Wednesday, 16 October 2019

Detik Waktu Itu - Bab 2

Beberapa tahun kemudian...

DERAP langkah dibawa laju menuju ke pintu
ketibaan. Dari jauh Amar Asyraf sudah nampak kelibat
mama, angah dan adik melambai-lambai ke arahnya. Tinggal
sepanduk saja yang tiada. Itu kalau bersepanduk bagai, malu
seribu tahun muka Amar Asyraf dengan orang ramai yang
berada di situ. Tangan yang lembut itu disalam dan dicium.
Lantas tubuh Amar Asyraf dipeluk mama. Pipinya turut
menjadi mangsa ciuman mama. Rindu.
“Along,” panggil angah dan adik serentak seraya
menyalami abang sulung mereka.
Tangan kiri Amar Asyraf sempat menggosok-gosok
kepala beralas tudung adik bongsunya itu. Si adik pamer buat
muka tidak puas hati.
“Sepanduk mana, dik? Along 10 tahun tau tinggalkan
sini. Buatlah welcoming party sikit untuk along.” Amar
Asyraf mengusik si adik.
“Mama, tengok along!” adunya. Si adik pamer reaksi
pantas dengan memuncungkan bibirnya.
“Dah besar adik-adik along. Angah buat apa
sekarang?” Amar Asyraf bantai gelak. Suka dapat mengusik
si bongsu.
“Angah dah kerja along. Di IJN. Memang ambil cuti
sebab tahu along nak balik sini. Lama kita tak jumpa. Dapat
berkumpul adik-beradik memang seronok.” Angah bercerita
serba sedikit tentang dirinya.
Amar Asyraf tahu adik lelakinya itu sudah menjadi
doktor. Tiap kali dia menelefon mama, ada saja mama
bercerita tentang Malaysia dan pelbagai perkara yang berlaku
dalam keluarga mereka.
Mereka mula melangkah keluar dari lapangan
terbang. Amar Asyraf memimpin tangan mamanya. Tidak
mahu lepas. Lama sudah tidak berjumpa mama. Rindunya
menggunung sakan. Pada kiraan Amar Asyraf, hampir 10
tahun dia meninggalkan tanah air dan mengikut datuknya
berhijrah ke Kota London. Menemani hari-hari tua datuk di
sana.

