tersenyum. “Saya
student tapi rasanya kita tak sama universiti.” Setakat itu saja
si lelaki mengkhabarkan. Fullstop.
Pelbagai pertanyaan timbul berdesup-desup di benak
Farah selepas mendengar jawapan yang diberikan jejaka itu.
Dia ni anak kacukan orang sini ke? Tak ada rupa pun!
Mata tak biru. Rambut tak blondie.
Tengah cuti sem ke? Takkanlah!
Buat eksperimen? Tapikan mamat ni kata dia
melukis tadi. Aduh, peninglah nak fikir!
Lama-kelamaan hujan yang menyimbah bumi kian
berhenti.
“By the way, saya Amar.” Tiada tangan dihulur.
Haram. Bukan mahram.
“Saya pulak Farah Aisyah Affendi.” Farah tersenyum
mesra. Salam perkenalan pun bermula antara mereka.
The ice is broken. Mereka pun jalan beriringan
apabila hujan teduh. Di bawah lembayung pelangi yang
berwarna-warni itu seperti warna hati Farah yang kian
berseri-seri dengan perkenalan jejaka bernama Amar ini.
Dia selesa dengan nama itu. Dia selesa ditemani
Amar di situ. Dia selesa trauma paniknya kian berlalu pergi
diganti dengan gelak tawa riang Amar menemani di sisi.
Indahnya saat perkenalan ini.

No comments:

Post a Comment