Thistle Hotel, JB...
“JAY, SEPERTI yang dijangka ‘dia’ balik mengikut tarikh
penerbangan dalam makluman simpanan kita.” Kay, orang
kuat Jay melaporkan kepada ketuanya.
“Terus awasi pergerakan ‘dia’. Aku nak semua
berjaga-jaga dengan bayang-bayang yang selalu ikut
‘dia’. Pastikan pergerakan orang kita tak ditangkap oleh
bayang-bayang ‘dia’. Kalau bayang-bayang ‘dia’ serang, kita
bunuh saja mereka.” Jay mengeluarkan arahan vetonya.
Dia bersandar di kerusi empuk di VIP suite hotelnya sambil
menghisap cerut mahal.
“Aku rasa, ‘dia’ sendiri tak tahu yang bayang-bayang
‘dia’ sentiasa mengekori ‘dia’.” Kay menerangkan lagi.
“Itu yang bahaya! Suruh budak-budak kita hapuskan
bayang-bayang yang mengekor ‘dia’ dari belakang dulu.
Kemudian, kita bertindak ikut pelan asal. Plan A.”
“Baik!” Kay menurut perintah Jay.
“Bodoh punya ‘orang tua’. Kau hantar bodyguard
untuk jaga cucu kau ya. Ingatkan bila kau dah mampus,
semua data-data penting tu jatuh dalam genggaman aku.
Nampaknya, kau serahkan nasib cucu kau bulat-bulat pada
tangan aku! Hahaha.” Jay gelak kuat mengingati pelan A yang
dimaksudkan. Dia menggumam kuat.
Pelan A yang dirancangnya mesti menjadi. ‘Dia’ perlu
dihapuskan segera untuk Jay mendapat habuan yang setimpal
buat dirinya. Mesti! Walau apa cara sekalipun, Jazel Bin Datuk
Kamal yang akan menguburkan dan memusnahkan empayar
Datuk Kamal. Bukan orang lain!
Seminggu sebelum kepulangan Amar Asyfar ke Malaysia...
HOSPITAL SULTANAH Aminah atau HSA memang sibuk.
Wad kecemasan sentiasa penuh. Masuk saja pekarangan
hospital, Faiqah sudah terhidu bau ubat-ubatan yang
meloyakan. Wajah gusar mama di sisi dipandang sayu. Alunan
surah Yasin sentiasa meniti di bibir mama. Sebelah tangan
mama digenggam erat.
Sesudah dimaklumkan, hanya seorang demi seorang
yang boleh melihat keadaan Farah. Mereka memberi laluan
buat papa untuk melihat keadaan Farah terlebih dahulu.
“Mama, Iqa nak buat solat hajat di surau dulu ya.
Moga Farah selamat.”
Puan Jasmin hanya mengangguk membenarkan. Dia
seperti sudah berhabis daya mahu berkata-kata lagi. Tekak
masih terasa kering. Perit. Sepanjang perjalanan ke hospital
besar, air matanya tumpah mengalir. Memikirkan nasib anak
yang dikhabarkan sedang terkedang dalam wad ICU saat ini.
Kritikal.
Faiqah terus menuju ke surau yang dimaksudkan.
Mama ditinggalkan bersendirian di luar sementara papa di
dalam bilik ICU.
Usai menunaikan solat sunat hajat dua rakaat, Faiqah
tiada kekuatan mahu bangun. Dalam sujud terakhirnya puas
dia merintih. Menangis dan berdoa agar adiknya yang seorang
itu diselamatkan Yang Maha Esa. Namun, memikirkan papa
dan mama mahukan semangat daripadanya, digagahkan jua
diri untuk melangkah semula ke wad Farah.
Faiqah melihat Atuk Mak dan keluarga Mak Tam
telah menyertai mama di kerusi menunggu di luar wad ICU.
Kampung Atuk Mak hanya di Parit Yaani, Batu Pahat. Dua
jam perjalanan dari sana ke bandar Johor Bahru ini.
“Atuk.” Faiqah terus meluru bersalam tangan
tua neneknya itu. Lantas tubuhnya dipeluk erat oleh Atuk
Maknya. Faiqah membalas kejap, mohon kekuatan dan
semangat. Sungguh, dia lemah.
“Macam mana boleh jadi macam ni Faiqah? Tak ada
angin, tak ada ribut, tiba-tiba Farah boleh kena masuk wad.
Kamu takkan tak tahu tentang kembar kamu?” Pipi Faiqah,
nenek pegang. Mata bertemu mata.
Faiqah hanya menggeleng laju. Sungguh, dia
memang tak tahu! Farah tak pernah cerita yang dia sakit. Tak
pernah sekali pun!

DOKTOR AKMAL mendekati keluarga pesakitnya.
Wajah-wajah sayu di hadapannya ditatap lama. Sesungguhnya
dia sudah lali menghadapi situasi ini.
“Encik ini bapa kepada Farah? Encik Affendi?” tanya
Doktor Akmal kepada seorang lelaki yang kelihatan sebaya
dengannya. Namun, lelaki tua itu hanya menggeleng sambil
menunjuk ke arah belakang doktor.
“Encik Affendi?” Doktor separuh usia itu bertanya
lagi. Memastikan sekali lagi.
“Ya, doktor. Macam mana keadaan anak saya? Farah
sakit apa sebenarnya? Kenapa tiba-tiba dia pengsan?” Tanpa
noktah soalan dilontar bertubi-tubi oleh Encik Affendi.
“Mereka ini semua keluarga pesakit?” Doktor Akmal
bertanya lagi. Prosedur, prosedur! Kadang-kadang dia pun
naik runsing mahu mengikut prosedur. Namun, itu memang
etika kerjanya.
Encik Affendi mengangguk laju. Tak sabar
mengetahui perkembangan anak bongsunya. Farah lebih
rapat dengannya berbanding isterinya.
“Farah didiagnosis dijangkiti Acute Myeloid
Leukemia (AML). Selepas melakukan ujian MRI, X-ray dan
ujian darah ke atas pesakit, boleh saya katakan bahawa tahap
kesakitan Farah sangat kritikal kerana virus leukemianya
sudah berada di tahap empat atau kami sahkan di tahap
terminal. Saya harap Encik Affendi dan keluarga dapat
bersabar dan bersedia dengan sebarang kemungkinan.”
“Dalam tempoh 24 jam ini amat kritikal bagi pesakit.
Saya sarankan, apa yang pesakit ingini tolonglah selesaikan
kerana Farah dijangka tak mampu menahan virus dalam
badannya yang merebak pantas. Ini semua adalah ketentuan
kuasa Allah dan di luar bidang klinikal.” Doktor Akmal
menyudahkan laporannya. Dia sempat berjabat dengan kedua
lelaki yang berada di situ.
Atuk Mak terus terduduk mendengarnya. Sebentar
tadi dia menenangkan Puan Jasmin. Kini, dia pula yang
tidak dapat menerima berita ini. Lututnya menggigil. Puan
Jasmin sudah meraung dalam pelukan Faiqah. Air mata terus
mengalir deras.
“Mak, mak tak apa-apa?” Mak Tam duduk di sebelah
Atuk Mak. Dia gusar. Emaknya itu ada darah tinggi. Apa-apa
jadi nanti lagi susah.
“Kenapa mesti Farah yang pergi dulu? Mak ni dah
tua. Selayaknya mak yang menghadap Tuhan dulu, Tam.”
Atuk Mak merintih.
“Mak, tak baik pertikai takdir yang Allah dah
tetapkan. Percaya pada qadak dan qadar Allah. Allah dah
takdirkan usia Farah terhenti di sini aje, mak. Kita doakan
yang terbaik untuk Farah, mak.” Mak Tam memujuk perlahan
sambil menggosok-gosok bahu Atuk Mak.
Faiqah yang sedari tadi memegang erat tangan Puan
Jasmin, terus-terusan memeluk mamanya. Dia terperanjat.
Teramat sangat! Kalau dia terperanjat, mama dan papa yang
paling tergamam dan terkedu dalam dunia ini. Selama ini
Farah sihat sahaja. Tiba-tiba, Allah mahu tarik nyawa adiknya
dalam sekelip mata. Ya, Allah mampu. ‘Kun fayakun’. Allah
berkata jadi, maka jadilah sesuatu itu. Subhanallah.
“Iqa nak tengok Farah sekejap, mama.” Faiqah
meninggalkan mamanya bersama Mak Tam.
Selepas memakai pakaian prosedur yang ditetapkan
hospital, Faiqah memasuki wad Farah ditempatkan. Tirai
plastik yang menutupi katil Faiqah selak. Terkedu dia melihat
adik kembarnya yang terbaring lemah itu. Mesin oksigen
sentiasa berdetik menandakan si adik sudah tidak berdaya
bernafas sendiri. Wayar-wayar berselirat di hidung serta di
kiri dan kanan tangannya.
Faiqah yang melihat keadaan itu terus meraung
hiba. Seorang jururawat menghampirinya meminta dia
senyap. Tapi Faiqah tidak kisah keadaan sekelilingnya.
Tangisannya tak tertanggung lagi. Hingus terus mengalir
laju. Bersungguh dia menangis. Mata sembap pun dia tak
kisah dah. Dahulu, Farahlah yang sering mengejeknya kalau
dia menangis, wajahnya sangat hodoh. Mata sembap, hidung
merah macam badut. Hingus meleleh-leleh.
Faiqah duduk di kerusi pelawat sebelah katil Farah.
Tangan Farah dicapai dan dikucup kedua-duanya. Dia
kemudian menggenggam tangan lemah itu. Matanya tak
lepas memandang mata Farah yang tertutup rapat.
“Assalamualaikum, Farah. Kak Iqa ni, sayang.
Kenapa Farah tak beritahu Kak Iqa yang Farah sakit, dik?
Sakit sangat-sangat.” Faiqah mengelap air mata yang jatuh
berjuraian menitis ke pipinya.
“Farah tahu tak, papa yang paling lemah. Kak Iqa
tak mampu nak tenangkan papa seorang. Mama pun sedih
dengan keadaan Farah. Tolonglah, Farah. Tolonglah buat kali
terakhir ni pandang wajah Kak Iqa, kakak kembar Farah ni.
Insan yang sama-sama membesar dalam rahim mama. Insan
yang sama-sama berkongsi makanan dalam rahim mama.
Insan yang sama-sama tendang dinding perut mama masa
kita masih dalam kandungan mama. Insan yang sama-sama
menyusu dengan mama. Insan yang sama-sama membesar di
hadapan mata papa dan mama. Kita membesar bersama-sama,
dik. Tapi, kita ditakdirkan untuk berkongsi hidup hanya
seketika saja, Farah,” seru Faiqah sambil menahan tangis.
“Kak Iqa merayu pada Farah. Buat kali terakhir,
pandanglah wajah Kak Iqa yang berkongsi muka dengan
Farah ni. Sekali pun jadilah, dik. Bukalah mata sayang.
Kak Iqa merayu sangat-sangat. Kak Iqa sayang sangat kat
Farah.” Faiqah gagahkan jua untuk berkata-kata walau nafas
bertembung dengan sedu.
Kembarnya ini akan meninggalkan dia buat
selama-lamanya. Manusia yang beza hanya beberapa minit
dari kelahirannya di dunia ini. Faiqah tak berdaya memikirkan
kehilangan adik kembarnya saat ini. Dari kecil lagi mereka
berkongsi segala-galanya. Dia sangat terkilan Farah sanggup
merahsiakan tentang penyakit leukemia yang dihidapinya ini.
Tiba-tiba, ada setitis air mata mengalir dari hujung
mata kiri Farah. Ternyata dia juga merintih dalam komanya.
Farah dapat merasai kesedihan kakak kembarnya itu.
“Farah, Farah sayang Kak Iqa kan? Tolonglah Farah,
buka mata tengok Kak Iqa. Sekejap pun jadilah, dik. Kak Iqa
pasti akan merindui jelingan manja adik akak yang seorang
ini.” Faiqah tahu, permintaannya itu sia-sia. Si kembarnya
sedang kritikal menahan sakit. Nyawanya mungkin bertarung
dengan maut bila-bila masa sahaja.
“Kak Iqa tak boleh lama-lama, sayang. Atuk Mak pun
nak tengok Farah. Dia baru sampai. Walau apa pun sayang,
Kak Iqa pasti akan merindui adik kesayangan akak yang comel
dan manja ni. Semoga Allah permudahkan segalanya, Farah
Aisyah Binti Affendi.” Faiqah mengucup lama dahi Farah.
Bunyi mesin pernafasan Farah bergema kuat.
Faiqah kalut. Dia terus meraung memanggil jururawat yang
mendekatinya sebentar tadi. Jururawat itu lantas menekan
butang kecemasan memanggil doktor yang merawat Farah.
“Tenang, cik. Kami perlu merawat pesakit.”
Faiqah tidak menghiraukan kata-kata jururawat itu.
Dia masih berjuraian air mata dan memanggil-manggil nama
Farah. Doktor lantas memeriksa ukuran anak mata Farah.
“Doktor, tolong selamatkan adik kembar saya.
Tolong!”
“Nurse, shock state! Blood pressure pun rendah.
Heartbeat drop. Sediakan defibrillator machine cepat!”
Doktor Akmal bertindak memberi arahan.
Tet, tet, tet... Mesin pernafasan Farah masih
mengeluarkan arahan kecemasan.
Dua orang jururawat membawa defibrillator
machine mendekati Doktor Akmal. Salah seorang jururawat
itu meletakkan gel pada permukaan paddle defibrillator.
Doktor Akmal bersedia menggunakan mesin itu.
“Two hundred joules. Everyone step back. Clear!”
Arahan Doktor Akmal bagi merawat Farah. Namun, mesin
pernafasan Farah masih berbunyi bising dan nyaring.
Tanda masih di tahap bahaya. Doktor Akmal melakukan
cardiac massage selama 30 saat dan Farah masih tidak ada
tanda-tanda menunjukkan stabil. Bacaan jantung Farah
akhirnya menunjuk ke angka sifar.
“Tidak!” Faiqah meraung kedukaan.
Jururawat-jururawat itu menenangkannya.
“Jam 1425 Farah Aisyah Affendi telah disahkan
meninggal dunia. Virus Acute Myeloid Leukemia (AML)
menyerang sehingga tahap terminal.” Doktor Akmal
menamatkan tugasnya selaku doktor pakar Farah. Call sign
kematian itu amat tidak disukainya. Hilang seorang pesakit
di dunia ini. Innalillah.
“Takziah cik sekeluarga.” Doktor Akmal berkata hiba.
‘Farah, kau pergi jua menghadap Tuhan-Mu.
Kekallah dikau di negeri abadi.’

No comments:

Post a Comment